Bandar Bayan – Astria
Selasa, 20 Jun 2034
Enam tahun sebelum.
Bandar Bayan merupakan sebuah bandar pesisir di negara Astria, negara asal Kael. Dulu, bandar ini terkenal sebagai destinasi percutian. Pantainya cantik, ombaknya ideal untuk luncur air, dan segala aktiviti air. Ia menjadi tarikan pelancong seluruh dunia.
Namun, semua itu berubah sejak peristiwa enam tahun lalu. Ketika itu Kael baru berusia dua belas tahun.
Segalanya bermula dengan gegaran kuat yang disangka gempa bumi. Gempa bumi itu berlangsung selama hampir sepuluh minit, satu tempoh yang cukup lama untuk menimbulkan panik di seluruh bandar. Orang ramai berlari menyelamatkan diri, bukan kerana risau bangunan akan runtuh semata-mata, malah mereka juga bimbang tsunami bakal melanda.
Tapi itu jugalah yang membuatkan orang ramai keliru apabila gempa bumi itu berhenti.
Tiada bangunan runtuh.
Tiada korban dicatatkan.
Tiada sebarang tanda kemusnahan.
Sebaliknya, sesuatu yang mustahil berlaku. Kira-kira lima kilometer dari pesisir Laut Sutera, sebuah pulau baharu muncul secara tiba-tiba. Dan di atas pulau itu, menjulang satu binaan gergasi setinggi empat hingga lima kilometer, dan puncaknya hampir tidak kelihatan, seolah-olah menembusi awan.
Strukturnya berlingkar dari dasar hingga ke puncak, seperti gabungan menara dan lingkaran tak berpenghujung. Di sepanjang dindingnya terukir simbol-simbol asing yang bercahaya samar, simbol atau bahasa yang tidak pernah dikenal pasti oleh mana-mana ahli linguistik moden.
Akhirnya, setelah beberapa bulan berlalu, para pengkaji sebulat suara menyimpulkan tulisan itu berasal daripada Bahasa-bahasa Purba, bahasa yang sudah lenyap ribuan atau jutaan tahun dahulu dari Gaia.
“Negara-Negara Bersekutu telah menubuhkan sebuah majlis yang dikenali sebagai Majlis Menara Gaia, terdiri daripada Pengkaji Menara dan Tentera Khas Menara,” demikian ucapan rasmi Presiden Tron.
Kael masih ingat dengan jelas nada yakin lelaki itu — presiden negara Emiria, yang selalu bertindak seolah-olah mereka adalah pemerintah seluruh dunia.
“Tempoh masa lima bulan akan diberikan kepada pasukan Pengkaji Menara untuk menentukan sama ada binaan tersebut membawa manfaat atau ancaman kepada penduduk Gaia.”
Pengumuman itu kedengaran biasa, namun sejak hari itu, Bandar Bayan terus berubah wajah sepenuhnya. Dataran yang dahulunya dipenuhi pelancong kini menjadi tapak perkhemahan bagi ribuan pengkaji, jurutera, dan tentera dari seluruh Gaia. Masih ada pelancong yang datang, namun mereka diarahkan untuk tidak mengganggu urusan Majlis Menara Gaia — sebuah majlis yang dibentuk semata-mata kerana Menara Seribu.
Tidak cukup dengan itu. Setiap hari, puluhan kapal udara dan konvoi saintifik mendarat di pelabuhan, membawa peralatan, dokumen, dan harapan. Begitu juga dengan kapal-kapal perang dari Negara-negara Bersekutu, membawa anggota-anggota elit mereka.
Ada yang menyelam, mencari dasar pulau misteri yang menempatkan menara itu. Ada yang mendarat di atas pulau semata-mata untuk mengkaji tanah, tumbuhan, dan batu-batu ganjil di situ. Apapun, kajian paling utama adalah terhadap menara itu sendiri.
Berdasarkan ukuran awal, struktur menara itu dianggarkan setinggi seribu tingkat, satu anggaran yang didasarkan kepada ketinggian purata satu aras bangunan biasa dan ketinggian dari tanah ke puncak. Penemuan itu membuatkan para pengkaji sepakat menamakannya sebagai Menara Seribu.
Namun, lima bulan berlalu tanpa sebarang hasil yang nyata.
Walaupun pasukan Pengkaji Menara menghimpunkan cerdik pandai terbaik dunia, mereka masih buntu. Bahasa purba yang terukir di permukaan menara itu terlalu kompleks. Daripada tujuh belas bahasa purba yang tercatat dalam sejarah Gaia, tiada satu pun yang mereka kuasai dan faham sepenuhnya.
