Bunyi kartun dari ruang tamu kedengaran sedikit kuat. Diselangi dengan bunyi tawa Lily. Mungkin giliran dia menonton kartun di televisyen ketika ini. Berbeza pula suasana di dapur.
Di sini, suasananya terasa sedikit berat. Bukan kerana pertengkaran, tetapi kerana sesi soal siasat yang baru sahaja bermula selepas Ethan memberikan wang kepada Aaron. Tangan Aaron masih lagi memegang telefon.
Mata Elise pula masih belum berkedip memandang Ethan. Seolah-olah anak sulungnya itu sedang menyembunyikan sesuatu daripada mereka. Buat seketika, tiada siapa yang bersuara.
Tiga ribu dolar.
Bagi orang lain, mungkin nilai itu kecil. Tidak ubah seperti duit poket untuk bercuti sahaja. Tapi bagi keluarga Ethan, jumlah tersebut ibarat nyawa. Dengan bil yang bertimbun beberapa bulan dan sewa yang sudah dua bulan tertunggak, angka sebegitu adalah satu talian hayat.
Cuma, Aaron dan Elise belum mampu untuk memutuskan sama ada itu adalah satu nikmat atau malapetaka—bergantung kepada dari mana Ethan mendapatkannya.
Aaron memecah kesunyian. Suaranya rendah dan berhati-hati. “Ethan… mana kamu dapat duit ni?”
Elise menyandar ke hadapan, nada suaranya mendesak. “Ya, Ethan. Jujur dengan kami. Ini bukan sikit.”
Ethan menelan liur. Dapur sempit itu tiba-tiba terasa seperti sebuah bilik soal siasat. Dia sudah dapat mengagak soalan ini akan ditanya, sudah beberapa kali dia melakukan simulasi di dalam fikirannya sewaktu makan tadi.
“Ethan,” panggil Aaron lagi, kali ini lebih tegas. “Cakap betul-betul.”
“Jangan risau, Ayah,” jawab Ethan, suaranya sedikit gementar. Dia benci mendengar getaran halus dalam suaranya sendiri. Nampak seperti dia menipu pula.
Mata Aaron mengecil, tajam menikam. “Kamu tahu kan tiga ribu dolar tu besar?”
Wajah Elise pucat lesi. “Ethan… tolong cakap kamu tak pinjam duit ni. Kamu tak terlibat dengan lintah darat atau jual barang pelik, kan?”
“Tak, Ibu. Bukan macam tu,” Ethan menafikan semuanya, laju. “Saya tak pinjam atau jual barang pelik. Duit ni… dari universiti.”
Dahi Aaron berkerut seribu. “Universiti? Jadi tutor boleh dapat banyak macam ni?”
“Bukan tutor,” kata Ethan.
Dia memaksa suaranya kembali tenang dan yakin. Dia memilih untuk bercakap soal teknikal bagi mengelakkan ibu bapanya menyoal dengan lebih banyak. “Sebenarnya ini bayaran untuk sebuah projek yang agak besar.”
Ibu bapanya saling berpandangan. Aaron meletakkan telefon di atas meja, tangannya memeluk tubuh. Elise bersandar, turut memeluk tubuh. Masih skeptikal.
“Projek apa?” soal Aaron. “Kamu jangan harap kami percaya kamu boleh buat tiga ribu dalam satu malam.”
Ethan menatap mata ayahnya tanpa berkelip. “Ini projek Fakulti Sains Komputer. Mereka perlukan sebuah portal perpustakaan digital baru.” Dia berhenti sebentar sebelum menyambung, “Semua ni kena buat dari kosong. Pihak IT universiti sibuk dengan kerja masing-masing, sebab itulah mereka berikan projek ini kepada saya.”
Kata-kata Ethan itu logik kerana mereka tahu pihak universiti kerap mencari Ethan jika ada masalah berkenaan IT atau komputer. Namun, Elise masih kelihatan ragu-ragu.
Aaron juga sama. Dia bertanya, “Betul? Tapi kenapa Ayah rasa macam banyak pula mereka bayar kamu?”
“Ayah, ni tak banyak sebenarnya,” balas Ethan tenang. “Kalau ikut harga pasaran, saya dibayar rendah.”
“Dibayar rendah?” ulang Aaron, tidak percaya.
“Mereka perlukan sistem ini siap dengan cepat,” Ethan menipu dengan lancar. Mindanya sedang ligat menyusun ayat. “Kalau pihak universiti upah syarikat luar, kosnya mungkin sepuluh atau lima belas kali ganda lebih tinggi. Sebab tu saya dipilih. Mereka dapat berjimat, saya dapat duit, kredit dan pengalaman.”
Mata Aaron mengecil, cuba mencari sebarang penipuan di dalam kata-kata anaknya. Bukanlah dia mengharapkan Ethan menipu. Dia cuma risau.
Lama dia diam sebelum bertanya, “Mereka bagi kamu tiga ribu dolar?”
