“Tenangnya kalau sentiasa begini,” ujar Raka perlahan. Suasana di lurah itu memang tenang. Hanya bunyi angin yang menyapa telinga.

Dari kawasan itu, Raka dapat melihat seluruh Desa Karunai. Rumah kayu kawasan kediaman dibina tersusun, deretan kedai di satu kawasan, dan beberapa binaan tinggi — sekolah, perpustakaan, rumah dukun, dan kediaman rasmi Ketua Desa.

Pandangannya terhenti pada sebuah kawasan di tengah-tengah desa. Di situ ada sebuah altar berwarna hitam. Ia terletak di bawah sebuah pohon yang sungguh besar, memancarkan aura purba. Daunnya merimbun. Berdasarkan apa yang Raka dengar dan faham selama ini, altar itu hanya akan digunakan untuk upacara korban.

Dilakukan setiap sepuluh tahun sekali.

Berdasarkan kiraan, Raka yakin ia akan dilakukan pada tahun ini. Kali terakhir, sewaktu Raka berusia lima tahun. Ketika itu, kanak-kanak sepertinya diharamkan dari melihat upacara tersebut. Namun, dia tahu apa yang menjadi korban ketika itu — manusia.

Atau lebih tepat, kanak-kanak dan remaja.

Sehingga ke hari ini, Raka masih keliru akan apa tujuan sebenar upacara itu dilakukan. Penduduk desa semuanya percaya bahawa upacara itu adalah untuk menyeru semangat para dewa-dewi dan korban itu adalah tukaran bagi mereka menjaga kawasan ini daripada anasir-anasir jahat.

Sekalipun begitu, Raka tidak pernah percaya. Dia yakin ada amalan atau kepercayaan karut yang terlibat.

“Mengarut. Kenapa masih ada yang percaya perkara tahyul sebegini,” desis Raka.

Dia mengarahkan pandangannya ke luar desa pula. Sawah padi yang luas, beberapa ladang dan kandang ternakan. Semuanya diairi oleh sebatang sungai lebar yang mengalir tenang. Namun, tidak kira berapa kali Raka melihat desa itu, tidak sekalipun dia berasa ia adalah rumahnya. Sejak dari kecil, sejak dia mula menyimpan memori, dia tahu yang dia cuma ‘wujud’. Bukan benar-benar ‘hidup’.

Mujurlah ada beberapa orang kampung yang tidak membencinya. Mak Piah, yang menjaganya. Dan Ketua Desa, Tan Wira. Namun, Raka dapat merasakan Tan Wira tidaklah seikhlas Mak Piah. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan. Sesuatu yang memaksa lelaki itu berbaik dengan Raka.

“Politik?” Raka menduga. “Boleh jadi. Dia mesti nak nampak baik di mata penduduk desa.”

Raka menyeluk ke dalam saku baju hitam yang dipakainya. Dia mengeluarkan seketul batu hitam berkilat dengan satu simbol unik. Sehingga ke hari ini, dia tidak tahu apa maksud simbol itu. Batu hitam itulah satu-satunya peninggalan orang tuanya.

Dia ditinggalkan di kediaman Ketua Desa sekitar lima belas tahun yang lalu. Mak Piah, salah seorang pembantu rumah Tan Wira, yang menemuinya di dalam sebuah bakul. Bersama-sama batu hitam itu, ada sepucuk surat. Kata Mak Piah, surat itu hanya menerangkan masalah orang tuanya dan nama yang patut diberikan kepadanya. Raka pernah meminta untuk membaca sendiri surat itu. Kata Mak Piah, Tan Wira sudah terhilangkannya.

Tiada sebarang maklumat lain yang diketahui oleh Raka mengenai ibu dan bapanya. Cuma, ada bisik-bisik oleh penduduk desa. Raka ditemukan pada malam bulan mengambang. Ketika itu, bulan tidak seperti biasa. Ia berwarna merah pekat seperti darah. Sama seperti mata kirinya. Mata kanannya hitam dan normal.

Ada tambahan lagi pada bisik-bisik ini. Katanya, petir menyambar pokok besar di tengah desa tersebut pada malam itu juga. Bagi penduduk desa, itu adalah petanda yang tidak baik. Pada malam itu, mereka semua berasa lega kerana tiada sesiapa yang melahirkan anak. Tapi, kehadiran Raka membuatkan mereka kembali berasa malang.

Itulah juga yang memulakan gelaran Anak Sumpahan buat Raka. Sejak dari itu, mulalah penduduk desa mengaitkan sebarang nasib buruk, bencana dan musibah dengannya. Hampir semua penduduk sekalipun dia tidak kenal penduduk tersebut. Sekalipun dia tidak pernah berinteraksi secara langsung. Raka tersenyum saat teringat akan semua itu. Jika dahulu, sewaktu masih kecil, dia akan menangis. Lama-kelamaan, hati dan fikirannya sudah cukup keras menahan.

“Mengarut,” gumam Raka. “Manusia sentiasa mencari sesuatu untuk disalahkan. Di desa ini? Akulah sesuatu itu.”

