Ethan sendiri tidak pasti bila dia terlelap, tetapi apabila dia terjaga, cahaya mentari pagi sudah pun menyelinap masuk menerusi tingkap biliknya tanpa kebenaran.
Tidak cukup dengan itu, bunyi bising Edgewater di pagi hari juga sudah menceroboh gegendang telinganya—hon kereta yang memanggil pemilik kereta yang double park, jeritan jiran yang menyapa satu sama lain di kaki lima, dan salakan anjing Edgewater yang tidak pernah kenal erti masa.
Segala kakofoni itu memusnahkan sebarang ruang untuk Ethan kembali tidur.
“Dah pukul berapa ni…” gumamnya perlahan.
Suaranya serak dan kasar. Dia meraba-raba mencari telefon pintar. Mata kirinya dipaksa terbuka cukup luas untuk melihat skrin yang menyala terang.
7:00 pagi.
“Awal lagi…” dia merungut, menarik selimut menutup kepala. “Boleh tidur sepuluh minit lagi.”
Ethan sudah bersedia untuk hanyut semula ke alam mimpi sebelum otaknya menekan butang play pada satu memori penting—dia ada satu bilion dolar.
Serta-merta, segala kejadian semalam menjengah semula. Seorang lelaki misteri berpakaian serba putih dan seorang lagi pula berpakaian serba hitam, visual para penguasa dengan kuasa elemen, dan empayar yang runtuh. Semuanya berputar berulang-ulang kali di dalam mindanya seperti pita filem yang rosak.
Nanti aku fikir pasal benda pelik tu, getus hati Ethan. Sekarang ni… aku kena tengok duit tu.
Adrenalin serta-merta memadamkan rasa kantuknya. Jari-jemarinya terketar-ketar membuka aplikasi Novan Trust.
Ethan terdiam sebelum perlahan-lahan senyuman lebar terukir pada wajahnya. Semuanya masih sama seperti semalam. Wang sebanyak satu bilion dolar itu duduk diam di situ, seperti menunggu untuk digunakan.
Senyuman Ethan semakin lebar.
Hanya ada satu sahaja cara untuk menguji semua ini.
Dia membuka aplikasi Zalada, kedai atas talian yang sudah bertahun menjadi tempat dia membeli beberapa jenis barangan. Setakat ini, had belanjanya tidak pernah melebihi $200. Tetapi kali ini, dia ingin melanggar semua had itu.
Ethan menekan tab permainan video digital.
Final Dominion. Battlecry XI. The Last Horizon Remake.
Dia menekan butang Add to Cart tanpa berfikir panjang. Dia menambah lagi beberapa tajuk yang dirasakan menarik. Jumlah harga melompat naik dengan drastik.
$200.
$645.
$800.
$1,500.
Selang beberapa minit kemudian, Ethan berhenti.
Angka itu dahulunya bermaksud sewa rumah, makanan, dan kelangsungan hidup keluarganya untuk sekurang-kurangnya dua bulan. Sekarang, ia hanyalah harga untuk hiburan.
Jari Ethan teragak-agak di atas butang Purchase.
Macam mana kalau tak lepas?
Kemudian, senyuman kecil terukir di bibirnya. Kalau tak lepas, aku tak rugi apa-apa.
Dia menekan butang itu sambil memejamkan mata.
Paparan Loading berputar—animasi ringkas yang terasa seperti sedang mempermainkan degupan jantungnya.
Satu saat. Dua saat.
Kemudian, ia berhenti.
Mata Ethan terbuka luas. Satu bunyi ding halus memecah kesunyian bilik. Skrin menyala dengan emel pengesahan.
“Memang betul… Duit tu memang betul…” Suaranya bergetar.
Tiada mesej ralat. Tiada amaran “Baki Tidak Mencukupi”.
$3,459. Lesap untuk game.
Ethan segera menyemak semula baki akaunnya. Dan di sinilah perkara menjadi pelik. Sangat pelik.
Jumlah baki akaunnya tidak berkurang. Malah, ada kemasukan baru yang menggantikan jumlah yang baru dibelanjakan tadi.
“Pelik,” ujar Ethan, dahi berkerut.
Dia membuka sejarah transaksi. Ada pemotongan sebanyak $3,459 untuk Zalada. Tetapi di bawahnya, satu lagi transaksi masuk dengan jumlah yang sama tepat, dikreditkan serta-merta. Dia meneliti bahagian rujukan. Wang tersebut datang daripada Heaven Corporation dan ditanda sebagai ‘Claim’.
Ethan menggaru kepalanya yang tidak gatal. Apa yang berlaku ini jauh mengatasi logik perbankan biasa. Ini bukan silap mata; ini sihir sistem kewangan.
Dia menghela nafas panjang. “Biarlah dulu.”
