Cover Novel Melayu

Hujan akhirnya turun, memukul jalan raya dengan bunyi desiran kasar hanya sesaat selepas Ethan melangkah masuk ke bawah bumbung konkrit apartmen itu.

Dia menghela nafas panjang, dadanya berombak sedikit. Bau hujan dan tanah basah—bau petrichor yang menenangkan—serta-merta memenuhi rongga hidung.

“Nasib baik sempat.”

Di belakangnya, beberapa orang asing yang tumpang berteduh memandang langit dan hujan dengan wajah kosong. Entah apa yang ada di dalam fikiran mereka. Mungkin masalah besar. Mungkin kehilangan arah tuju.

Ada beberapa orang di antara mereka berbual-bual sementara menunggu.

“Lain macam hujan hari ni,” kata lelaki pertama, muda, dalam lingkungan 30-an.

“Betul,” balas lelaki kedua, sedikit tua. Mungkin awal 50-an.

“Biasanya masa musim panas, jarang hujan lebat macam ni. Suhu pun tiba-tiba jadi sejuk, dah macam masa salji turun,” kata lelaki muda itu lagi.

Lelaki tua itu ketawa. “Dah la tengah pakai baju nipis. Lemak-lemak saya pun tak boleh nak tolong.”

Mereka kemudiannya sama-sama ketawa.

Ethan yang terdengar perbualan mereka terasa ada logiknya juga. Dia sendiri menggigil tanpa dia sedar. Belum lagi sewaktu angin bertiup kencang. Boleh beku.

Dia berdiri sebentar di situ, memerhatikan ragam mereka yang tumpang berteduh. Dia sangat gemar untuk memerhatikan manusia, belajar mengenai mereka. Kadangkala, dia terasa dirinya seperti makhluk asing yang sedang belajar mengenai manusia.

Hampir sahaja Ethan ketawa sendiri. Dia segera menggelengkan kepala, cuba untuk tidak menyerabutkan fikiran dengan ragam dan masalah orang lain. Tangan kanannya menyeluk saku seluar, jari-jemarinya mencari-cari di mana letaknya kad akses.

Eh? Aku rasa aku simpan dalam poket ni.

Dia mengeluarkan sekeping kad, tapi itu bukannya kad akses. Itu adalah kad hitam Maharaja.

Semak pula kad ni dalam poket. Baik buang.

Dia ingin membuangnya. Tapi sekali lagi, dia tidak menemukan tong sampah.

Sepatutnya ada satu kat sini.

Dia memandang sekeliling. Kali ini barulah dia perasan, tong sampah itu telah dialihkan sedikit jauh dari kawasan berbumbung dan sekarang ini sedang ditimpa hujan lebat.

“Tak sanggup aku,” gumam Ethan.

Biasanya, dia tiada masalah untuk mengalihkannya semula. Tapi tidak dalam hujan lebat sebegini. Dia menyimpan semula kad tersebut dalam poket sebelah lagi. Kali ini, tangannya menggenggam kad akses plastik yang bucunya sudah sedikit patah. Dia mengimbas kad itu pada panel keselamatan. Lampu bertukar hijau disertai bunyi bip yang perlahan.

Ethan melangkah masuk dan sebaik sahaja pintu masuk yang berat itu tertutup di belakangnya, bunyi hujan perlahan-lahan menjadi dengungan latar. Kini, dia disapa oleh bau ‘asli’ bangunan ini: campuran bau cat lama, dinding yang sentiasa lembap, dan sisa bau masakan jiran-jiran yang terperangkap di ruang kecil itu.

Ethan tidak terus berjalan. Dia mengangkat beg plastik di tangannya separas dada. Matanya mengecil, memeriksa isi kandungannya seperti seorang detektif yang sedang menyiasat bahan bukti jenayah.

Roti, selamat. Tin makanan, tidak kemek. Dadanya sedikit berdebar untuk melihat keadaan isi di dalam karton telur. Dengan cermat, dia membuka penutupnya. Sepuluh biji telur duduk di dalam sarang masing-masing. Sempurna. Tiada retakan.

Ethan menghembus nafas lega. Jika ada yang retak atau pecah, bermakna kuranglah satu hidangan untuk minggu ini. Matematik kemiskinan memang kejam.

“Nampak gayanya aku bertuah lebih hari ini,” bisik hatinya.

Ada sebab mengapa dia berkata demikian. Hari ini, dia dapat bekerja seperti biasa, Jordan belanja barang dapur, dan paling penting, dia sempat sampai ke rumah sebelum hujan turun. Tiga kemenangan kecil dalam satu hari.

