Kael masih terduduk di atas tanah, nafasnya masih laju, bukan kerana penat, tetapi kerana rasa kecewa yang amat sangat. Pisau di tangannya masih bergetar, bukan kerana digenggam kuat, tetapi kerana sisa kemarahannya. Bangkai Arnab Putih keempat itu terbiar di hadapannya, bukti kejayaan… dan kegagalan.
“Empat puluh tiga,” gumamnya, matanya memandang kosong pada Panel Status yang hanya dia boleh lihat.
[Mata Biasa: 43/100]
“Jauh lagi. Belum sampai separuh,” rungut Kael, suaranya perlahan, hampir tenggelam dalam keheningan hutan.
Dia membuat kiraan pantas di dalam kepalanya. Jika sejenis raksasa seperti Kumbang Hitam dan Arnab Putih, hanya mampu memberikannya sekitar 10 hingga 15 Mata Biasa sebelum ganjarannya kering sepenuhnya, dia perlu memburu paling tidak enam spesis lagi hanya untuk mengumpul 100 Mata Biasa.
Dia memaksa otaknya untuk bekerja; Atribut Kecerdasannya yang tinggi bergelut, menolak rasa putus asa yang mula menjalar itu. Dia tidak boleh berhenti di sini.
“Masih ada sasaran lain yang berhampiran,” fikirnya, teringat kembali senarai raksasa Level 0 yang telah dibuatnya. “Kodok Hijau… Cacing Berduri.”
Dia tahu dia perlu bergerak, berburu di kawasan baru. Dia sudah mempunyai satu sasaran berhampiran — sebuah kawasan lembap yang diketahuinya menjadi habitat Kodok Hijau. Namun, serentak dengan kesedaran itu, satu rasa mual tiba-tiba menerjah kerongkongnya. Dia teringat yang dia perlu memakan daging kodok.
Makhluk itu… jika di luar Menara Seribu, tidak akan sesekali dia sentuh, apatah lagi untuk dimakan.
Kael menggeleng-geleng kepalanya berkali-kali, cuba menghalau bayangan jijik itu. Perasaan itu tidak boleh dibiarkan menguasai dirinya.
PAK!
Dia menampar kedua-dua belah pipinya dengan kuat. Bunyi tamparan itu bergema seketika di kawasan sunyi itu, cukup untuk menyentak kembali kewarasannya.
“Fokus, Kael,” ujarnya kepada diri sendiri. “Aku nak jadi kuat.”
Dia menarik nafas, cuba untuk mengumpul semangat sesegera mungkin.
Bukan itu sahaja. Dia juga perlu bermula dari sifar sekali lagi. Belajar corak serangan musuh baru, mencipta strategi baru, dan hanya mampu berharap ganjaran kali ini akan bertahan lebih lama.
Kael memandang ke celah-celah kanopi hutan. Langit di atas mula bertukar warna. Tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum malam menjelma.
Satu lagi kerisauan baru timbul. Waktu malam di Hutan Tabun, seperti apa yang diketahuinya dari catatan Arkib Menara, adalah waktu di mana Raksasa Level 2 akan menjadi lebih agresif dan aktif keluar mencari mangsa. Jika dia sudah berada di Level 2 atau 3 seperti Ariel, Sera atau Roberto, dia tidak akan risau. Tetapi dia masih di Level 0.
Kekecewaan tadi kini bercampur dengan satu rasa baru yang lebih mendesak: kerisauan.
Lamunannya yang penuh kekecewaan itu terhenti serta-merta. Dia tersedar. Ada sesuatu sedang bergerak tidak jauh di belakangnya.
“Arnab Putih lagi?” duganya.
Kael segera berpusing dalam satu gerakan pantas, pisaunya diangkat ke paras dada, bersedia. Dia tidak lagi bersembunyi di sebalik tirai daun itu; perburuannya di laluan sempit ini sudah selesai. Daging Arnab Putih sudah tidak memberikan apa-apa manfaat lagi. Dia baru sahaja mahu mengeluarkan Kristal Tenaga daripada empat bangkai arnab yang disimpannya di dalam Inventori apabila bunyi itu menghentikan pergerakannya.
Nafasnya ditahan, telinganya menajam, cuba mentafsir bunyi itu. Di sebalik semak tebal di belakangnya, tidak jauh dari laluan sempit itu, dia yakin ada sesuatu sedang memerhatikannya.
