Langit Desa Karunai akan mendung sebegini, dua hari seminggu, seolah-olah langit sendiri enggan muncul di tanah yang menyimpan terlalu banyak rahsia itu. Awan gelap berlegar berat dan perlahan, namun tiada hujan yang turun. Angin hanya bertiup perlahan, cukup untuk menyapu ranting dan daun kering di atas tanah merah yang keras.
Namun, bagi penduduk desa, keadaan ini adalah biasa. Mereka masih menjalankan aktiviti berjual beli, bercucuk tanam, dan anak-anak kecil tetap bermain-main dengan gembira.
Raka sedang berjalan seorang diri.
“Tiada siapa yang nampak aku kan?” soalnya di dalam hati.
Dia berjalan menyusuri lorong belakang rumah-rumah kayu di desa itu. Desa Karunai bukanlah sebuah desa yang mewah dan bukan juga daif. Ia mempunyai sistem penempatan yang bersih dan teratur. Sistem keselamatannya sentiasa ada, dengan pasukan peronda dan pengawal yang bertugas mengawal empat pintu utama desa.
Mata Raka meliar melihat sekeliling. Pengawal dan anak-anak nakal, adalah manusia yang cuba dielak oleh Raka ketika ini. Sedang dia berada di dalam keadaan berjaga-jaga, dia dikejutkan oleh satu jeritan dari arah belakang.
“Hoi, Anak Sumpahan!”
Satu suara nyaring menjerit. Ia datang dari seorang wanita tua yang sedang berada di belakang rumah. “Kau buat apa lalu belakang rumah aku? Kau nak palitkan malang kau pada aku?”
Raka mengetap bibir, memandang ke bawah dan terus berjalan laju, tidak mempedulikan wanita itu. Dia tahu, selepas ini, akan ada lebih ramai lagi yang muncul untuk memaki dan menyumpahnya. Apa yang cuba dilakukan oleh wanita itu telahpun berjaya. Kedengaran derap langkah pengawal peronda bergegas ke arahnya.
“Mati aku,” gumam Raka.
Pengawal Desa Karunai bukanlah manusia biasa. Mereka digelar Satria — manusia pilihan Tuhan yang berjaya membangkitkan Darah Sakti. Ia membolehkan mereka mengawal unsur dan memberikan kelebihan fizikal yang luar biasa. Namun, di desa ini, ada satu perkara yang masih menakutkan mereka yang bergelar Satria — Raka.
Remaja lima belas tahun itu sangat berbeza. Tubuhnya tinggi, tapi dia sentiasa memandang ke bawah. Dia tidak suka bertentang mata dengan orang lain kerana mata kirinya tidak seperti manusia biasa. Ia berwarna merah darah yang pekat. Sebab itulah dia sentiasa membiarkan rambut hitamnya yang beralun itu jatuh, menutup mata kirinya.
Selang beberapa ketika, mujurlah tiada pengawal yang mengejarnya. Dia menghembus nafas lega. Memang begitulah apa yang dilaluinya setiap hari. Setiap kali dia melalui kawasan umum, orang dewasa akan diam, anak kecil akan ditarik masuk ke dalam rumah. Ada yang mencebik. Ada yang meludah ke tanah sebaik saja dia berlalu. Tidak kurang juga yang melontar apa sahaja yang berdekatan ke arahnya.
Namun, Raka sekalipun tidak pernah membalas. Semua itu sudah terlalu biasa bagi Raka. Dia mempunyai satu rahsia besar yang menjadi sebab utama untuk tidak membalas. Rahsia yang akan menyebabkan dirinya lebih ditakuti jika terbongkar.
Di dinding sebuah kedai arang, seseorang melakar semula Raka si Mata Merah di tanah dengan sebatang ranting. Lukisan kasar itu disertai dengan kata-kata, “Anak sumpahan, pembawa celaka.”
Sekalipun dia melihatnya, dia tidak berhenti. Langkahnya semakin laju menuju ke hujung desa, meninggalkan lorong-lorong sempit dan bunyi pintu serta tingkap yang ditutup perlahan.
Hari ini, sama seperti hari-hari lain, dia hanya mahu ke satu tempat. Tempat yang tiada mata manusia. Tempat yang tiada hati yang membenci dirinya. Lurah Semata.
“Aku harap tiada yang ikut aku kali ini,” gumam Raka.
Belum sempat dia mengambil nafas, satu jeritan lain meletus dari arah belakang. Ini bukan suara wanita tua tadi. Ini lebih agresif. “Kejar dia! Budak sial tu mencuri lagi!”
