Cover Novel Melayu

Edgewater
Isnin, 18 Jun 2040

Beberapa minit kemudian, mereka tiba di kawasan Edgewater.

Di sini, dunia berubah wajah. Jika di kawasan kedai buku tadi kelihatan seperti kawasan yang sesuai dijadikan poskad pelancongan, Edgewater pula adalah kawasan yang cuba untuk disembunyikan sepenuhnya. Blok-blok apartmen usang berdiri rapat seperti sardin di dalam tin, berebut ruang udara yang tidak seberapa. Cat dinding bangunan pula jenis yang sudah pasrah dan mengalah dengan takdir—mengelupas sana sini, mendedahkan konkrit yang menjadi saksi sejarah lebih setengah abad.

Balkoni-balkoni sempit kelihatan sarat, dihubungkan oleh tali-tali ampaian yang berserabut persis sarang labah-labah gergasi, dihiasi pakaian yang dijemur, melambai ditiup angin. Suasananya pula hidup dengan kakofoni harian; bunyi televisyen yang dipasang kuat, tangisan bayi yang memecah suasana, dan gema perbualan penduduk dari unit berbeza yang saling bertingkah dari tingkap yang terbuka.

“Walaupun dah bertahun aku keluar dari sini, tempat ni… tetap rasa dekat,” kata Jordan, matanya melilau memandang blok-blok apartmen lama di sekeliling mereka.

Ethan tersenyum nipis. Dia faham benar maksud itu. Dia membesar di sini, bernafas udara yang sama. Edgewater memang terkenal sebagai ‘kawasan setinggan moden’—sebab itulah harga barang di sini jauh lebih murah daripada seberang jambatan.

“Asalkan kau tak malu mengaku orang sini, okeylah tu,” seloroh Ethan.

Jordan ketawa kecil. “Eh, malu apa? Tak ada masalah langsung. Malah, kalau aku berjaya satu hari nanti, asal-usul nilah yang buat orang hormat aku lebih.”

Dia berhenti berjalan, mendepakan tangannya seolah-olah sedang melakar tajuk berita di udara.

“Kau bayangkan orang cakap: ‘Jordan Walker, dari lorong tikus Edgewater ke pentas dunia’. Kan bunyi dia lagi mahal?”

“Pentas dunia?” Ethan mengangkat kening. “Kali ni kau nak jadi apa pula?”

“Entah. Janji satu dunia kenal nama aku. Tak kisahlah jadi apa pun,” balas Jordan sambil tersengih lebar.

Ethan menggelengkan kepala beberapa kali melihat telatah itu.

“Masih dengan impian sama?”

Jordan tersenyum, memandang langit yang mula gelap. “Setakat ni… ya. Tapi tak tahulah apa yang Tuhan rancang untuk aku. Aku ikut saja arus.”

Ethan tersenyum lagi, tumpang rasa positif melihat semangat sahabatnya itu.

Dia cuba mengingat kembali apa cita-cita terakhir Jordan minggu lepas. Bintang filem? Atlet pro? Entah. Ethan sudah terlupa.

Dan sejujurnya, Ethan rasa Jordan sendiri pun mungkin sudah lupa. Bagi Jordan, asalkan terkenal, itu sudah cukup.

“Kau memang tak pernah ke kedai lain selain Sammy’s?” tanya Jordan, mencari topik untuk menyambung perbualan.

Ethan tersenyum nipis sebelum menjawab, “Mana lagi? Situ saja yang murah.”

Sammy’s merupakan sebuah kedai runcit yang menjual barangan segar, bahan basah, dan pelbagai keperluan dapur. Lokasinya hanya beberapa blok dari apartmen Ethan, tidak jauh dari sebuah taman rekreasi kecil dan gelanggang futsal. Walaupun kedai itu kelihatan serba kekurangan dengan papan tanda yang lusuh dan lampu-lampu yang kebanyakannya tidak berfungsi, ia tetap menjadi tumpuan orang ramai.

Sebabnya mudah: harga barang di Sammy’s sangat murah, jauh lebih rendah berbanding rangkaian pasar raya gergasi di tengah-tengah bandar dan ia mempunyai pelbagai pilihan barangan. Ramai yang bergurau dengan membuat pelbagai spekulasi mengenainya. Ada yang mendakwa pemiliknya, Sammy, sebenarnya tidak pandai berniaga.

Namun, ramai yang menyangkal teori itu kerana jika benar, kedai ini pasti sudah lama gulung tikar. Ada juga desas-desus nakal bahawa Sammy’s hanyalah kedai ‘topeng’ bagi aktiviti pengubahan wang haram. Tapi, segelintir lagi memilih untuk bersangka baik, mempercayai bahawa Sammy sebenarnya tidak mempedulikan untung rugi, sebaliknya hanya berniat ikhlas membantu penduduk setempat.

