Apa yang sedang berlaku di antara Kael dan Azurion berhampiran laluan sempit itu, tidak disaksikan oleh sesiapa.
Namun, cahaya keemasan hasil daripada tindakan Kael menikam Kristal Tenaga milik Azurion, meledak dengan senyap sebelum memancar tinggi ke langit. Tiang cahaya itu menembusi kanopi Hutan Tabun, menyinari seluruh Tingkat Satu Menara Seribu dengan cahaya yang membutakan, sebelum hilang serta-merta.
Fenomena mengejutkan itu telah menarik perhatian semua makhluk yang ada di Tingkat Satu, termasuk para Pendaki dan Penduduk Asal.
“Apa yang berlaku?”
“Cahaya tadi! Ada kemunculan Artifak Menara?”
Di kawasan tengah Hutan Tabun, tidak jauh dari lokasi Kael, Kumpulan Ariel, Sera, dan Roberto yang baru sahaja selesai berkonfrontasi, Ariel turut terpaku memandang ke arah punca cahaya.
“Cahaya itu… ia datang dari kawasan Kodok Hijau,” kata Ariel, matanya bersinar dengan ketamakan. “Kalau betul itu adalah Artifak Menara, siapa yang temukan ia dulu, dia yang punya!”
“Saya yakin ia akan menjadi milik Tuan Muda Ariel,” bodek Kudus, walaupun lengannya masih sakit sebelum menambah, “Tapi, kalau ikutkan arah yang sebetulnya, ia datang dari kawasan Arnab Putih.”
“Kau jangan nak betulkan aku,” balas Ariel. Dia menjeling ke arah Roberto, yang juga sedang memandang ke arah yang sama. “Tapi… padan muka Roberto. Dia nak sangat tempat kita tadi. Sekarang, kita lebih dekat.”
Ariel tersenyum yakin. Dia juga sangat yakin bahawa tiada siapa yang akan bertindak bodoh dan berani untuk berebut artifak tersebut dengannya, waris ketiga Keluarga Venus. Tanpa membuang masa, dia memberi arahan kepada kumpulannya untuk bergerak.
Kumpulan lain juga tidak ketinggalan. Penduduk Asal Tingkat Satu turut bergerak — masing-masing dengan pasukan kecil yang lengkap bersenjata, menuju ke arah yang sama. Bagi mereka, perlumbaan telah bermula.
Sementara itu, di lokasi kejadian, cahaya keemasan itu telah hilang sepenuhnya.
Di tempat di mana tubuh Azurion berada sebentar tadi, tanah di bawahnya telah hangus terbakar, meninggalkan satu bulatan hitam pekat seolah-olah baru disambar petir. Tidak jauh dari situ, Kael terbaring kaku, tidak sedarkan diri.
Tubuhnya sedikit pun tidak bergerak jika dilihat dari luar. Namun, dari dalam tubuhnya, ada cahaya samar keemasan yang sedang berkelip perlahan, seirama dengan degupan jantungnya.
Bermula dari peringkat sel, tubuhnya sedang berubah secara perlahan-lahan. Kristal Tenaga Azurion yang ditelannya sedang menulis semula fitrah biologinya. Ia mengubah sel, yang kemudiannya membina semula tisu dan menguatkan organ, mengubah tubuh Kael secara total. Tubuhnya kini mula mengalirkan dua jenis darah dan tenaga; manusia dan naga.
Sebelum kumpulan pertama yang sedang berlumba itu tiba, satu susuk bertubuh sederhana, ditutup sepenuhnya oleh mantel kelabu lusuh, tiba dahulu. Susuk itu mendarat di atas dahan pokok berhampiran tanpa sebarang bunyi, memerhati kawasan itu seketika, sebelum turun ke tanah.
Dia melangkah perlahan ke arah Kael. Tiada bunyi kedengaran saat dia berjalan.
Dia berhenti beberapa langkah dari tubuh Kael yang masih terbaring. Dia memandang Kael untuk beberapa saat. Banyak perkara yang sedang bermain di dalam fikirannya. Sama seperti mereka yang lain, dia juga menyangka bahawa fenomena cahaya keemasan sebentar tadi adalah tanda kemunculan Artifak Menara.
Namun, apa yang dia lihat ketika ini hanyalah seorang remaja, terbaring tidak sedarkan diri di sebelah tanah yang hangus. Matanya melilau, memerhatikan sekeliling jika dia ada terlepas pandang. Kemudian, matanya kembali kepada Kael.
“Mana Artifak Menara?” gumamnya perlahan. “Dan siapa budak ini?”
Dari suaranya, dia merupakan seorang wanita. Angin meniup mantel yang dipakainya, menyingkap sedikit, menampakkan hujung sebilah pedang pendek yang terselit kemas di pinggang. Dari bawah penutup kepala kelabu yang turut tersingkap, dapat dilihat sekilas paras rupa yang menawan.
Dia melangkah ke arah tanah yang hangus terbakar itu sebelum melutut dan cuba untuk menyentuhnya. Namun, sisa tenaga yang masih tersisa di situ menolak tangannya kembali. Dahinya berkerut, cuba untuk membuat kesimpulan akan apa sebenarnya yang terjadi.
