Ethan menyambar telefon pintarnya dengan tangan yang terketar-ketar, seolah-olah peranti itu baru sahaja bertukar menjadi bom jangka yang sedang mengira detik. Dia masih belum pulih daripada kejutan melihat kad hitam itu menembak cahaya ke arah telefonnya, dan sekarang, telefon itu pula buat hal.
Skrin telefon itu menyala dengan sendiri.
Bukan cahaya biasa. Ia bukan cahaya notifikasi mesej atau emel merapu dari mana-mana laman web. Cahaya ini tajam, jernih, dan mempunyai kualiti ‘definisi tinggi’ yang mustahil mampu dipaparkan oleh skrin telefon murah miliknya. Cahaya itu bukan datang dari skrin, tetapi ia kelihatan seperti hidup di atas skrin.
Nafas Ethan tersangkut di kerongkong. Dia kaku, matanya terpaku pada barisan perkataan yang terapung di permukaan kaca itu, mindanya bergelut untuk memproses apa yang sedang dibacanya.
Dahi Ethan berkerut seribu.
“Sistem Infiniti?” bisiknya kasar. “Apa pula kali ni?”
Ini bukan notifikasi biasa. Bukan missed calls daripada Jordan, bukan kemas kini aplikasi yang memakan data, dan bukan mesej daripada kumpulan sembang kelas yang penuh dengan perbualan merapu.
Ethan cuba meleretkan jarinya di atas skrin untuk menutup notifikasi itu.
Tiada respon.
Dia cuba menekan butang Home.
Tiada respon.
Dia cuba menekan butang kuasa di sisi telefon untuk mematikan peranti itu.
Skrin itu kekal menyala, kemudian berkelip-kelip beberapa kali seperti mengejek usahanya. Dia tahu, semua ini pasti ada kaitan dengan kad MAHARAJA. Kad itu juga sudah hilang selepas menjadi cahaya.
Dia menarik nafas dalam.
Mesej itu masih kekal di situ. Ia tidak berkelip, tidak pudar, dan tidak hilang. Dan sebelum Ethan sempat membuat keputusan sama ada dia patut panik, ketawa, atau baling telefon itu ke dinding, satu lagi baris ayat muncul di bawahnya.
Ethan bingkas duduk tegak. Spring tilam lamanya berbunyi, menjerit protes akibat pergerakan mengejut itu. Jantungnya berdegup laju. Dia tahu ini bukan imaginasi.
Satu lagi mesej menyusul.
Ethan berkelip sekali. Kemudian dua kali.
“Sistem Infiniti…” Dia menyebut nama itu sekali lagi.
Nama itu berbunyi sangat… klise. Ia tidak ubah seperti salah satu iklan pop-up di laman web haram yang menjanjikan “Cara Cepat Kaya” atau “Muat Turun RAM Percuma”. Ia berbunyi seperti skim penipuan yang direka oleh budak sekolah menengah yang baru belajar kod HTML.
“Kelakar sangat,” gumamnya kepada bilik yang kosong.
Ethan mendengus. Dia meletakkan telefon itu di atas riba.
Jarinya teragak-agak di atas skrin.
“Kalau aku tak buat apa-apa, aku tak akan dapat jawapan,” bisiknya.
Dia menekan skrin itu.
Serta-merta, satu renjatan halus menjalar dari hujung jari ke lengan, membuatkan badannya tersentak.
Skrin berubah lagi.
Mata Ethan membulat. Dia membaca baris seterusnya yang muncul dengan pantas.
Ethan merenung angka itu.
“Siapa yang buat lawak ni? Ini dah melampau.”
Satu bilion dolar? Angka itu sangat tidak masuk akal sehingga ia merasakan semua itu lucu. Ethan cuba membuat kira-kira dalam kepalanya. Kenapa jumlah yang dimasukkan itu begitu spesifik?
$999,999,629.20?
“Tunggu sekejap.”
Otaknya ligat bekerja. Dia teringat baki akaunnya semasa dia menyemak di hadapan kedai lampu tadi.
“$370.80.”
Jika dia mencampurkan $370.80 dengan angka pelik yang baru masuk itu…
Hasilnya adalah tepat $1,000,000,000.00.
Tiba-tiba wajah Ethan terasa sejuk. Ini bukan nombor rawak. Siapa sahaja—atau apa sahaja—yang mengawal sistem ini tahu dengan sangat tepat berapa sen yang ada dalam akaun banknya sekarang, dan sistem ini telah menambah supaya bakinya menjadi tepat satu bilion.
“Ini memang gila.”