Tidak banyak yang dapat mereka terjemahkan. Sebaliknya, segala terjemahan itu hanya menimbulkan semakin banyak persoalan dan keraguan. Para pengkaji bukan hanya mengkaji simbol-simbol, mereka turut mengkaji bahan yang digunakan untuk membina menara ini, namun tiada satu alat pun yang dapat digunakan untuk mendapatkan walau secebis sampel dinding Menara Seribu.
Ia terlalu kukuh dan mereka tidak boleh membawa sebarang teknologi terkini ke atas pulau tersebut. Kemudian, sebahagian pengkaji memilih untuk mengkaji reka bentuknya. Itulah yang membawa kepada penemuan satu bahagian yang dikenali sebagai Gerbang Utama. Sekalipun begitu, tiada apa yang mampu mereka pelajari selagi mana gerbang itu tertutup rapat.
Usaha demi usaha dilakukan untuk membuka gerbang itu, namun semuanya menemui jalan buntu. Apabila setiap kaedah yang diketahui oleh manusia gagal, satu cadangan terakhir yang radikal akhirnya dikemukakan: mereka akan cuba membuka pintu itu dengan menggunakan kuasa pemusnah terkuat di Gaia.
Senjata itu akan dilancarkan dari jarak paling hampir dengan menara — betul-betul di sempadan di mana teknologi canggih mereka masih mampu berfungsi, sebelum ia lumpuh sepenuhnya oleh medan aneh yang dipancarkan oleh menara itu.
Cadangan tersebut serta-merta memecahkan dunia kepada dua pihak dengan pandangan yang berbeza. Sebahagian negara setuju, yang lain membantah keras.
Mereka yang menentang berhujah, “Bagaimana jika sebaik sahaja pintu itu terbuka, malapetaka melanda Gaia? Jika ia datang dari zaman purba, kita tidak tahu apa yang menanti di dalamnya.”
Namun, kuasa veto akhirnya menentukan. Daripada tujuh negara utama, empat menyokong dan tiga membangkang. Keputusan dicapai: Gerbang Utama akan diletupkan.
Persiapan berlangsung selama seminggu penuh. Armada laut terkuat dunia berkumpul di Laut Sutera, setiap kapal perang berada pada posisi yang telah ditetapkan. Di udara, pesawat pejuang berlegar dan berlatih berulang kali, mensimulasikan pengeboman dan tembakan tepat ke arah sasaran. Penduduk di kawasan sekitar dipindahkan ke bunker berhampiran.
Seluruh dunia menahan nafas.
Pada hari tersebut, mereka yakin, rahsia terbesar Menara Seribu akan diketahui oleh manusia buat pertama kali.
Ketika itu, Profesor Radiz Novera, bapa kepada Kael, berdiri di atas geladak kapal utama. Beliau bukan sebarang manusia. Dunia mengiktirafnya sebagai antara individu paling bijaksana yang pernah hidup. Sekalipun dia adalah individu penting dalam kumpulan Pengkaji Menara, dia memilih untuk turut serta dalam misi paling berbahaya dalam sejarah manusia — serangan terhadap Menara Seribu.
Dari tempatnya di hujung kapal, Radiz berdiri paling hampir dengan binaan gergasi yang menjulang di tengah Laut Sutera. Angin laut berhembus kuat, membawa bau besi dan bahan letupan yang sudah disiapkan.
“Aku harap kau bertindak balas, Menara Seribu,” bisiknya dalam hati, seolah-olah berbicara dengan sesuatu yang mampu mendengar.
Sebagai seorang pengkaji, dia sendiri tidak pernah bersetuju dengan tindakan ini. Individu sepertinya percaya bahawa setiap misteri harus dirungkai dengan ilmu, bukan dengan senjata. Namun, perintah telah dikeluarkan. Tiada siapa mampu membantah.
Di sisinya berdiri Scott, sahabatnya, berpakaian seragam makmal berlapik kevlar. Wajahnya tegang menahan angin laut yang kencang.
“Kau pasti ini jalan terbaik?” tanya Scott perlahan.
Radiz tidak terus menjawab. Dia hanya menggeleng perlahan, sebelum mengukir senyum nipis.
“Kau sendiri tahu,” katanya tenang, “misteri dunia sebegini takkan dibuka dengan kekerasan. Cuma, kita yang tidak berjaya menemukan kuncinya.”
