Kael meredah Hutan Tabun, langkahnya tenang menuju ke timur. Kawasan di mana dia membelah bangkai kumbang ke-25 itu telah ditinggalkan jauh di belakang. Fikirannya kini tertumpu sepenuhnya pada satu matlamat: Misi Utama di Kubu Hutan Tabun Timur.

Namun, ketenangan itu disulami dengan kewaspadaan. Dia tetap mengelak kawasan-kawasan yang diketahuinya menjadi habitat raksasa Level 1 dan Level 2. Dia juga dengan teliti menjauhi sempadan zon yang dikawal oleh kumpulan Ariel, Sera, dan Roberto. Dia sedar akan kedudukannya; dia belum benar-benar bersedia untuk bertempur dengan ancaman-ancaman tersebut.

Dalam perjalanannya, dia memilih untuk tidak mengelak daripada bertembung dengan Kumbang Hitam. Sekalipun Raksasa Biasa Level 0 itu tidak lagi menjadi ancaman dan manfaat. Sebaliknya, Kael ingin menggunakan setiap pertemuan ini sebagai peluang, satu cara dan medan untuk mengasah kemahiran tempurnya yang masih baru.

Telinganya yang peka menangkap bunyi daun kering diseret tidak jauh di hadapan. Dia serta-merta berhenti, tubuhnya bergerak untuk bersembunyi di sebalik semak tebal, matanya memerhati dengan teliti makhluk apa yang bakal ditemuinya.

“Nasib baik Kumbang Hitam,” ujar Kael perlahan sambil tersenyum nipis. “Mudah.”

Dia tidak teragak-agak. Dengan satu gerakan lancar yang sudah dilatih berpuluh kali, dia melompat keluar dari persembunyian, mendarat tepat di sisi makhluk itu — titik butanya. Pisau Perak Gred F miliknya menyelinap masuk ke celahan cangkerang yang keras.

KRAK.

Raksasa itu kaku, sebelum rebah ke tanah. Kael tidak membuang masa membelah dagingnya untuk Mata Biasa; dia tahu itu satu usaha yang sia-sia sekarang. Dia hanya mencari Kristal Tenaga. Mujurlah nasib menyebelahinya kali ini. Dia terus menemuinya hanya dalam beberapa saat. Dia mencungkil Kristal Tenaga dengan pantas, mengesatnya pada pakaian, dan terus menelannya.

[Tiada Astra diperoleh]

Notifikasi itu kedengaran di mindanya dan muncul di hadapannya, seperti yang dijangka. Dia tidak kecewa, sebaliknya terus melangkah. Dia mengulangi proses itu sekali lagi pada kumbang ke-27, beberapa minit kemudian. Cekap, pantas, dan sekali lagi nasib menyebelahinya. Dia tidak memerlukan masa yang lama untuk menemukannya. Tapi hasilnya masih sama. Tiada Astra.

Dia cuba untuk tidak berasa kecewa dan memaksa diri untuk tersenyum sebelum meneruskan perjalanan. Bangkai kumbang ke-27 itu ditinggalkan begitu sahaja. Baru beberapa langkah berlalu, sedang Kael asyik di dalam fikirannya sendiri, mengira baki jarak dan merancang laluan ke Kubu Hutan Tabun Timur, dia terdengar bunyi tidak jauh darinya.

Kael menghentikan langkah. Matanya memandang tajam ke arah bunyi tersebut.

“Bukan raksasa. Pendaki?” duga Kael.

Dia sangat yakin bahawa bunyi itu bukan dari raksasa. Derap langkah itu mempunyai rentak, ia pergerakan lebih dari seorang dan datang dari arah timur. Naluri Kael serta-merta mengambil alih. Dia tidak menunggu lama. Dengan satu gerakan tangkas, dia segera memanjat sebatang pokok tinggi yang rimbun, melenyapkan dirinya di sebalik dedaun lebat yang mampu menyembunyikan susuk tubuhnya daripada sesiapa sahaja yang sedang bergerak menghampiri.

Tidak lama kemudian, dua orang Pendaki muncul. Kedua-duanya merupakan lelaki separuh abad. Seorang bertubuh tinggi dan besar, manakala seorang lagi pula kurus kering. Mereka berjalan perlahan dan penuh waspada, mata mereka melilau memerhati sekeliling, sehinggalah mereka terpandang bangkai Kumbang Hitam ke-27 yang baru sahaja ditinggalkan Kael.

Lelaki besar itu mengangkat tangan kepada rakannya, memberikan isyarat supaya berhati-hati saat dia terpandang bangkai tersebut.

“Deck, periksa bangkai tu,” arah lelaki itu dalam bahasa asing.

Lelaki kurus yang dipanggil Deck itu mengangguk faham. Dia bergerak berhati-hati menuju ke arah bangkai tersebut, mencangkung dan menyentuh darah yang masih belum kering. Dia turut membalas dalam bahasa asing, “Masih baru, Ronald.”

Dari tempat persembunyiannya tinggi di atas pokok, Kael hanya memerhati dan mendengar. Dia faham bahasa yang digunakan oleh dua lelaki itu. Mereka bukan dari Astria. Mereka dari Cambaland.

“Ada kristal, Deck?” tanya Ronald.

Deck menggeleng. Dia menggunakan pisaunya sendiri untuk menyungkit sedikit celahan yang dibuat Kael. “Dah kena ambil. Cuma ada satu tusukan bersih. Nampaknya Pendaki ini tidak berminat dengan daging.”

Ronald berhenti tidak jauh dari Deck. Dia memandang sekeliling, matanya tajam meneliti pokok-pokok di sekitarnya, sebelum memandang tinggi ke atas. Mujurlah kanopi yang tebal itu berjaya melindungi Kael; Ronald tidak perasan akan kewujudannya. Dia kemudiannya kembali memandang ke arah Deck.

