Ibu Pejabat Majlis Menara Gaia
Isnin, 26 Jun 2034
Radiz turun ke lobi Ibu Pejabat Majlis Menara Gaia seorang diri. Jam sudah melewati tengah malam, menjadikan ruang luas itu sunyi sepi, hanya ditemani bunyi dengung halus sistem keselamatan. Di luar pintu kaca, bayang-bayang anggota Tentera Khas Menara yang sedang berkawal kelihatan samar-samar.
Lobi itu lengang, namun udaranya terasa berat. Tidak jauh dari kaunter sambutan, Jeneral Samer sedang duduk bersandar di sebuah kerusi kulit hitam, seolah-olah dia adalah raja di bangunan itu. Dua orang Pengawal Khas berdiri tegak di belakangnya, kaku seperti patung, tangan mereka sentiasa hampir dengan senjata. Mereka adalah elit di antara elit, anjing perang yang hanya setia pada tuannya.
“Jeneral Samer,” tegur Radiz ringkas.
Dia tidak menghulurkan tangan. Dia tidak menunduk hormat. Radiz tahu, dengan orang seperti Samer, sebarang tanda hormat akan dianggap sebagai kelemahan. Dia terus duduk di kerusi bertentangan, dipisahkan hanya oleh sebuah meja kopi kaca yang rendah.
Samer tidak berganjak. Dia hanya mengangkat kepalanya perlahan-lahan, pandangannya tajam menilai. Tindakan Radiz sedikit sebanyak mencalar egonya tapi malam ini dia ada agenda yang lebih besar. Jadi, dia perlu bersabar.
“Profesor Radiz Novera,” suaranya berat, bergema rendah di ruang kosong itu. “Dengar kata ada penemuan baru dari ‘kandang’ pengkaji kau?”
Radiz membalas renungan itu dengan tenang. Dia tahu, perang psikologi sudah bermula. Dia juga tahu bahawa Samer bukanlah terlalu berminat untuk menuruti permintaannya malam ini.
Sekalipun begitu, dia tetap membalas dengan tenang, “Ya. Dan kami perlukan bantuan Tentera Khas Menara untuk membawa wakil kami ke Gerbang Utama. Malam ini juga.”
Wajah Jeneral Samer berubah sedikit, tidak senang menerima arahan. “Ceritakan dulu. Aku yang akan tentukan sama ada ia berbaloi atau tidak.”
Radiz mengeluarkan tabletnya. Skrin itu menyala, memantulkan cahaya kebiruan pada wajahnya yang serius. Dia memaparkan terjemahan simbol-simbol dari skrol purba itu, lalu meletakkan tablet tersebut di atas meja, menolaknya perlahan ke arah Samer.
Salah seorang Pengawal Khas bergerak pantas, mengambil tablet itu, memeriksa sebarang ancaman, sebelum menyerahkannya kepada Jeneral.
Samer membaca dalam diam. Matanya bergerak dari satu baris ke satu baris. Semakin lama dia membaca, semakin berubah rentak nafasnya. Dia mengulang baca, kali ini lebih teliti. Kerutan di dahinya semakin dalam.
“Kau yakin terjemahan ini tepat?” tanya Samer akhirnya, matanya tidak lepas dari skrin.
“Yakin,” jawab Radiz pendek. “Tetapi untuk buktikannya, hanya ada satu cara. Mantera itu mesti dilafazkan di hadapan Gerbang Utama.”
Samer mengangkat muka, memandang Radiz dengan curiga. “Itu sahaja? Atau ada ritual lain yang kau sembunyikan?”
Radiz kekal tenang, namun jantungnya berdegup sedikit laju. “Ada. Dan itu adalah rahsia yang hanya wakil kami sahaja boleh lakukan.”
Dia tidak berbohong sepenuhnya. Sewaktu di rumah tadi, Kael bukan sekadar menterjemah. Anaknya itu telah menemui satu arahan tambahan yang rumit, yang tidak diceeritakan di hadapan Caroline. Ia adalah sesuatu yang Kael minta supaya dirahsiakan daripada sesiapa pun, termasuk Majlis Menara sendiri. Malah, itu bukan satu-satunya rahsia mereka berdua. Sudah lama Radiz dan Kael menyembunyikan maksud sebenar simbol-simbol pada dinding Menara Seribu.
Memandangkan tiada sebarang teknologi canggih Gaia yang mampu menembusi medan tenaga menara untuk merakam simbol-simbol tersebut, Radiz terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ketajaman akalnya sendiri. Dia menggunakan kekuatan memorinya untuk memahat setiap perincian simbol purba itu ke dalam minda, sebelum melakarkannya semula dengan ketelitian yang sempurna di hadapan Kael untuk diterjemahkan.
Terjemahan simbol-simbol itulah yang akhirnya bertukar menjadi senjata sulitnya; ia memberikan satu kelebihan mutlak yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun di dalam Majlis, sekaligus menjadi rahsia terbesar yang disimpannya erat sehingga ke hari ini.
“Siapa yang akan melakukan ritual itu?” soal Samer, nadanya mendesak.
Radiz menatap tepat ke dalam mata Jeneral itu. Dia tidak menjawab.
“Kau?”
Radiz mengangguk.
