Kael tidak membuang masa. Dia menyimpan dahulu bangkai tersebut kerana dia belum mengorek keluar Kristal Tenaga lagi. Dia membersihkan darah Arnab pertama dari pisaunya, dan sekali lagi mengakses Inventori. Secebis lagi daging Kumbang Hitam dikeluarkan dan diletakkan di kawasan yang sama. Dia kemudian kembali ke tempat persembunyiannya di sebalik tirai daun menjalar.

“Cepat. Mangsa kedua,” gumam Kael perlahan.

Kali ini, Arnab Putih kedua muncul lebih cepat. Seolah-olah sudah terhidu bau daging Kumbang Hitam yang lazat itu sebelum ini lagi, ia meluru masuk ke laluan sempit itu tanpa teragak-agak.

Sebaik sahaja arnab tersebut berhenti dan menikmati umpan, Kael melangkah keluar dari persembunyian dan menutup satu-satunya jalan keluar. Kali ini, dia sudah lebih bersedia. Fikirannya telah memproses pertarungan pertama. Dia menjangkakan lompatan ke sisi — tindakan mengelak yang pantas dan sama. Dia meletakkan pisaunya pada posisi sedia untuk memintas.

Namun, Arnab Putih kedua ini tidak melompat ke sisi.

Ia sebaliknya melompat lurus dan tinggi ke atas, satu gerakan akrobatik yang di luar jangkaan, cuba memanjat bahu Kael untuk melarikan diri.

“Apa?!”

Kael terkejut. Dia bertindak berdasarkan refleks semata-mata ketika ini. Dia terpaksa menepis makhluk itu dengan tangan kirinya. Sekalipun dia berjaya menepis, tetapi kuku-kuku tajam arnab itu sempat mencakar lengannya, meninggalkan tiga garisan merah halus yang serta-merta mengalirkan darah keluar dari pakaiannya.

Arnab itu mendarat dengan kemas di atas batu di belakang Kael. Dia menyangka arnab tersebut akan melarikan diri. Sebaliknya, tanpa teragak-agak, ia menyerang sekali lagi. Matanya yang merah itu kelihatan lebih marah dari kebiasaan.

“Oh. Kau ingat kau boleh kalahkan aku?”

Kael, yang kini sedar bahawa ini bukan lagi mangsa yang melarikan diri tetapi pemangsa yang agresif, bertindak balas dengan geram. Dia tercabar dengan pandangan raksasa tersebut yang seolah-olah memandang rendah terhadapnya ketika itu. Saat arnab itu melompat, Kael berjaya menangkap tubuh kecil itu di udara sebelum menghumbannya ke tanah dengan sepenuh tenaga.

Bunyi jeritan kecil kedengaran apabila makhluk itu terhempas. Sebelum ia sempat bangun, Kael — dipenuhi adrenalin dan sedikit rasa marah — menerkam ke hadapan. Dia segera menusuk pisaunya tepat ke perut dan menikam beberapa kali, melepaskan geramnya dan menjadikan pertempuran mereka lebih huru-hara.

Selepas beberapa ketika, makhluk itu kaku.

Kael berdiri, nafasnya sedikit tercungap, memegang lengannya yang pedih. Dia memejamkan mata sebentar. Perlahan-lahan, kewarasan mula kembali. Pertempuran kedua ini jelas huru-hara dan dia tercedera. Sepatutnya dengan mata Kecerdasan yang dia miliki, dia bertindak dengan lebih bijak lagi.

“Masih banyak yang aku perlu belajar,” keluh Kael.

Sekalipun begitu, tanpa membuang masa, dia segera melapah daging arnab tersebut dan menggigitnya.

[2 Mata Biasa Diperoleh]

Ganjaran yang lebih rendah berbanding arnab pertama. Dia makan lagi.

[Tiada Mata Biasa Diperoleh]

Gigitan ketiga.

[Tiada Mata Biasa Diperoleh]

Kael terhenti. “Hanya dua mata?”

Dia memandang sisa daging arnab di tangannya. Sama seperti Kumbang Hitam, pulangan Mata Biasa daripada daging Arnab Putih juga menurun dengan mendadak. Dia tahu, memakan keseluruhan bangkai ini hanya akan membuang masa. Kael diam sebentar, dia cuba untuk menyusun kembali rancangan.

Dia memikirkan kembali dua pertarungan tadi. Yang pertama, dia menang kerana Arnab itu “membuat kesilapan”. Yang kedua, dia tercedera kerana Arnab itu bertindak “di luar jangkaan”. Kedua-dua pertarungan itu huru-hara, dia cemas, dan membazirkan tenaga.

Dia memegang lengannya yang masih pedih.

“Aku genius tapi aku juga si dungu,” Kael menggumam. “Aku ada 30 mata Kecerdasan, tapi aku bertarung macam orang yang tak tahu apa-apa.”

Dia sedar kesilapannya. Dia telah mengabaikan kemahiran yang sedang diasahnya selama ini: kemahiran siluman. Dia tidak meluru keluar dari tempat persembunyian, tapi dia tidak bertindak dengan berhati-hati sebaliknya dia memberi amaran kepada mangsanya dan memaksa satu pertarungan yang tidak perlu.

