Cover Novel Melayu

Bandar Novan
Isnin, 18 Jun 2040

Ethan melangkah keluar dari The Good Books. Dentingan halus loceng pintu berbunyi sekali, sebelum serta-merta mati—lenyap ditelan hingar-bingar Bandar Novan.

“Jumpa esok, Ethan!” laung Encik Parker.

Ethan menoleh sekilas. Pemilik kedai itu sudah terpacak di kaki lima—rutin wajibnya setiap petang—tersenyum lebar seperti maskot yang terlalu mesra sambil menghulurkan risalah kepada sesiapa sahaja yang lalu-lalang. Ethan sekadar mengangguk dan melempar senyuman nipis, sebelum menyambung langkah.

Tangannya menyeluk saku seluar, mengeluarkan telefon pintar usangnya. Ibu jarinya menyapu permukaan skrin yang retak seribu—satu-satunya gajet yang dia mampu miliki buat masa ini. Dia melihat paparan pada skrin.

7:05 malam.

“Nasib baik. Sempat balik on time,” gumamnya perlahan. Nafas lega dihembus keluar.

Ethan mendongak, membiarkan matanya menatap langit. Walaupun matahari belum benar-benar terbenam, suasana petang itu terasa asing. Langit musim panas yang sepatutnya diwarnai jingga senja kini lebam, dilitupi gulungan awan hitam yang tebal dan berat. Cahaya kian malap, ditelan rakus oleh kegelapan yang bakal tiba. Angin yang menyapa pipinya membawa bau lembap tanah—isyarat jelas alam bahawa hujan lebat bakal turun bila-bila masa sahaja.

Dahi Ethan berkerut sedikit.

“Aku kena balik cepat,” bisiknya.

Jarak dari kedai buku ke rumahnya mengambil masa sekitar dua puluh minit berjalan kaki. Dia berkira-kira sendiri. Kalau dia tak memecut, dia akan basah kuyup. Dan itu masalah besar. Sejak tamat sekolah menengah, tubuhnya menjadi sedikit ‘manja’ tanpa sebab yang jelas. Terkena hujan sedikit, demamlah jawabnya. Pakej batuk dan selesema yang berlarutan berhari-hari. Dia tidak mampu untuk jatuh sakit sekarang.

“Tepi sikit! Aku dah lambat!”

Satu suara tempik memecah lamunannya. Belum sempat Ethan bereaksi, bahunya dirempuh kasar dari belakang. Tubuhnya terdorong ke tepi, hampir terjatuh.

Ethan membetulkan imbangan badan. Dia tidak marah, sebaliknya dia tersenyum nipis ke arah punggung lelaki yang merempuhnya itu.

“Maaf,” ucapnya automatik, walaupun itu bukan salahnya.

Dia berundur sedikit ke tepi kaki lima, mencari ruang selamat di sebalik tiang lampu. Dia berhenti sejenak di situ. Matanya meliar memerhati sekeliling, merakam ragam manusia di hadapan mata.

“Ya, ya. Saya sampai lima minit lagi.”

“Tepi! Maaf! Tolong bagi laluan!”

“Sayang nak singgah mana-mana dulu?”

Suara manusia kedengaran bertindih-tindih, bercampur dengan deram enjin dan bunyi hon yang tidak putus-putus. Bising. Bingit. Sesak.

Namun bagi Ethan, di sebalik kekalutan itu, inilah degup jantung sebenar Bandar Novan.

Jalan raya dua arah di hadapannya sesak dengan deretan kenderaan yang seolah-olah tidak bergerak. Di kaki lima pula, lautan manusia menjadikan laluan luas itu terasa sempit dan menghimpit.

Orang ramai lalu-lalang tanpa henti. Ada bahu yang berlaga, disusuli ucapan “maaf” yang tergesa-gesa, dan ada yang terus berjalan tanpa peduli, wajah mereka kosong. Ada yang menjinjing beg beli-belah yang penuh, ada yang hanyut menatap skrin telefon pintar, dan ada pasangan yang bergurau senda di bawah payung walaupun langit belum benar-benar menangis lagi.

Macam-macam ragam.

Ethan menolak rambut hitamnya yang jatuh menutup dahi. Gaya rambutnya memang jenis begitu—sedikit tidak terurus, seperti orang yang baru bangun tidur. Wajahnya kekal tenang biarpun kepalanya sarat dengan masalah yang tidak kelihatan. Tubuhnya tinggi dan sedikit kurus, tidak memancarkan kekuatan fizikal yang ketara; lebih kepada susuk tubuh seorang pelari jarak jauh yang tidak berminat mengangkat besi di gim.

Dia memandang langit sekali lagi.

“Baiklah. Kali ni aku kena betul-betul balik cepat,” gumam Ethan.

Dia mempercepatkan langkah, menyertai arus manusia itu. Sekali lagi telefon pintarnya dikeluarkan. Ibu jarinya menyapu permukaan skrin yang kasar dek retakan halus itu, dan ketika itulah dia perasan satu notifikasi berkelip.

“Eh? Bila masa Ibu hantar mesej suara?”

Ethan segera menekan butang Play dan merapatkan peranti itu ke telinga, cuba menghalang bunyi bising dari menenggelamkan suara ibunya.

“Ethan,” suara Elise menyapa gegendang telinganya. Nadanya lembut. “Boleh belikan barang dapur? Macam biasa.”

Terdapat jeda seketika. Bunyi nafas berat kedengaran sebelum nada suara ibunya berubah, menjadi lebih perlahan dan sedikit bimbang.

