Udara di sekitar Hutan Tabun terasa berat, seolah-olah ia mampat dengan tekanan yang tidak kelihatan. Bau darah yang datang dari naga itu, bercampur dengan aura purba yang terpancar dari tubuhnya, telah membungkam seluruh hutan; tiada satu pun makhluk lain berani untuk datang mendekat.

Kael masih terpaku di posisi yang sama. Dia terduduk di atas tanah, tubuhnya masih menggigil di luar kawalan, namun dia tetap memaksa dirinya untuk bertentang mata dengan Sang Naga.

Dia tidak pasti sama ada dia masih bernafas; paru-parunya seakan-akan lupa cara untuk berfungsi selepas mendengar permintaan yang tidak masuk akal itu. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya — lari, kekal di situ, atau sekadar diam. Tetapi, semakin lama dia diam, semakin kuat debaran di dadanya.

“Maafkan aku…” Kael bersuara, suaranya serak. “Tapi aku tak salah dengar, bukan?”

Dia menelan air liur sebelum menyambung soalan seterusnya, “Kau nak aku… seorang Pendaki Level 0… bunuh kau?”

Satu senyuman yang ganjil — bayangkan naga yang tersenyum — terukir pada wajah Sang Naga.

“Manusia… kau tahu aku apa?”

Ia adalah soalan yang sama seperti tadi, cuma dalam nada yang berbeza. Dan suaranya… kali ini ia benar-benar kedengaran letih, seolah-olah menanggung beban yang amat berat.

Kael teragak-agak untuk menjawab. Dia mengangguk perlahan, cuba mengawal getaran suaranya.

“Kau adalah naga,” jawab Kael. “Salah satu Raksasa Sakti. Dan kau adalah…”

Kael berhenti, mengambil nafas sambil memandang tepat ke arah mata Sang Naga. “…Simbol kuasa di Menara Seribu. Makhluk Legenda.”

Jawapan itu bukan rekaannya sendiri; ia adalah berdasarkan apa yang dia telah baca di dalam rekod Arkib Menara. Rekod itu bukan ditulis berdasarkan pengetahuan para Pendaki dari luar menara. Sebaliknya, ia adalah catatan purba oleh penduduk dan makhluk yang hidup di dalam Menara Seribu sendiri. ‘Makhluk Legenda’ merujuk kepada segala hidupan di dalam menara ini yang mempunyai sejarah dan kekuatan yang jauh melangkaui akal fikiran — sama ada manusia, raksasa, roh, atau makhluk lain.

Dan naga adalah salah satu Makhluk Legenda di tahap Sakti. Makhluk yang mustahil untuk para Pendaki kalahkan, apatah lagi di Tingkat Satu.

Suasana senyap seketika selepas Kael memberikan jawapan. Hanya bunyi angin yang berdesir melalui hutan kedengaran.

“Benar,” akhirnya suara naga itu bergema, perlahan. “Aku adalah salah satu dari apa yang kau sebutkan. Tapi… simbol kuasa?”

Soalan itu tidak ditujukan kepada Kael. Nada Sang Naga lebih kepada menyoal dirinya sendiri, berbaur ironi dan mungkin rasa malu — malu kerana masih hidup dalam penafian dan menganggap bahawa ia masih merupakan makhluk yang kuat.

Lama Sang Naga berdiam sebelum merengus perlahan, hembusan nafasnya terasa hangat walaupun dari jarak Kael.

“Kau pernah dengar mengenai Penjaga Tingkat?”

Kael mengangguk.

“Aku adalah Azurion, Penguasa Segala Elemen.” Ia memandang Kael. “Aku juga merupakan Penjaga Tingkat… tingkat yang belum pernah didaki oleh mana-mana Pendaki. Tapi…” Azurion berhenti seketika. “Aku bukan lagi simbol kuasa yang boleh dibanggakan.”

Ia memejam mata seketika, seolah-olah ada sesuatu yang sangat berat sedang dipendamnya.

“Sejak kalian, para Pendaki, menjejakkan kaki ke Menara Seribu, kalian menunjukkan potensi kekuatan yang mampu menggugat kekuasaan Makhluk Legenda,” sambung Azurion, suaranya di dalam minda Kael kini berbaur keluhan. “Kalian menyebabkan ramai di antara kami memilih kelahiran semula… untuk menjadi lebih kuat.”

