Kael melangkah, tangannya dengan cermat menolak daun-daun lebat yang menghalang laluannya. Dia kini sedang meredah ke arah timur Hutan Tabun, menjauhi tempat pertemuannya dengan dua Pendaki dari Cambaland tadi.

Perbualan antara Deck dan Ronald sebentar tadi menyalakan satu gesaan baru di dalam dirinya; fikirannya kini ligat memikirkan cara untuk mencapai Level 1 sesegera mungkin. Dia risau jika di akhirnya nanti, hanya dia yang masih di Level 0.

Sekalipun begitu, matlamat Kael bukan sekadar untuk naik ke Level 1. Dia tidak ingin menjadi Pendaki Biasa seperti yang lain. Dia mengidamkan sesuatu yang lebih tinggi: menjadi seorang Pendaki Mutan. Dia tahu, di Tingkat Satu ini, cara tercepat untuk mendapatkan ganjaran besar adalah dengan menjadi yang pertama menyelesaikan Misi Utama.

Cumanya, di sinilah letaknya kekusutan Kael. Misi Utama yang pertama, walaupun penting, tidak menjanjikan Mata Mutan sebagai ganjaran.

“Macam mana aku nak buat?” Dia menggumam sendirian, langkahnya terhenti seketika.

Sekalipun dia mempunyai 30 mata Kecerdasan — aset terbesarnya — masalah ini terasa di luar kawalannya. Atribut Kecerdasan itu membantunya menganalisis dan merancang buat masa ini, tetapi ia tidak dapat memberitahunya di mana untuk mencari Raksasa Mutan, apatah lagi cara untuk mendapatkan Mata Mutan daripada mereka.

Setakat ini, logik Kael adalah begini: jika Sistem Menara itu sendiri telah menyebut tentang Mata Mutan, Mata Purba, dan Mata Sakti sejak dari awal lagi, sudah tentu ada satu cara, walau betapa tersembunyi atau sukarnya, untuk para Pendaki mendapatkannya. Ia pasti boleh diperoleh, sekalipun di Tingkat Satu dan walaupun mereka masih di Level 0.

Kael meneruskan langkah. Setiap langkah tapak kakinya mendarat di atas tanah hutan tanpa bunyi, satu kemahiran siluman yang sedang giat diasah dan cuba dikuasainya sejak menjejakkan kaki di Menara Seribu. Dia sedar, di dalam dunia yang kejam ini, kebolehan untuk bergerak tanpa dikesan akan menjadi sangat berguna, mungkin lebih bernilai daripada kekuatan fizikal semata-mata.

Setiap kali bertemu Kumbang Hitam, dia kini menghampirinya secara perlahan sebelum menikamnya dengan tepat di antara celahan cangkerang — satu teknik tikaman maut yang kini sudah dikuasainya.

“Banyak betul Kumbang Hitam,” gumam Kael sambil memandang bangkai yang baru ditewaskannya. Dia tidak lagi teruja seperti sebelum ini kerana daging itu sudah tidak mampu memberikan Mata Biasa buat dirinya.

“Nak jual pun tak laku,” rungut Kael.

Bahagian lain pada tubuh dan cangkerang kumbang itu juga pasti tidak berharga; Pendaki lain pasti sudah memilikinya dalam kuantiti yang banyak. Dia juga belum menguasai kemahiran sebagai Forgian untuk menukarnya menjadi senjata.

Dia baru sahaja mahu berpusing dan meninggalkan bangkai itu, namun langkahnya terhenti. Satu idea terlintas di mindanya.

Jika ia tidak berguna untuk Pendaki, mungkin ia berguna untuk sesuatu yang lain? Sesuatu yang suka bau isi ketam?

“Umpan,” bisik Kael.

Satu rancangan baru mula terbentuk. Dia tidak lagi memandang bangkai itu sebagai sampah, tetapi sebagai sumber. Dia menukar fikirannya. Dia kembali ke bangkai itu, mula melapah beberapa ketul daging yang paling elok dan menyimpannya ke dalam Inventori. Fungsi Sistem Menara itu membenarkan apa sahaja yang tidak bernyawa disimpan di dalamnya, satu kelebihan yang akan dimanfaatkan Kael sepenuhnya.

“Banyak lagi yang perlu aku faham untuk hidup dalam Menara Seribu,” gumamnya, kali ini dengan nada yang berbeza.

Selepas kira-kira lima belas minit meredah rimbun hutan, persekitaran bertukar sedikit. Pokok-pokok menjadi lebih jarang, digantikan dengan kawasan semak-samun yang luas dan berlumpur. Di situ, perhatian Kael tertarik kepada satu kelibat pantas.

Seekor Arnab Putih dengan mata merah menyala, sedang memakan raksasa lain yang dibunuhnya dengan cermat. Kedua-duanya adalah Raksasa Biasa Level 0.

Kael merasakan satu getaran harapan. Dia belum pernah mencuba daging makhluk ini. Jika ia mampu memberikannya Mata Biasa, ia adalah satu perkara yang sangat baik. Arnab Putih itu bergerak laju, tetapi Kael kini mempunyai kelebihan: umpan.

Dia mula menyusun taktik. Dia meneliti persekitaran dengan teliti, mencari kawasan perangkap yang ideal. Matanya tertancap pada satu laluan sempit tidak jauh dari situ — sebuah kawasan berbatu yang diapit oleh dinding batu yang tinggi di sebelah kiri dan semak berduri yang padat di sebelah kanan.

“Sempurna,” gumam Kael, matanya bersinar dengan perhitungan yang dingin.

