Cover Novel Melayu

Ethan terpaksa mengecilkan matanya, mengangkat tangan untuk menghalang silau yang menyakitkan.

Jika Jordan ada di sini, dia pasti sudah membuat lawak yang Ethan kelihatan seperti pontianak yang baru diseret keluar ke tengah gurun sahara untuk disidai sampai kering.

“Aku sebenarnya kat mana sekarang?”

Dia tahu dia tidak akan mendapat jawapan. Dia bertanya sekadar untuk mendengar suara sendiri, satu-satunya benda yang terasa nyata di tengah-tengah kekosongan putih ini. Perlahan-lahan, matanya mula beradaptasi dengan cahaya yang menyakitkan itu. Ketika itulah dia perasan satu susuk tubuh sedang berjalan tenang ke arahnya.

Dia lagi?

Ethan dapat melihat dengan jelas ia adalah lelaki yang sama. Wajah yang sama, aura yang sama. Cuma kali ini, dia bukan lagi berpakaian serba putih. Sebaliknya, dari hujung rambut ke hujung kaki, dia dibalut kegelapan pakaian serba hitam. Kot labuh hitam yang menyapu lantai tanpa bunyi, sarung tangan kulit hitam, topi tinggi hitam, dan pelitup muka hitam yang menyembunyikan separuh wajah, persis watak penjahat zaman Victoria yang sesat di masa depan.

Cermin mata gelap menyembunyikan matanya sepenuhnya, menjadikan dia kelihatan seperti titik dakwat hitam yang tertumpah di atas kertas lukisan putih.

“Kejap.” Ethan berundur setapak, mengangkat tangan.

Dia menuding jari ke arah lelaki itu.

“Kau orang yang sama dengan tadi atau bukan?”

Ethan sendiri tidak tahu dari mana dia mendapat keberanian untuk bertanya sedemikian. Dia menarik nafas, cuba menstabilkan degup jantungnya yang menggila.

Dia masih ingat dengan jelas apa yang berlaku sebentar tadi. Lelaki serba putih itu—kembar lelaki ini, atau mungkin sisi baiknya—berlutut dan memanggilnya… Tuanku.

Ethan bukan bodoh. Dia sudah menonton cukup banyak filem sci-fi dan baca novel fantasi. Dia tahu trope ini. Dia yakin dia adalah watak utama yang bakal dibebani dengan kuasa sakti yang dia tidak minta, untuk selamatkan dunia yang dia tidak kenal. Biasanya begitu. Cuma, dia dapat merasakan ia pasti ada kaitan dengan visual para penguasa yang dilihatnya tadi.

Ethan merenung lelaki itu, menunggu jawapan. Kali ini, dia dapat melihat ada pergerakan halus di rahang lelaki itu di sebalik pelitup muka.

“Ethan Cole,” suara lelaki itu bergema, berat dan serius, seolah-olah dia bercakap di dalam minda Ethan. “Kau tidak sepatutnya berhubung dengan dunia itu. Belum tiba masanya lagi.”

Dahi Ethan berkerut. Semakin banyak teka-teki yang diterimanya ketika ini. Dia perlukan jawapan.

“Dunia apa?” soal Ethan, nada suaranya mula naik satu oktaf. “Dan soalan paling penting, kau siapa sebenarnya? Syaitan? Alien yang sesat?”

“Siapa aku… kau akan tahu tidak lama lagi,” jawab lelaki itu tenang, tidak terkesan dengan provokasi Ethan. “Cuma masanya bukan sekarang. Masih terlalu banyak perkara lain yang kau perlu selesaikan di dunia kau.”

“Kau dah makin merepek,” balas Ethan kasar. Kesabarannya semakin menipis. “Aku tak ada masalah nak selesaikan apa-apa di dunia aku. Tapi…”

Ethan berhenti sekejap, mengambil nafas sebelum menyambung, “Aku tak nak terlibat dengan dunia kau, permainan kau, atau apa saja agenda gila kau ni. Aku nak balik.”

