Ibu Pejabat Majlis Menara Gaia
Isnin, 26 Jun 2034
Bangunan khas buat Pengkaji Menara di Ibu Pejabat Majlis Menara Gaia masih terang-benderang, menentang kegelapan malam. Walaupun sudah hampir tengah malam, deretan skrin masih menyala, dan suara-suara perbincangan yang letih berselang-seli dengan bunyi papan kekunci ditekan.
Masih ramai pengkaji yang belum pulang. Di antara mereka ialah Scott, rakan baik Radiz sejak zaman universiti. Wajahnya tegang, keletihan jelas terukir di bawah matanya. Dia menoleh sebaik melihat Radiz melangkah masuk.
“Kau nampak macam baru menang loteri, Radiz,” usik Scott, suaranya serak. Dia mengangkat cawan kopinya yang sudah lama sejuk. “Kami yang lain dah macam mayat hidup.”
Radiz meletakkan begnya di atas meja, senyuman yang sukar disembunyikan terselit di bibirnya. “Mungkin lebih baik dari loteri,” katanya. “Kael dah dapat jawapan.”
Cawan kopi di tangan Scott terhenti tidak jauh dari mulutnya. Dia terdiam. Untuk seketika, dia fikir dia tersilap dengar. Namun, melihat wajah tenang Radiz, debaran mula terasa.
“Kael? Maksud kau… anak kau?” Suara Scott sedikit meninggi. “Dia berjaya terjemah skrol tu? Benda yang dua puluh satu orang genius di sini tak boleh pecahkan?”
Radiz mengangguk perlahan. “Panggil mereka yang lain.” Sebelum sempat Scott menambah soalan, Radiz berkata, “Aku yakin kita boleh cuba membuka Gerbang Utama malam ini juga.”
“Kau serius?” Scott terbatuk kecil. “Radiz, kita belum…”
“Aku dah maklumkan Tentera Khas Menara,” potong Radiz. “Katanya Jeneral Samer sendiri akan datang ke sini untuk menilai penemuan terbaru ini.”
“Jeneral Samer?” soal Scott, nadanya serta-merta berubah, tidak senang mendengar nama itu.
Radiz tersenyum kelat. Dia juga sama seperti Scott dan Pengkaji Menara yang lain. Kehadiran Jeneral Samer memberikan mereka tekanan berlebihan, kerana lelaki itu sentiasa menekan-nekan para pengkaji untuk memberikan keputusan segera, seolah-olah ilmu pengetahuan boleh dipaksa keluar.
“Kita terpaksa. Kalau aku bergerak sendiri, risau aku dianggap sebagai ancaman,” ujar Radiz perlahan, sebelum memandang Scott. Scott mengangguk faham.
“Dah. Panggil yang lain, aku nak kongsikan terjemahan tu sebelum Jeneral Samer sampai,” ujar Radiz.
Scott tidak menunggu. Dia terus berlari ke bilik para Pengkaji yang lain, menekan butang komunikasi di sepanjang laluan. Dalam masa sepuluh minit, bilik mesyuarat di tingkat atas sudah dipenuhi dua puluh satu orang pengkaji utama.
Mereka semua adalah wajah-wajah yang Radiz kenal. Wajah yang bersama-sama dari awal, ada juga yang sudah dia bekerjasama sebelum kemunculan Menara Seribu lagi. Masing-masing kelihatan letih dan skeptikal, tapi mereka tetap datang kerana mereka inginkan jawapan untuk misteri Menara Seribu.
Kwame, pengkaji paling muda di situ, bersuara dulu. “Radiz… aku bukan nak merendahkan sesiapa, tapi aku dengar apa yang kau dan Scott cakap di bawah tadi.”
Dia tersenyum sinis sebelum menambah, “Anak kau yang terjemah? Tahu ke budak tu nak baca Bahasa Purba?”
Para pengkaji yang lain memandang Radiz. Mata mereka sudah cukup memberikan isyarat; mereka inginkan jawapan. Jika benar ini adalah terjemahan daripada seorang budak mentah, mereka hanya membuang masa.
Scott memandang Radiz, bimbang. Dia tahu Radiz tidak ingin rahsia mengenai kecerdasan Kael diketahui oleh umum. Tapi, Radiz kelihatan sangat tenang, seolah-olah dia tidak peduli jika rahsia itu terbongkar malam ini.
“Dunia kita berubah enam tahun lalu, Kwame,” ujar Radiz, suaranya tenang. “Apa yang kita anggap mustahil semalam, adalah realiti kita hari ini. Jadi, apa yang pelik jika ada genius muda yang mampu menterjemah Bahasa Purba?”
