“Profesor Radiz minta kita tangguhkan serangan?”
Suara garau itu datang daripada seorang lelaki berseragam penuh, lengkap dengan lambang Tentera Khas Menara di dada. Dialah Jeneral Samer, komandan tertinggi bagi keseluruhan pasukan yang kini beroperasi di Laut Sutera.
Dia duduk di kerusi pemerintahannya, di dalam bilik kawalan khas kapal induk. Ruangan itu dimandikan cahaya biru dari peta holografik yang berputar perlahan, dikelilingi puluhan skrin kawalan, dan dipenuhi bunyi deruan sistem tenaga kapal yang tidak pernah berhenti berdengung.
“Ya, tuan,” jawab seorang anggota muda yang berdiri tegak di hadapannya. “Profesor Radiz melaporkan bahawa Menara Seribu baru saja memberikan petunjuk baharu.”
Jeneral Samer mengerutkan dahi. “Petunjuk? Mana buktinya?”
Nada suaranya dingin dan tidak sabar. Dia sangat terkenal sebagai seorang yang tegas dan garang. Dia tidak mudah percaya pada kata-kata para pengkaji, apatah lagi sejak Majlis Menara Gaia ditubuhkan. Beban dan tekanan yang digalasnya kini jauh lebih berat daripada medan perang biasa.
Anggota itu, tanpa teragak-agak, segera mengeluarkan sebuah tablet data dan menyerahkannya kepada Jeneral Samer.
Beberapa fail video dan gambar resolusi tinggi terpapar di skrin. Semuanya adalah rakaman jelas dari pelbagai sudut, menunjukkan bongkah besi hitam yang ditembak keluar dari Menara Seribu, menembusi udara, dan jatuh tepat ke atas dek kapal pengkaji di mana Radiz berada.
“Rakaman CCTV dari kapal penyelidik, tuan,” jelasnya cepat.
Jeneral Samer meneliti setiap video dan gambar itu dengan pandangan tajam, matanya tidak berkelip.
“Apa isi di dalam bongkah itu?” tanyanya perlahan, suaranya kini lebih serius.
Anggota yang sama membuka satu lagi fail video berkod. Kali ini, rakaman menunjukkan Radiz, Scott, dan beberapa pengkaji lain sedang membuka bongkah tersebut di bawah pengawasan anggota keselamatan. Apabila penutupnya berjaya ditanggalkan, kelihatan sebuah skrol usang terbaring di dalamnya.
Sebaik skrol itu dibuka, ia mendedahkan deretan simbol kompleks yang tidak difahami sesiapa.
“Bahasa Purba lagi?” tanya Jeneral Samer, lebih kepada dirinya sendiri.
“Ya, tuan. Profesor Radiz percaya ia berkait langsung dengan kunci Gerbang Utama,” balas anggota itu sambil mengangguk.
Suasana dalam bilik kawalan menjadi senyap serta-merta. Hanya bunyi mesin yang berdengung dan desiran halus sistem pengudaraan kedengaran.
Jeneral Samer duduk bersandar perlahan, menatap skrin tablet yang masih memaparkan simbol-simbol aneh itu. Fikirannya jelas sedang menimbang pilihan.
Akhirnya, dia memandang dua orang pengawal khas yang berdiri tegap di belakangnya. Mereka segera mengangguk, faham bahawa satu keputusan telah dicapai.
“Baiklah,” katanya akhirnya. Suaranya tegas, rendah, dan padat dengan muktamad. “Beritahu Profesor Radiz dan pasukan Pengkaji Menara… aku beri mereka dua minggu sahaja.”
Dia berhenti sejenak, matanya memandang peta holografik Menara Seribu di hadapannya.
“Kalau selepas itu tiada hasil, kita teruskan dengan serangan.”
***
Bandar Bayan – Astria
Isnin, 26 Jun 2034
Beberapa hari kemudian di apartmen Profesor Radiz Novera di Bandar Bayan.
“Kael, ayah ada sesuatu,” kata Profesor Radiz Novera sebaik melangkah masuk ke dalam apartmen.
Nada suaranya kedengaran letih, tetapi terselit satu getaran yang Kael kenali iaitu keterujaan seorang pengkaji yang berjaya menyelesaikan teka-teki baru.
“Petunjuk baru?” Kael serta-merta bertanya. Matanya bersinar. Dia yang sedang leka bermain permainan video segera menutup konsolnya. Dia melangkah cepat ke arah meja makan, menanti bapanya untuk duduk.
