Kawasan Tengah Hutan Tabun
Hari Ke-9 Gelombang Ketujuh
“Tuan Muda Ariel,” panggil satu suara garau, memecah keheningan hutan yang hanya diisi bunyi pertarungan kecil. “Kita masih nak buru Kumbang Hitam? Sudah berjam-jam kita di sini.”
Suara itu datangnya dari Kudus. Seorang lelaki tegap, berkulit gelap, dengan parut melintang yang jelas di atas hidung, memberikannya rupa yang bengis. Dia, seperti dua puluh dua orang yang lain di kawasan itu, hanya mengenakan Pakaian Asas Menara Gred F — sebuah koleksi pakaian yang terdiri daripada tunik kapas tebal, seluar kargo berkain kasar, dan but kulit tahan lasak. Ia adalah pakaian seragam Pendaki baru, di mana semua menerima yang sama, hanya warnanya sahaja yang berbeza.
“Teruskan saja,” balas Ariel, pemuda berambut perang yang disoal itu, tanpa sedikit pun berpaling.
Dia sedang khusyuk membelek pedang di tangannya, satu-satunya item berkualiti tinggi di antara mereka. Wajah dan tubuh Ariel biasa sahaja, tiada yang istimewa. Namun, di dalam kumpulan ini, dia adalah ketua. Aura dan latar belakangnya sudah cukup untuk membuatkan tiada sesiapa yang berani membangkangnya.
Kudus hanya mengangguk patuh, lalu berjalan ke arah pengikut yang lain. Mereka masih berada di Hutan Tabun, di sebuah kawasan yang sedikit lebih lapang dan tidak mempunyai semak samun yang tebal. Kesemua pengikutnya sedang sibuk memburu Kumbang Hitam, membunuh raksasa itu sepantas mungkin. Ada yang terdesak menggunakan tangan kosong, ada yang mengguna kayu besar sebagai senjata, dan tidak kurang juga yang mengikat batu pada kayu untuk menjadikannya kapak atau tukul batu.
“Teruskan!” jerit Kudus, suaranya yang garau bergema di kawasan itu.
Mereka serentak mengangguk, terus berburu dalam kumpulan kecil dua orang. Tiada siapa yang berani membantah secara terbuka. Tapi itu tidak bermakna semua bersetuju.
“Mana boleh macam ni. Kita yang susah payah, tapi dia yang mengutip semua Kristal Tenaga dan daging,” kedengaran rungutan perlahan daripada salah seorang pengikut di barisan belakang, suaranya ditenggelamkan oleh bunyi jeritan raksasa.
Wajah rakan di sebelahnya terus pucat lesi. Dia pantas menyiku si perungut. “Diam! Perlahankan suara kau! Jangan cari nahas. Kalau Tuan Muda Ariel dengar, kita mati.”
Mendengarkan amaran itu, si perungut terdiam, menelan air liurnya. Peristiwa beberapa hari lalu serta-merta menjengah memorinya: seorang Pendaki dalam kumpulan mereka dibelasah separuh mati oleh Ariel hanya kerana memberikan pendapat yang bercanggah. Sehingga ke hari ini, Pendaki tersebut masih tidak sedarkan diri, ditinggalkan di Kubu Hutan Tabun Utara untuk menerima rawatan.
Itulah realitinya. Sebenarnya, kedudukan Ariel sebagai ketua bukan diraih kerana kekuatan semata-mata. Ramai yang tahu Kudus sendiri jauh lebih kuat dan berpengalaman. Kuasa Ariel datang dari namanya: Ariel Venus.
Sebagai waris utama ketiga Keluarga Venus, sebuah ‘Keluarga Pendaki’ yang disegani, kehadirannya adalah satu jaminan. Mereka yang lain sanggup menjadi pengikutnya kerana ia adalah satu pelaburan kesetiaan, yakin bahawa apabila mereka berjaya naik ke tingkat yang lebih tinggi nanti, akan ada Pendaki Keluarga Venus yang lebih kuat sedang menanti untuk memberi ganjaran kepada mereka yang setia.
Ketika itu, beberapa orang ketua kumpulan kecil bergerak mendapatkan Kudus. Wajah mereka serius, jelas tidak bersetuju dengan arahan untuk terus memburu. Kudus mendengar laporan mereka tanpa memberikan reaksi yang berlebihan, hanya mengangguk apabila perlu. Selesai menerima laporan, Kudus berjalan semula mendekati Ariel. Wajahnya yang berparut itu kekal tenang.
“Tuan Muda,” katanya, nadanya rendah. “Makin ramai yang sudah tidak menerima Mata Biasa dari Kumbang Hitam.”
Ariel, yang sedang mengelap bilah pedangnya dengan sehelai kain, serta-merta terhenti. Raut wajahnya yang tenang tadi terus berubah keruh. Dia sudah mencapai Level 3, sementara hampir semua pengikutnya sudah berada di Level 2. Sembilan hari mereka di sini, mereka telah meredah Hutan Tabun dan membantai lebih dari sepuluh spesis Raksasa Biasa, dari Level 0 hingga Level 2. Kini, nampaknya hutan ini pun sudah tidak mampu lagi untuk memenuhi keperluan mereka.
“Apa cadangan kau?” tanya Ariel, suaranya dingin.
