Hutan Tabun – Tingkat Satu, Menara Seribu
Hari Ke-9 Gelombang Ketujuh
Bau hanyir darah hitam yang pekat menusuk hidung, cecair likat itu mengalir perlahan-lahan, menitik ke atas timbunan tebal daun kering yang menutupi tanah. Di depan Kael Novera, seekor Kumbang Hitam terbaring kaku, sisa-sisa nyawanya telah tiada.
“Dua puluh lima,” Kael menggumam sendirian, namun tiada langsung nada bangga atau kepuasan dalam suaranya.
Semua ini hanyalah satu rutin yang meletihkan. Sudah sembilan hari dia terperangkap di Tingkat Satu Menara Seribu, dan Hutan Tabun yang tebal dan menekan ini telah menjadi dunia dan penjara serta tempat dia berburu.
Kumbang Hitam di hadapannya hanyalah Raksasa Biasa Level 0, dikira antara makhluk paling lemah yang menghuni Menara Seribu. Satu hakikat yang menyedihkan, kerana Kael sendiri tidak jauh bezanya; dia juga masih terikat di Level 0. Walaupun kumbang ini lemah dari segi kekuatan fizikal dan kelajuan, malah tidak mampu terbang tinggi, ia telah dianugerahkan dengan satu kelebihan yang ketara.
Kumbang itu dilindungi oleh cangkerangnya yang terkenal keras. Ramai Pendaki percaya itulah satu-satunya ‘ihsan’ yang Menara Seribu berikan kepada makhluk itu, satu cara untuk ia bertahan walau sekejap dalam kekejaman dunia ini. Setiap inci tubuh kumbang itu dilindungi oleh lapisan zirah semula jadi, dan tanpa senjata, adalah mustahil untuk Pendaki biasa menembusinya.
Pandangan Kael jatuh pada Pisau Perak yang masih di dalam genggamannya. “Nasib baik aku ada pisau ni.”
Satu senyuman nipis, yang jarang sekali muncul, terukir di bibirnya. Pisau Perak Gred F itu adalah hadiah daripada Pak Cik Scott, rakan baik bapanya, yang diberikan sebelum dia melangkah masuk ke Menara Seribu. Dalam masa sembilan hari yang singkat ini, pisau itu telah terbukti menyelamatkan nyawanya berkali-kali.
Tanpa berfikir panjang, Kael menekan Pisau Perak Gred F miliknya ke celah cangkerang, satu pergerakan yang kini sudah menjadi terlalu biasa. Terdengar bunyi retak halus. Dia terus mencungkil isi daging putih di dalamnya, menyuap ke mulut, dan menelannya mentah-mentah.
“Mujur,” Kael berfikir sambil mengunyah. Dia bersyukur atas satu-satunya ironi aneh di tempat ini. “Nasib baik daging raksasa dalam Menara Seribu ini sedap.”
Menurut catatan yang pernah dibacanya di dalam Arkib Menara, daging raksasa di sini memang lazat. Ada yang dilaporkan berasa seperti ayam panggang, stik atau atau salai. Daging kumbang yang sedang dikunyahnya ini pula, rasanya sebiji macam isi ketam segar, lengkap dengan rasa manis dan masin semula jadi, seolah-olah sudah diperasa dengan sempurna. Tidak perlu dimasak, tidak perlu ditambah perasa.
[Tiada Mata Biasa diperoleh.]
Satu suara robotik bergema perlahan di dalam minda Kael, menyampaikan notifikasi yang sudah dijangkanya. Dia mengeluh, rasa kecewa itu singgah seketika. Namun, tugasan ini masih belum selesai sepenuhnya. Masih ada satu lagi ganjaran terakhir yang perlu diambil daripada bangkai ini — Kristal Tenaga.
Pisau Peraknya kembali bekerja. Bilah itu menyelinap di antara celahan cangkerang dan kulit kumbang yang kini mula mendingin. Isi putih di dalamnya, yang sebentar tadi dimakannya untuk Mata Biasa, kini sudah tidak mempunyai apa-apa nilai lagi. Dia menekan dan membelah gumpalan isi itu, bukan lagi untuk makan, tetapi untuk mencari sesuatu yang lebih penting.