“Kelahiran semula? Macam phoenix?” soal Kael, suaranya masih bergetar.

Bagi Kael, konsep itu terasa asing. Ia bukanlah satu proses yang masuk akal, sekalipun dia pernah membaca kisah-kisah dongeng dan fantasi yang melibatkan burung phoenix yang melalui proses ini. Dia berada di Menara Seribu, bukan di dalam buku cerita.

“Ya,” jawab Azurion, gema suaranya di dalam minda Kael kedengaran letih. “Bukan hanya phoenix yang mampu melakukannya. Semua makhluk, apabila sampai pada satu tahap, boleh melalui proses ini.”

Kael menarik nafas dalam, cuba menenangkan jantungnya yang masih berdebar. Menara Seribu benar-benar mempunyai terlalu banyak misteri. Apa yang berlaku di dalamnya tidak pernah mengikut logik akal manusia biasa.

“Seperti yang kau tahu, aku tidak datang dari tingkat ini. Aku turun sendiri ke sini… untuk mati.”

Kael membulatkan matanya. “Mati? Tapi… kenapa?”

Sekali lagi, satu bayangan senyuman sinis terasa dalam suara Azurion, kali ini kelihatan sedikit bongkak. “Makhluk Legenda seperti aku tidak akan mati dengan mudah. Aku sudah cuba bermacam-macam cara. Kecederaan parah yang kau lihat ini, ia adalah hasil dari aku berperang dengan Empayar Makhluk Legenda yang lain.”

Kael hanya diam. Dia tahu ini adalah masa untuk mendengar. Dia ingin menyerap sebanyak mungkin cerita dan maklumat daripada Azurion.

“Sekalipun berperang, aku hanya menadah tubuh aku untuk diserang. Aku biarkan saja mereka menikam, membakar, dan cuba untuk menghancurkan tubuh ini… Tapi ini sajalah yang mampu mereka lakukan terhadap aku.”

Azurion diam sebentar, seolah-olah mengenang kembali kegagalan itu. Suaranya bergetar perlahan apabila ia menyambung.

“Sehinggalah ada Penjaga Menara yang mengingatkan tentang sesuatu yang aku sudah lama terlupa — Sumpah Menara.”

Dahi Kael berkerut. Terlalu banyak informasi baru yang diterimanya ketika ini. “Sumpah Menara?”

“Ya. Sumpah purba yang mengikat aku di dalam Menara Seribu ini. Sumpah itu menyatakan aku tidak boleh mati dengan kehendak aku sendiri… melainkan dibunuh oleh tangan yang masih suci.”

“Suci?” ulang Kael perlahan, perkataan itu terasa ganjil di lidahnya.

“Pendaki yang belum memiliki Astra,” jelas Azurion. “Yang belum mencemarkan dirinya dengan kuasa Menara.”

Dalam sekelip mata, segalanya mula masuk akal bagi Kael. Kepingan-kepingan teka-teki itu bersambung. Dia akhirnya faham mengapa Sang Naga datang mencarinya. Dia faham kenapa naga itu meminta sebegitu tadi.

Kael menelan liur. Dia memandang naga itu, kemudian memandang tangannya sendiri — tangan seorang Pendaki Level 0. Satu senyuman hambar terukir di bibirnya. Ia senyuman pasrah menerima hakikat. Dia kini mengerti maksud sebenar Sumpah Menara itu. Dia tidak dipilih kerana kekuatannya, tetapi kerana kelemahannya.

Sumpah itu kini difahaminya. Ia tidak sekadar melarang kematian. Ia mahu Azurion mati bukan sahaja pada jasad dan jiwa, tetapi juga pada keangkuhannya. Kael faham. Dan apa lagi bentuk kematian yang lebih hina daripada mati di tangan seorang Pendaki Level 0 yang lemah, di Tingkat Satu yang paling rendah?

Tiba-tiba sahaja tawa Azurion bergema perlahan di dalam minda Kael. Tawa itu dalam, berat, namun terselit kesedihan yang tidak terhingga.

“Itulah yang paling menyakitkan,” suara itu bergema, mengesahkan fikiran Kael. “Aku, seekor naga, dilahirkan untuk berkuasa. Tapi untuk melalui kitaran itu… aku mesti tunduk kepada makhluk yang kami sendiri hina.”