Samer tersenyum sinis sebelum meletakkan tablet itu ke tepi. Dia mengangkat tangan kanannya sedikit. Tanpa sebarang arahan lisan, kedua-dua pengawal di belakangnya melangkah ke hadapan. Pergerakan mereka serentak dan terlatih. Masing-masing meletakkan sebuah beg bimbit di atas meja dan membukanya.
Satu beg mendedahkan sekeping cek kosong. Beg yang satu lagi mempamerkan sebentuk kunci emas yang berkilau di bawah lampu lobi.
Radiz memandang kedua-dua item itu sekilas lalu. Dia faham apa yang cuba dilakukan oleh Samer.
Samer menyandar kembali, senyuman sinis terukir di bibirnya. “Cek ini… tulis berapa nilai yang kau mahu. Tiada siapa akan menyoal.” Dia menunjuk ke arah kunci emas itu. “Dan ini… kunci Arkib Gaia. Semua rahsia dunia yang disimpan oleh Negara Bersekutu, ada di hujung jari kau.”
Radiz kekal membatu.
“Serahkan segala maklumat yang kau miliki,” sambung Samer, suaranya perlahan seperti ular yang menyusur. “Serahkan juga siapa sebenarnya yang menterjemah semua ini… dan semua ini milik kau.”
Radiz menyilangkan kaki, wajahnya tenang. “Maaf, Jeneral. Saya tak boleh dibeli.”
Dia kemudiannya menambah sambil tersenyum sinis, “Lagipun, apa yang ada di dalam Menara Seribu itu pasti jauh lebih menarik berbanding apa yang ada di Arkib Gaia.”
Senyuman Samer mati. Wajahnya bertukar menjadi topeng kekejaman. “Radiz Novera. Jangan ingat aku tak tahu tentang keluarga kau. Jangan ingat aku tak tahu ada seseorang di rumah kau yang lebih pandai dari kau.”
Rahang Radiz mengetat.
“Apa yang kau nak sebenarnya?” soal Radiz, suaranya kini hilang segala hormat.
“Aku dah cakap apa aku nak. Kau setuju, atau kau terima akibatnya,” ugut Samer.
Radiz menghela nafas panjang, seolah-olah kecewa dengan kebodohan lelaki di hadapannya. “Jangan bermimpi. Aku takkan tunduk pada kau.”
Samer mendengus kasar. Dia hilang sabar. Satu isyarat kecil diberikan dengan jari telunjuknya.
Kedua-dua Pengawal Khas itu bergerak dengan sangat pantas. Tujuan mereka jelas: lumpuhkan Radiz, heret dia keluar, dan gunakan keluarganya sebagai tebusan. Tangan mereka mencapai senjata di pinggang.
Namun, dalam sekelip mata itu, mereka berasa seperti berimaginasi.
Radiz, yang sepatutnya duduk di kerusi itu, lenyap.
Ia bukan pergerakan pantas yang biasa. Ia adalah satu kelajuan yang tidak masuk akal, meninggalkan imej sisa yang kabur di mata pengawal-pengawal itu.
Mata mereka terkebil-kebil, cuba mencari sasaran yang hilang.
“Cari—”
Arahan Samer tersekat di kerongkong. Dia merasakan hujung besi yang sejuk dan tajam menekan tepat pada arteri karotid di lehernya.
Radiz kini berdiri di belakang kerusi Samer sementara pengawal-pengawalnya yang masih terpinga-pinga. Di tangan Radiz, terhunus sebilah pisau perak kecil — bukan senjata yang menggerunkan, tetapi cukup tajam untuk menamatkan nyawa seorang Jeneral dalam posisi ketika ini.
Peluh dingin muncul di dahi Samer, perlahan-lahan mengalir ke bawah.
“Dengar baik-baik,” bisik Radiz di telinga Samer. Suaranya tenang, tetapi ia membawa aura membunuh yang kuat, jauh lebih menakutkan daripada mana-mana individu yang pernah Samer temui.
“Kalau kau sentuh keluarga aku, walau sehelai rambut pun… aku akan pastikan bukan hanya kau, dan bukan saja keturunan kau… bahkan seluruh Gaia akan menanggung akibatnya.”
Samer menelan liur, halkumnya bergerak perlahan melawan mata pisau itu. Dia cuba menoleh, cuba melihat wajah ‘profesor’ yang selama ini disangkanya hanya ulat buku. Tetapi aura yang menekan dari belakang itu mematikan niatnya.
Kedua-dua pengawal khas itu kaku, senjata separuh terhunus. Mereka tidak berani bergerak. Mereka tahu, sebelum jari mereka sempat menyentuh picu, nyawa tuan mereka akan terlebih dahulu melayang.
Lobi itu menjadi sunyi sepi, kecuali bunyi nafas Samer yang naik turun.
Perlahan-lahan, Radiz menarik sedikit pisau itu, tetapi tidak menyimpannya.
“Cepat,” katanya sepatah. Arahan mutlak. “Aku nak ke Gerbang Utama sekarang.”
Samer mengangguk laju. Dia bangun perlahan-lahan, kakinya terasa longlai. Dia berjalan melepasi pengawal-pengawalnya tanpa menoleh, takut untuk memandang ke belakang.
“K-kerahkan armada,” arah Samer, suaranya bergetar. “Bawa Profesor Radiz ke menara.”
Malam itu, Jeneral Samer menyedari satu kesilapan besar. Dia menyangka dia memegang tali pemangsa, rupanya dia baru sahaja mengejutkan raksasa yang sedang tidur.