“Dagingnya masih elok. Makan isinya, Deck. Kita masih boleh menambah Mata Biasa,” arah Ronald.

Deck mengangguk. Dia mula membelah cangkerang itu untuk mengeluarkan isinya, sebelum membahagikannya sama rata di antara dia dan Ronald. Mereka menggigit laju sebelum kedua-duanya tersenyum girang.

“Sedap betul isi dia. Macam ketam segar,” kata Ronald sambil mengunyah.

Deck mengangguk berkali-kali. Matanya turut bersinar, gembira menikmati daging kumbang tersebut. “Betul. Siap dapat banyak Mata Biasa lagi.”

Tiba-tiba, Ronald berhenti mengunyah, sisa daging di tangannya diletakkan ke tepi. Pandangannya yang tadinya ceria kini berubah serius.

“Deck,” katanya, nadanya perlahan. “Aku nak kau ceritakan semula. Langkah demi langkah. Bagaimana cara sebenar untuk kita naik ke Level 1.”

Deck menelan laju isi di mulutnya, terkejut sedikit dengan perubahan nada rakannya itu. “Kau ni… kenapa tiba-tiba? Kita baru sembilan hari di sini. Latihan tiga bulan kita di Pusat Pendaki tu takkan kau dah lupa semua?”

“Bukan lupa. Aku nak pengesahan,” balas Ronald, kali ini dia tersengih, cuba menutup rasa gusar yang mula timbul. “Di Pusat, semuanya nampak mudah. Teori atas kertas, dipantau oleh jurulatih. Tapi di sini… sembilan hari kita berhempas pulas, masih Level 0.”

Dia memandang sekeliling hutan yang gelap itu. “Aku cuma nak pastikan kita tak terlepas pandang apa-apa, atau kalau ada cara yang lebih efisien yang kita tertinggal.”

Deck memandang rakannya itu. Dia faham maksud Ronald. Perasaan gusar itu, perasaan bahawa mereka mungkin melakukan sesuatu yang sia-sia, turut dirasainya. Mujurlah mereka sedang menikmati daging lazat sebegini, jadi dia tidak terlalu kisah untuk melayan permintaan itu.

Kael pula, yang sedang duduk berehat di atas dahan, hanya memasang telinga. Nampak gayanya dia perlu menunggu penerangan asas ini selesai sebelum dia boleh turun ke bawah.

“Kau dengar baik-baik,” kata Deck, memulakan penerangan. “Dari Level 0 ke Level 1, kita perlukan sama ada 100 Mata Biasa, atau 100 Mata Mutan, atau 100 Mata Purba, atau 100 Mata Sakti. Tapi… tak payah bermimpi untuk dapatkan mata yang lain. Kita fokus Mata Biasa saja.”

Ronald mengangguk faham.

Deck menyambung, “Bila dah dapat 100 Mata Biasa, kita perlu pergi ke Altar Pendaki di mana-mana Kubu Menara. Di sana kita akan melalui proses evolusi untuk bergelar Pendaki Biasa Level 1.”

Ronald kemudiannya memintas dengan soalan, “Kalau… kalaulah aku dapat 100 Mata Mutan, aku jadi apa?”

“Pendaki Mutan Level 1.”

“Kalau Mata Purba?”

“Pendaki Purba Level 1.”

“Kalau—”

Ronald tidak jadi untuk menghabiskan soalannya — yang jelas merapu tentang Mata Sakti — sebaik sahaja dia melihat dahi Deck mula berkerut.

“Kau betul nak tanya?” soal Deck, nadanya mula kedengaran jengkel.

Ronald tersengih lagi, kali ini sengihannya lebih lebar. Dia hanya menggelengkan kepalanya, matanya kelihatan jelas sedang berseronok.

Melihatkan reaksi itu, kerutan di dahi Deck serta-merta hilang. Dia terdiam seketika, sebelum menghela nafas dalam dan menghembusnya keluar. Tetapi kali ini, ia bukan helahan nafas kerana putus asa, sebaliknya diakhiri dengan tawa kecil yang tertahan.

“Kau sengaja main-mainkan aku, kan?” Deck menggumam, menolak bahu rakannya itu.

Dia sedar kini. Ronald bukan tidak tahu jawapannya. Dia cuma sengaja mengusiknya. Deck faham benar sikap Ronald. Mereka berdua sama kuat, dan walaupun Deck sering menjadi ‘otak’ kepada gabungan mereka, dia tahu Ronald tidaklah sebodoh itu. Lawak jenaka inilah yang membuatkan mereka berdua masih waras dan mampu bertahan bersama-sama di dalam Menara Seribu.

Deck kemudiannya memandang isi kumbang yang ada di tangannya. “Aku dah tak dapat mata. Kau?”

“Sama. Tapi kenapa macam cepat sangat?”

Deck mengangkat bahu. “Entah. Mungkin kumbang ni lemah sangat, atau kita dah makan banyak sangat spesis ni.”

Ronald ketawa kecil sebelum berkata, “Nasib baik kita tak buang masa buru raksasa lemah ni. Jomlah cari raksasa lain pula.”

Deck mengangguk. Mereka berdua berdiri, meninggalkan beberapa bahagian lagi yang masih mempunyai isi di atas tanah, sebelum berjalan ke arah selatan Hutan Tabun. Melihatkan Deck dan Ronald semakin jauh, Kael menunggu beberapa minit untuk memastikan mereka benar-benar telah pergi, sebelum turun dengan cekapnya dari pokok yang tinggi itu.

Mereka berdua langsung tidak perasan akan kehadirannya.