Kael tersentak, rasa seram sejuk menjalar di belakangnya. “Kau… kau boleh baca fikiran aku?”

“Bukankah aku sedang bercakap di dalam minda kau?” jawab Azurion, nadanya tenang. “Lagipun, apa yang kau takjubkan sangat? Itu hanyalah kebolehan biasa.”

Kael hampir sahaja ketawa kecil, satu reaksi ganjil dalam situasi itu. Namun mengenangkan status makhluk legenda di hadapannya, dia menelan suara dan tawa itu. Bila difikirkan semula, apa yang dikatakan oleh Azurion adalah benar. Bagi Makhluk Legenda, kebolehan membaca fikiran Pendaki Level 0 pastinya semudah membaca buku.

Dalam dia memproses segala apa yang didengarnya, Kael tidak sedar dia masih memandang Azurion. Ketakutan yang tadi membelenggu hatinya perlahan-lahan hilang. Ia tidak hilang sepenuhnya, tetapi ia kini diatasi oleh sesuatu yang lain. Kesedaran. Dan satu keputusan yang perlu dibuat.

Azurion seakan-akan dapat merasai perubahan itu. “Jadi,” suara itu bergema lagi, mengulang permintaannya, “kau dah sedia untuk bunuh aku?”

Kael berfikir untuk beberapa detik. Ketakutannya kini dikawal. Bukan selalu untuk dia bertemu dengan peluang sebegini, jadi dia inginkan balasan.

“Aku sedia lakukan tapi…”

Dia menggenggam Pisau Peraknya erat, memandang mata makhluk itu dengan tenang — ketenangan yang baru ditemuinya. “Kalau aku bunuh kau, apa yang akan jadi? Apa yang aku dapat?”

Di dalam Menara Seribu, setiap pembunuhan raksasa dilakukan untuk mendapatkan kuasa. Untuk Mata Biasa. Untuk Astra. Tipulah jika Kael katakan bahawa dia tidak mengharapkan apa-apa selepas membunuh Azurion, seekor Makhluk Legenda.

Azurion faham apa yang difikirkan oleh Kael. Ia tidak marah, malah seakan-akan tersenyum. “Kau akan mewarisi legasi dan menanggung sumpahan yang aku tinggalkan.”

“Maksud kau?”

“Sebahagian daripada jiwa dan kuasa aku akan melekat pada kau. Ia akan menyakitkan, tapi jika kau mampu bertahan, ia akan mengubah kau selama-lamanya.”

“Jiwa dan kuasa naga?” Kael hampir saja menjerit. Jantungnya berdegup kencang. Jika benar apa yang difikirkannya, itu bermaksud—

“Benar. Kau akan menerima Astra Naga – Azurion.”

Mulut Kael terbuka, tapi tiada suara yang keluar. Dia memandang ke bawah, ke arah pisau di tangannya. Tubuhnya kembali menggigil — tetapi kali ini bukan kerana takut. Ia adalah kerana keterujaan yang melampau. Nafasnya berat, jantungnya berdegup begitu pantas sehingga terasa sakit di dadanya.

Dia sedar satu tekanan yang amat berat kini berada di bahunya. Satu keputusan yang perlu dia lakukan segera.

Membunuh Sang Naga — Makhluk Legenda yang sedang mengharap kematian. Atau berpaling, dan biarkan peluang teragung ini hilang selamanya. Dia tidak perlukan masa yang lama untuk membuat keputusan.

“Kalau ini kehendak kau,” katanya perlahan, suaranya kini tekad, “aku akan tunaikan.”

“Bunuhlah aku.” Azurion memejamkan matanya, sisik peraknya kelihatan kusam di bawah cahaya hutan. Ia sudah bersedia. “Hunuskan senjata kau sekarang. Lakukan dengan tangan kau sendiri, manusia.”

Kael mengangguk. Dia memaksa dirinya untuk bangun, kakinya masih terasa lemah. Tangannya masih menggigil, tapi dia menggenggam senjata itu erat. Dia melangkah ke hadapan, sebelum berhenti di sisi kepala Azurion. Kael dapat rasakan nafas makhluk itu berat, tapi tenang.