Tiada apa yang boleh dilakukannya sekarang selain menerima hakikat gila ini. Dia baru sahaja membelanjakan jumlah yang boleh menyara keluarga selama dua bulan, tetapi baki akaunnya kekal sama seperti dia langsung tidak pernah menggunakannya.
Ethan menggelengkan kepala sebelum tersenyum puas.
“Aku tak boleh fikir main game sekarang,” bisiknya tegas. “Aku kena tolong Ibu dan Ayah dulu.”
Dia berdiri di hadapan pintu bilik. Tangannya memegang tombol pintu. Di dalam fikirannya, dia sudah membulatkan tekad. Dia akan selesaikan masalah keluarga dulu, baru fikirkan tentang Sistem Infiniti dan lain-lain.
Ethan melangkah keluar ke dapur.
Bau telur goreng dan sosej memenuhi ruang. Ia bau yang menyenangkan, bau sarapan yang ringkas tapi lazat.
Di dapur, ibunya, Elise, sedang sibuk memasak. Dia bersenandung perlahan sambil membalikkan sosej di atas kuali. Walaupun Elise nampak tenang, Ethan perasan bahu ibunya itu sedikit jatuh, tubuhnya juga tidak berdiri lurus seperti biasa.
Di meja makan, ayahnya, Aaron, sedang membongkok membaca surat khabar. Pen merah di tangannya bergerak laju, membulatkan ruangan “Iklan Jawatan Kosong”. Banyak bulatan bertindih di atas kertas itu, membentuk peta kerisauan seorang bapa. Dahinya berkerut, fokus sepenuhnya pada mencari peluang rezeki tambahan.
“Pagi,” sapa Ethan, menarik kerusi.
Aaron mengangkat muka. Wajahnya serius, tapi matanya melembut sedikit saat memandang Ethan. “Pagi.” Suaranya datar. Pen di tangannya masih bergerak. Satu lagi bulatan. Satu lagi halaman diselak.
Elise menoleh sekilas sambil tersenyum manis. “Awal kamu bangun hari ni. Tidur lena?”
“Ya, Ibu,” jawab Ethan, membalas senyuman itu walau fikirannya masih berserabut. Dia bersandar pada kaunter dapur. “Sedap bau Ibu masak.”
“Menu sama macam biasa. Kejap lagi siap,” kata Elise. “Lima minit lagi, kalau adik-adik kamu belum bangun, tolong kejutkan mereka.”
Seperti sudah dirancang, bunyi pintu bilik Lily dibuka kedengaran. Disusuli pintu bilik Jacob. Dua beradik itu melangkah masuk ke dapur dengan gaya zombie di pagi hari.
Jacob, yang kelihatan semakin tinggi setiap hari, terus menuju ke peti sejuk dengan mata separuh terbuka. Rambutnya serabai, gaya ‘baru bangun tidur’ yang sebenar. Lily pula berjalan menyeret kaki, memeluk tubuh seolah-olah sedang kesejukan di kutub utara. Dia terus duduk di kerusi dan menguap besar.
“Pagi, Tuan Puteri,” tegur Ethan sambil mengusap rambut Lily.
Lily menepis tangan Ethan lemah. “Jangan kacau.”
Ethan ketawa kecil. Dia tidak peduli dan tetap melakukannya. Lily pula terpaksa membiarkannya.
Jacob meneguk jus terus dari kotak. “Sarapan apa hari ni, Ibu?”
“Macam biasa,” jawab Elise ringkas.
Ethan duduk di meja makan bersama yang lain. Matanya kembali melirik ke arah ayahnya. Aaron masih tekun menanda iklan kerja, seolah-olah nyawa mereka bergantung pada dakwat merah itu.
Rasa sebak menjentik hati Ethan.
Jangan risau, Ayah. Hari ni, semuanya akan berubah.
Dia menyimpan kata-kata itu di dalam hati, menyusun bicara. Sekarang dia ada satu bilion dolar—dan sistem yang nampaknya akan membayar semula segala apa yang dia belanjakan. Masalah kewangan akan dipadam dari kamus hidup mereka bermula hari ini.
Sepinggan makanan diletakkan di hadapannya oleh Elise.
“Makan,” kata Elise lembut. “Kamu perlukan tenaga untuk kerja hari ni.”
Ethan mengangguk. “Tunggu yang lain. Kita makan sama-sama,” balas Ethan sambil tersenyum.
Elise turut tersenyum mendengarkan balasan Ethan. Satu-persatu pinggan diletakkan di atas meja. Menu masing-masing adalah sama. Telur goreng, dua batang sosej, kacang panggang dan sepotong keju.
Mereka mula makan, tapi fikiran Ethan ligat. Dia sedang berfikir macam mana untuk berikan duit kepada ibu dan bapanya tanpa nampak mencurigakan. Dia risaukan soalan daripada mereka berdua.