“Itu cuma bayaran pendahuluan,” pintas Ethan. “Saya yang minta. Tak tahu pula mereka setuju. Saya pun baru perasan duit tu malam tadi. Siang saya sibuk dengan kerja.”
Ruang itu sunyi semula. Elise masih lagi cuba untuk memproses segala apa yang didengarnya itu. “Tapi, tiga ribu rasa macam banyak. Bukan Ibu tak percaya dengan kemahiran kamu, Ethan. Kamu kan masih pelajar.”
Ethan menggeleng sambil diiringi senyuman manis. “Tak, Ibu. Macam saya kata tadi, saya dibayar rendah. Untuk projek macam ni, bukan ijazah yang jadi ukuran. Saya dah ada banyak portfolio projek-projek sebelum ni.”
Aaron merenungnya lama. Perlahan-lahan, garis keras di dahinya mula mengendur.
Ayah dah percaya, bisik Ethan di dalam hati.
Elise masih lagi menyoal, cuma nadanya lebih lembut, “Kamu pasti semua ni okey? Kuliah, kerja… hidup kamu. Projek ni tak membebankan?”
“Buat masa ni, saya boleh urus lagi,” kata Ethan yakin.
Aaron menyandar ke hadapan, sikunya di atas meja. “Kamu betul-betul yakin boleh buat projek besar macam ni?”
“Boleh, Ayah,” jawab Ethan. “Coding tu bahagian senang. Nak yakinkan Ibu dengan Ayah yang susah.” Dia ketawa kecil, ringan tapi ikhlas.
Suasana senyap seketika. Kemudian, Elise mencapai tangan Ethan di atas meja dan menggenggamnya erat. Senyumannya kecil, bibirnya sedikit bergetar.
“Kami percayakan kamu,” bisiknya. “Tapi kalau benda ni jadi terlalu berat, jangan simpan seorang. Beritahu kami.”
“Saya janji,” kata Ethan. “Buat masa ni, tolong yakin dan percaya yang saya boleh tolong keluarga kita.”
Aaron mengusap dagunya yang kasar, kemudian mengangguk perlahan. Tanda mengalah. “Baiklah. Ayah terima pertolongan kamu.”
Dia berhenti seketika sambil memandang tepat ke mata Ethan. “Terima kasih, Ethan.”
Ucapan itu ringkas, namun Aaron benar-benar maksudkannya. Beban bertahun lamanya terasa seperti diangkat sepenuhnya dari bahu.
“Sama-sama, Ayah,” balas Ethan. Dia tersenyum lega. Akhirnya, dia berjaya untuk yakinkan ibu bapanya.
Aaron bangun, meregangkan badan. Postur tubuh yang biasanya keras kelihatan sedikit lembut. Senyumannya juga lebih lebar.
“Baiklah. Walaupun Ethan dah tolong, ayah tetap nak cari kerja sambilan,” kata Aaron.
Ethan ketawa kecil. “Tak perlu, Ayah. Saya boleh tanggung. Ayah jangan risau dah.”
Elise turut tersenyum. Buat masa ini, dia memilih untuk percaya dengan Ethan.
Aaron meletakkan tangan di bahu anaknya, satu sentuhan yang sudah jarang dilakukan, tapi bermakna. Elise turut melakukan perkara yang sama.
Mereka bertiga berkongsi satu pandangan tenang.
Serta-merta, segala beban yang ditanggung terasa semakin ringan. Semuanya kerana satu tindakan kecil dari Ethan, satu pembohongan yang terpaksa dilakukan dan… satu keajaiban—Sistem Infiniti.
***
Ruang Antara Dimensi
Tiada Tarikh. Tiada Hari.
Ruang ini adalah sebuah ruang unik, di mana realiti sepertinya sangat sukar untuk dibentuk. Tiada arah untuk menunjukkan di mana langit, di mana tanah. Hanya keheningan yang ada.
Dari keheningan itu, dua bentuk kubus gergasi muncul. Ia bukanlah sebuah dunia, bukan juga landskap. Ia seperti sebuah dimensi dalam bentuk geometri sempurna yang terapung di dalam ruang ketiadaan, menghadap satu sama lain.
Kubus pertama berwarna hitam pekat. Ia menelan setiap sisa cahaya yang mendekat. Di tengah-tengahnya berdiri lelaki serba putih yang bertemu dan berbicara dengan Ethan semalam.
Kubus kedua pula berwarna putih yang menyilaukan. Ia begitu terang dan mampu menelan segala kegelapan. Di tengah-tengahnya pula berdiri lelaki serba hitam, individu yang memberikan kad hitam “Maharaja” kepada Ethan di kaki lima dan yang memberikan amaran mengenai kuasa yang diterimanya.
Mereka berhadapan merentasi jurang ruang antara dimensi itu. Dua susuk tubuh. Dua kutub bertentangan. Kesunyian melengkung di bawah berat renungan mereka.