“Sebelum kau tikam, manusia…”

Kael terhenti. “Ya?”

“Aku nak kau cari aku nanti di Tingkat Seratus. Selepas aku melalui proses kelahiran semula, tubuh aku yang baru akan muncul di situ, dalam setahun lagi.”

Sebaik sahaja Azurion selesai berbicara, satu notifikasi lut cahaya — berbeza daripada notifikasi biasa — muncul di hadapan Kael.

=====

[Misi Warisan]

Pewaris Naga I – Pertemuan

Gred: Epik

Objektif: Bertemu semula dengan Azurion selepas dia melalui proses kelahiran semula.

Klu: Tingkat Seratus. Kota Naga.

Tempoh masa: 364 Hari 23 Jam 59 Minit

Ganjaran:

Misteri

=====

“Misi Warisan Gred Epik?” Kael menyoal di dalam hati, matanya terpaku pada paparan lut cahaya itu.

Tingkat Seratus… Dia cuba memproses maklumat itu. Setahunya, para Pendaki Gelombang Pertama yang diagung-agungkan itu baru sahaja berjaya sampai di Tingkat Tiga Puluh Lima, itupun jumlah mereka yang masih hidup kini kurang dari sepuluh orang. Perjalanan ini terasa mustahil.

Dia kembali memandang tubuh Azurion yang berada sangat hampir dengan dirinya. Naga itu masih menunggu. Kael yakin, hidupnya akan berubah sepenuhnya selepas dia menyelesaikan tugas ini. Kini, dia mempunyai satu lagi misi yang jauh lebih besar — jauh lebih penting — daripada sekadar mengumpul 100 Mata Biasa.

Sementara itu, Azurion pula sepertinya sudah tidak ingin membuang masa lagi.

“Sekarang, tikam aku tepat di mana Kristal Tenagaku berada,” arah Azurion. Naga itu kemudiannya menundukkan sedikit kepalanya yang besar, mendedahkan satu bahagian di pangkal lehernya. Serta-merta, Kael melihat satu cahaya keemasan berdenyut samar di bawah lapisan kulit bersisik perak yang tebal itu. Itulah sasarannya: Kristal Tenaga milik naga itu.

Kael mengangguk sekali lagi, menarik nafas dalam-dalam. Dia memegang pisaunya dengan kedua-dua belah tangan. Dengan satu gerakan tangkas, gabungan keberanian dan ketakutan, dia melonjak ke hadapan dan menusuk Pisau Perak Gred F itu tepat pada cahaya tersebut.

Bilah pisaunya terasa menembusi sesuatu yang keras sebelum cahaya emas meledak keluar. Ia serta-merta menyinari seluruh hutan, mengubah suasana yang mula menggelap itu menjadi lebih terang benderang. Bunyi letupan tenaga bergema seperti guruh, menggegarkan tanah, hutan dan segala apa yang ada di sekitar mereka.

Kael terhumban ke belakang, matanya silau oleh cahaya yang semakin terang. Tiba-tiba, Kristal Tenaga milik Azurion yang bersinar keemasan itu ditembak keluar dari tubuh, meluru ke arah Kael seperti peluru, dan terus masuk ke dalam mulutnya yang terbuka akibat terkejut.

GULP!

Kael tertelan.

Kael tertelan.

Dalam sekelip mata, tubuhnya terasa seperti terbakar dari dalam. Satu haba yang tidak tertanggung bermula dari dadanya, merebak ke setiap urat saraf di seluruh anggota. Dia cuba menjerit kesakitan, tapi tiada suara yang keluar. Pandangannya kabur, namun melalui matanya yang berair, dia sempat melihat mata Sang Naga itu kini perlahan-lahan tertutup.

Mata Kael juga sama. Disebabkan oleh ledakan tenaga di dalam tubuhnya, matanya semakin berat. Nafasnya mula hilang irama. Kesakitan itu terlalu hebat untuk ditanggung. Sebelum segalanya bertukar gelap, suara Azurion kedengaran sekali lagi, bergema lembut di dalam fikirannya.

“Mulai saat ini, kau dan aku berkongsi takdir yang sama.”

Dan, semuanya lenyap.

[Astra Diperoleh — Astra Naga – Azurion (Tahap 1)]

[Tubuh Azurion disimpan di dalam Inventori]