“Satu lagi… Ibu nak minta tolong kamu bayar sewa bulan ni. Boleh? Tuan rumah akan datang kutip sewa Jumaat nanti. Nanti bila gaji, Ibu ganti semula.”

Mesej tamat.

Langkah Ethan menjadi perlahan, sebelum terhenti sepenuhnya.

“Sewa… Jumaat…” Ethan menggumam.

Perkataan itu terasa berat di lidahnya, seolah-olah dia sedang mengunyah batu.

Lama dia menatap skrin telefon itu sementara orang ramai terus memintasnya.

Ibu jarinya kaku di atas skrin. Fikirannya ligat menimbang, mencari jalan keluar yang tidak wujud.

Boleh ke aku bayar hari Jumaat? soalnya pada diri sendiri.

Logik akalnya menjerit mustahil. Tapi, dia tidak sampai hati untuk berkata tidak kepada ibunya. Buat masa ini, simpanannya yang tidak seberapa sudah hampir kering. Beberapa hari lalu, pihak universiti telah menggantung biasiswanya secara mengejut. Semuanya berpunca daripada satu tuduhan tidak masuk akal oleh seorang pensyarah kanan. Kononnya, Ethan meniru dan menipu dalam peperiksaan akhir semester lepas.

“Setiap semester, benda sama,” keluh Ethan, matanya merenung jalan tar yang kotor.

Bezanya kali ini, pensyarah itu enggan percaya dengan kualiti jawapan Ethan. Alasannya mudah tapi menyakitkan hati: Jawapan itu dikatakan, “terlalu jauh mengatasi kemampuan seorang pelajar universiti biasa”.

Dia rasa semua ini sangat kelakar dalam cara yang menyedihkan. Dia dihukum sebab terlalu pandai?

Kesannya, elaun bulanan Ethan digantung sekurang-kurangnya tiga bulan sepanjang musim panas ini, dan siasatan lanjut hanya akan dilakukan selepas semester dibuka semula.

Elaun terakhirnya pula sudah habis licin digunakan untuk membayar deposit bilik sewa kecil berhampiran kampus, memandangkan pihak universiti secara tiba-tiba mengeluarkan arahan tidak lagi membenarkan pelajar tahun tiga dan akhir menginap di asrama.

Lepas satu masalah, satu masalah lagi datang, keluh Ethan.

Semuanya terasa berat, dan menyesakkan. Beban di bahunya seolah-olah bertambah, bukan dengan berat fizikal, tetapi dengan batu-bata tanggungjawab yang tidak kelihatan.

Ethan berhenti sekali lagi. Kali ini di hadapan sebuah kedai lampu. Cahaya kuning hangat dari tingkap pameran menyimbah wajahnya, kontras dengan hatinya yang sejuk. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan degup jantung yang tidak keruan. Walau apa pun yang jadi, dia mesti cari jalan.

Telefon pintar dikeluarkan semula. Ibu jarinya menekan butang Voice Note.

“Baik, Ibu. Saya akan tolong Ibu. Jangan risau.”

Dia melepaskan butang itu. Send.

Selesai menghantar mesej itu, bibirnya mengukir senyuman nipis—senyuman pahit yang tidak sampai ke mata. Dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya keyakinan itu. Buat masa ini, dia hanya mampu berharap pada keajaiban, itupun jika kuota keajaiban untuk orang seperti dirinya masih berbaki.

Ethan masih berdiri kaku di situ. Jarinya lincah membuka aplikasi Novan Trust, bank gergasi yang mendominasi sistem kewangan negara Arland.

Dia menekan bahagian baki akaun.

“Berapa duit aku ada…” bisiknya.

Dia menunggu paparan itu dimuat naik dengan debaran yang menyesakkan dada.

$370.80

Ethan terkelu. Angka itu merenungnya kembali, kerdil dan menyedihkan. Dia segera menutup skrin telefon dan memasukkannya kembali ke dalam saku, seolah-olah dia takut angka itu akan membakar matanya jika ditenung terlalu lama.

Macam mana aku nak buat ni?

Sewa rumah keluarganya $850. Walaupun dia bekerja sambilan, hari ini baru Isnin, dan dia baru tiga hari bekerja. Gaji hanya akan masuk hujung bulan, itupun bukan gaji penuh. Jumaat tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Fikirannya melayang ke Code Lancer, platform yang selalu dia gunakan untuk mengambil upah programming dan reka bentuk web. Tapi, logik akalnya pantas memintas. Sekalipun dia mendapat projek hari ini, dia perlukan sekurang-kurangnya sehari untuk menyiapkan kerja, dan bayaran pula memakan masa tiga hari bekerja untuk diproses.

Memang tak sempat, bisik hati kecilnya. Tapi… mungkin aku kena cuba juga.

Ethan terlalu hanyut dalam aritmetik kemiskinannya sehinggakan dia terlepas pandang perubahan drastik yang sedang berlaku di sekelilingnya.

Ia bermula dengan bunyi.

Derap kaki di kaki lima dan hiruk-pikuk suara manusia perlahan-lahan menghilang, seolah-olah ada tangan ghaib yang memutar tombol volume dunia ini sehingga bisu. Bukan itu sahaja. Kelibat manusia yang tadi berasak-asak di kiri dan kanannya turut pudar, lenyap begitu sahaja.

Namun, Ethan yang masih tenggelam dalam lamunan, terus melangkah. Matanya memandang ke bawah, tidak perasan kehadiran satu sosok tubuh yang berjalan tepat ke arahnya.

Dan kemudian—mereka bertembung.

Cover Novel Melayu