Dia kemudian melangkah ke arah lif.

“Rosak lagi?”

Lif di hadapannya itu nampaknya sudah menjadi arca seni moden yang tidak berfungsi. Polanya sama. Rosak selama tiga bulan, selepas dibaiki, elok seminggu. Kemudian, rosak semula. Kertas notis ‘Sedang Diselenggara’ yang ditampal pada pintunya sengaja tidak dicabut. Ia sudah lusuh dan bergulung di bahagian bucu, bukti ia sudah lama di situ.

Dia memandang ke arah tangga. Dia tahu dia tiada pilihan lain.

Ethan melangkah tenang. Menaiki tangga bukanlah masalah besar untuk dirinya. Namun, di pertengahan tingkat dua, langkah Ethan mula perlahan.

Dia perasan seseorang sedang berjalan turun—Encik Greg, tuan rumah mereka.

Lelaki itu bertubuh gempal, dengan wajah yang sentiasa kelihatan bengkak seperti dia baru bangun dari tidur yang tidak pernah cukup. Dia mengenakan sweater coklat lusuh yang sama—seolah-olah itu satu-satunya pakaian yang wujud dalam almarinya.

“Selamat petang, Encik Greg,” sapa Ethan sopan.

Langkah berat Greg mati di anak tangga. Matanya yang kuyu mengecil, memandang Ethan dari atas ke bawah seperti sedang menilai barang buruk di pasar karat. “Kamu Ethan, kan?”

Ethan mengangguk, senyuman nipis dipaksakan. “Ya.”

Greg memeluk tubuh. “Kamu masih sekolah?”

“Universiti. Tahun akhir.”

“Universiti,” Greg mengulang perkataan itu, nadanya penuh dengan sinis yang tidak disembunyikan. Dia mendengus kasar. “Buang masa. Budak-budak sekarang sibuk kejar kertas, tapi tak tahu macam mana nak cari duit.”

Wajah Ethan terasa panas. “Saya… saya nak ubah nasib keluarga, Encik Greg.”

“Ubah nasib?” Greg ketawa, pendek dan kering, bunyi yang menyakitkan hati. “Dengar sini, budak. Ijazah tak bayar sewa. Kemahiran bayar sewa. Kerja keras bayar sewa. Kertas yang kamu kejar tu? Bila kamu keluar nanti, gaji kamu akan lebih rendah dari budak yang baiki paip jamban aku. Sia-sia.”

Kata-kata itu bukan sekadar kasar; ia berbisa kerana sebahagian daripadanya terasa benar. Realiti ekonomi memang pahit. Ethan ingin membalas, tapi dia memilih untuk berdiam diri. Melawan orang tua seperti Greg ibarat bercakap dengan dinding—sakit hati sendiri.

Greg tersenyum sinis. Wajahnya kelihatan puas kerana dapat ‘menyekolahkan’ budak universiti yang mentah ini. Dia menyambung langkah. Bahunya melanggar bahu Ethan dengan sengaja, namun tiada kata maaf yang diucapkan. Bunyi tapak kaki berat Greg bergema, seiring dengan bunyi guruh yang berdentum di luar.

Ethan diam sebentar di tangga. Tangannya menggenggam erat beg plastik itu sehingga buku limanya memutih. Rasa marah membuak-buak di dalam dadanya.

Tanpa disedari, kad hitam bertulisan Maharaja di dalam poket seluarnya bercahaya keemasan, bertindak balas dengan emosinya. Semuanya berlaku dalam tempoh sesaat sebelum kembali seperti biasa.

Tiada siapa yang perasan akan silauan cahaya itu, termasuk Ethan.

Dia menghembuskan nafas kasar, kemudian menggelengkan kepalanya beberapa kali.

“Setahun saja lagi,” bisik Ethan pada dirinya sendiri. “Habiskan apa yang kau mula, Ethan. Buktikan orang tua tu salah.”

Beberapa minit kemudian, pintu apartmen nombor 304 dibuka.

Bunyi klik kunci bergema perlahan. Ethan melangkah masuk. Tiada sesiapa di dapur. Rumah itu sedikit suram, hanya diterangi lampu dapur yang malap dan berdengung. Langkah Ethan terhenti seketika. Dia terdengar suara ibu dan bapanya.

Bergaduh lagi? soal Ethan dalam hati.

Cover Novel Melayu