Hatinya berasa semakin geram. Bagi Raka, semua ini sudah sangat melampau. Cara mereka menanti dan bersedia di situ, sepertinya Raka adalah binatang yang sedang diburu. Sekalipun begitu, Raka menarik nafas dalam. Cuba untuk bersabar.
Dalam dunia ini, ada satu perkara yang hanya Mak Piah sahaja tahu. Rahsia terbesar Raka. Rahsia yang lama dia simpan. Dia mempunyai kekuatan yang di luar keupayaan mereka seusia. Malah, ia setanding dengan Satria peringkat bawahan. Sebab itulah Raka tidak pernah membalas. Dengan kekuatannya, dia tahu mereka akan cedera dengan sangat teruk. Ada juga kemungkinan untuk mereka… terbunuh. Sebab itulah dia kekal menahan segala-galanya.
Dia juga risau jika ada yang mengetahui akan kekuatannya, mereka akan menjadikan ini sebagai alasan baru untuk lebih membencinya. Walhal, jika kekuatannya dimanfaatkan, Desa Karunai boleh mendapat banyak kelebihan.
Dia masih ingat pesanan Mak Piah. “Kau jangan tunjuk, Raka. Nanti mereka akan kata kau keturunan Iblis. Sebab kau kuat bukan macam manusia.” Raka faham. Dan dia akur.
Tapi, apa yang sedang dia hadapi sekarang ini membuatkan dia berfikir beberapa kali. Tiada jalan lain untuk dia pulang. Dia tahu ketiga-tiga remaja itu akan kekal di situ buat sementara waktu lagi.
“Macam mana aku nak balik?” gumam Raka.
Jika dia naik semula ke Lurah Semata dan turun dari arah satu lagi, dia perlu mengelilingi hutan tebal. Dia sendiri tidak tahu berapa lama yang akan diambil. Hari pula sudah hampir malam. Dia tidak tahu apa yang ada di dalam hutan itu pada malam hari.
Dia terperangkap.
Raka duduk sebentar untuk memikirkan jalan. Dahinya berkerut-kerut. Mereka bertiga di bawah sana kelihatan seperti tidak akan berganjak langsung. Tiba-tiba, ada satu idea yang terlintas. Dia memandang sekeliling dan ke tanah. Ada banyak batu pelbagai saiz yang bertaburan.
Dia tersenyum sinis. “Aku boleh guna batu-batu ini,” fikir Raka.
Sekalipun jaraknya lebih empat puluh meter, dia yakin dengan kekuatan fizikalnya. Dia menunduk laju, mengutip lima biji batu. Dia menggenggam untuk merasa.
“Tak boleh besar sangat.”
Ada beberapa ketul batu yang dibuangnya semula. Dia kemudian memilih saiz yang lebih kecil. Dia masih risau. Risau sekiranya tindakan dia ini akan mencederakan lebih dari apa yang dia inginkan.
“Kau orang yang minta,” bisik Raka, cuba untuk meyakinkan apa yang dilakukannya ini tidak salah.
Dia menarik nafas dalam. Batu pertama akan bertindak sebagai amaran. Jika mereka bertiga terus lari dan meninggalkan kawasan tersebut, lebih bagus. Jika tidak, dia akan terus membaling.
Tangan kanannya ditarik ke belakang sebelum membaling perlahan. Hanya menggunakan secebis dari kekuatan penuhnya.
THUD!
Batu itu melayang dan jatuh di atas tanah sebelum bergolek dan berheti betul-betul di hadapan kaki mereka. Gerakan itu membuatkan debu dan tanah naik ke udara.
“Huh?” Remaja yang memegang buluh runcing itu yang pertama perasan. Dia sedikit terkejut. “Apa benda tu?”
“Batu?” ujar rakannya, antara yakin dan tidak.
“Memanglah itu batu. Tapi siapa yang baling?” soal remaja dengan buluh runcing.
“Monyet?” kata seorang lagi. Matanya meliar.
Senyuman Raka semakin lebar. Dia mengambil batu kedua. Kali ini, dia lebih serius. Ia tidak akan bertindak sebagai amaran lagi kerana sasarannya kali ini adalah buluh runcing yang sedang dipegang itu. Sekali lagi, tangan kanannya ditarik ke belakang. Kali ini lebih jauh. Aksinya tiada beza dengan mereka yang menarik tali busur sebelum melontar dengan kekuatan yang masih dikawal, tapi lebih laju.
Batu itu membelah udara dengan sangat ganas. Bunyi angin jelas kedengaran.
SWOOSH!
Ia menghentam tepat pada buluh runcing, menyebabkan ia terlepas dari genggaman dan terpelanting jauh.
“Hoi!” Pemiliknya menjerit, memegang tangannya yang kebas.
“Siapa di sana?!”
Wajah mereka bertiga kini bertukar panik.
“Sekarang.” Raka tidak akan sesekali memberi mereka masa. Dia menggenggam tiga batu terakhir di tangannya. Dia memijak batu tempat dia bersembunyi, naik sedikit ke atas untuk mendapatkan pemandangan yang lebih jelas, namun masih sukar untuk dikesan oleh tiga remaja itu.