Kael melangkah masuk ke dalam kawasan berbatu yang sempit itu. Ia sebuah perangkap semula jadi tanpa jalan keluar lain. Dia bergerak perlahan sambil mengakses Inventori dan mengeluarkan secebis daging Kumbang Hitam yang baru disimpannya tadi. Dia meletakkan umpan berbau enak itu betul-betul di tengah-tengah kawasan.

Tugas seterusnya adalah untuk mencari tempat persembunyian. Dia menyelinap di sebalik tirai daun menjalar yang lebat di dinding batu. Dia menarik jalaran itu perlahan. Kukuh. Ia akan menjadi tempat persembunyian yang sempurna.

Kael memerhati sekeliling sambil melakukan simulasi bagaimana dia akan mengumpan dan berhadapan dengan Arnab Putih nanti. Setakat ini, tiada cela di dalam rancangannya. Namun, dia akan berusaha untuk menyesuaikan segala-galanya selepas proses ini benar-benar berlaku nanti.

Tiba-tiba, dia terdengar desiran halus.

“Eh? Dah ada yang termakan umpan?”

Kael segera berundur ke dalam persembunyiannya, menahan nafas. Pisau Perak Gred F digenggam erat. Dia menanti dengan penuh sabar. Penantian itu tidak lama. Arnab Putih pertama muncul. Mata merahnya memandang tepat pada daging Kumbang Hitam. Nafsu akhirnya mengalahkan waspada. Ia meluru ke arah umpan dan mula makan.

“Sekarang!”

Kael tidak meluru keluar. Dia menyelinap perlahan, mengambil posisi untuk menutup satu-satunya jalan keluar. Dia kini berdiri di antara Arnab Putih itu dan kebebasan.

Arnab itu sedar akan kehadirannya. Ia berpusing laju. Kael baru sahaja mahu menyerang apabila makhluk itu bertindak balas dengan kelajuan yang tidak masuk akal.

ZUP!

Ia melompat ke sisi, cuba melepasi Kael. Tetapi Kael lebih pantas menggerakkan badan, menutup laluan itu. Arnab itu terhenti, mendarat di atas batu, mata merahnya memandang Kael dengan tenang — seolah-olah Kael hanyalah halangan biasa.

Jantung Kael pula yang mula berdebar. Makhluk itu melompat-lompat liar, menguji refleks Kael. Selepas beberapa saat yang tegang, Arnab itu membuat kesilapan. Ia melompat terlalu tinggi, mendedahkan perutnya. Kael tidak melepaskan peluang, meluru ke hadapan dan menusuk pisaunya ke atas.

Bilah itu menembusi dada sebelum momentum lompatan makhluk itu membuatkan pisau itu membelah terus ke perut. Darah memancut keluar. Makhluk itu kaku sebelum jatuh terkulai.

Kael menghela nafas. Setakat ini, kesimpulan yang boleh dibuat oleh Kael adalah, pertarungan itu menghabiskan masa dan tenaga lebih banyak dari apa yang dia jangka. Dia tunduk sebelum menyentuh tubuh Arnab Putih yang tidak bernyawa itu dengan hujung pisaunya.

“Fuh. Aku dah boleh tambah Mata Biasa,” ujar Kael.

Dia tidak membuang masa. Matlamatnya jelas. Dia melutut di sebelah bangkai Arnab Putih itu. Pisau Perak Gred F miliknya, yang masih berlumuran darah segar, bergerak dengan cekap. Dia membelah lapisan bulu putih yang tebal itu, mendedahkan daging di bawahnya. Dagingnya berwarna merah jambu pucat, kelihatan lembut dan bersih, berbeza sama sekali dengan isi Kumbang Hitam.

Tanpa teragak-agak, Kael menyiat secebis daging mentah itu dan menyuapnya ke mulut. Serta-merta, satu rasa yang kaya dan kompleks meletup di lidahnya. Daging itu lembut, jauh lebih lembut daripada Kumbang Hitam. Rasanya tidak dapat digambarkan — seperti gabungan daging salai yang dimasak sempurna dengan perapan istimewa dan sedikit rasa herba lada hitam. Ia sangat lazat.

Serentak dengan gigitan pertamanya, notifikasi yang ditunggu-tunggu itu akhirnya kedengaran dan muncul di hadapannya.

[8 Mata Biasa Diperoleh]

Kael tersenyum puas. Lapan mata. Ganjaran yang sangat baik daripada seekor Raksasa Level 0. Jumlah Mata Biasa miliknya kini meningkat kepada 40/100. Dia semakin hampir.

Namun, senyuman itu cepat pudar apabila dia memikirkan kembali pertarungan tadi. Lapan mata itu dibayar dengan harga yang sedikit mahal — tenaga yang berlebihan dan pergelutan yang huru-hara. Dia memandang semula pada laluan sempit itu. Dia meletakkan umpan dengan harapan untuk memburu dengan mudah, tetapi Arnab Putih itu terbukti jauh lebih licik dan lincah daripada yang disangkanya.

Selain Mata Biasa, dia juga ingin mengumpul Kristal Tenaga. Mana tahu jika 30 mata Nasib miliknya akan memberikan dia Astra atau boleh dijual pada harga yang tinggi di Kubu Menara nanti. Jadi, dia perlu memburu sebanyak mungkin.

“Tapi, satu arnab… aku hampir penat,” gumamnya. “Kalau 10 ekor lagi macam ni, aku yang akan habis dulu.”

Dia sedar ini bukan lagi soal umpan, kerana umpannya terbukti berkesan. Ini soal teknik dan strategi. Dia perlu cara yang lebih cekap untuk menamatkan nyawa makhluk pantas ini — cara yang tidak membazirkan tenaga.

Dia perlu faham bagaimana ia bergerak.