Ugutan yang diucapkan dengan tenang itu serta-merta memanaskan suasana.

Dari sisi Ariel, Kudus pantas melangkah ke hadapan. Tanpa teragak-agak, dia meletakkan dirinya yang tegap itu di antara Tuan Mudanya dan Roberto. Hampir serentak, seorang lelaki dari kumpulan Sera turut melangkah dengan tenang. Namanya Albert. Dia tidak membawa pedang, sebaliknya hanya memegang sebatang belantan kayu yang kelihatan amat berat. Namun, cara dia memegangnya — bersahaja seolah-olah ia hanya sebatang ranting — sudah cukup memberi amaran tentang kekuatannya.

Pengikut Roberto yang tadinya bergerak untuk mengepung, kini terhenti. Senyuman sinis di wajah Roberto juga sudah sedikit pudar, digantikan dengan riak bosan.

“Oh. Kau pun ada,” ujar Roberto tenang saat memandang Albert. “Aku ingatkan tengah menyorok macam biasa — di belakang perempuan.”

Albert kekal tenang. Sedikit pun tidak termakan provokasi oleh Roberto.

Kehadiran dua orang ini — yang jelas merupakan orang terkuat di bawah Ariel dan Sera — sedikit pun tidak menggugat Roberto, tetapi ia adalah satu halangan yang melecehkan. Dia sedar pertarungan ini tidak lagi akan selesai dengan satu ugutan; ia mungkin akan melibatkan kecederaan yang tidak perlu.

Sementara itu, Ariel dan Sera pula kelihatan menarik nafas lega. Walaupun jumlah mereka tidak seramai kumpulan Roberto, kehadiran Kudus dan Albert, dua Pendaki terkuat di bawah pimpinan mereka, dirasakan berjaya menyeimbangkan semula kuasa. Gabungan mereka berempat, fikir mereka, pasti sudah mampu untuk memberikan cabaran sebenar buat Roberto. Paling tidak, Roberto tidak akan pulang tanpa sebarang kecederaan serius.

Melihat perubahan suasana dan riak lega pada wajah dua ketua kumpulan itu, Roberto tersenyum sinis semula. Dia memandang empat orang yang kini berdiri di hadapannya, yang mungkin berani menganggap mereka mampu menandinginya.

“Kau orang yakin boleh halang aku?” soalnya, nada suaranya jelas mengejek.

Albert, tanpa mengubah sebarang reaksi di wajahnya, membalas ringkas, “Cubalah.”

Kudus pula hanya mengangguk. Wajahnya yang berparut itu kekal serius, matanya tertumpu pada setiap pergerakan Roberto.

Tanpa sebarang amaran, Roberto memulakan serangan.

Dia tidak mensasarkan Ariel atau Sera, ketua-ketua kumpulan itu. Dia mensasarkan Albert, si pemegang belantan.

Tangan kanannya diayun deras, satu tumbukan lurus yang laju dan penuh dengan kuasa yang menakutkan menuju ke arah Albert. Udara di sekeliling mereka terasa bergetar dan berdesing. Albert, bagaimanapun, sudah menjangkanya. Wajahnya yang tenang itu menunjukkan dia seorang petarung yang berpengalaman. Dia tidak mengelak. Sebaliknya, dia merendahkan badannya sedikit, kedua-dua kakinya kemas di atas tanah, dan mengangkat belantan kayunya secara melintang untuk menahan hentaman itu.

BOOM!

Tangan Roberto menghentam kayu itu dengan bunyi yang memekakkan, seperti satu letupan kecil baru saja berlaku. Sekalipun begitu, daya di sebalik hentaman itu terlalu kuat. Debu, tanah dan daun kering di sekeliling kaki Albert naik dengan laju ke udara.

“Kuat betul!” bisik Albert di dalam hati.

Matanya terbeliak saat merasakan kekuatan kasar di sebalik tumbukan itu. Tubuhnya terdorong ke belakang, but kulitnya terseret beberapa inci di atas tanah, meninggalkan kesan yang agak dalam di dalam tanah. Belantan kayu itu bergetar hebat di dalam genggamannya, seolah-olah mahu berkecai. Dia masih boleh bertahan, tetapi dia tidak boleh menahannya lama.

Sebelum Albert rebah atau belantan itu pecah, Kudus meluru ke hadapan. Dia tahu Albert tidak akan mampu untuk menentang Roberto sendirian. Begitu juga dirinya. Dia meletakkan dirinya di belakang Albert, satu menekan kuat di atas belantan kayu itu, dan satu lagi di belakang Albert, menyalurkan kekuatannya sendiri untuk menahan daya tolakan tangan Roberto. Otot-otot di lengan Kudus dan Albert tegang, urat-urat mereka timbul. Dengan kekuatan dua orang Pendaki terkuat itu bergabung, belantan kayu itu akhirnya stabil.

Mereka berjaya menghentikan tumbukan Roberto.

“Gila. Dia sangat kuat,” fikir Albert dan Kudus serentak.

Melihat Roberto kini sedang terikat dalam pertarungan kekuatan fizikal, Sera tidak ingin melepaskan peluang dan menjerti, “Ariel!”

“Aku tahu!” Ariel mengangguk.

Hampir serentak, dua bilah pedang dihunus, masing-masing dari Ariel dan Sera. Sambil menghunus, mereka bergerak laju, mengambil posisi. Mereka tidak menyerang dari hadapan, di mana Kudus dan Albert sedang menahan. Sebaliknya, mereka meluncur ke sisi Roberto, mengambil posisi di rusuk kirinya dan kanannya. Pedang Ariel teracung lurus, hujungnya yang berkilauan kini hanya beberapa inci dari leher Roberto. Pedang merah darah Sera pula dihalakan tepat ke arah jantung lelaki itu.

