Kwame menelan liur. Wajahnya jelas menunjukkan konflik di antara rasa kagum dan tidak percaya. Terjemahan itu… ia terlalu lancar, terlalu lengkap. Namun, lidahnya lebih cepat daripada fikirannya, didorong oleh ego yang tercalar. Dia menjadi yang pertama memecah kesunyian tegang itu.
“Macam mana kita nak tahu semua ni betul?” ujarnya, nadanya separuh sinis. “Boleh jadi semua ni cuma imaginasi anak kau. Remaja suka berfantasi.”
Suara itu kedengaran sumbang di dalam bilik yang hening itu. Beberapa wajah berpaling ke arahnya. Scott, yang berdiri di sebelah Radiz, mengepal penumbuknya di sisi.
“Ada betulnya apa yang Kwame katakan,” seorang pengkaji wanita bernama Elena bersuara dari barisan belakang, suaranya perlahan. “Kita tiada bukti untuk mengesahkan perkara ini. Kita perlukan pengesahan berganda sebelum kita bawa ini kepada Jeneral.”
Greg, yang paling berusia di situ, mendengus kecil. “Pengesahan?” katanya, suaranya yang serak itu cukup jelas untuk didengar semua. “Itu masalah pengkaji muda sekarang. Skeptikal sampai buta.”
Dia bersandar di kerusi, memandang tajam ke arah Kwame dan Elena. “Kalau kau orang rasa semua ni palsu, aku malas peduli. Ambil masa kau orang dan buktikan sendiri terjemahan ini salah. Buat masa ini, aku yakin dengan terjemahan ini.”
Kwame terdiam, mukanya merah padam. Dia tunduk sedikit, enggan membalas pandangan Greg.
Greg kemudiannya berpaling kepada Radiz. “Aku rasa itu bukan semuanya, kan?”
Radiz mengangguk perlahan. “Betul. Bahagian seterusnya… lebih pelik.”
Dia menukar ke paparan seterusnya. Terjemahan baru muncul di skrin besar.
“Bahagian ini bukan sekadar terjemahan,” sambungnya. “Ia mempunyai arahan dan… satu bentuk bacaan seperti mantera. Ia perlu dilafaz sambil tapak tangan kanan menyentuh Gerbang Utama.”
Kwame tidak dapat menahan diri. Dia tergelak kecil, nada sinisnya jelas kedengaran. “Mantera? Apa ni… Menara Seribu binaan yang jelas-jelas canggih, dan kita bercakap mengenai ritual dan mantera?”
Scott yang berdiri di sisi Radiz menoleh tajam. Wajahnya tegang. Dia sudah lama tidak tahan dengan mulut Kwame yang suka merendahkan orang lain.
“Kau ada idea lebih baik, Kwame?” celah Scott, suaranya dingin. “Atau kau cuma nak duduk sini dan merungut sementara Jeneral Samer di luar sana sedang bersiap sedia untuk meletupkan pintu tu?”
“Aku cuma nak kita guna logik, Scott! Bukan sihir!” balas Kwame.
“Cukup, Kwame!” Suara Greg kini lebih kasar, mematikan perbalahan itu. “Aku nak kau diam mulai sekarang.”
Suasana kembali tegang. Bilik itu seakan-akan bergetar dengan ego yang berlanggar. Radiz menarik nafas, cuba meredakan keadaan. Dia sudah faham perangai semua yang ada di sini. Yang muda terlalu cepat menilai, yang tua terlalu cepat menghukum.
“Tenang semua,” ujar Radiz, suaranya kekal tenang, memotong ketegangan itu. “Apa kata kita semua baca dulu mantera tersebut?”
Dia menekan satu lagi butang di skrin tablet. Serta-merta, imej baru terpapar.
Radiz mengambil nafas dalam sebelum bersuara perlahan, “Inilah… mantera yang dimaksudkan.”
Dan sebaik dia menyebutnya, bilik itu kembali senyap. Hening. Seolah-olah mereka semua sedar bahawa ayat-ayat yang bakal dibaca selepas ini mungkin benar-benar kunci kepada seratus dunia yang disebutkan dalam terjemahan sebelumnya.
“Dengan izin Dia yang menyaksikan segalanya,
dengan hati yang tidak tunduk kepada takut,
aku seru nama dunia-dunia yang dilupakan.
Wahai Menara yang dijaga oleh Dia,
bukalah pintumu kepada mereka yang masih berani mencari kebenaran.
Dari bumi aku datang, membawa beban manusia,
kepada langit aku memulangkan segala rahsia.
Terbukalah, wahai Menara,
bukan kerana aku layak,
tetapi kerana masa sudah tiba.”
Bulu roma semua pengkaji meremang sebaik sahaja mata mereka menelusuri baris demi baris mantera yang terpampang di skrin gergasi itu. Walaupun tiada siapa yang melafazkannya dengan kuat, setiap perkataan itu seolah-olah bergema jauh di dalam relung jiwa mereka.
Ada rasa takut. Ada rasa seram. Dan di sebalik ketakutan itu, ada rasa teruja yang sukar dibendung.
Struktur ayat mantera itu terlalu unik. Ia terlalu tersusun untuk dianggap sebagai rekaan semata-mata, dan terlalu mendalam maknanya untuk dikatakan kebetulan. Beberapa pengkaji yang masih memegang tablet segera memadankan semula simbol yang mereka salin tadi dengan terjemahan di skrin. Dalam diam, mereka tahu — terjemahan Radiz adalah tepat. Ia seperti skema jawapan yang selama ini mereka cari.
Greg akhirnya memecah keheningan yang berat itu.
“Kau yakin ini adalah manteranya, Radiz?”