“Baik,” Kael berbisik, matanya kini lebih tajam. “Kita cuba cara lain.”

Dia meletakkan umpan ketiga. Arnab ketiga muncul tidak lama kemudian. Ia meluru masuk ke laluan sempit itu dan mula menikmati daging Kumbang Hitam.

Kali ini, Kael tidak segera melangkah keluar.

Dia menarik nafas perlahan, menenangkan degup jantungnya. Dia mengaktifkan kemahiran siluman yang sedang dilatihnya. Dia bergerak perlahan-lahan tanpa mengeluarkan sebarang bunyi di dalam tirai daun itu, menuju ke sisi laluan, sebelum perlahan-lahan menyelinap keluar.

Tapak kakinya mendarat di atas tanah dan batu tanpa sebarang bunyi. Dia bergerak seperti bayang-bayang, setiap langkahnya cermat dan dikawal. Arnab itu sedang asyik menikmati daging Kumbang Hitam yang merupakan umpan, langsung tidak menyedari pemangsa kini berada hanya beberapa langkah di belakangnya.

Kael semakin hampir. Tiga langkah… dua langkah…

Arnab itu tiba-tiba berhenti mengunyah. Telinganya terangkat. Ia mungkin telah mengesan perubahan halus pada aliran udara. Ia mula berpusing… tetapi ia sudah terlambat.

Kael menerkam ke hadapan dengan satu lonjakan pantas. Pisau Perak miliknya menusuk tepat ke belakang leher Arnab itu, memutuskan tulang belakangnya dalam sekelip mata.

Makhluk itu kaku, rebah ke tanah tanpa sempat mengeluarkan sebarang bunyi.

Tiada pergelutan. Tiada kecederaan. Pertarungan itu selesai sebelum ia bermula.

Kael menarik pisaunya. Dia tersenyum lebar. Inilah cara yang sepatutnya dia lakukan dari awal lagi. Dia perlukan lebih banyak pertempuran dengan Raksasa Level 0 dan menguasai teknik ini sehabis baik dahulu sebelum dia mencuba ke atas raksasa yang lebih kuat. Lagipun, untuk bertempur dengan raksasa level tinggi, dia perlu menaikkan level miliknya juga.

Mata Kael kembali memandang tubuh arnab yang kaku di atas tanah itu.

“Harap dapat banyak mata.”

Dia segera melapah secebis daging dan memakannya.

[1 Mata Biasa Diperoleh]

Matanya membesar sedikit. “Satu?” Dia sedikit kecewa tapi dia tetap cuba untuk bersyukur dan berharap agar ada lagi mata yang akan diberikan. Dia menggigit lagi.

[Tiada Mata Biasa Diperoleh]

Dia terdiam. Pulangan ganjaran jatuh lebih cepat daripada yang dijangkakan. Apapun, teorinya tadi sudah berjaya disahkan. Hanya daging pertama yang memberi ganjaran besar, dan ia menurun dengan drastik.

Dengan keluhan kecil, Kael menyimpan baki daging Arnab ketiga itu ke dalam Inventori. Dia masih perlukan satu lagi pengesahan. Dia hanya akan berhenti sepenuhnya jika daging pertama dari arnab keempat ini langsung tidak memberikan apa-apa kepadanya.

Sekali lagi, Kael menarik nafas dalam sebelum meletakkan umpan keempat.

Arnab keempat muncul, tertarik dengan bau umpan yang segar. Seperti sebelumnya, Kael mengulangi teknik silumannya. Dia keluar dari persembunyian tanpa bunyi, menghampiri mangsanya dari belakang.

Satu tikaman. Tepat. Bersih.

Arnab itu mati serta-merta. Tekniknya kini sudah semakin sempurna. Namun, Kael tidak akan pernah membiarkan fikiran sebegitu meracuni mindanya.

Dengan penuh debaran, Kael melapah daging Arnab keempat itu. Dia menahan nafas sedikit sambil menyuap, menggigit dan menelan daging pertama ke mulutnya.

[Tiada Mata Biasa Diperoleh]

Kael tergamam. Dia menggigit lagi, lebih besar kali ini, seolah-olah tidak percaya.

[Tiada Mata Biasa Diperoleh]

Pisau di tangannya digenggam erat sehingga buku limanya menjadi putih. Dia memandang sisa daging di tangannya sebelum mencampakkannya ke tanah dengan geram.

“Tak dapat apa-apa?”

Kekecewaan melanda dirinya. Dia telah menghabiskan banyak masa, tercedera, dan memerah otaknya untuk mencari strategi — hanya untuk empat ekor arnab?

Dia menendang bangkai Arnab keempat itu. Dia telah berjaya menyempurnakan teknik membunuh, tetapi Menara Seribu sekali lagi mempermainkannya. Saat dia menguasai sesuatu, menara itu merampas ganjarannya.

Kael terduduk di atas tanah, nafasnya tercungap bukan kerana penat, tetapi kerana rasa kecewa yang amat sangat. Arnab Putih ini, seperti Kumbang Hitam, kini sudah kekeringan Mata Biasa untuknya.