“Tenaga apa ni?”
Dalam keadaan berlutut, matanya kembali memandang Kael. “Dia dah ambil ke artifak tu?”
Hanya itu sahaja kesimpulan yang mampu dibuat oleh wanita ini. Saat matanya masih memandang Kael, ketika itulah dia dapat melihat ada sesuatu yang pelik sedang berlaku pada tubuh remaja itu.
Kulit Kael mula merekah. Perlahan-lahan, ia pecah dan jatuh berguguran di tanah seperti kulit ular. Namun, di sebalik kulit yang jatuh itu, muncul satu lapisan kulit baru yang lebih bersih dan kelihatan lebih kuat, bersinar dengan cahaya samar keemasan.
“Menarik…” ujar wanita itu. Bibirnya mengukir senyum.
Dia bergerak semula ke arah Kael dan perlahan-lahan cuba mengangkatnya. Dia mendengus sedikit. “Berat juga.”
Seketika kemudian, dia mengeluarkan segulung tali dari balik mantelnya. Dia melontarnya dengan cekap untuk mengikat tubuh Kael ke belakang badannya dengan kemas. Dia melakukan beberapa pergerakan untuk memastikan ikatan tersebut kemas dan ketat.
“Barulah mudah sikit,” ujarnya perlahan.
Bunyi derap tapak kaki dan jeritan kumpulan-kumpulan Pendaki yang menuju ke sini kedengaran semakin jelas. Wanita itu tahu dia tidak boleh membuang masa lebih lama di sini. Dia perlu bergerak sekarang.
“Maaf, budak,” katanya perlahan, hampir berbisik. “Aku tak tahu siapa kau… tapi kalau mereka lihat kau dalam keadaan macam ni, pasti kau akan ditawan.”
Dia memandang ke arah utara, memikirkan Kubu Hutan Tabun Utara. Ironinya, itulah jalan paling selamat untuk lari dari mereka yang sedang bergerak ke mari. Dia berlari laju sambil menggendong Kael, menghilang ke arah utara Hutan Tabun.
Tidak lama kemudian, dari arah yang berbeza, derap langkah berat dan suara-suara manusia mula bergema. Kumpulan-kumpulan Pendaki itu akhirnya tiba di tempat kejadian.
Namun, kesemua mereka kecewa. Apa yang mereka temui hanyalah tanah yang kelihatan hangus seperti terbakar, kesan sisa letupan tenaga yang kuat… dan tiada bayang Artifak Menara kelihatan.
“Apa yang berlaku?!” soal Kudus, matanya liar memandang sekeliling.
Ekspresi wajah Ariel berubah. Dia memandang sekeliling, dan ketika itulah dua lagi kumpulan tiba, hampir serentak dengannya. Dahinya berkerut, bingung bagaimana mereka — Sera dan Roberto — dapat tiba pada masa yang sama.
Kedua-dua ketua kumpulan itu memandang tepat ke arah Ariel. Sera mengangkat tangan kanannya, jari telunjuknya menuding lurus ke arah Ariel.
“Kau… mana Artifak Menara tu?” soal Sera, nadanya menuduh.
Roberto kekal diam, berdiri seperti sebuah tugu batu. Namun, dari bahasa tubuhnya yang tegang, jelas dia juga mempunyai soalan yang sama.
Ekspresi wajah Ariel serta-merta bertukar kelat. Dia sendiri tidak tahu apa-apa, dan kini dia dituduh oleh mereka yang lain. Kemarahan mula menggelegak.
“Berani kau tuduh aku, Sera?!” balas Ariel, suaranya meninggi, jari telunjuknya menunjuk semula ke arah wanita berambut merah itu. Dia kemudiannya berpaling ke arah Roberto. “Kau! Ada hati nak menuduh aku juga? Silap-silap kau orang berdua sudah berpakat dan sengaja ingin menjadikan aku sasaran!”
“Kau cakap apa, Ariel?” soal Roberto. Nadanya tenang, tetapi matanya yang tajam itu menilai setiap gerak-geri Ariel. “Kalau tadi aku tiada masalah untuk lepaskan kau orang. Tapi tidak kali ini.”
Roberto melangkah ke hadapan. Semua yang ada termasuk pengikut Ariel dan Sera, serta-merta berundur selangkah. Mereka dapat merasakan satu bentuk aura yang menggerunkan terpancar dari tubuhnya, lebih kuat daripada konfrontasi mereka sebentar tadi. Jika dia serius dengan amarannya, mereka semua tahu mereka tiada peluang untuk menang.
Belum sempat Ariel membalas, satu bunyi lain memecah ketegangan.
Bunyi derap tapak kaki kuda bergema dari arah timur. Pada awalnya perlahan, tapi semakin lama semakin kuat, seolah-olah tanah sendiri bergetar setiap kali kuku besi itu menghentak bumi.
