BEEP! BEEP! BEEP!
Bunyi penggera yang bingit itu bergema, seakan-akan mahu memecahkan ruang bilik yang sempit itu. Zen segera membuka matanya. Dalam keadaan mamai, dia terus duduk, tangannya teraba-raba cuba mencapai penggera untuk mematikannya.
“Bisingnya. Bila masa aku set bunyi ni?” rungut Zen, masih cuba memproses keadaan.
Namun, belum sempat tangannya menemui sumber bunyi itu, satu rasa sakit yang tajam dan perit tiba-tiba meletus di dadanya. “Arghh!”
Raungan itu tertahan di kerongkongnya. Zen serta-merta menggigit bibir. Nafasnya tersekat. Tangannya mencengkam kuat kawasan kesakitan itu, tepat di tempat bilah itu terbenam. Tubuhnya mula dibasahi peluh sejuk.
Rasa sakit itu, walaupun hanya bayangan, terasa terlalu nyata. Serta-merta, segala-galanya kembali. Memori malam tadi menyerbu mindanya tanpa ampun.
Dewan keraian. Balkoni yang sejuk. Pisau yang menembusi dadanya. Darah pekat yang mengalir… dan alasan bodoh Wilfred.
Zen mengalihkan tangannya perlahan-lahan, matanya terpaku pada dadanya, menjangkakan luka yang ternganga. Namun dia berbaju lengkap. Dia mula keliru. Dengan kecederaannya semalam, dia sudah sepatutnya mati. Namun, kemarahan mula mengaburi pertimbangan.
“Wilfred…” Nama itu disebut perlahan, suaranya serak.
Dulu, itulah individu yang paling boleh dipercayainya. Tempat dia berkongsi segala rahsia, bercerita kisah suka dan duka. Itulah juga individu yang berkongsi impian yang sama dengannya, membina Guild mereka dari kosong.
Tapi, saat ini, nama dan wajah itu hanya mengundang kebencian yang pekat dan mendalam. Segala kepercayaan itu telah dikhianati. Segala apa yang dikatakan dan dilakukan oleh Wilfred… semuanya tidak masuk akal.
“Bodoh. Alasan kau semuanya bodoh, Wilfred,” desis Zen, suaranya bergetar menahan amarah. Rahangnya diketap kuat. “Kau nak bunuh aku… hanya kerana sebab-sebab itu?”
Zen menggenggam penumbuknya, buku limanya memutih. Dia menarik nafas yang dalam, cuba menahan rasa sakit. Ia bukan lagi sakit fizikal akibat tikaman, tetapi sakit yang lebih dalam — rasa dikhianati.
“Aku akan cari kau, Wilfred. Kau akan bayar semua ini.”
Bunyi penggera yang masih bingit itu memecah tumpuannya. Amarahnya serta-merta bercampur dengan keliru. Dia segera menanggalkan bajunya dan memeriksa dadanya. Matanya membulat saat melihat kawasan dada kirinya. Tiada apa-apa. Tiada kesan tikaman, tiada parut, tiada kecederaan.
“Sekejap… Takkan aku dah sembuh?”
Mustahil. Mustahil untuk dia percaya itu yang berlaku. Dia tahu tikaman itu tepat mengenai jantungnya, menembusi dadanya. Sekalipun benar dia masih hidup, luka separah itu tidak mungkin hilang sepenuhnya tanpa sebarang kesan.
Zen cuba berfikir, tetapi bunyi penggera itu terus mengganggu. Dia meraba-raba meja sisi, mencari telefon pintarnya. Tetapi bukan itu yang dicapai oleh tangannya. Sebaliknya, jari-jemarinya menyentuh sebuah jam loceng petak berwarna merah. Zen dapat melihat dengan jelas, ia adalah jam loceng plastik murah.
“Jam loceng?” gumamnya. “Sejak bila aku guna lagi benda ini?”
Jam itu sama seperti yang digunakannya sewaktu di universiti. Mustahil untuk dia beli semula; ia langsung tidak sesuai dengan rekaan dan hiasan dalaman apartmen mewahnya.
“Apartmen…” Zen memandang sekeliling. Dia masih keliru di mana dia berada. Bilik itu kecil dan sempit. Dinding putih itu kosong dan kotor, tiada karya-karya seni mahal yang dibelinya. Di satu sudut, tersandar sebuah meja belajar kayu berserta sebuah kerusi plastik berwarna biru. Dia memandang ke bawah. Dia sedang duduk di atas sebuah katil besi berwarna hitam.
Matanya bergerak pula ke sudut yang satu lagi. Ada sebuah lokar besi, dan sebuah cermin retak dilekatkan pada pintunya. Tiba-tiba, Zen terasa seperti semua ini pernah dilihatnya.
“Sekejap…” Fikiran Zen mula berputar. “Kenapa bilik ini sama macam bilik asrama aku dulu?”
Dia bingkas bangun, melihat sekeliling sekali lagi, cuba untuk mencari jawapan. “Aku kat mana sebenarnya?”