Wajah Kwame berubah kelat. Selama ini dia selalu mengatakan bahawa sekalipun dirinya masih muda, ilmunya tidak sedikit pun kurang berbanding pengkaji-pengkaji senior.
Melihatkan reaksi Kwame, Scott ketawa kecil, tapi Radiz sekadar tersenyum. “Jangan bising-bising, Kwame. Kau sendiri tidak suka orang memandang rendah kerana kau masih muda. Sekarang, ada budak yang boleh terjemah Bahasa Purba Tuban, kau nak pertikaikan pula?”
“Bahasa Purba Tuban?” Suara Kwame meninggi sedikit, masih ragu-ragu. “Bukan ke itu bahasa purba paling susah? Yang kita semua gagal kuasai selama ni?”
“Mungkin selepas ini kita akan lebih menguasainya,” Radiz mengangguk yakin. “Aku yakin untuk permulaan, Menara Seribu memerlukan penguasaan Bahasa Purba Tuban. Jadi, bawalah buku mengenainya setiap masa.”
“Tapi, macam mana anak kau tahu? Kenapa kami semua kena percaya?” soal Kwame lagi, tidak mahu mengalah.
Sebenarnya, soalan itu turut bermain di dalam fikiran para pengkaji yang lain. Mereka memilih untuk berdiam diri kerana bukan gaya mereka untuk bertekak. Jika ada seorang saja yang mengetengahkan isu, itu sudah mencukupi.
Scott sudah mula hilang sabar dengan soalan-soalan dari Kwame. Dia terus mencelah, “Kwame, kalau tak percaya, cuba kau terjemah sendiri. Baris pertama. Beri aku satu perkataan yang masuk akal.”
Beberapa pengkaji berpandangan. Kwame mengetap bibir, egonya jelas terbakar. Dia terus mencapai tabletnya. Jari-jemarinya ligat memadankan simbol, matanya fokus. Bilik itu senyap, hanya kedengaran bunyi skrin disentuh.
Selepas beberapa minit yang tegang, Kwame mendengus. “Ini… ‘kuasa’… atau mungkin ‘api’? Aku tak pasti.”
Radiz memandang yang lain.
“Ada sesiapa lagi?”
Tiada yang menjawab.
Seorang pengkaji senior di belakang bersuara, “Sudahlah, Radiz. Tunjukkan sajalah terjemahannya. Kita buang masa. Jangan kau layankan lagi Kwame.”
Kwame menunduk sedikit, egonya benar-benar tercalar.
Radiz tersenyum sebelum berkata perlahan, “Baiklah.”
Dia menghubungkan tabletnya ke projektor utama. Dia sudah menyusun terjemahan itu dalam satu bentuk persembahan slaid. Saat dia membuka slaid tersebut, semua simbol kuno yang ada pada skrol purba itu terpampang di skrin besar.
Radiz kemudiannya menekan satu butang. Serta-merta, di bawah setiap simbol Bahasa Purba Tuban itu, muncul terjemahan dalam bahasa Gaia moden.
Semua mata yang memandang terpaku. Bilik itu senyap sunyi. Tiada sesiapa yang bersuara.
“Biar betul…” Hanya itu yang terucap dari salah seorang pengkaji. Entah kenapa, mereka semua yakin bahawa terjemahan ini adalah tepat. Ia bukan sekadar padanan perkataan; ia membawa maksud yang jelas dan lengkap.
Scott memandang Radiz, rasa kagum jelas di wajahnya. Dia tersenyum puas sebelum menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu. “Gila. Aku dah cakap dah… budak tu bukan biasa-biasa.”
Radiz tidak membalas pujian Scott. Dia cuma melihat skrin yang kini menayangkan bahagian pertama terjemahan itu sebelum berkata kepada mereka yang lain, “Apa pendapat kalian mengenai apa sebenarnya yang ingin disampaikan?”
“Apabila seratus dunia bersatu di bawah langit yang sama,
maka Menara akan terbuka semula.
Di antara mereka,
hanya satu yang memegang ingatan yang bukan miliknya.
Dia akan membuka pintu yang tiada kunci,
membaca lambang yang tiada nama,
dan memanggil cahaya dari langit yang tiada bintang.
Seratus dunia akan menunduk,
dan satu suara akan memecahkan sunyi antara alam.
Bangkitlah para Pendaki,
bangkitlah untuk ujian terakhir manusia.
Dari detik ini, takdir tidak lagi tertulis,
kerana yang memasuki pintu itu,
ialah yang akan menulis semula segalanya.”
Semua mata tertumpu pada skrin, berulang-ulang kali membacanya, dan buat masa ini, tiada siapa pun yang berani untuk memberikan pendapat.