Ia adalah satu posisi yang mereka rasakan sudah sangat sempurna. Jika Roberto cuba menolak Kudus dan Albert, dia akan mendedahkan dua bahagian penting tubuhnya itu kepada bahaya. Jika dia cuba menyerang Ariel atau Sera, peluang itu akan digunakan oleh Albert dan Kudus serta-merta.

Namun, mereka berempat tidak meneruskan sebarang serangan. Mereka semua sedar akan apa akibatnya. Sekalipun peluang keemasan terhidang di hadapan mata, hasil gabungan kuasa mereka berempat, mustahil untuk mereka membunuh Roberto. Kembara mereka di Tingkat Satu baru sahaja bermula. Apatah lagi jika dibicarakan kembara besar mereka di dalam Menara Seribu. Misi-misi Utama masih menanti.

Mereka masih perlukan kekuatan semua Pendaki bagi sebarang misi yang melibatkan kumpulan yang besar, dan membunuh Roberto, Pendaki Gelombang Ketujuh yang paling kuat ini sekarang adalah satu tindakan bodoh yang merugikan.

Roberto tahu semua itu, dan dia juga faham. Sekalipun dia sangat kuat, dia juga tidak mahu membunuh sesiapa hari ini. Apa yang dilakukannya hanyalah sebuah pertunjukan kuasa, untuk menunjukkan siapa yang lebih kuat dan berkuasa di antara mereka.

Dia memandang pedang di lehernya, kemudian pada pedang di jantungnya, sebelum memandang kembali ke wajah Ariel dan Sera.

“Hahaha!” Dia ketawa. Suara ketawanya dalam dan berbaur ejekan.

Lama dia begitu. Tapi, tiada siapa yang berani bereaksi. Masing-masing menanti apa yang bakal dilakukan oleh Roberto. Beberapa ketika kemudian, Roberto menyoal, “Itu saja? Tak mampu terus menikam aku?”

Keyakinan Roberto membuatkan mereka berempat kaku. Jari-jemari Ariel di hulu pedangnya menegang. Hujung bilahnya bergetar. Sera juga sama. Masing-masing teragak-agak, cuba merancang langkah seterusnya.

Namun, ketika itulah, tanpa amaran, Roberto bertindak.

Dia tidak berundur. Dia menambah tekanan.

Senyuman sinisnya melebar. Tangan kanannya, yang masih menekan belantan kayu itu, mula bergetar. Belantan yang dipegang oleh Albert dan Kudus mula mengeluarkan bunyi berkeriut.

KRAK!

Dengan satu cengkaman ganas yang memusatkan kekuatannya, Roberto menghancurkan belantan kayu Albert. Serentak, sebelum Albert dan Kudus sempat memproses apa yang berlaku, dia menarik kedua-dua lelaki tegap yang sudah hilang imbangan itu ke hadapan, mencengkam pakaian mereka, lalu menghumban mereka terus ke arah Ariel dan Sera.

Ariel dan Sera tersentak. Mereka terpaksa membatalkan serangan mereka dan menarik semula pedang mereka serta-merta, melompat ke belakang untuk mengelak Albert dan Kudus yang terhumban ke arah mereka. Formasi empat serangkai mereka hancur dalam sekelip mata.

Kekalutan sesaat itu sudah lebih dari cukup.

Dengan satu lompatan pantas, Roberto mendarat di ruang kosong di belakang Ariel, tepat di titik buta Ariel. Dia memusingkan badan, kaki kanannya dihayun deras dalam satu lengkungan. Ia satu tendangan sisi yang menyasarkan terus ke rusuk Ariel.

“Tuan Muda!”

Kudus, yang baru sahaja cuba mendapatkan kembali imbangan selepas ditolak, menunjukkan kepantasan yang luar biasa. Dia meluru ke hadapan, sekali lagi meletakkan dirinya tepat di laluan tendangan itu, menghalang di antara Roberto dan Ariel.

BAM!

Bunyi hentaman tumpul bergema di seluruh kawasan lapang itu. Kudus mengangkat lengan kanannya, menahan tendangan itu sekuat hati dengan tulangnya. Ia satu tindakan bodoh yang berani. Kekuatan Roberto jelas jauh melebihi apa yang mampu ditahan oleh kekuatan fizikal Kudus.

Rasa sakit yang teramat sangat menusuk lengan Kudus serta-merta. Dia dapat merasakan tulangnya bergetar di ambang retak. Kekuatan tendangan itu tidak dapat diserap. Ia menghumban tubuh tegapnya ke sisi. Ariel, yang nyaris menjadi sasaran, terpaksa mengelak tubuh Kudus yang melayang.

Kudus terhempas kuat beberapa meter jauhnya sebelum berguling-guling di atas tanah.

“Kudus!” laung beberapa pengikut Ariel, cemas.

Mereka bergegas menyambutnya. Kudus bingkas bangun, mengetap gigi menahan kesakitan. Dia masih berdiri, tetapi lengan kanannya terkulai lemah di sisi, jelas bergetar dan tidak mampu digunakan lagi.

Semua yang ada — pengikut Ariel, Sera, dan Roberto — kini memerhatikan Roberto dalam diam. Dalam fikiran mereka ketika ini, semua membuat kesimpulan yang sama.

Roberto adalah raksasa.