Bunyi ranting yang dipijak dan patah, disusuli dengan getaran halus pada tanah di bawah kakinya. Dia tahu serta-merta bahawa makhluk itu besar dan berat. Jauh lebih besar daripada Kumbang Hitam atau Arnab Putih.
Kael menelan air liur. Peluh sejuk mula mengalir di pelipisnya.
Jika makhluk itu adalah Raksasa Level 2, dia mungkin tiada peluang untuk lari, walaupun pada waktu siang. Getaran ini terasa begitu mengancam.
“Tolonglah, jangan Raksasa Level 2,” bisiknya dalam hati. “Banyak lagi aku nak selesaikan sebelum mati.”
Dia membuat keputusan pantas. Dia melangkah perlahan ke hadapan, berusaha untuk keluar dari laluan sempit yang kini telah bertukar menjadi perangkapnya. Berada di sini adalah satu kesilapan taktikal. Setidak-tidaknya jika di luar, di kawasan yang lebih terbuka, peluang untuk dia melarikan diri dan kekal hidup adalah lebih tinggi berbanding terperangkap di kawasan sempit sebegini.
Ketika itulah Kael sedar sesuatu yang lebih menggerunkan. Apa jua di balik sana, ia turut bergerak selari mengikut rentaknya. Satu bayang-bayang besar di sebalik semak itu seolah-olah sedang meniru langkahnya, bermain dengannya sebelum mendedahkan diri.
Kael memerhati sekeliling, otaknya yang cemas itu ligat menyusun laluan untuk dia melarikan diri. Berdasarkan bunyi gerakan yang semakin jelas, dia tahu dalam beberapa saat lagi, mereka akan saling terlihat.
Kael sudah bersedia untuk lari. Dia bersedia untuk memecut ke mana-mana arah tanpa menoleh tetapi saat makhluk itu akhirnya melangkah keluar dari balik semak, langkah Kael terhenti serta-merta.
Kakinya bagai terpaku ke tanah. Paru-parunya seakan-akan kempis. Dia tidak percaya apa yang dilihatnya, sekalipun matanya jelas menunjukkan apa yang sedang berdiri di hadapannya.
“Naga…?”
Satu nama Raksasa Sakti terluah dari bibirnya, lebih seperti satu hembusan nafas yang tersekat berbanding satu soalan. Kael terundur ke belakang, kakinya tersadung batu kecil dan dia jatuh terduduk di atas tanah. Matanya tidak mampu diangkat untuk melihat ke hadapan semula. Dia hanya mampu memandang kaki dan tubuhnya yang menggigil kuat, tidak terkawal. Nafasnya pendek dan tidak teratur.
Dia dapat rasakan satu aura terpancar dari makhluk itu. Ia berat, menekan, dan menggetarkan sehingga ke tulangnya. Jika makhluk itu inginkan, aura itu sahaja sudah cukup untuk menghancurkannya tanpa perlu makhluk itu menyerang.
“Kau tahu aku apa?”
Suara itu bergema. Ia bukan bunyi di telinganya, tetapi gema yang datang terus ke dalam mindanya, seperti suara sistem setiap kali dia mendapat notifikasi. Namun suara ini lebih dalam dan purba.
“Jawab soalan aku.”
Tubuh Kael berpeluh lebat. Bukannya dia tidak ingin menjawab. Tapi dia terlalu takut ketika ini. Kael cuba menguatkan semangat, memaksa lehernya untuk bergerak, dan akhirnya berjaya mengangkat kepala. Dia memandang tepat ke arah mata makhluk tersebut — mata yang bersinar dengan kuasa dan kebijaksanaan.
“K-kau…” Kael berjaya bersuara, suaranya pecah dan bergetar. “Kau yang bercakap dalam kepala aku?”
Kael sedar betapa bodohnya soalan itu. Cuma ketika ini segala kecerdasan yang ada pada dirinya bagai tidak berguna lagi. Dia terlalu takut. Dia tahu tiada apa yang boleh dilakukan untuk melepaskan diri dari makhluk ini.
Sekali lagi suara itu bergema di dalam mindanya. Nadanya keras dan menusuk, jelas tidak sabar.
“Ya. Aku sedang bercakap dengan kau, manusia.”