Batu hitam itu digenggamnya erat. Dia cuba bayangkan seperti dia menggenggam tangan ibunya. Dia akan lakukan sebegitu setiap kali dia berasa sedih, terhina, marah atau apa-apa perasaan sekalipun. Hanya itu sahajalah cara untuk dia memujuk hati.

Raka pernah bertanya, sekali, kepada Tan Wira. Ketika itu, Raka baru berusia tujuh tahun. Dia sedang duduk di tangga kediaman Ketua Desa, sambil disapu ubat oleh Mak Piah pada luka-luka di wajah dan tubuhnya akibat dipukul oleh kanak-kanak lain. Selama tujuh tahun, dia dibesarkan oleh Mak Piah di bilik pembantu yang diberikan khas kepada Mak Piah. Urusan makan dan minumnya turut ditanggung oleh Tan Wira.

“Apa salah saya, Pak Wira?” soal Raka, suaranya serak.

Mak Piah turut memandang Tan Wira, seolah-olah turut menanti apa jawapan yang akan diberikan oleh Ketua Desa itu. Lelaki tua berambut putih, bertubuh sasa dan berwajah garang itu tidak segera menjawab. Dia menarik nafas dalam sebelum memandang Raka, lama, sebelum bersuara perlahan.

“Mata kau, Raka. Itu bukan mata manusia biasa.”

Tan Wira menyambung. “Kau membawa darah yang tidak boleh ditebak asal-usulnya.” Dia menarik nafas dalam sambil matanya memandang ke langit. “Itu sudah cukup untuk membuatkan penduduk desa takut dan membenci kau.”

“Benci?” ulang Raka.

Air mata mula bergenang pada matanya. Dia mengangkat kepala, memandang Mak Piah sebelum memandang Tan Wira. Dia cuba menahan air mata itu dari mengalir.

“Kalau begitu… boleh saya butakan mata kiri ini? Atau mengoreknya keluar?” soal Raka. “Kalau saya buat begitu, bolehkah saya diterima?”

PANG!

Satu tamparan kuat hinggap di pipi kiri Raka. Tubuhnya yang masih kecil ketika itu melayang ke sisi, jatuh dari tangga.

“Pak Wira!” jerit Mak Piah terkejut dengan tindakan ketua desa itu.

Wajah tua Tan Wira bertukar bengis. Jarinya menolak-nolak kepala Raka sambil berkata, “Kau gila?! Jangan sesekali kau lakukan itu atau seluruh desa akan menerima balasannya!”

Raka hanya menunduk, memandang tanah. Mak Piah turut kasihankan Raka tapi dia tidak berani untuk menghalang sebarang tindakan atau kata-kata Ketua Desa. Raka pula kekal tertanya-tanya apa yang dimaksudkan oleh Tan Wira. Apa akan jadi terhadap penduduk desa jika dia bertindak begitu? Apa kaitan yang sebenarnya?

Jika Raka mengangkat wajah dan memandang wajah Tan Wira ketika itu, Raka akan menjadi lebih tertanya-tanya. Sekalipun dia sedang mengamuk, wajah Tan Wira pucat lesi. Sepertinya apa yang hanya bermain di dalam fikiran Raka dan diceritakan kepada Tan Wira sebentar tadi telah membuatkan Ketua Desa tersebut berada di dalam ketakutan yang amat dahsyat.

Dengan suara terketar-ketar, Tan Wira mengarah, “P-P-Piah! Kau bawa Raka ke rumah kosong di hujung desa sekarang!”

Dia menarik nafas sebelum menyambung, “Mulai hari ini, dia perlu belajar untuk hidup sendiri.”

Sejak hari itu, Raka sudah jarang bertemu Tan Wira. Namun, dia tetap diberikan duit belanja bulanan oleh Tan Wira. Dan Mak Piah juga rajin membawa makanan untuk Raka.

Sedang asyik dia mengimbas memori, Raka memandang langit. Hari sudah beransur gelap. Malam bakal tiba. Sekalipun dia tidak risau akan puaka di Lurah Semata, dia masih tetap tidak ingin bertemu mereka.

“Masa untuk pulang.”

Raka sedar, untuk turun ke bawah lebih mudah dari mendaki. Dengan tangkasnya dia melompat turun. Namun, tidak jauh dari gigi hutan, dia terdengar suara-suara yang membuat riuh. Dia kenal suara-suara itu.

“Budak celaka tu tak nak turun?”

“Dia takut dengan kita. Kita kan sedang berlatih untuk jadi Satria.”

Raka tersenyum kecil dan segera mencari tempat untuk bersembunyi. Tidak jauh darinya, ada batu besar. Dia segera melompat ke belakang dan mengintai dari celahan batu. Tiga remaja tadi, mereka masih di situ. Masih tidak berpuas hati kerana belum berjaya membelasahnya hari ini.

Tetapi, ada sesuatu yang berbeza. Mereka kelihatan seperti sedikit melampau hari ini. Salah seorang dari mereka memegang sebatang buluh runcing. Seorang lagi pula bersenjatakan batu besar.

Jantung Raka berdegup kencang bukan kerana takut, tapi kerana satu perasaan yang cuba dia kawal selama ini atau rahsianya akan pecah.

“Mereka nak bunuh aku ke hari ini?”