Jika sekalipun semua ini benar, dia tidak rasa dia sesuai untuk semua ini. Mungkin orang seperti Jordan lebih sesuai, lebih teruja dan akan menurut apa sahaja arahan.

Lelaki itu menghela nafas panjang, bunyi yang kedengaran seperti angin lalu di celahan dinding.

“Aku faham apa yang kau rasa. Tapi kau tiada pilihan, Ethan Cole.”

Ethan mendengus, sedikit geram. “Aku tak faham kalau kau cakap belit-belit macam ni.”

Dia berpaling, mencari jalan keluar. Dia memandang kiri, kanan, depan, dan belakang. Semuanya putih. Tiada pintu, tiada tingkap, tiada tanda ‘KELUAR’.

Nampaknya aku memang terperangkap.

Ethan berpusing semula menghadap lelaki itu.

“Okey,” kata Ethan, mengalah. “Aku tahu aku memang tak ada jalan lain untuk keluar.”

Dia mengambil nafas dalam sebelum bertanya, “Kau nak apa sebenarnya daripada aku?”

Lelaki itu tidak terus menjawab. Dia memandang Ethan, lama, melalui cermin mata gelapnya, kemudian menggeleng perlahan.

“Tiada apa yang aku nak daripada kau…” Dia berhenti sesaat. Ethan yakin jeda itu hanyalah untuk kesan dramatik. “Sebab kau telah dipilih. Suka atau tidak, kau tetap perlu lakukannya. Tanpa perlu aku atau sesiapa memaksa.”

Perut Ethan memulas. Dialog klise lagi.

Chosen One.

Takdir.

Beban dunia.

“Aku masih tak faham,” kata Ethan keras. “Aku dipilih untuk apa?”

Lelaki serba hitam itu mula berjalan mengelilingi Ethan. Walaupun kasut butnya nampak berat, tiada bunyi tapak kaki kedengaran. Dia bergerak seperti hantu yang melayang.

“Kuasa,” jawab lelaki itu sambil berjalan. Dia berhenti tepat di belakang telinga kiri Ethan, cukup dekat untuk Ethan rasakan aura dinginnya. “Dan bebanan yang datang bersamanya.”

Jantung Ethan berdegup laju. “Tapi, aku tak minta semua ini.”

“Tiada siapa yang minta, Ethan. Seperti yang aku kata… kau dipilih.” Suara lelaki itu tajam, memotong sebarang hujah yang Ethan sediakan. “Ini takdir kau. Ia bukan pilihan. Ia adalah takdir yang menunggu kau untuk memenuhinya.”

Ethan membuka mulut untuk membantah. Dia ingin menjerit bahawa dia hanyalah seorang budak universiti yang sedang pening kepala memikirkan cara untuk membayar sewa rumah hujung minggu ini, bukan calon penyelamat dunia.

Tapi sebelum sempat dia bersuara, lantai di bawah kakinya bergegar.

KRAKK!

Satu retakan halus muncul di lantai putih itu, kemudian merebak dengan pantas seperti sarang labah-labah yang ganas. Cahaya keemasan memancut keluar dari celah retakan itu, panas dan menyilaukan seperti lahar gunung berapi.

Ethan berundur, panik. Retakan itu mengejarnya.

Sementara itu, lelaki serba hitam itu kekal tenang, berdiri tegak di tengah-tengah kekacauan itu seolah-olah dia sedang menikmati pemandangan di taman bunga petang Ahad.

“Apa yang sedang berlaku?!” jerit Ethan, cuba mengimbangi badan.

“Ini?” Lelaki itu menjawab santai, menepis habuk halimunan di bahunya. “Hanyalah petanda bahawa sudah tiba masanya kau pulang semula ke dunia kau.”

