Cover Novel Melayu

Suasana di dalam dojo dan kawasan sekitarnya hening.

Sukar untuk menemui kedamaian mutlak sebegini di dalam dunia yang sentiasa bingit dengan kekacauan. Lantai kayu dojo itu digilap cermin, memantulkan jalur cahaya matahari petang yang menembusi tingkap kertas shoji.

Ruang itu kosong. Tiada hiasan. Tiada gangguan. Sangat minimalis.

Hanya ada satu susuk tubuh. Seorang lelaki berusia sedang duduk berlutut di tengah-tengah ruang itu. Belakangnya tegak seperti tiang seri, tubuhnya memancarkan aura kekuatan yang langsung tidak padan dengan usianya. Rambut putih panjangnya diikat kemas ke belakang.

Dia tidak kelihatan seperti manusia biasa; dia kelihatan seperti sebuah arca yang diukir daripada bahan yang jauh lebih keras daripada batu granit.

Dunia mengenalinya sebagai Tuan Gabriel.

Hanya segelintir individu sahaja yang tahu akan wajah sebenar di sebalik nama itu. Lebih sedikit pula mereka yang bernyawa selepas bertemu dengannya. Namanya adalah legenda yang tidak berani disebut sewenang-wenangnya. Nama itu jugalah satu-satunya sebab mengapa tiada sesiapa berani mendakwa bahawa mereka adalah penguasa dunia.

Pintu gelangsar meluncur buka dengan bunyi geseran halus.

Seorang lelaki bersut hitam melangkah masuk. Bahunya lebar, langkahnya berat tetapi terkawal. Dia terus menjatuhkan satu lutut ke lantai, menunduk hormat.

“Tuan,” kata Gullit. Suaranya tenang, namun ada getaran hormat yang mendalam. “Puan Besar Kwan sudah bersuara.”

Gabriel tidak bergerak seinci pun. “Teruskan.”

“Dia kata… masanya sudah tiba.”

Kata-kata itu tergantung di udara, berat dan muktamad.

Bahu Gabriel naik sedikit, kemudian mengendur. Satu senyuman nipis menyentuh bibirnya—hampir tidak kelihatan, tetapi cukup untuk mengubah tekanan udara di dalam bilik itu.

“Saya percaya itu bukan semuanya,” kata Gabriel. Suaranya tajam, terukur. “Beritahu selebihnya.”

Gullit teragak-agak sesaat. “Ada satu lagi perkara, tuan. Laporan masuk daripada Bahagian Akaun. Seseorang telah menerima satu bilion… daripada dana kita.”

Senyuman Gabriel menipis. “Kecurian? Dia pecah masuk sistem keselamatan kita?”

“Tidak, tuan. Sistem itu sendiri yang membenarkannya. Bukan sekali, tetapi beberapa kali hari ini. Jumlahnya rawak, tetapi konsisten.”

Gullit menundukkan kepalanya lebih rendah, bersedia untuk menerima kemarahan tuannya. “Adakah tuan mahu kami bertindak? Bekukan akaun? Hantar unit pembersihan?”

Jawapan Gabriel pantas dan tenang. “Tidak. Satu bilion itu tiada nilai bagi kita. Biarkan. Semua ini ada kaitan dengan apa yang Puan Besar Kwan katakan.”

Dia berhenti sejenak, nadanya bertukar dingin, sejuk seperti ais.

“Jika ada sesiapa yang menyiasat perkara ini—jika ada sesiapa cuba mengganggu penerima itu—beritahu mereka wang itu datang daripada kita. Itu sudah cukup. Tidak perlu soalan lanjut, tidak perlu siasatan.”

“Baik, tuan.”

“Kita tahu nama dia?”

“Tahu.” Gullit mengangkat muka sedikit. “Ethan Cole.”

Senyuman Gabriel melebar sedikit. Dia tidak menoleh. Dia tidak perlu berbuat demikian. Kuasanya adalah mutlak.

Lama Gullit menanti arahan seterusnya dalam kesunyian itu. Dia tidak akan bergerak selagi belum mendapat keizinan.

“Kamu boleh pergi.”

“Terima kasih, tuan.” Gullit menunduk hormat dan berundur keluar. Pintu gelangsar ditutup rapat, mengunci kesunyian itu sekali lagi.

Gabriel bangkit berdiri dengan gerakan yang cair dan teratur. Dia memandang ke hadapan, menggumam kepada kekosongan ruang itu.

“Jadi… sudah berapa tahun berlalu?”

Pandangannya jatuh pada tangan kanannya. Tangan itu dibalut kemas dengan pembalut luka berwarna hitam.

Perlahan-lahan, dia membuka balutan itu. Lapisan demi lapisan jatuh ke lantai, sehingga daging yang rosak di bawahnya terdedah—berparut, hangus, dan meleding akibat kebakaran purba yang tidak pernah sembuh.

Ia kelihatan seperti luka yang sepatutnya sudah membunuh seorang lelaki biasa. Sebaliknya, Gabriel masih berdiri, dan parut itu kekal sebagai peringatan.

Gabriel menatap parut itu.

Kemudian, urat di tangannya mula bercahaya.