Kudus kekal tenang, sekalipun dia benci ditanya soalan sebegini. Setiap kali Ariel meminta pendapat, ia cuma helah untuk memindahkan beban. Jika berlaku kesilapan nanti, dia tahu Tuan Mudanya itu akan menyalahkan mereka yang memberikan pendapat. Namun, mustahil juga bagi Kudus untuk tidak memberikan cadangan.
“Kita ke kawasan lain,” balas Kudus cermat, “Atau… kita keluar dari hutan ini.”
Ariel berpaling, tangannya terus menyisipkan pedang kembali ke sarung di pinggang. Matanya tajam memandang Kudus, jelas tidak berpuas hati dengan cadangan itu.
“Keluar dari sini? Kau lupa Misi Utama?” soalnya, suaranya tegang. “Kalau kumpulan lain serang Kubu Hutan Tabun Timur masa kita tiada? Kau nak tanggungjawab?”
Bertubi-tubi soalan itu keluar dari mulut Ariel, menunjukkan rasa panik yang cuba disembunyikannya. Kudus baru sahaja mahu membuka mulut untuk membalas apabila satu suara wanita yang tenang tiba-tiba memintas percakapan mereka, datang dari arah barat.
“Kenapa kau risau sangat, Ariel?”
Perhatian mereka semua serta-merta tertumpu ke arah punca suara. Seorang wanita sedang berjalan tenang, diikuti oleh lebih kurang dua puluh orang pengikut. Rambutnya yang merah menyala kelihatan amat menonjol di dalam hutan yang kehijauan itu. Dia kelihatan gagah, dan di sisi pinggangnya tersisip sebilah pedang berwarna merah darah.
“Sera,” kata Ariel, ekspresi wajahnya serta-merta bertambah serius.
Sera, ketua kumpulan itu, hanya tersenyum sinis. “Aku dan pengikut aku belum cukup kuat untuk Misi Utama. Kau jangan risau. Pergilah jauh sikit.”
Ariel tahu itu cuma provokasi.
Sera menyambung, nada suaranya jelas mengejek sambil matanya memandang sisa-sisa Kumbang Hitam di tanah. “Aku nak guna kawasan ini. Nak kutip Mata Biasa dari Kumbang Hitam. Sikit lagi aku dah nak Level 4.”
Ketika Sera menjangkakan Ariel akan berundur dengan marah, satu suara garau dan kasar tiba-tiba menyampuk dari belakang mereka.
“Tak payah pening-pening. Kau orang berdua boleh berambus.”
Suara itu serta-merta mengubah suasana. Wajah Ariel yang tadinya tegang, kini bertukar keruh. Rahangnya diketap kuat. Dia kenal benar siapa pemilik suara itu, dan dia benci terpaksa berada dekat dengan lelaki itu. Sera juga hilang senyuman sinisnya, diganti dengan riak waspada.
“Roberto…” sebut Sera perlahan. “Kau… buat apa di sini?”
Roberto. Nama itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan kedua-dua ketua kumpulan itu kaku.
Dia tidak sama seperti Pendaki lain. Dia adalah ‘kesilapan’ Menara; satu anomali. Ariel tahu ceritanya — hampir semua orang di Hutan Tabun tahu. Roberto bermula di Level 0 dengan Atribut Fizikal yang sedia mengatasi Pendaki Level 2. Tiga puluh mata asas untuk setiap satunya.
Dan kini, selepas sembilan hari, dia sudah berada di Level 3. Dia mungkin berkongsi Level yang sama dengan Ariel dan Sera, tapi dia jauh, jauh lebih kuat.
Ariel tidak dapat menahan dirinya daripada membuat kiraan pantas di dalam kepalanya. Sifir Menara mudah sahaja: setiap kenaikan Level Biasa akan menambah sepuluh mata mandatori pada semua Atribut Fizikal, dan lima Mata Atribut Bebas yang boleh ditambah pada mana-mana atribut pilihan.
Ini bermakna, Roberto kini berdiri di hadapan mereka dengan minimum 60 Kekuatan, 60 Kelajuan, dan 60 Ketahanan. Itu adalah kiraan paling rendah, tidak termasuk walau satu pun Mata Atribut Bebas yang mungkin telah digunakannya pada Atribut Fizikal.
Di Tingkat Satu ini, Roberto tidak layak lagi untuk digelar sebagai Pendaki baru. Dia adalah sebahagian daripada raksasa yang bertopengkan manusia.
Ketika Roberto melangkah keluar dari balik pokok, pengikutnya — hampir empat puluh orang — turut bergerak bersamanya. Mereka diam, tetapi pergerakan mereka disengajakan, perlahan-lahan membentuk satu bulatan longgar yang mengepung kedua-dua kumpulan Ariel dan Sera.
Ariel merenung Roberto dengan kebencian yang tidak berselindung. “Kau nak apa?”
Roberto tersenyum sinis. Dia mendecitkan lidah, bunyi yang jelas kedengaran dalam keheningan yang tegang. Dia berhenti betul-betul di hadapan Ariel dan Sera, jarak mereka terlalu dekat untuk rasa selesa.
“Aku nak apa?” soal Roberto, mengulangi soalan itu dengan nada mengejek.
“Aku nak kau orang berambus. Atau… aku bunuh semua sekali.”