Ethan kelihatan resah di dalam tidurnya, berguling dan berpusing di atas katil bujangnya seperti gasing yang hilang kawalan. Cadar melilit tubuh dan kaki, membalutnya seperti mumia yang belum siap. Selama ini, dia bukanlah jenis yang tidur buas.
Tapi entah mengapa malam ini, tubuhnya, sekalipun bukan dalam keadaan sedar, rasa sangat tidak selesa. Seperti ada sesuatu yang menarik tubuhnya ke dalam tilam. Tanpa dia sedar, nafasnya menjadi pendek, tidak teratur, dan perlahan-lahan, dia merasakan tubuhnya benar-benar ditarik ke bawah.
Bukan jatuh dari katil, tetapi tenggelam ke dalam tilam.
Pada mulanya, dia tidak benar-benar sedar kerana mindanya masih hanyut di sempadan antara sedar dan tidur. Namun, satu deria asing seakan-akan berbisik dan bergema di dalam mindanya, sebelum menjerit amaran bahawa ada sesuatu yang sangat tidak kena. Perasaan aneh mencengkam perutnya, seolah-olah graviti baru saja membuat keputusan untuk bertukar arah.
Matanya berkedip beberapa kali, sebelum terbuka luas.
“Apa… yang berlaku?”
Dadanya serta-merta terasa sesak, seperti baru ditindih sesuatu yang sangat berat. Dia bingkas bangun, tercungap-cungap mencari udara.
“Aku kat mana?!”
Panik mula merayap naik ke kerongkong saat dia memandang sekeliling. Ini bukan biliknya yang sempit dengan siling bertompok air. Ini… dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk menggambarkannya. Di sekelilingnya hanyalah kegelapan tanpa sempadan, kelam dan sunyi.
Tiada dinding, tiada lantai, tiada siling. Hanya ruang kosong yang terbentang luas, menelan segala cahaya.
Perlahan-lahan Ethan cuba berdiri, tapi ruang itu terasa seperti sedang berpusing. Rasa pening mencengkam kepala. Dia juga mula berasa mual.
Walaupun teragak-agak dan kehilangan deria arah, Ethan memaksa kakinya melangkah ke hadapan—atau sekurang-kurangnya ke arah yang dia rasa adalah hadapan.
“Aku tengah mimpi ke?” soalnya pada diri sendiri, suaranya sedikit gementar.
Ada satu perkara lagi yang dia risaukan. Jika dia tiba-tiba sahaja berdepan dengan perkara-perkara mistik atau… berhantu. Mana tahu apa yang pernah dia baca atau tonton di TV, sedang berlaku kepadanya.
Dia memandang sekeliling, mengharapkan jawapan, tetapi kegelapan itu kekal membisu. Dia cuba untuk bertenang. Menarik dan menghembus nafas beberapa kali. Dadanya sudah tidak sesesak tadi. Ethan memandang ke satu arah, mengumpul keberanian, dan melaung.
“Hello?!”
Perkataan itu bergema pelik. Ia bermula perlahan, kemudian gemanya seperti berkumpul dan bertindih menjadi lebih kuat dari sebelumnya. Apa yang lebih menakutkan adalah gema itu kembali semula kepadanya.
Hello… hello… HELLO!
Bunyi itu membingitkan telinga. Pantas Ethan menutup kedua-dua belah telinganya dengan tangan.
Pelik. Apa yang jadi? soal Ethan di dalam hati.
Dia memandang sekeliling. Gema tadi sudah berhenti. Kepalanya ligat memikirkan apa yang sedang berlaku. Dia akhirnya memutuskan untuk mencuba sekali lagi.
“Ada sesiapa di sini?!” jerit Ethan sekuat hati.
Kali ini, suaranya pecah, kedengaran sedikit terdesak. Gema itu datang lagi, lebih agresif. Kerana ayatnya lebih panjang, gema dan pantulannya lebih kuat. Gema itu seperti tadi. Ia tidak menghilang, sebaliknya bertindih-tindih, menggandakan bunyi menjadi satu korus huru-hara yang menyakitkan otak.
Ia terasa seperti seribu suara menjerit serentak tepat di gegendang telinganya. Ethan menekup telinga lebih kuat, matanya dipejam rapat, lalu menjerit dalam kemarahan.
“Hentikan!”
Suaranya sendiri kedengaran asing, seolah-olah milik orang lain.
Ajaibnya, gema itu serta-merta mati.
Sunyi.
Tubuh Ethan menggigil. Nafasnya pendek-pendek. Dia yakin, jika dia terperangkap lima minit lagi di sini, dia boleh jadi gila.
Sedang dia sibuk cuba memproses situasi gila ini, satu bunyi baru memecah kesunyian.
Tap… tap… tap…
Bunyi tapak kaki. Perlahan, tenang, dan beritma.
Ethan mengangkat wajah, berpaling ke arah bunyi itu.
Walaupun dalam kegelapan pekat, dia dapat melihat satu susuk tubuh sedang berjalan tenang ke arahnya. Jantung Ethan berdegup kencang. Dia kenal susuk tubuh itu.
Itu lelaki tadi. Lelaki yang dia langgar selepas balik dari kedai buku. Postur badannya, ketinggiannya—semuanya sama.
Aku mimpi dia ke? fikir Ethan. Sebab banyak sangat fikir pasal dia tadi?