Semua pandangan di dalam bilik itu beralih serentak dan tertumpu kepadanya.
Radiz berdiri tegak di hadapan skrin. Cahaya dari projektor menyapa wajahnya, menyerlahkan garis-garis keletihan pada matanya, namun ketika ini, matanya sama seperti mereka yang lain, bersinar dengan harapan.
“Aku yakin,” jawabnya, perlahan tapi pasti. “Aku dah hubungi Tentera Khas Menara.”
Greg mengerutkan dahi, terkejut dengan keberanian rakannya itu. “Kau nak menyeberang laut malam ni juga?”
Radiz mengangguk tanpa ragu. “Aku nak tahu keputusan segera. Kalau terjemahan dan teori ini salah, biar aku seorang yang tanggung risikonya. Aku tahu masih ramai di sini yang ragu-ragu dengan apa yang aku kongsikan.”
Dia diam sebentar, membiarkan kata-katanya meresap sebelum menyambung, “Tapi jika apa yang kita baca ini benar… kita mungkin akan jadi manusia pertama yang melangkah masuk ke dalam Menara Seribu.”
Sekali lagi bilik itu sunyi. Radiz memandang wajah-wajah di hadapannya — rakan seperjuangan, pesaing, dan pengkritik. Seorang demi seorang. Kemudian, dia bertanya, “Aku rasa semua setuju, bukan? Biar aku saja yang pergi.”
Semua pengkaji di dalamnya bergelut antara rasa takut akan risiko dan keinginan membuak-buak untuk melihat sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah manusia.
Kwame membuka mulut, badannya condong ke depan seolah-olah ingin menawarkan diri. Tetapi Greg lebih pantas memotong niatnya.
“Tidak, Kwame,” katanya, suaranya rendah tapi tegas, mematikan terus kata-kata pemuda itu. “Kalau pintu itu benar-benar terbuka, kita perlukan seseorang yang mampu menahan godaan di sebaliknya dan sudi berkongsi segala dapatan dengan telus. Dan orang itu… bukan kau.”
Kwame terdiam. Wajahnya menegang menahan malu, tapi dia tahu dia tidak boleh membantah. Di dalam bilik ini, kata-kata Greg adalah undang-undang kedua selepas fakta.
Greg berpaling semula kepada Radiz. “Baiklah. Kau jadi wakil kami semua.”
Scott yang berdiri di sisi masih memandang Radiz tanpa berkata apa-apa. Namun pandangan matanya yang tajam cukup untuk menyampaikan mesej sama ada Radiz benar-benar pasti atau sebaliknya.
Radiz sekadar mengangguk, senyuman nipis terukir. “Sudah tiba masanya, Scott. Kita dah kesuntukan masa.”
Beberapa saat kemudian, pintu bilik mesyuarat itu dibuka secara mengejut. Seorang pembantu muda masuk dengan tergesa-gesa, wajahnya pucat lesi dan tegang.
Semua mata tertumpu kepadanya.
“Li Hua. Siapa yang benarkan kau masuk?” tanya Greg, sedikit berang dengan gangguan itu.
“Maafkan saya, Profesor Greg…” suaranya sedikit bergetar, matanya liar memandang sekeliling sebelum berhenti pada Radiz. “Tapi… Jeneral Samer dah sampai. Dia tunggu di lobi.”
Suasana bilik berubah serta-merta. Udara terasa lebih sejuk dan berat.
Greg dan Scott saling berpandangan. Nama itu membawa tekanan kepada mereka. Jika Jeneral Samer sendiri yang datang ke sini pada waktu sebegini, itu bermakna pihak berkuasa sudah hilang sabar. Mereka tidak mahu laporan bertulis; mereka mahukan bukti dan hasil nyata.
Radiz menarik nafas panjang, lalu menekan butang untuk mematikan skrin projektor. Cahaya bilik kembali suram, hanya diterangi lampu-lampu meja.
Dia menoleh ke arah Scott, sahabat baiknya.
“Kalau aku tersalah langkah kali ini,” katanya perlahan, separuh berbisik supaya hanya Scott yang mendengar, “teruskan merungkai misteri ini dan… tolong tengok-tengokkan keluarga aku.”
Scott menelan liur, kerongkongnya terasa kesat. “Jangan cakap macam tu.”
Radiz ketawa kecil, cuba menceriakan suasana yang tegang itu. “Kau ni. Janganlah serius sangat. Aku tak rasa kita salah kali ini.”
“Tapi, kalau semua ini salah, kau boleh ditangkap, Radiz. Jeneral Samer tu… kau tahu barannya macam mana. Silap hari bulan, kau dituduh menipu tentera,” balas Scott, kerisauan jelas terpancar di wajahnya.
Radiz sekadar tersenyum nipis. Dia mengangkat jari telunjuknya, mengetuk perlahan pelipisnya sendiri. “Minda ini… Mereka tidak akan sanggup untuk kehilangannya.”
Tanpa berlengah lagi, dia melangkah ke pintu. Setiap langkahnya bergema dalam bilik yang sunyi itu — langkah-langkah yang mungkin menjadi permulaan kepada satu era baharu, atau pengakhiran kepada sebuah kerjaya.
Dan ketika pintu bilik tertutup rapat di belakang Radiz, seorang pengkaji wanita di hujung meja berbisik perlahan, suaranya hampir tidak kedengaran namun cukup untuk membuatkan mereka yang mendengarnya tersentak.
“Kalau dia benar-benar berjaya buka pintu tu… apa yang akan keluar dari sebaliknya?”
Tiada siapa menjawab. Tapi dalam diam, jauh di sudut hati, mereka semua tahu jawapannya.
Malam itu, sejarah akan tercipta.