Ethan mengetap gigi. Cara lelaki itu bercakap benar-benar membuatkan dia ingin menumbuk muka yang terlindung itu, tapi lantai di bawahnya semakin rapuh.

“Kita akan bertemu lagi,” sambung lelaki itu. “Tapi buat masa ini, belajar dan bersedia. Masih banyak lagi perkara yang kau perlu faham dan kuasai.” Dia memandang Ethan dengan pandangan tajam yang menembusi cermin mata gelapnya. “Takdir kau tidak lagi sama, Ethan Cole. Kau bukan lagi manusia biasa. Gunakan segala apa yang bakal kau terima untuk membina kekuatan dan kekuasaan.”

PRANG!

Lantai berkecai sepenuhnya seperti kaca nipis.

Tubuh Ethan jatuh, disedut ke dalam lubang cahaya yang membutakan.

“Apa—!”

Dia terkapai-kapai, jari-jemarinya mencakar udara kosong, terdesak mencari pautan.

Dari atas, suara lelaki itu mengekorinya, tenang dan dingin, bergema di gegendang telinganya walaupun jarak semakin jauh.

“Ingat ini, Ethan Cole.”

Ethan dapat rasakan dia seperti jatuh perlahan-lahan semata-mata untuk memberikan masa bagi lelaki itu menghabiskan bicaranya, “Kuasa yang hebat tidak pernah datang percuma. Ia akan sentiasa minta bayaran lebih daripada apa yang diberikan.”

Dan kemudian, dunia berputar ganas. Ethan rasa seperti dimasukkan ke dalam mesin basuh yang sedang berputar pada kelajuan maksimum. Dia memejamkan mata, menahan rasa mual yang mencengkam tekak.

Tiba-tiba… BUM!

Semuanya berhenti.

Tiada lagi putaran. Tiada lagi cahaya yang membutakan.

Ethan membuka mata perlahan-lahan, nafasnya tersekat, risau kalau-kalau dia masih terperangkap di dimensi pelik itu. Tetapi yang menyapanya adalah siling bilik tidurnya yang kusam dengan tompokan air lama, dan kipas siling yang berbunyi krekk… krekk…

“Aku dah balik…?” soalnya pada diri sendiri, suaranya serak.

Tubuhnya basah lencun dengan peluh, seolah-olah dia baru lepas lari maraton dalam selimut tebal. Cadar katil berbelit di kakinya macam ular sawa yang sedang membelit mangsa. Jantungnya masih berdegup kencang, mengepam adrenalin ke seluruh tubuh yang menggigil.

“Apa benda tadi tu?” gumamnya, meraup muka.

Dia bingkas duduk, memandang sekeliling bilik sempit itu. Semuanya nampak normal. Buku teks berselerak di atas meja, baju kotor di atas kerusi. Realiti yang membosankan.

Tetapi kemudian matanya menangkap sesuatu.

Di atas katil, betul-betul di sebelahnya, terbaring sekeping kad hitam.

Ethan menelan liur. Tangannya terketar-ketar mencapai kad itu. Permukaannya sejuk. Tulisan MAHARAJA itu merenungnya kembali.

Fikirannya berputar. Visual empayar jatuh, lelaki putih yang melutut, lelaki hitam yang memberi amaran.

“Siapa sebenarnya mereka?” bisik Ethan. “Seorang panggil aku Tuanku… maksudnya aku akan jadi raja? Seorang lagi cakap pasal beban dan takdir…”

Dia merenung kad itu, cuba mencari jawapan di sebalik dakwat hitam itu.

Tiba-tiba, tanpa sebarang amaran…

ZING!

Kad itu menyala terang.

Satu alur cahaya keemasan ditembak laju dari permukaan kad itu, tepat ke arah telefon pintar Ethan yang berada di atas meja belajar.

Ethan tersentak dan terpelanting ke belakang, hampir jatuh dari katil kerana terkejut.

“Apa pula kali ni?!”

Cover Novel Melayu