“Mana Kristal Tenaga dia?” gumam Kael.
Dia mengulangi pergerakan itu, memotong dengan lebih dalam. Tangannya kini berlumuran dengan darah hitam yang pekat dan berbau. Wajahnya berkerut keliru. Ini adalah kumbang ke-25 dari spesis yang sama yang telah ditewaskannya, tetapi lokasi kristal itu tidak pernah tetap. Ada yang ditemui di kepala, ada di abdomen, malah ada yang tersorok jauh di dalam kaki.
Ia seolah-olah satu lagi helah kejam Menara Seribu untuk menguji kesabaran para Pendaki. Dengan saiz kumbang ini sebesar anjing dewasa, mencari satu objek kecil sebesar ibu jari di dalam tubuh sebesar ini adalah satu kerja yang melecehkan.
“Pelik. Takkan kali ini tiada kristal?”
Kael masih tidak berpuas hati. Mustahil ia tiada. Dia menggerakkan pisaunya dengan lebih teliti, hujung bilah itu kini menyisir perlahan-lahan di antara organ dalaman yang lembik. Kesabaran adalah kuncinya. Beberapa saat kemudian, hujung bilah itu terlanggar sesuatu — satu sentuhan keras yang jelas berbeza dari daging di sekelilingnya.
Senyuman nipis akhirnya terukir di bibir Kael. “Jumpa pun.”
Dia mencungkil objek itu keluar dengan teliti. Ia adalah sebuah kristal hitam yang kusam, dengan simbol kumbang yang samar-samar terukir pada permukaannya. Dia mengesat kristal itu pada baju tunik kapasnya, membersihkan sisa darah dan lendir sehingga ia bersih. Sebaik sahaja selesai, dia terus memasukkan kristal itu ke dalam mulut.
Sambil mengunyah, Kael terfikir sejenak tentang para Pendaki Gelombang Pertama. Tanpa maklumat, tanpa Arkib, siapa yang cukup gila, atau mungkin cukup terdesak, untuk mengambil objek yang baru dicungkil keluar dari bangkai raksasa dan memasukkannya ke dalam mulut? Bau darah dan lendir raksasa sahaja sudah cukup meloyakan.
Tetapi itulah ironi terbesar Menara Seribu. Di dalam dunia yang kejam ini, daging dan Kristal Tenaga, kedua-duanya amat lazat. Kristal itu dikunyah; teksturnya kenyal dan rasanya manis, tidak ubah seperti gula-gula getah perisa buah-buahan. Menurut rekod di Arkib Menara, rasa manis ini tidak berbahaya. Jadi, para Pendaki bebas mengambilnya sebanyak mungkin — satu-satunya kenikmatan kecil di neraka ini.
[Tiada Astra diperoleh.]
Sebaik sahaja notifikasi itu muncul dan bergema di dalam mindanya, kekecewaan yang jelas terpamer di wajah Kael. Dia mengetap bibir. Sebenarnya, dia tidak patut berasa sedemikian. Dia tahu, malah semua Pendaki lain juga tahu, bahawa peluang untuk memperoleh Astra — kuasa unik yang mampu meningkatkan kekuatan dan keupayaan Pendaki — daripada Raksasa Biasa adalah hampir mustahil.
Dia teringat dengan jelas apa yang dibacanya di Arkib Menara. Setiap Astra adalah unik, bergantung pada kristal raksasa mana ia datang, dan para pengkaji telah merumuskan kebarangkaliannya: serendah satu dalam sejuta. Catatan Arkib itu juga jelas menyatakan bahawa peluang hanya akan meningkat jika kristal itu diperoleh daripada raksasa di hierarki yang lebih tinggi.
Setakat yang diketahui, hierarki raksasa di Menara Seribu terbahagi kepada empat: Biasa, Mutan, Purba, dan yang paling digeruni, Sakti. Tiada Pendaki pernah melaporkan telah bertemu dengan Raksasa Purba atau Sakti. Kael mengesyaki, jika ada sekalipun, mereka tidak pernah berpeluang untuk pulang menceritakannya. Kewujudan raksasa-raksasa agung itu hanyalah sekadar catatan di dalam Arkib, satu amaran tentang bahaya sebenar yang menanti di Menara ini.