Kepalanya mula berdenyut. Tiba-tiba, kesakitan di dadanya kembali menyerang. Dia cuba berjalan untuk ke lokar besi, tetapi langkahnya kurang bertenaga. Dia terhuyung-hayang dan hampir rebah ke lantai. Dia memaksa diri, akhirnya sampai dan melihat wajahnya di cermin retak itu.
“Ini aku?”
Lama dia merenung pantulan wajahnya. Muka itu sama, rambutnya hitam serabai. Dia masih ada parut halus pada pipi kirinya. Tapi… dia nampak muda. Terlalu muda. Dia kemudiannya membelek-belek tubuhnya. Tubuh itu lemah dan tidak bertenaga. Tiada aura yang terpancar. Langsung tidak kelihatan seperti Zen Voss, bintang Zonan yang sedang meningkat naik.
Dia benar-benar keliru ketika ini. “Apa sebenarnya yang sedang berlaku?”
Zen mengalih pandangan ke arah meja kayu. “Ini… laptop lama aku.” Dia melihat sekeliling sekali lagi. Dia tidak menemui Kapsul VR, tiada peranti pintar, dan tiada… Zophone 16. Tiada tanda kemajuan dunia moden yang dia ingat. Semua ini seperti sepuluh tahun yang lalu.
Zen memejamkan matanya rapat-rapat. “Okey… Ini cuma mimpi ngeri. Aku yakin aku dah mati dan ini mungkin persinggahan sebelum aku ke syurga?” gumamnya panjang. “Tapi, kenapa aku mimpikan bilik asrama?”
Dia sangat yakin susunan katil, meja, lokar, dan cermin retak itu adalah sama seperti biliknya sewaktu di universiti dahulu. Ada satu perkara lagi yang boleh meyakinkannya. Dia menarik nafas dalam, lalu mencangkung di sebelah katil. “Kalau betul ini bilik asrama aku…” bisiknya perlahan.
Dia menghulurkan tangan, lengannya bersentuhan dengan lantai konkrit yang sejuk. Hujung jarinya menyentuh sesuatu yang rata dan keras.
“Biar betul,” gumam Zen sambil menarik keluar objek itu. Ia bukan Zophone 16. Ia hanyalah sebuah telefon pintar murah, berwarna hitam dan skrinnya calar-balar. Jenama yang rasanya sudah beberapa tahun terkubur. Zen kembali berdiri dan merenungnya dengan rasa tidak percaya.
Kali ini dadanya berdegup kencang. Nafasnya juga ditahan. Jarinya perlahan-lahan bergerak untuk menyentuh skrin. Skrin itu berkelip-kelip sebelum memaparkan sesuatu yang membuatkan Zen terkejut.
16 Julai 2040.
Jantungnya seakan-akan terhenti. Jari-jemarinya kaku. Matanya tidak berkedip. “Tak mungkin.”
Minda Zen ligat berpusing. Dia cuba untuk menghubungkan segala apa yang berlaku. Hanya ada satu kemungkinan yang bermain di dalam mindanya ketika ini. Namun, kebarangkalian untuk ia menjadi nyata adalah hampir mustahil.
Dengan jari yang masih terketar-ketar, Zen menyentuh skrin tersebut sekali lagi. Paparan yang meminta kata laluan muncul. Dia tidak perlu berfikir panjang. Hanya ada satu kata laluan yang dia gunakan untuk telefon pintarnya dari dulu hingga sekarang.
Skrin itu menyala terang, dan gambar latar itu muncul. Sebuah gambar yang sudah bertahun lamanya tidak dia lihat. Di dalam gambar itu, ada tiga individu — dia di tengah-tengah, dan ibu serta bapanya di kiri dan kanan. Wajah masing-masing tersenyum gembira.
Dia masih ingat di mana mereka mengambil gambar tersebut. Bapanya tersenyum, meletakkan tangan pada bahunya. Ibunya pula memegang sandwic. Itu adalah gambar terakhir mereka. Diambil beberapa minggu sebelum kemalangan itu berlaku. Nahas jalan raya yang meragut nyawa mereka berdua.
Nafas Zen tersekat di kerongkong. Gambar itu telah hilang apabila telefon pintar di tangannya itu rosak. Dia masih ingat, dia tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membaiki atau menyelamatkan data di dalamnya. Kemudian, dia mula sibuk dengan kehidupan di dalam Zonan. Dia sengaja memilih untuk melupakan kesedihan dunia dengan ‘hidup’ di dalam sana.
Tapi sekarang, gambar itu berada di hadapan matanya. Jelas. Matanya berair panas. Tanpa semena-mena, ia mengalir laju, membasahi pipi.
“Ibu… Ayah…” bisiknya. Mata Zen masih mengalirkan air mata, terpaku pada skrin itu. Perlahan-lahan dia mengangkat kepalanya, kembali melihat sekeliling, sebelum pandangannya jatuh pada bahagian dadanya yang tidak menunjukkan sebarang tanda kecederaan.
“Apa… Apa sebenarnya yang sedang berlaku?”