Tiga orang remaja lelaki sebayanya, bertubuh gagah dan berwajah bengis, mengejar dari belakang. Raka segera berlari sekalipun dia tidak mencuri dan tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Jangan lari!” laung salah seorang dari mereka.
Raka tersenyum sinis. Berhenti? Dia tidak akan sesekali berhenti. Dia tahu mereka akan sentiasa mencari apa saja alasan untuk memburu, memukul dan mencederakannya. Dia sudah muak dengan permainan itu.
Sejak dari kecil, dia dibenci. Dia sendiri pun tidak tahu mengapa, sedangkan dia tidak pernah menyusahkan sesiapa. Puncanya hanya satu. Mata kirinya.
“Lajunya dia lari. Memang kita nak kejar ke?” soal salah seorang dari tiga remaja itu.
“Mestilah. Hari ini terus kita dibelasah. Aku nak lepaskan semuanya pada Anak Sumpahan itu,” balas seorang lagi.
Raka tidak peduli walau apa sekalipun alasan mereka. Dia terus berlari deras. Tapak kakinya menghentam kuat tanah merah yang keras itu. Di belakang, jeritan tiga remaja lelaki tersebut semakin kuat. Dia membelok laju ke dalam sebuah lorong sempit, di bahagian belakang deretan kedai.
Dia sempat menangkap pantulan bayang sendiri di tempayan air. Rambutnya kusut. Wajahnya cengkung. Dan mata kirinya. Ia bersinar merah pekat. Mata itu menjadi punca Raka digelar sebagai Anak Sumpahan.
“Hoi, Raka! Mata kau tu, bagi aku cungkil!” jerit salah seorang remaja dari belakang, diiringi ketawa besar.
Kebanyakan penduduk di sini, sekalipun masih remaja, mempunyai fizikal yang sangat kuat. Namun, mereka tidak mampu untuk menandingi kekuatan fizikal Raka, sekalipun dia tidak pernah mendapat makanan dan minuman yang secukupnya.
Dia terus berlari laju sehingga tiba di hujung desa. Dengan lincah dan tangkas, dia melompat ke atas tong kayu buruk sebelum melompat keluar melalui pagar desa.
Para pengejarnya terhenti. “Mana dia pergi?!” “Cis! Ini semua kau punya pasal. Lambat sangat.” “Kau nak salahkan aku? Kau pun lembab.”
“Sudah.” Suara ketua mereka memotong. “Dia memang laju. Tapi, aku tahu dia ke mana.”
Mereka bertiga sebenarnya tahu. Hanya satu sahaja tempat kegemaran Raka. Hari ini, mereka bercadang untuk tidak melepaskannya. Mereka akan mengajarnya cukup-cukup.
Lurah Semata terletak di luar batas desa. Jauh dari kawasan sawah padi, kebun sayur dan kandang ternakan. Tempat itu sunyi. Berbahaya. Terutamanya buat mereka yang tidak biasa.
Tidak ramai yang berani ke sini. Penduduk Desa Karunai mengatakan tempat ini berpuaka. Sebab itulah tiga remaja lelaki tadi berkira-kira sama ada ingin mengejar Raka atau tidak.
“Berpuaka?” Raka bergumam, sinis. “Jika puaka itu sudi berkawan dengan aku, aku sangat berbesar hati.”
Dia memanjat lereng curam. Tangan menggenggam akar pokok yang menjalar keluar dari tanah. Dia sangat tangkas dan kelihatan seperti sudah terlalu biasa dengan tempat ini. Sepanjang proses itu, tapak tangannya terluka sedikit namun dia tidak peduli. Semua itu tidak akan mematahkan semangat dan membuatkan dia berpatah balik ke desa.
Hampir setengah jam dia begitu. Dia kekal tenang dan bernafas seperti biasa. Sepertinya aktiviti ini sedikit pun tidak menggunakan tenaganya. Sebaik sahaja sampai ke sebuah dataran berbatu leper di puncak, dia duduk perlahan-lahan.
“Tenangnya di sini,” ujar Raka.
Senyuman manis terukir pada wajahnya sambil angin yang bertiup perlahan menghembus rambut yang menutupi mata kirinya. Dia tidak sedar, ketenangan itu sudah mula berbaki. Beberapa hari mendatang, hidupnya tidak akan seperti ini lagi.
Jauh dari Desa Karunai, ada takdir yang lebih besar sedang menanti.