“Mungkin aku dah banyak sangat makan Kumbang Hitam,” Kael merungut perlahan, kekecewaannya kini beralih kepada masalah yang lebih mendesak. “Kalau macam ni, bila baru aku dapat naik ke Level 1?”
Pandangannya jatuh pada sisa-sisa daging Kumbang Hitam yang bersepah di atas tanah. Selera yang ada tadi sudah hilang. Dia sudah tidak peduli lagi.
Kael menghela nafas berat, cuba menenangkan fikirannya yang bercelaru. Dia perlu melihat data. Dia perlu merancang.
“Panel Status.”
Sejurus selepas arahan mental itu diberikan, satu paparan lut cahaya terus muncul di hadapannya — tulisan biru yang kemas terapung di atas latar belakang putih yang tembus pandang, tidak menghalang pandangannya terhadap hutan di sekeliling.
=====
[Panel Status]
Nama: Kael Novera
Level: 0
Gelaran: Pendaki Baru
Evolusi Tubuh: Tahap 0
Mata Biasa: 32 / 100
Mata Mutan: 0 / 100
Mata Purba: 0 / 100
Mata Sakti: 0 / 100
Astra: Tiada
Wang
Gangsa: 75
Perak: 0
Emas: 0
Atribut Fizikal
Kekuatan: 10
Kelajuan: 10
Ketahanan: 10
Atribut Mental
Kecerdasan: 30
Pesona: 10
Nasib: 30
Mata Atribut Bebas: 0
Skil: Tiada
=====
“Baru 32 Mata Biasa. Jauh lagi,” luah Kael. Nada suaranya tidak dapat menyembunyikan kekecewaan yang dirasainya, memandangkan matlamat 100 Mata Biasa itu masih terasa amat jauh.
Dia mendongak, seolah-olah mencari jawapan dari langit, namun pandangannya hanya terhalang oleh kanopi tebal Hutan Tabun yang seakan tiada penghujung. Dia sedar dia kini berada tidak jauh dari Kubu Menara Hutan Tabun Utara, satu-satunya penempatan “selamat” di tingkat ini, tetapi itu tidak menyelesaikan masalah utamanya. Dia perlu segera menyusun langkah seterusnya.
“Aku kena buru raksasa lain. Itu saja cara yang ada,” gumamnya, matanya kembali memandang ke tanah. “Tapi, raksasa yang mana satu?”
Hutan ini, seperti yang telah dipelajarinya selama sembilan hari, menjadi habitat kepada beberapa jenis Raksasa Biasa, bermula dari Level 0 yang paling lemah hinggalah Level 2 yang mampu membunuh Pendaki baru dengan mudah. Kael sedar sepenuhnya akan batas kemampuannya. Buat masa ini, dia hanya mampu berlawan dengan Level 0. Cuba memburu sesuatu yang lebih kuat adalah satu kebodohan yang tiada bezanya dengan membunuh diri.
Fikirannya mula menyenaraikan sasarannya yang lain: Arnab Putih, Kodok Hijau, dan Cacing Berduri. Di dunia luar, takkan pernah terlintas di fikirannya untuk memburu makhluk-makhluk sebegitu, apatah lagi untuk memakannya. Tetapi di sini, di dalam Menara Seribu, dia tiada pilihan. Dia terpaksa menyesuaikan diri dengan realiti baru ini. Ikut peraturan, atau mati.
Lebih penting lagi, dia perlu mengambil kira akan lokasi. Dia sudah menghabiskan banyak masa menanda kawasan mana yang boleh dia lalui dan mana yang perlu dijauhi. Masalahnya bukan sahaja raksasa; ia adalah Pendaki lain. Dia perlu mengelak daripada bertembung dengan kumpulan-kumpulan yang sudah mula terbentuk. Berebut kawasan buruan hanya akan membuang masa dan tenaga yang berharga.
“Leceh kalau bertembung mereka,” bisiknya.
Kael menyapu daun-daun kering di satu kawasan, mendedahkan tompok tanah kosong yang diyakininya selamat dari pandangan. Dia duduk bersila, Pisau Perak Gred F miliknya kini menjadi alat tulis. Wajahnya berubah serius, fokusnya tertumpu sepenuhnya pada tugasan itu. Hujung pisaunya mula melakar garisan di atas tanah lembap.