Namun, sebaik sahaja mata Ethan fokus sepenuhnya pada susuk tubuh itu, dia menyedari satu perbezaan yang sangat ketara.
Lelaki itu tidak lagi berpakaian serba hitam.
Kali ini, dia serba putih.
Kot labuhnya putih bersih, sarung tangannya putih, malah topi tingginya juga putih bersinar. Dia memakai cermin mata dengan kanta putih susu dan penutup muka putih yang menyembunyikan separuh wajahnya.
Dengan latar belakang kegelapan pekat itu, penampilannya yang serba putih membuatkan dia kelihatan seperti bercahaya, seolah-olah dia sendiri adalah sumber cahaya dalam dunia penuh kegelapan ini.
Dahi Ethan berkerut. Dia tertanya-tanya sama ada lelaki ini adalah orang yang sama, atau individu yang berbeza sama sekali?
Lelaki itu melangkah tenang, merapati Ethan. Namun, sesuatu yang aneh berlaku. Tiada lagi bunyi tapak kaki. Dia bergerak dalam senyap. Lebih meresahkan, setiap kali Ethan mengelipkan mata, lelaki itu seakan-akan “melompat” ke hadapan.
Satu kelipan, dia sepuluh meter jauhnya. Kelipan kedua, lima meter. Kelipan ketiga, dia sudah berdiri betul-betul di hadapan Ethan.
Suasana serta-merta berubah seram. Bulu roma di tengkuk Ethan meremang tegak. Dia menelan liur, tekaknya terasa kering. Dia memaksa lidahnya berfungsi, mulutnya untuk berbicara.
“S-s-siapa kau?”
Lelaki serba putih itu tidak bersuara. Dia berdiri kaku seperti patung lilin. Walaupun matanya terlindung di sebalik cermin mata putih itu, Ethan tahu lelaki itu sedang merenungnya tembus ke jiwa.
Perlahan-lahan, lelaki itu mengangkat tangan kanannya. Dengan pergerakan tangan yang licik persis ahli silap mata profesional, enam keping kad berwarna putih muncul dari tapak tangannya, membentuk kipas. Dia mengipaskan kad-kad itu di hadapan Ethan.
Ethan memandang kad-kad itu, kemudian memandang wajah kosong lelaki itu.
“Kau nak aku pilih?” tanya Ethan.
Lelaki itu mengangguk sekali.
Tapi Ethan tidak bodoh. Selepas semua kejadian pelik hari ini, dia yakin bahawa semua ini bukanlah mimpi. Semua ini nyata. Dan dia perlu sahkan sesuatu sebelum bertindak.
Dia menarik nafas dalam, cuba menenangkan jantungnya yang sudah seperti ingin melompat keluar.
“Siapa kau? Aku di mana? Dan apa yang kau nak sebenarnya?” Dia berhenti sejenak sebelum menambah, “Lelaki serba hitam tadi… siapa dia? Apa maksud kad ‘Maharaja’ tu?”
Di sebalik topeng putih itu, Ethan dapat merasakan ekspresi lelaki itu berubah sedikit—mungkin terkejut, mungkin jengkel. Namun, dia kekal membisu. Sebaliknya, dia menggerakkan kad-kad di tangannya, menolaknya lebih dekat ke muka Ethan. Isyaratnya jelas: Pilih.
Anehnya, Ethan merasakan satu tarikan ke arah kad-kad tersebut. Tangan kanannya bergerak sendiri, mahu mencapai kad itu tanpa keizinannya. Ethan berkeras menahan tangannya di udara, melawan tarikan itu tapi tidak berjaya. Dadanya sesak. Mindanya ligat berputar.
Macam mana kalau ini perangkap? fikirnya. Macam mana kalau aku terikat dengan perjanjian syaitan yang aku tak boleh batalkan?
Walaupun dia bukan Jordan yang kaki filem, dia tahu klise sebegini. Semua ini merupakan setting terbaik untuk filem seram, perjanjian syaitan atau korban ritual yang bukan-bukan.
Ethan mengeluh kasar. Dia tahu dia tiada pilihan. Dia terperangkap di sini. Tubuhnya juga bukan di bawah kawalannya lagi. Cuma dia tahu, dia masih mampu mengawal untuk membuat pilihan.
“Baiklah,” kata Ethan, mengalah. “Aku akan pilih satu. Tapi lepas tu, kau kena jawab soalan aku.”
Dia membiarkan tangannya bergerak mengikut naluri, jari telunjuknya menyentuh salah satu kad.
“Aku pilih ini.”
Dia menarik kad itu dan menterbalikkannya. Sama seperti kad hitam sebelum ini, hanya ada satu perkataan di tengah-tengah kad putih itu, tertulis dengan dakwat hitam pekat yang kontras.
MAHARAJA
ZAP!
Cahaya putih meledak, menyilaukan pandangan Ethan sehingga dia terpaksa memejamkan mata.
Cahaya itu seakan-akan menelannya hidup-hidup, membalut tubuhnya. Sesaat kemudian, dia dapat rasakan seperti tarikan graviti semakin berkurang. Tubuhnya mula terapung.
“Apa… yang berlaku?”
Ethan memandang sekeliling. Kegelapan di sekeliling mereka mula retak. Muncul di sebaliknya adalah sebuah visual yang tidak pernah dia bayangkan.
Bibirnya bergerak, membisikkan soalan yang tiada siapa dapat mendengarnya.
“Apa… semua ni?”