Rasa seram sejuk mula merayap di tengkuknya. Ini bukan kerja kawan-kawan yang mahir dengan teknologi yang suka bergurau kasar. Untuk melakukan ini, seseorang perlu mempunyai akses masa nyata ke dalam akaun simpanannya.
“Tapi kenapa aku?”
Soalan itu bergema di dinding bilik sempit itu. Kenapa Ethan Cole? Kenapa budak yang terpaksa ikat perut sepanjang bulan? Kenapa budak yang baru saja dituduh meniru dalam peperiksaan?
“Baiklah,” katanya kuat, suaranya bertukar menjadi satu cabaran rendah. “Jom tengok sama ada semua ini benar atau tak.”
Tangannya menggigil. Bukan kerana takut, tetapi kerana dia sendiri berharap agar semua ini adalah kenyataan. Dia menekan butang Home—kali ini ia berfungsi—dan mencari ikon aplikasi perbankan Novan Trust.
Jari telunjuknya menekan ikon aplikasi tersebut.
Logo bank itu berputar malas di skrin. Satu saat. Dua saat. Tiga saat.
Masa terasa seperti berhenti. Ethan dapat mendengar bunyi kipas siling yang berbunyi krekk… krekk… dengan jelas, seolah-olah kipas itu sedang mengira detik penghakiman. Jantungnya berdegup kencang, menendang-nendang tulang rusuk.
Mesti tak ada apa-apa, fikir Ethan. Mesti akan keluar baki $370.80 tu balik.
Tiba-tiba Ethan rasa seperti lebih baik jika dia tidur dan lupakan sahaja semua ini.
Paparan akaun muncul.
Jantung Ethan seakan berhenti berdegup.
Jumlah itu… satu bilion dolar itu memang ada di situ.
Nombor itu duduk di situ dengan megahnya. Sifar demi sifar yang tersusun rapi. Sembilan angka sifar. Satu angka satu di hadapan.
“Biar betul.” Ethan masih belum dapat memastikan sama ada apa yang dilihatnya ini adalah benar atau sebaliknya.
Ia adalah jenis angka yang anda hanya dapat dilihat dalam berita apabila orang bercakap mengenai KDNK negara kecil, skandal pengubahan wang haram, atau kekayaan taikun minyak. Ia bukan angka yang sepatutnya wujud dalam akaun simpanan pelajar bernama Ethan Cole.
Dia mendekatkan telefon ke wajahnya, mengecilkan mata, mencari kalau-kalau ada titik perpuluhan yang tersalah letak. Mungkin dia tersalah baca. Mungkin itu cuma $1,000.00?
Dia mengira jumlah kosong. Dia meneliti titik perpuluhan.
Dia mengulang sekali.
Dua kali.
Tiga kali.
Semuanya berada di tempat yang betul.
Satu bilion dolar.
“Biar betul?” bisiknya, suaranya hampir tidak kedengaran, penuh dengan rasa kagum dan… ngeri. “Aku ada satu bilion dolar?”
Tangannya meraba cadar, menampar pipi, cuba memastikan semua ini bukan mimpi. Tekstur kain kapas murah itu terasa kasar di hujung jari. Pipinya juga terasa sakit. Ini nyata. Telefon ini nyata. Angka itu… entah bagaimana, juga nyata.
Sebelum dia sempat memproses ketidakmungkinan situasi itu, satu lagi notifikasi muncul dari aplikasi bank itu sendiri.
Mata Ethan terbeliak luas.
Heaven Corporation?
Dividen satu bilion dolar daripada Heaven Corporation? Siapa yang akan percaya cerita dongeng ni?
Ethan mula mempersoalkan segala-galanya. Adakah dia sedang bermimpi dalam mimpi? Kerana syarikat itu bukan calang-calang.
Heaven Corporation ada di mana-mana.
Di Bandar Novan—malah di seluruh dunia—anda tidak boleh lari daripada logo mereka. Mereka memiliki institusi kewangan. Mereka mencipta senjata dan bertanggungjawab dalam banyak peperangan. Mereka jugalah yang membina hospital, teknologi perubatan baru dan bertanggungjawab di dalam penjagaan kesihatan.
Mereka mencipta telefon pintar yang sedang dipegang Ethan sekarang. Mereka menguasai hampir segala-galanya. Tiada industri utama dunia yang tidak dicampuri oleh mereka. Di dunia ini, tidak ramai yang berani untuk menjadi pesaing mereka.
Kebanyakan orang awam tidak tahu sejauh mana cengkaman kuasa mereka. Orang biasa hanya nampak produk di rak pasar raya. Tetapi bagi mereka yang rajin membaca forum ekonomi atau teori konspirasi, nama Heaven Corporation disebut dengan nada yang sama seperti Bank Dunia atau IMF.