Masing-masing terdiam. Nafas mereka tertahan, kerana semua tahu: di Tingkat Satu, tiada Pendaki yang mampu menjinakkan kuda. Hanya Penduduk Asal Menara yang memiliki keupayaan itu.
Beberapa helaan nafas kemudian, susuk seorang lelaki muncul dari celah semak. Dia menunggang seekor kuda hitam yang tegap, tubuhnya sendiri dilindungi zirah perang asas yang sudah lusuh. Di belakangnya tergantung sebilah kapak besar—senjata yang hanya digunakan oleh mereka yang benar-benar yakin akan kekuatan fizikal mereka.
Langkah kudanya berhenti beberapa meter di hadapan kumpulan itu.
Semua mengenali wajah tersebut. Dia adalah Lo-Er, pemegang Token Perintah bagi Kubu Tabun Timur.
Nama itu bukan asing bagi Pendaki Gelombang Ketujuh. Dalam Misi Utama pertama mereka, Lo-Er ialah sasaran. Dia adalah musuh yang mesti dikalahkan untuk merebut Token Perintah dan mengambil alih kawalan Kubu Hutan Tabun Timur. Selagi tiada siapa berjaya menewaskannya, mereka akan kekal terperangkap di Tingkat Satu, tanpa akses ke misi seterusnya.
Lo-Er menatap wajah tiga ketua kumpulan Pendaki itu seorang demi seorang. Senyuman sinis terukir di wajahnya sebelum dia bersuara dalam Bahasa Purba Tabun, bahasa yang kasar dan bergetar di udara seperti gema guruh.
“Serahkan Artifak Menara itu kepada aku, pendatang.”
Nada suaranya berat, namun setiap perkataan jelas membawa makna ancaman.
Di antara ketiga-tiga ketua itu, hanya Roberto yang melangkah ke hadapan. Setiap Pendaki sudah diberikan akses dan latihan untuk menguasai beberapa Bahasa Purba di Pusat Pendaki Gaia, ditambah pula dengan sumber yang dibawa pulang oleh Pendaki gelombang-gelombang sebelumnya.
Sebab itu jugalah wajah Roberto kekal tenang, tetapi matanya yang tajam itu menunjukkan bahawa dia bukan lelaki yang mudah digertak.
“Lo-Er, kami juga baru tiba,” katanya, suaranya masih kedengaran menghormati Penduduk Asal itu. Dia berdiri tegak, sedikit di hadapan yang lain. Bukan untuk mencabar, tetapi untuk menegaskan bahawa rasa hormatnya tidak bermaksud dia takut.
“Dan kami tak tahu siapa yang mengambil artifak itu,” sambung Roberto perlahan.
Senyuman sinis masih kekal pada wajah Lo-Er. Dia membalas, “Kau fikir aku akan percayakan kalian? Kalian pendatang. Penceroboh. Perampas hak kami di Tabun. Mustahil untuk aku percaya.”
Ariel tidak berani membalas walau sepatah. Tidak seperti Roberto, dia tahu satu langkah silap darinya boleh mengundang maut. Lo-Er bukan jenis yang memberi amaran dua kali. Menurut mereka yang memiliki Item Menara yang mampu melihat Level, Lo-Er berada di Level 3.
Ariel, Sera, dan Roberto juga telah mencapai Level yang sama. Namun dari segi Atribut Kekuatan, Ariel tahu Lo-Er masih jauh mengatasi mereka, dan mungkin juga mengatasi Roberto. Roberto sendiri jelas belum yakin untuk mencabar Lo-Er secara terbuka.
“Terpulang pada kau sama ada mahu percaya atau tidak, Lo-Er,” ujar Roberto tenang, tidak termakan dengan provokasi itu. “Kau sendiri boleh mengesan jika kami menyembunyikan artifak itu.”
Kata-kata Roberto itu ada benarnya. Penduduk Asal memiliki deria unik yang tidak dimiliki manusia biasa, satu keupayaan semula jadi untuk merasai tenaga dan niat, yang sering menjadi idaman Pendaki seperti Roberto.
Lo-Er tidak segera membalas. Dia menatap mereka lama, seolah-olah cuba menilai setiap nafas dan getaran tenaga di sekeliling. Beberapa detik kemudian, dia mengalihkan pandangan ke arah tanah terbakar tidak jauh dari situ, tempat di mana tubuh Azurion lenyap tidak lama tadi.
Dia turun daripada kudanya lalu berjalan mendekat.
Dengan lutut menyentuh tanah, Lo-Er meletakkan tapak tangannya di atas kesan hitam itu. Matanya dipejam, menumpukan sepenuh perhatian pada sisa tenaga naga yang masih berputar perlahan di bawah permukaan bumi.
Tidak lama kemudian, dia membuka mata semula.
Tatapan itu kini beralih tajam ke arah utara Hutan Tabun. Bibirnya melengkung kecil, menandakan keyakinan. Dia sudah tahu ke mana dia harus pergi.
Para Pendaki yang menyaksikan adegan itu hanya saling berpandangan. Mereka tahu, ke mana pun Lo-Er pergi selepas ini, itulah petunjuk buat mereka. Perlumbaan itu belum berakhir.