Sejak kecil, Radiz sudah memupuk minat terhadap ilmu dalam diri anak tunggalnya itu. Walaupun baru berusia dua belas tahun, Kael sebenarnya sudah layak diserap ke dalam pasukan Pengkaji Menara. Namun, ada satu perkara yang Radiz rahsiakan daripada dunia. Tahap kecerdasan Kael jauh melebihi dirinya sendiri. Dia memilih untuk menyembunyikan fakta itu, bukan kerana iri, tetapi untuk melindungi anaknya. Biarlah dia sahaja yang membesarkan genius seperti Kael dengan acuannya sendiri.
Ketika itu, Caroline, ibu Kael, sedang memasak di dapur. Walaupun tangannya sibuk, telinganya tetap menangkap setiap perkataan yang keluar dari mulut dua beranak itu. Dia, sama seperti seluruh dunia, masih dibayangi rasa ingin tahu terhadap misteri Menara Seribu.
“Hari tu, Menara Seribu berikan sesuatu,” ujar Radiz sambil berjalan ke meja makan. Dia menanggalkan beg galas dan duduk, melepaskan keluhan berat.
“Benda yang keluar dari Gerbang Utama?” tanya Kael.
Radiz mengangguk. Dia mengaktifkan tabletnya. “Jeneral Samer beri kami dua minggu. Dah hampir seminggu kami cuba, tapi masih buntu.”
Rakaman video mula dimainkan, menunjukkan detik bongkah besi hitam itu dibuka, mendedahkan sebuah skrol usang. Kemudian, imej skrol itu terpapar di skrin, penuh dengan deretan simbol yang kompleks.
Kael menonton dengan penuh tumpuan. Matanya tidak berkelip, meneliti setiap simbol.
Radiz tersenyum melihat reaksi anaknya. “Kalau ayah berikan kamu tugas untuk terjemahkan skrol ini, boleh?”
Kael berdiam diri buat seketika. Pandangannya masih tertumpu pada skrin. Kemudian dia berpaling kepada bapanya dan tersenyum kecil.
“Jangan cakap kamu dah siap terjemah?” tanya Radiz perlahan. Dia agak risau untuk mendengar balasan daripada anaknya itu.
“Ini kunci ke Menara Seribu,” jawab Kael, tenang dan yakin.
Radiz ketawa kecil sambil menghela nafas panjang. “Tak seronoklah tanya kamu ni. Kami semua dah hampir gila cuba menterjemah, kamu tengok sekali dah boleh terjemah.”
Kael hanya ketawa kecil. Caroline, yang baru selesai di dapur dan membawa dulang minuman, turut menghampiri mereka.
“Memang betul kunci?” tanyanya ingin tahu. “Maksudnya… kita dah boleh masuk ke Menara Seribu?”
Radiz menunjukkan imej skrol purba itu kepada isterinya. “Bukan kunci seperti yang kamu bayangkan. Ia cuma segulung skrol.”
Caroline mengerutkan dahi. Dalam gambar itu, jelas kelihatan kertas usang penuh dengan simbol-simbol aneh. “Macam mana benda ni boleh jadi kunci?” soalnya, kebingungan.
Kael pula sudah terpaku kembali, menatap simbol-simbol tersebut. Radiz tidak perlu bertanya; dia tahu anaknya sedang menganalisis pada tahap yang dia sendiri tidak mampu capai. Minda Kael bergerak pantas, seperti mesin yang sedang memproses ribuan maklumat serentak.
Dia juga tahu sekarang ini minda Kael sedang menyusun semua ini supaya mudah untuk diterangkan kepada dia dan isterinya.
Benar seperti yang disangka, beberapa minit kemudian, Kael bersuara perlahan. “Ini… Bahasa Purba Tuban.”
Caroline tersentak kecil. Dia tidak pernah mendengar nama bahasa itu itu. Radiz, walau sudah menjangkakannya, tetap tersenyum bangga.
“Bahasa Purba Tuban,” jelas Radiz kepada Caroline, “ialah bahasa dari peradaban purba yang sangat besar. Dulu, hampir satu perempat dunia dikuasai oleh mereka.”
“Purba? Sejauh mana purbanya?” tanya Caroline lagi.
“Sekurang-kurangnya sejuta tahun,” jawab Radiz. “Ada teori mengatakan mereka datang dari dunia lain.”
Caroline menarik nafas panjang. Dulu dia menganggap kisah-kisah sebegitu cuma fantasi para pengkaji. Namun selepas hidup bersama Radiz, dan memiliki anak seperti Kael, dia tahu segala kemungkinan itu bukan mustahil.
Radiz menoleh ke arah anaknya. “Berapa yakin kamu ini Bahasa Tuban?”