Kael menelan air liur. Matanya kini sedikit berani dan mula meneliti tubuh naga itu. Beberapa kali matanya berkelip. Saiz makhluk itu tidak seperti apa yang dia bayangkan dalam lagenda. Ia tidak sebesar gunung, mungkin hanya sebesar sebuah van. Matanya bergerak, melihat setiap inci tubuh makhluk itu. Dan barulah dia perasan.
Kulit bersisik perak yang sepatutnya megah itu… penuh dengan luka dan calar. Luka-luka yang dalam dan kelihatan masih baru.
“Kau… cedera?” gumam Kael perlahan, lebih kepada dirinya sendiri.
“Ya. Aku cedera,” balas sang naga sinis, nada suaranya bergema di dalam kepalanya. “Kenapa? Kau fikir kau mampu bunuh aku?”
Kael menggeleng pantas, hampir tanpa sedar.
“Tidak.” Dia cepat-cepat menyambung, “Aku tak ada niat macam tu. Aku tak akan mampu. Aku cuma nak lari… selamatkan diri.”
Berhadapan makhluk seperti itu, dia sendiri tidak akan memberikan dirinya ruang untuk berlagak berani. Dia tahu, sekalipun jika ada sepuluh ribu Pendaki Level 0 ketika ini, mereka tidak akan mampu untuk menjatuhkan seekor naga yang cedera.
“Aku tahu kau lemah,” ujar suara itu lagi, nadanya kali ini lebih perlahan, berbaur letih. “Sebab itu aku datang kepada kau.”
Kael tidak tahu bagaimana untuk dia memberikan reaksi terhadap kata-kata Sang Naga. Dia cuba memproses situasi itu. Seekor naga — makhluk legenda yang menjadi simbol kekuatan — datang ke Tingkat Satu Menara… hanya untuk menghinanya? Dia tidak rasa naga di hadapannya ini mempunyai banyak masa terluang untuk berbuat sedemikian.
Dia membuka mulut, namun sebelum sempat dia bersuara, Sang Naga memandangnya tajam. Ia bergerak perlahan menghampiri Kael. Sama seperti sebelumnya, makhluk itu tidak membuka mulut, suaranya bergema di dalam minda Kael.
“Aku perlukan bantuan kau, manusia.”
Nadanya tenang, namun permintaannya itu menggetarkan Kael lebih teruk daripada auranya tadi. Kael tergamam. Dia memandang Sang Naga, tidak pasti sama ada dia salah dengar. “Kau… perlukan bantuan aku?”
Naga itu mengangguk perlahan. Auranya terasa sedikit menurun, tidak lagi sekuat tadi.
Sekalipun begitu, tubuh Kael masih menggigil. Cuma, dia berasa sedikit lebih tenang. Dia mengambil nafas dalam-dalam, cuba mengawal getaran pada suaranya.
“Apa yang kau nak aku lakukan?”
Sang Naga memandangnya lama, mata peraknya yang berkilau itu seakan-akan menembusi jiwanya di bawah cahaya daun.
Kael sudah mula berdebar kembali.
Kemudian suara makhluk itu kedengaran, berat tapi tenang.
“Bunuh aku.”
“Cepat. Mangsa kedua,” gumam Kael perlahan.
Kali ini, Arnab Putih kedua muncul lebih cepat. Seolah-olah sudah terhidu bau daging Kumbang Hitam yang lazat itu sebelum ini lagi, ia meluru masuk ke laluan sempit itu tanpa teragak-agak.
Sebaik sahaja arnab tersebut berhenti dan menikmati umpan, Kael melangkah keluar dari persembunyian dan menutup satu-satunya jalan keluar. Kali ini, dia sudah lebih bersedia. Fikirannya telah memproses pertarungan pertama. Dia menjangkakan lompatan ke sisi — tindakan mengelak yang pantas dan sama. Dia meletakkan pisaunya pada posisi sedia untuk memintas.
Namun, Arnab Putih kedua ini tidak melompat ke sisi.
Ia sebaliknya melompat lurus dan tinggi ke atas, satu gerakan akrobatik yang di luar jangkaan, cuba memanjat bahu Kael untuk melarikan diri.
“Apa?!”