Kali ini dia menggunakan kedua-dua belah tangannya. Matanya kelihatan lebih fokus berbanding tadi. Tangan bergerak laju, hampir mustahil untuk mata kasar melihatnya.
Satu.
Dua.
Tiga.
Tiga lontaran batu dilakukan hampir serentak. Kali ini lebih laju dan ganas. Raka tersenyum puas saat batu terakhir dilepaskan dari tangannya kerana kali ini, sasarannya bukan lagi untuk memberi amaran. Tapi dia ingin mencederakan. Dia sendiri tidak faham kenapa. Mungkin sudah lama dia memendam semua ini dan baru hari ini dia mempunyai peluang untuk membalasnya.
THUD!
THUD!
THUD!
Batu itu bergerak laju dan tepat mengenai halkum ketiga-tiga remaja itu. Perasaannya sama seperti ditetak dengan tangan pada kawasan tersebut. Kesakitannya pula mustahil untuk mereka tahan. Mereka ingin menjerit, namun tiada suara yang keluar.
Apa yang kedengaran hanyalah bunyi seperti suara tersepit dan tercekik. Semakin mereka paksa, tekak mereka semakin sakit. Dua daripada mereka terbatuk dan termuntah darah. Wajah mereka bertukar panik. Selama ini, sekalipun ketika berlatih, mereka tidak pernah sampai muntah darah.
“Pe-pe-penung…gu… Penunggu!” jerit remaja yang membawa buluh runcing.
Jari telunjuknya yang menggigil menunjuk ke arah Lurah Semata.
Dua lagi rakannya yang sedang muntah darah, memandang satu sama lain sebelum berlari laju dalam ketakutan dan meninggalkan rakan mereka.
“Tu-tun-tunggu aku!” jerit rakan yang ditinggalkan.
Salah seorang dari mereka yang sedang berlari di hadapan merasai ketakutan yang teramat sangat sehingga terkencing di dalam seluar.
Raka hampir sahaja ketawa besar tapi dia berjaya menelan tawanya di saat akhir. Dia risau jika mereka terdengar dan berpatah balik.
“Puas hati aku.”
Dia berasa sangat lega. Dapat juga dia membalas. Dia menunggu sekitar sepuluh minit, memastikan semuanya benar-benar terkawal, sebelum keluar dari tempat dia bersembunyi.
***
Raka tiba di rumahnya. Jika ia boleh dipanggil rumah. Ia lebih kepada sebuah pondok usang di hujung desa. Dia tidak menggunakan pintu utama. Dia tidak dialu-alukan di situ. Sebaliknya, dia memanjat pagar desa dari bahagian tepi, senyap seperti bayang-bayang.
Pintu rumah ditolak perlahan. Bunyi engsel berkeriut menyambutnya. Di dalam, hampir kosong. Hanya ada sebuah dapur kayu yang sejuk, sepasang lagi pakaian — berwarna putih — terlipat di atas sebuah peti kayu untuk dia menyimpan barang-barang keperluan, dan sebuah tikar buruk di tengah-tengah.
Inilah rumahnya.
Dia mengangkat sebuah batu besar dari dalam rumah untuk dijadikan sendal pintu. Satu-satunya kunci yang dia ada. Mustahil untuk penceroboh seusianya menolak batu sebesar dan seberat itu. Orang-orang dewasa tidak akan mengganggunya sehingga ke rumah. Dia tidak memilih untuk mempunyai banyak barang kerana rumahnya pernah diceroboh masuk oleh remaja-remaja kampung sewaktu dia keluar.
Dia hanya bersabar dan lama-kelamaan, mereka juga sudah bosan bila dia tiada di rumah. Dia memandang sekeliling. Semuanya sama. Tiada tanda sesiapa menceroboh masuk tadi.
Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung, sebelum berbaring menatap atap kayu yang bocor. Matanya merenung langit kelabu dari celah rekahan.
“Satu lagi hari yang membosankan bakal berlalu.”
Dia mengeluarkan batu hitam peninggalan itu dan menggenggamnya.
Sejuk.
Sentiasa sejuk, seperti biasa.
Dia tertanya-tanya bagaimana agaknya rupa ibu dan bapanya, siapa mereka, dan di mana mereka berada ketika ini. Jika masih hidup, dia ingin bertemu dengan mereka. Jika sudah meninggal dunia, dia ingin menziarahi pusara mereka.
“Ibu… Ayah…”
Malam ini, dadanya terasa lebih berat saat dia memikirkan kedua orang tuanya itu. Lima belas tahun dia berusaha untuk mencari petunjuk, lima belas tahun dia menahan semuanya sendiri, bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi dengan kehidupan di Desa Karunai yang sepertinya membenci dirinya.
“Aku tak tahu siapa aku. Aku tak tahu kenapa aku wujud.” Raka berbisik kepada kegelapan malam.
“Tapi kalau dunia ni memang tak nak aku hidup…” Dia memejam mata rapat sebelum menyambung, “…aku akan tentang dunia ini.”
Langit di luar semakin gelap. Kabus tebal mula turun dari bukit-bukit di hujung desa, menyelubungi pondoknya. Angin semakin dingin. Raka tidak bergerak. Dia tidak pernah peduli akan rasa sejuk.
Tanpa dia sedar, dia tertidur.