Malah, ada yang percaya Heaven Corporation lebih berkuasa daripada kebanyakan kerajaan. Mereka tidak menjawab kepada presiden atau perdana menteri. Mereka bergerak senyap di balik tabir, membentuk dunia mengikut acuan mereka sendiri, sementara manusia biasa seperti Ethan sibuk memikirkan harga telur yang naik sepuluh sen.
Dan sekarang, syarikat gergasi misteri ini baru sahaja memindahkan satu bilion dolar ke dalam akaun Ethan sebagai “dividen”?
“Ini gila.”
Ethan membiarkan telefon itu jatuh ke atas ribanya. Tangannya terasa lemah.
Dia merenung dinding bilik yang kosong, mengharapkan dinding itu boleh memberikan penjelasan yang lebih masuk akal.
“Dividen,” dengus Ethan. “Aku tak pernah beli saham pun. Kalau pihak bank nampak transaksi ni, benda pertama mereka akan buat ialah bekukan akaun aku dan panggil polis. Atau lebih teruk, Heaven Corporation akan hantar skuad pembunuh sebab sangka aku dah godam akaun mereka.”
Ini bukan rezeki. Ini bencana.
Orang akan mula bertanya. Orang akan mula menggali. Bagaimana mungkin baki akaunnya yang cuma tiga ratus dolar tiba-tiba melompat menjadi satu bilion? Pihak cukai akan datang mengetuk pintu. Polis akan datang. Penjenayah akan datang.
Beberapa jam yang lalu, dia berdiri di ruang tamu, berlakon kuat di hadapan ibu bapanya. Dia meyakinkan dirinya tentang nasibnya akan berubah selepas dia tamat belajar, tentang angan-angan membaiki kehidupan keluarganya.
Dan sekarang, “Sistem Infiniti” ini telah menjawab segala doa dan impiannya itu.
Kata-kata lelaki serba hitam di dimensi putih tadi kembali terngiang-ngiang di telinganya, “Kuasa yang hebat tidak datang percuma. Ia akan sentiasa meminta bayaran lebih daripada apa yang diberikan.”
Adakah ini “kuasa” yang dimaksudkan? Duit?
Ethan baring semula, kepalanya terasa berat. Fikirannya bergerak terlalu laju sehingga boleh dia katakan ia sedang berlanggar sesama sendiri.
“Mungkin aku dah gila,” bisiknya pada siling yang masih mempunyai tompokan air itu. “Mungkin stres pasal sewa rumah ni buat aku halusinasi. Esok pagi aku bangun, semua ni hilang. Baki akaun aku akan jadi $370.80 balik.”
Atau…
“Atau mungkin Tuhan akhirnya buat keputusan untuk kesiankan aku.”
Dia berpaling mengiring. Tangannya mencapai telefon itu sekali lagi. Dia ingin pastikan sekali lagi. Dia ingin melihat angka itu sekali lagi.
Ibu jarinya menekan aplikasi bank.
Ia masih di situ.
Jelas seperti tilam di bawah belakangnya. Nyata seperti bunyi hujan yang mengetuk tingkap biliknya. Jantungnya berdegup kencang, tidak sekata. Setiap degupan terasa lebih kuat daripada sebelumnya, bergema di gegendang telinga.
Satu bilion dolar.
Dengan duit ini, dia boleh bayar sewa rumah untuk seribu tahun. Dia boleh beli keseluruhan bangunan apartmen usang di Edgewater ini dan halau Encik Greg keluar. Malah dia boleh beli universiti itu sekali dan pecat pensyarah yang menuduhnya meniru.
Tapi, rasa takut itu tetap ada. Rasa seperti dia sedang memegang bom tangan yang picunya sudah dicabut. Ethan merenung skrin itu sehingga matanya menjadi pedih dan berat. Cahaya skrin itu adalah satu-satunya benda yang menerangi wajahnya yang pucat.
Berat situasi itu menekan dadanya—rasa takut, rasa tidak percaya, rasa kagum—semuanya bercampur baur menjadi satu emosi yang memabukkan.
Akhirnya, keletihan menang. Tubuhnya yang sudah didera seharian, mindanya yang dipaksa melihat kejatuhan empayar purba, dan adrenalin yang kini surut, memaksanya menyerah.
Cengkamannya pada telefon melonggar, namun dia tidak melepaskannya. Telefon itu kekal di dalam genggaman, seolah-olah ia adalah sauh yang memegangnya di dunia ini.
Nafasnya perlahan-lahan menjadi tenang dan beritma.
Dan tidak lama kemudian, Ethan hanyut ke dalam tidur yang nyenyak, di bawah jagaan satu bilion dolar yang mungkin—hanya mungkin—akan mengubah segala-galanya esok hari.