Kael terkejut. Dia bertindak berdasarkan refleks semata-mata ketika ini. Dia terpaksa menepis makhluk itu dengan tangan kirinya. Sekalipun dia berjaya menepis, tetapi kuku-kuku tajam arnab itu sempat mencakar lengannya, meninggalkan tiga garisan merah halus yang serta-merta mengalirkan darah keluar dari pakaiannya.
Arnab itu mendarat dengan kemas di atas batu di belakang Kael. Dia menyangka arnab tersebut akan melarikan diri. Sebaliknya, tanpa teragak-agak, ia menyerang sekali lagi. Matanya yang merah itu kelihatan lebih marah dari kebiasaan.
“Oh. Kau ingat kau boleh kalahkan aku?”
Kael, yang kini sedar bahawa ini bukan lagi mangsa yang melarikan diri tetapi pemangsa yang agresif, bertindak balas dengan geram. Dia tercabar dengan pandangan raksasa tersebut yang seolah-olah memandang rendah terhadapnya ketika itu. Saat arnab itu melompat, Kael berjaya menangkap tubuh kecil itu di udara sebelum menghumbannya ke tanah dengan sepenuh tenaga.
Bunyi jeritan kecil kedengaran apabila makhluk itu terhempas. Sebelum ia sempat bangun, Kael — dipenuhi adrenalin dan sedikit rasa marah — menerkam ke hadapan. Dia segera menusuk pisaunya tepat ke perut dan menikam beberapa kali, melepaskan geramnya dan menjadikan pertempuran mereka lebih huru-hara.
Selepas beberapa ketika, makhluk itu kaku.
Kael berdiri, nafasnya sedikit tercungap, memegang lengannya yang pedih. Dia memejamkan mata sebentar. Perlahan-lahan, kewarasan mula kembali. Pertempuran kedua ini jelas huru-hara dan dia tercedera. Sepatutnya dengan mata Kecerdasan yang dia miliki, dia bertindak dengan lebih bijak lagi.
“Masih banyak yang aku perlu belajar,” keluh Kael.
Sekalipun begitu, tanpa membuang masa, dia segera melapah daging arnab tersebut dan menggigitnya.
[2 Mata Biasa Diperoleh]
Ganjaran yang lebih rendah berbanding arnab pertama. Dia makan lagi.
[Tiada Mata Biasa Diperoleh]
Gigitan ketiga.
[Tiada Mata Biasa Diperoleh]
Kael terhenti. “Hanya dua mata?”
Dia memandang sisa daging arnab di tangannya. Sama seperti Kumbang Hitam, pulangan Mata Biasa daripada daging Arnab Putih juga menurun dengan mendadak. Dia tahu, memakan keseluruhan bangkai ini hanya akan membuang masa. Kael diam sebentar, dia cuba untuk menyusun kembali rancangan.
Dia memikirkan kembali dua pertarungan tadi. Yang pertama, dia menang kerana Arnab itu “membuat kesilapan”. Yang kedua, dia tercedera kerana Arnab itu bertindak “di luar jangkaan”. Kedua-dua pertarungan itu huru-hara, dia cemas, dan membazirkan tenaga.
Dia memegang lengannya yang masih pedih.
“Aku genius tapi aku juga si dungu,” Kael menggumam. “Aku ada 30 mata Kecerdasan, tapi aku bertarung macam orang yang tak tahu apa-apa.”
Dia sedar kesilapannya. Dia telah mengabaikan kemahiran yang sedang diasahnya selama ini: kemahiran siluman. Dia tidak meluru keluar dari tempat persembunyian, tapi dia tidak bertindak dengan berhati-hati sebaliknya dia memberi amaran kepada mangsanya dan memaksa satu pertarungan yang tidak perlu.
“Baik,” Kael berbisik, matanya kini lebih tajam. “Kita cuba cara lain.”
Dia meletakkan umpan ketiga. Arnab ketiga muncul tidak lama kemudian. Ia meluru masuk ke laluan sempit itu dan mula menikmati daging Kumbang Hitam.
Kali ini, Kael tidak segera melangkah keluar.
Dia menarik nafas perlahan, menenangkan degup jantungnya. Dia mengaktifkan kemahiran siluman yang sedang dilatihnya. Dia bergerak perlahan-lahan tanpa mengeluarkan sebarang bunyi di dalam tirai daun itu, menuju ke sisi laluan, sebelum perlahan-lahan menyelinap keluar.