“Ini Hutan Tabun,” gumam Kael, lebih kepada dirinya sendiri. Tangannya mula bergerak lebih laju, menanda lokasi tumpuan raksasa dan, yang lebih penting, zon kawalan kumpulan Pendaki lain.
“Tengah, kawasan Kumpulan Ariel.” Kael memangkah kawasan itu dengan kuat di dalam peta mentalnya. “Terlalu bising dan ramai. Tinggi potensi untuk menarik perhatian raksasa yang tidak perlu.”
Tambahan pula, dia secara peribadi kurang selesa dengan keangkuhan Ariel, yang sering berlagak kononnya dia datang dari sebuah ‘Keluarga Pendaki’ yang hebat. Kael tahu ancaman sebenar dalam kumpulan itu bukanlah Ariel, tetapi Kudus, orang kanannya yang sentiasa senyap dan berwajah tegang. Dia menggeleng kepala, menolak sebarang kemungkinan untuk bertembung atau bertempur dengan mereka.
Dia beralih ke bahagian lain. “Utara, Kumpulan Roberto.” Satu lagi pangkah dibuat. “Agresif. Aku dengar mereka tak teragak-agak menyerang Pendaki lain hanya untuk merampas Kristal Tenaga.”
Tangannya beralih. “Barat, Kumpulan Sera.” Pangkah ketiga. “Licik. Terlalu senyap. Lebih baik jauhkan diri.”
Kael berhenti, memandang peta kasarnya di atas tanah. Dia tidak perlu berfikir lama. Analisisnya jelas. Hanya tinggal kawasan timur dan selatan yang masih “bebas” dan selamat untuk Pendaki solo sepertinya.
Setelah menetapkan hala tujunya, dia kemudiannya membuka Panel Misi.
=====
[Misi Utama Bahagian 1]
Menawan Kubu Menara Hutan Tabun Timur
Gred: Asas
Objektif: Mengalahkan Penduduk Asal Tabun yang memegang Token Perintah Kubu Menara Hutan Tabun Timur.
Klu: Pemimpin muda Kampung Hutan Tabun.
Tempoh masa: 20 Hari 16 Jam 09 Minit
Ganjaran:
(Individu)
[+] 5,000 Mata Biasa
[+] Set Pakaian Tempur Asas Gred G
[+] Token Perintah
[+] 30 x Kristal Tenaga Level 5
(Kumpulan)
[+] 3,000 Mata Biasa
[+] Set Pakaian Tempur Asas Gred F
[+] 1 x Kristal Tenaga Level 5
Nota: Jika Pendaki datang berkumpulan, Pendaki yang melakukan serangan terakhir akan diberikan Ganjaran Individu manakala yang lain akan diberikan Ganjaran Kumpulan.
=====
Pandangannya di Panel Misi tertumpu pada baris “Ganjaran Individu” yang dijanjikan. Ganjaran itulah memudahkan dia untuk membuat keputusan. Senyuman nipis terukir di bibir Kael. Dia tidak lagi perlu membuat keputusan yang rumit; jalannya sudah jelas. Dia menanda kawasan timur di atas peta tanahnya dengan satu garisan yang kemas.
“Baiklah. Ke Kubu Hutan Tabun Timur.”
Kael bingkas bangun, membersihkan sisa daun kering dari pakaiannya. Tiada lagi keraguan dalam gerakannya. Langkahnya kini pasti, dipandu oleh satu tujuan yang jelas. Arah tujunya adalah ke timur Hutan Tabun.
Di situlah letaknya Kubu Hutan Tabun Timur. Ia bukan sekadar satu lagi kubu, tetapi lokasi penting di mana Misi Utama pertama mereka—bagi semua Pendaki Gelombang Ketujuh yang bermula di Kubu Hutan Tabun Utara—akan mengambil tempat.
Kael menarik nafas dalam, bau hanyir hutan itu seakan menjadi lebih pekat. Dia tahu apa yang menanti.
Misi yang penuh dengan tumpahan darah dan kekejaman bakal bermula.