Apa pun kebenarannya, bagi Ethan, kedai ini adalah talian hayat bagi keluarganya dan penduduk Edgewater; sentiasa ada untuk mereka tanpa mengira waktu.

Ethan dan Jordan kemudiannya berhenti betul-betul di hadapan Sammy’s. Kedua-duanya diam, merenung papan tanda usang itu.

“Kelakar pula bila ingat semula yang kita dah jadi pelanggan kedai ni dari kecil lagi,” kata Jordan, memecah kesunyian. “Ingat lagi masa kita gila makan ramen pedas dalam cawan tu?”

Ethan ketawa kecil. Dia masih mengingatinya dengan jelas. “Ya. Lepas tu kau bising sepanjang jalan sebab pedas sangat.”

Jordan turut ketawa. “Tapi berbaloi. Sedap.”

Ethan mengangguk setuju.

“Kau jangan lupa satu lagi makanan yang kita selalu beli di sini,” kata Jordan.

“Apa dia?”

“Telur.”

“Telur?”

“Ala. Takkan kau dah lupa?” soal Jordan. “Kan masa tu kita nak jadi pemain bola sepak profesional. Setiap hari kita beli telur, rebus siap-siap di sini, kononnya kita perlukan protein untuk jadi lebih kuat.”

Sekali lagi Ethan ketawa apabila memori itu menerjah kembali. “Dua biji telur sehari… kononnya boleh buat kita jadi profesional.”

“Itu apa yang kita faham dulu,” balas Jordan. “Kita memang serius masa tu.”

Senyuman Ethan sedikit mengendur. “Betul. Terlebih serius.”

Buat seketika, mereka berdua hanya diam memandang Sammy’s, tenggelam dalam imbasan memori lama.

“Dah. Jom masuk,” ajak Jordan, mematikan lamunan.

Sebaik sahaja mereka melangkah masuk, bunyi loceng kedengaran.

“Selamat datang,” ucap juruwang yang bertugas berhampiran pintu masuk.

Dia sekadar mengangkat kepalanya sebentar tanpa sebarang senyuman, sebelum kembali membelek telefon pintar. Jelas sekali dia sudah hilang semangat untuk bekerja, namun masih memaksa diri demi kelangsungan hidup.

Ethan dan Jordan tidak menghiraukan layanan acuh tak acuh itu. Ethan segera mencapai sebuah bakul sederhana besar yang terletak di tepi kaunter pembayaran, lantas terus melangkah ke bahagian belakang kedai.

Jordan pula melilau mencari sesuatu dengan tangan dimasukkan ke dalam poket, sebelum mencapai sebungkus gula-gula masam. Dia lantas membaling bungkusan tersebut masuk ke dalam bakul Ethan.

“Nanti aku bayar,” kata Jordan.

Ethan mengangkat kening. “Gula-gula?”

Jordan tersengih. “Biasalah. Hidup kena ada manis-manis sikit.”

Ethan mengambil bungkusan itu dan menelitinya. “Tapi ni gula-gula masam.”

“Eh? Aku salah ambil ke?”

Kedua-dua mereka ketawa. Memang begitulah perangai Jordan sejak dahulu lagi; dia sentiasa tahu caranya untuk menceriakan suasana. Ethan hanya mampu menggelengkan kepala sambil tangannya pantas membelek-belek tin kacang panjang. Dia membandingkan dua tin yang berbeza saiz dan harga. Sedang mencari mana yang lebih murah tapi menguntungkan.

“Sama saja mana-mana pun, Ethan,” celah Jordan.

Ethan tersenyum kecil. “Kau dah kaya. Aku kena buat kira-kira.”

Jordan ketawa kecil. “Baik. Maaf. Maaf. Aku tak patut kata macam tu. Tapi kalau kau okey…” kata Jordan sambil tangannya mengambil satu tin jenama lain. “Kau ambil yang ni. Dari segi kandungan, ni lagi sihat. Sesuai untuk kau dan adik-adik yang tengah membesar.”

“Yang ni?” soal Ethan sambil tangannya menyambut tin tersebut. Dia membelek bahagian maklumat nutrisi sebelum memandang Jordan. “Wah. Bagus kau kali ni. Aku setuju. Aku ambil yang ni.”

Jordan tersengih.

Ethan kemudiannya mencapai beberapa tin makanan, roti, telur, paket beras kecil, dan beberapa barangan keperluan lain. Kuantitinya cukup untuk mereka sekeluarga makan selama seminggu jika pandai berjimat.

Sementara itu, Jordan mengambil semula bungkusan gula-gula tadi dan membukanya. Dia mengeluarkan sebiji dan terus mengemamnya sambil berjalan mengekori Ethan. Ethan sekadar memandang Jordan, menunjukkan dia kurang gemar dengan tindakan itu, namun apakan daya, Jordan hanya membalasnya dengan sengihan.

Cover Novel Melayu