Tapak kakinya mendarat di atas tanah dan batu tanpa sebarang bunyi. Dia bergerak seperti bayang-bayang, setiap langkahnya cermat dan dikawal. Arnab itu sedang asyik menikmati daging Kumbang Hitam yang merupakan umpan, langsung tidak menyedari pemangsa kini berada hanya beberapa langkah di belakangnya.
Kael semakin hampir. Tiga langkah… dua langkah…
Arnab itu tiba-tiba berhenti mengunyah. Telinganya terangkat. Ia mungkin telah mengesan perubahan halus pada aliran udara. Ia mula berpusing… tetapi ia sudah terlambat.
Kael menerkam ke hadapan dengan satu lonjakan pantas. Pisau Perak miliknya menusuk tepat ke belakang leher Arnab itu, memutuskan tulang belakangnya dalam sekelip mata.
Makhluk itu kaku, rebah ke tanah tanpa sempat mengeluarkan sebarang bunyi.
Tiada pergelutan. Tiada kecederaan. Pertarungan itu selesai sebelum ia bermula.
Kael menarik pisaunya. Dia tersenyum lebar. Inilah cara yang sepatutnya dia lakukan dari awal lagi. Dia perlukan lebih banyak pertempuran dengan Raksasa Level 0 dan menguasai teknik ini sehabis baik dahulu sebelum dia mencuba ke atas raksasa yang lebih kuat. Lagipun, untuk bertempur dengan raksasa level tinggi, dia perlu menaikkan level miliknya juga.
Mata Kael kembali memandang tubuh arnab yang kaku di atas tanah itu.
“Harap dapat banyak mata.”
Dia segera melapah secebis daging dan memakannya.
[1 Mata Biasa Diperoleh]
Matanya membesar sedikit. “Satu?” Dia sedikit kecewa tapi dia tetap cuba untuk bersyukur dan berharap agar ada lagi mata yang akan diberikan. Dia menggigit lagi.
[Tiada Mata Biasa Diperoleh]
Dia terdiam. Pulangan ganjaran jatuh lebih cepat daripada yang dijangkakan. Apapun, teorinya tadi sudah berjaya disahkan. Hanya daging pertama yang memberi ganjaran besar, dan ia menurun dengan drastik.
Dengan keluhan kecil, Kael menyimpan baki daging Arnab ketiga itu ke dalam Inventori. Dia masih perlukan satu lagi pengesahan. Dia hanya akan berhenti sepenuhnya jika daging pertama dari arnab keempat ini langsung tidak memberikan apa-apa kepadanya.
Sekali lagi, Kael menarik nafas dalam sebelum meletakkan umpan keempat.
Arnab keempat muncul, tertarik dengan bau umpan yang segar. Seperti sebelumnya, Kael mengulangi teknik silumannya. Dia keluar dari persembunyian tanpa bunyi, menghampiri mangsanya dari belakang.
Satu tikaman. Tepat. Bersih.
Arnab itu mati serta-merta. Tekniknya kini sudah semakin sempurna. Namun, Kael tidak akan pernah membiarkan fikiran sebegitu meracuni mindanya.
Dengan penuh debaran, Kael melapah daging Arnab keempat itu. Dia menahan nafas sedikit sambil menyuap, menggigit dan menelan daging pertama ke mulutnya.
[Tiada Mata Biasa Diperoleh]
Kael tergamam. Dia menggigit lagi, lebih besar kali ini, seolah-olah tidak percaya.
[Tiada Mata Biasa Diperoleh]
Pisau di tangannya digenggam erat sehingga buku limanya menjadi putih. Dia memandang sisa daging di tangannya sebelum mencampakkannya ke tanah dengan geram.
“Tak dapat apa-apa?”
Kekecewaan melanda dirinya. Dia telah menghabiskan banyak masa, tercedera, dan memerah otaknya untuk mencari strategi — hanya untuk empat ekor arnab?
Dia menendang bangkai Arnab keempat itu. Dia telah berjaya menyempurnakan teknik membunuh, tetapi Menara Seribu sekali lagi mempermainkannya. Saat dia menguasai sesuatu, menara itu merampas ganjarannya.
Kael terduduk di atas tanah, nafasnya tercungap bukan kerana penat, tetapi kerana rasa kecewa yang amat sangat. Arnab Putih ini, seperti Kumbang Hitam, kini sudah kekeringan Mata Biasa untuknya.