Soalan itu berasas. Tiada sesiapa dalam Majlis Menara Gaia yang benar-benar menguasai bahasa tersebut. Ia dianggap mustahil difahami kerana terlalu kompleks; hanya beberapa coraknya pernah berjaya ditafsir.
Kael mengangkat kepalanya perlahan. “Seratus peratus yakin,” katanya sambil menunjuk pada baris pertama simbol itu. “Saya memang dah dapat terjemah keseluruhan skrol.”
Radiz tersenyum bangga dan dalam masa yang sama, dia juga sangat teruja untuk mengetahui maksud semua ini.
“Apa maksudnya?” tanya Caroline penuh debar.
Kael menyentuh skrin, matanya meneliti setiap simbol, dan dia mula membaca dengan suara perlahan, seakan berbisik kepada sesuatu yang sedang mendengar di seberang sana.
“Apabila seratus dunia bersatu di bawah langit yang sama,
maka Menara akan terbuka semula.
Di antara mereka,
hanya satu yang memegang ingatan yang bukan miliknya.
Dia akan membuka pintu yang tiada kunci,
membaca lambang yang tiada nama,
dan memanggil cahaya dari langit yang tiada bintang.
Seratus dunia akan menunduk,
dan satu suara akan memecahkan sunyi antara alam.
Bangkitlah para Pendaki,
bangkitlah untuk ujian terakhir manusia.
Dari detik ini, takdir tidak lagi tertulis,
kerana yang memasuki pintu itu,
ialah yang akan menulis semula segalanya.”
Caroline dan Radiz serentak menarik nafas panjang.
Apa yang baru dibacakan oleh Kael membuatkan bulu roma mereka meremang. Nada suara Kael datar dan tenang, namun setiap perkataan itu seolah-olah membawa gema purba yang bergema di dalam dada mereka.
Caroline memandang anaknya dengan wajah separuh tidak percaya. “Kamu… betul tak reka cerita ni?”
Kael hanya tersenyum kecil sambil menggeleng. “Buat apa saya nak tipu?”
Jawapan itu membuatkan Caroline terdiam. Dia tahu anaknya tidak pernah berbohong tentang hal-hal sebegini; Kael bukan jenis yang gemar bergurau, apatah lagi dengan sesuatu yang berkaitan ilmu dan sejarah.
Dia berpaling kepada Radiz. Wajah suaminya kini bersinar terang, matanya terbuka luas penuh keterujaan murni — keterujaan seorang pengkaji yang berada di ambang penemuan teragung.
“Itu bahagian atas skrol, kan?” tanya Radiz perlahan, suaranya sedikit bergetar, sambil menunjuk ke hampir tiga perempat helaian kertas pada imej di tablet itu.
Kael mengangguk. “Ya. Bahagian bawah ini pula… mantera yang perlu dibaca di hadapan Gerbang Utama, sambil… tapak tangan kanan menyentuh permukaannya.”
Radiz memandang Kael. Ada jeda dalam nada suara anaknya. Dia dapat mengesan satu kelompongan — sesuatu yang sengaja ditinggalkan — oleh Kael. Dia kenal anaknya; ia pasti sesuatu yang tidak sesuai untuk diceritakan di hadapan Caroline.
Caroline tidak perasan semua itu. Dia masih terbuai. Rasa takutnya yang asal kini telah hilang, diganti dengan satu debaran keterujaan yang sukar dijelaskan, seolah-olah mereka baru sahaja melangkah masuk ke dalam sebuah dunia yang tersembunyi.
Kael menarik nafas perlahan. Dia menumpukan perhatian pada gambar isi skrol yang ada di hadapannya. Jauh dari apartmen itu, di dalam bilik kebal Majlis Menara Gaia, tanpa dilihat oleh sesiapa, skrol purba yang asli itu mula bercahaya samar, seolah-olah ia sedar bahawa seseorang, selepas sekian lama, akhirnya akan membacanya semula.
Kemudian, dengan suara tenang dan jelas, Kael mula membaca mantera itu.
“Dengan izin Dia yang menyaksikan segalanya,
dengan hati yang tidak tunduk kepada takut,
aku seru nama dunia-dunia yang dilupakan.
Wahai Menara yang dijaga oleh Dia,
bukalah pintumu kepada mereka yang masih berani mencari kebenaran.
Dari bumi aku datang, membawa beban manusia,
kepada langit aku memulangkan segala rahsia.
Terbukalah, wahai Menara,
bukan kerana aku layak,
tetapi kerana masa sudah tiba.”
Radiz tersenyum lebar. Benarlah seperti apa yang dia sangka. Simbol-simbol ini adalah kunci.
Kunci kepada rahsia dunia yang hilang.