Lima belas minit kemudian, sarapan selesai.
Suasana berubah riuh seketika apabila Lily dan Jacob berlari ke ruang tamu untuk menonton televisyen. Sebaik sahaja mereka berdua hilang dari pandangan, dapur kembali sunyi. Tidaklah terlalu sunyi. Suara Lily dan Jacob yang berebut alat kawalan jauh masih kedengaran sayup-sayup.
Aaron dan Elise pula masih di meja makan, bercakap dengan nada berbisik. Ethan berdiri di laluan antara ruang tamu dan dapur, mendengar butir bicara mereka. Topik mereka tetap sama, berkenaan duit.
Ethan menarik nafas dalam. Dia kemudiannya berjalan ke arah mereka.
“Ibu. Ayah.”
Suara Ethan memotong perbualan bisik mereka. Kedua-duanya mendongak serentak.
“Kenapa, Ethan?” soal Aaron.
“Berapa banyak kita perlukan untuk sewa dan bil bulan ni?” tanya Ethan, terus pada pokok pangkal.
Elise meletakkan tangannya ke atas meja perlahan-lahan. “Kami dah bincang tak nak bebankan kamu lagi, Ethan. Jangan risau.”
“Mana boleh saya tak risau,” balas Ethan tenang, mengukir senyuman nipis. “Setiap hari saya risau.”
Aaron meletakkan pen di atas meja. Matanya tepat memandang Ethan. “Kamu dah buat cukup banyak. Kuliah, kerja sambilan. Itu dah memadai.”
“Memadai?” Ethan memeluk tubuh. “Tak, Ayah.”
Aaron dan Elise sedikit terkejut dengan nada tegas Ethan.
Ethan menyambung, “Saya tahu masalah duit ni dah ganggu Ibu dan Ayah banyak sangat. Saya bukan minta izin. Saya nak tolong.”
Rahang Aaron menegang. Elise meramas tangannya sendiri di atas meja. Dia memandang Ethan lama sebelum mengalah. “Kita tertunggak dua bulan sewa.”
“Seribu… tujuh ratus,” Ethan mencongak pantas. “Bil-bil lain?”
Elise terdiam sebentar, berkira-kira sama ada perlu memberitahu jumlah sebenar. Akhirnya, dia mengeluh. “Mungkin dalam seribu lagi.”
Ethan mengira. $2,700.
Jumlah yang dahulunya mampu membuatkan dia sesak nafas, sekarang terasa kecil.
“Saya uruskan,” katanya pendek.
Tangan Aaron kaku. “Uruskan? Apa maksud kamu?”
“Saya akan bayar,” jawab Ethan.
Aaron ketawa kecil, bunyi yang tidak lucu. “Jangan susahkan diri kamu, Ethan.”
“Saya serius,” tekan Ethan.
“Kamu tak perlu bayar,” kata Aaron, menggeleng kepala keras. Ego seorang bapa sedang cuba melindungi anaknya. “Ayah menyesal minta tolong kamu dulu. Kami boleh uruskan—”
“Uruskan?” Ethan memotong laju. “Dah bertahun Ayah ‘uruskan’. Benda ni menyakitkan Ayah. Biar saya tolong. Giliran saya pula, okey?”
Sebelum mereka sempat membantah lagi, Ethan mengeluarkan telefon pintarnya. Jarinya laju menekan skrin. Dia menaip $2,700, kemudian berhenti. Dia memadamnya semula.
Bagi lebih sikit. Boleh guna untuk beli barang dapur atau kecemasan, bisik hati Ethan.
$3,000.
Hantar.
Beberapa saat kemudian, telefon Aaron yang berada di atas meja bergetar.
“Periksa akaun Ayah,” arah Ethan.
Aaron dan Elise berpandangan. Dengan wajah penuh curiga, Aaron mengambil telefonnya. Dia menekan skrin. Telefon model lamanya mengambil masa beberapa saat untuk membuka aplikasi bank, sedikit lagging yang menyeksakan.
Kemudian, matanya terpaku.
“Biar betul…”
Elise mendekatkan diri, melihat skrin itu. Mulutnya ternganga sedikit.
Dapur itu sunyi sepi. Bunyi kartun dari ruang tamu terasa sangat jauh, seolah-olah berada di dunia lain.
Elise menutup mulut dengan tangan, matanya membulat. Suara Aaron pecah bila dia akhirnya bersuara.
“Ethan… macam mana kamu buat?”
Ethan senyum nipis. Tenang dan yakin.
“Macam saya cakap. Saya dah uruskan.”
Beban yang menekan bahu Aaron dan Elise seolah-olah hilang serta-merta, digantikan dengan rasa lega yang hampir tidak tertanggung. Buat pertama kali dalam tempoh yang lama, mereka boleh bernafas tanpa rasa bimbang.