Scott menunduk lemah. “Mungkin bukan kita yang ditakdirkan untuk merungkai misteri menara ini?”
Pertanyaan itu membuatkan Radiz termenung lama. Dia tiada jawapan untuk soalan Scott. Pandangannya masih lagi tertumpu pada Menara Seribu.
Sementara itu, seluruh armada di sekeliling sudah bersedia. Senjata tenaga, peluru berpandu, dan pesawat pejuang berada di posisi masing-masing, menanti arahan terakhir.
Radiz menarik nafas panjang.
“Jika ini satu-satunya cara,” bisiknya perlahan, “biarlah ia berhasil.”
Namun, sebelum sebarang tembakan dilepaskan, seluruh Laut Sutera tiba-tiba diselubungi cahaya biru terang. Ia bukan cahaya biasa, tetapi pancaran dari permukaan Menara Seribu sendiri.
“Apa yang berlaku?!” jerit salah seorang anggota Tentera Khas Menara yang berdiri tidak jauh dari Radiz. Suaranya tenggelam dalam gegaran yang semakin kuat.
Radiz tidak menjawab. Dia sendiri tidak tahu apa yang sedang terjadi. Angin laut tiba-tiba menjadi berat, seolah-olah seluruh dunia sedang ikut terkejut. Bunyi berkeriut bergema di udara — panjang dan dalam — seperti pintu purba yang baru dibuka selepas ribuan tahun terkunci.
Serentak, gelombang tenaga melanda kapal. Dinding logam bergetar, air laut memercik naik ke udara, dan sekelip mata kemudian, cahaya biru yang menyilaukan memancar keluar dari arah Menara Seribu.
Jeritan dan bunyi kelam-kabut kedengaran di mana-mana. Semua orang menutup mata, ada yang terjatuh, ada yang berpegang pada pagar kapal. Visor berteknologi tinggi yang sepatutnya menapis cahaya juga gagal berfungsi; sistem optik mereka terlalu lemah untuk menghadapi tenaga sebesar itu.
Cahaya itu terlalu kuat. Terlalu terang.
Namun, Radiz masih berdiri di tempatnya. Tangannya menahan tiupan angin yang deras, matanya separuh tertutup. Dia memaksa diri untuk melihat, menahan pedih dan silau, kerana dia tahu, di sebalik cahaya itu, ada sesuatu yang luar biasa sedang berlaku.
Gerbang Utama itu… terbuka.
Bukan sepenuhnya, tetapi cukup untuk menampakkan cahaya putih terang dari dalamnya. Dia mencondongkan badan, cuba mencari apa yang tersembunyi di sebalik sinaran itu.
“Takkan itu saja…” gumamnya perlahan. Dia yakin ada sesuatu di sebalik gerbang itu. Bukan hanya cahaya semata-mata.
“Kau cakap apa?!” jerit Scott, masih menunduk dan menutup wajah dengan lengannya.
Belum sempat Radiz membalas, satu cahaya keemasan meluncur keluar dari Gerbang Utama.
BAM!
Ada objek yang dibawa oleh cahaya itu dan ia menghentam pagar kapal di mana Radiz berdiri, memercikkan api dan serpihan besi ke udara. Objek itu terus terseret di atas dek, sebelum berhenti di tepi dinding kapal.
“Apa pula kali ini?” tanya Scott, panik. Dia bimbang tindakan mereka dianggap serangan oleh Menara Seribu, dan menara itu kini membalas. Jika itu benar, mereka memang benar-benar telah mengundang malapetaka.
Namun, Radiz pula mempunyai pendapat yang berbeza. Dia memandang tepat ke arah sumber cahaya yang kini perlahan-lahan pudar. Di situ, terbaring sebuah bongkah besi berwarna hitam, masih berasap.
Perlahan-lahan, senyuman terukir pada wajahnya.
“Beritahu Jeneral Samer untuk hentikan serangan,” katanya kepada salah seorang anggota berdekatan tanpa menoleh, suaranya tenang namun tegas. “Kita baru saja menemui petunjuk baharu.”
“Apa maksud kau?” soal Scott lagi.
Tiada jawapan. Radiz sudah melangkah ke hadapan, menghampiri bongkah itu.
Yang lain masih menunduk, tidak mampu membuka mata akibat silau biru yang masih menyelubungi kawasan sekitar. Namun Radiz, dengan rasa ingin tahu yang tidak pernah padam, terus berjalan.
Dia tahu, di hadapannya kini mungkin kunci pertama untuk rahsia pertama Menara Seribu.