Akhirnya, susuk tubuh serba putih itu bersuara. Suaranya tajam, seperti tajamnya sebilah pisau. “Kenapa kau masuk campur, Mangi? Dia sudah di dalam genggaman aku.”
Dia masih belum habis berbicara, “Kau tarik dia, jauh dari kita, jauh dari jalan dia.”
Susuk tubuh serba hitam, Mangi, berdiri tegak sebelum membalas. Nadanya tenang tetapi tegas.
“Jalan dia?” Mangi berhenti sejenak. “Tiada siapa di antara kita yang mampu mengheret dia ke sini. Dia berhak untuk memilih. Jika dia tiba ke dunia kita tanpa persediaan, dia akan hancur dan… aku tak akan biarkan itu berlaku, Mingi.”
Rahang Mingi menegang. Aura berupa cahaya putih menyemarak, melawan kegelapan kubus hitam yang didiaminya. “Kita tidak punya masa untuk menunggu!”
Tangannya menunjuk ke satu arah sebelum menyambung, “Kau tahu kan apa yang sedang bergerak di sebalik ruang itu? Mereka akan datang, Mangi!”
Serta-merta ruang antara dimensi yang kosong itu bergegar dengan amaran Mingi.
Mangi kekal tenang. “Biar mereka datang. Kita akan berikan masa buat Ethan. Kita akan menjadi tombak dan perisai sementara dia bersedia. Itu tugas kita.”
“Kau berbicara seolah-olah masa itu tunduk kepada kita,” bentak Mingi. “Tiada tombak yang cukup tajam dan tiada perisai yang kekal selamanya. Kau sendiri tahu bagaimana mereka yang lain kecundang.”
Tubuh Mangi tidak bergerak. “Sebab itulah kita tidak akan mengulangi kesilapan lalu. Kita tidak akan mengikat dengan rantai atau ramalan. Kali ini, biar dia sendiri yang melalui jalan ini.”
Sekali lagi, ketenangan pada wajah Mingi retak. Suaranya memetir, “Tidak! Aku tidak akan benarkan. Dia milik kita. Aku tidak akan tunggu lagi!”
Suara Mangi kemudiannya memecah ruang kosong itu sekalipun nadanya masih tenang. “Lakukanlah apa yang kau ingin, Mingi. Sekalipun kau menghantar buah catur kau kepadanya, aku tidak akan menghalang.”
Mingi tersentak. Dia sangat terkejut dengan kata-kata Mangi.
“Kau yakin?”
Nada Mangi semakin perlahan. “Tapi, kau sendiri tahu harganya. Untuk menarik dia ke sini, mereka perlu membunuh dan mengheret rohnya masuk ke sini. Itu akan menjejaskan kuasanya.”
Mangi menambah, “Kau perlu ingat juga… mustahil untuk mereka senang-senang membunuh Ethan Cole. Dia… bukanlah manusia biasa.”
Suasana bertukar sunyi sebentar.
“Bukan semua akan gagal. Aku ada calon-calon aku sendiri. Mereka yang sudah dirosakkan oleh dunia, mereka yang cukup terdesak melakukan apa sahaja demi kuasa.”
“Cubalah,” balas Mangi. “Hantar mereka. Hantar seramai yang kau inginkan. Aku tidak akan menghalang. Aku cuma akan berikan dia apa yang dia perlukan.”
Cahaya putih dari tubuh Mingi semakin kuat. Satu hilai tawa yang sangat tajam dan kasar keluar dari mulutnya. “Apa maksud kau Mangi? Apa yang kau boleh berikan?”
Nada Mingi berbaur ejekan. “Kau sendiri tahu bagaimana peraturan alam semesta. Kita tidak boleh campur tangan. Kita tidak boleh bantu dia secara langsung.”
Mangi membalas, “Aku akan berikan satu-satunya hadiah yang dia perlukan—jalan untuk dia menjadi lebih kuat. Bila tiba masanya nanti, dia bukan akan diheret oleh buah catur kau, Mingi. Dia akan melangkah masuk dengan megah dan gagah, sendiri.”
Sekali lagi keadaan berubah sunyi. Dua penjaga, terikat pada takdir yang sama, berpecah pada cara untuk memenuhinya.
Mingi melepaskan tawa rendah, cahayanya berkeriut seolah-olah ruang kosong itu sendiri sedang mengejek bersamanya.
“Buatlah sesuka hati kau, Mangi. Binalah harapan kecil kau. Tapi ingat ini—dia akan tersungkur. Jalan kau akan hancurkan dia jauh sebelum ia selamatkan dia.”
Seketika kemudian, bentuk Mingi hilang ke dalam kubus hitam, kegelapan melipat dirinya sehingga tiada apa yang tinggal.
Mangi kekal di situ, bayangnya teguh dalam kekosongan. Suaranya tenggelam ke dalam ruang antara alam, “Ethan Cole… Kau perlu lekas menjadi kuat. Sebab bila mereka datang, tiada bayang atau cahaya yang mampu untuk selamatkan kau.”