Bara api perlahan-lahan muncul, hidup dan berdenyut di bawah kulit yang mati itu. Api sebenar mula menjilat tapak tangannya, menari-nari ganas. Udara di sekelilingnya bergetar kuat akibat haba yang terhasil. Matanya kelihatan bersinar, memantulkan cahaya daripada api di tangannya sendiri.

“Bersiap sedia, Ethan Cole,” bisiknya. “Masanya sudah hampir tiba.”

Dia menggenggam penumbuk, memadamkan api itu dalam satu gerakan.

“Kali ini,” katanya perlahan, “api pun mungkin tidak mencukupi.”

***

Ethan tiba di hadapan The Good Books dua puluh minit kemudian.

Kedai itu tersepit di antara sebuah kedai elektronik dan kedai nasi ayam, kedua-duanya masih tidur nyenyak di sebalik tirai besi yang ditarik rapat. Premis-premis ini hanya akan mula bernafas pada pukul 10:00 pagi. Disebabkan itu, pada jam 8:50 pagi begini, kaki lima itu masih lengang. Sunyi. Apa yang kedengaran hanyalah deruman sayup kenderaan yang membelah jalan utama di kejauhan.

Ethan memasukkan kunci ke dalam mangga besi yang sejuk.

Pengatup besi itu sudah usang, catnya mengelupas dimakan karat. Ia bergegar sedikit apabila disentuh, menjerit protes kerana diganggu. Ethan memegang pemegang besi pada bahagian bawah pintu itu. Dia memacakkan kuda-kuda dan menarik nafas dalam.

“Satu… Dua… Tiga!”

Dia menyentapnya naik dengan sepenuh tenaga.

KRAAAK!

Pengatup itu bergulung naik dengan bunyi geseran logam yang menyakitkan telinga. Ethan berundur setapak, dadanya berombak kencang, sedikit tercungap.

Okey, fikirnya sambil mengesat habuk karat pada seluar. Patutlah Sistem label Kekuatan aku cuma 4. Angkat pintu besi pun dah rasa macam angkat lori.

Dia melangkah masuk ke dalam ruang yang gelap itu. Aroma khas kedai buku—bau kertas, habuk, dan dakwat pen—menyapanya serta-merta.

Dia memandang sekeliling rak-rak yang tersusun padat. Tiba-tiba, satu perasaan asing menyelinap masuk. Dia rasa seperti tempat ini bukan lagi saiz yang sesuai untuk dirinya. Seperti memakai baju yang sudah mengecil.

“Aku ada duit banyak sekarang,” gumamnya perlahan, kakinya melangkah ke bahagian stor belakang yang berfungsi sebagai bilik pekerja. “Aku boleh berhenti kerja sekarang juga. Letak kunci, dan keluar.”

Satu senyuman nakal terukir di bibirnya.

“Kalau aku nak, aku boleh beli bangunan ni tunai. Jadikan pusat permainan video gergasi atau pusat hiburan.”

Dia membiarkan angan-angan itu membuai mindanya seketika. Rasanya manis. Memabukkan.

Namun, lamunannya terhenti mengejut, dipotong oleh satu fikiran gelap yang menjengah tanpa diundang.

Macam mana kalau sistem ni tiba-tiba… hilang?

Jantungnya terhenti satu rentak.

Dia mula membayangkan senario mimpi ngeri itu. Bagaimana jika esok pagi, selepas dia bangun tidur, tiada lagi panel biru daripada Sistem Infiniti? Bagaimana jika angka $1,000,000,000 itu hanyalah glitch sementara yang akan diperbetulkan oleh alam semesta, dan bakinya kembali menjadi $370.80?

Jika dia berhenti kerja hari ini dan Sistem itu hilang esok, dia bukan sahaja miskin kembali—dia akan jadi lebih miskin dari miskin.

Aku dah paranoid, bisik hatinya, cuba mengusir ketakutan itu.

Dia meletakkan beg galasnya di dalam loker pekerja. Rutin harian perlu diteruskan sebagai penambat realiti. Dia menghidupkan lampu utama dan suis penyaman udara.

Ethan duduk di belakang kaunter, mencapai buku nota lamanya yang berkulit tebal. Di sini, di sebalik timbunan buku dan bau kertas, dia akan merancang langkah seterusnya.

Satu bilion atau tidak, hari ini dia masih pekerja kedai buku.

Dia mula menulis.

Mata pena Ethan terhenti secara tiba-tiba di atas kertas, dakwat hitam meresap sedikit membentuk titik tebal pada ayat terakhir.

Pelaburan hartanah? Pasaran saham? Mata wang kripto?

Dahinya berkerut seribu. Bagi Ethan, dunia instrumen kewangan itu terasa asing dan melecehkan. Bukan kerana otaknya tidak cukup bijak untuk membedah graf atau aliran pasaran, tetapi kerana dia tidak mempunyai minat. Bagi orang biasa, semua itu adalah risiko tinggi yang boleh memakan diri.

Dia bersandar pada kerusi kaunter, merenung senarai panjang yang telah ditulisnya.

Perlahan-lahan, satu senyuman nipis dan sinis terukir di bibirnya.

Kenapa aku nak risau pasal risiko? bisik hatinya. Aku ada wang yang tak akan pernah habis. Aku tak akan rugi.

Kalau dia beli saham dan harganya jatuh menjunam? Biarkan. Kalau dia labur dalam projek yang gagal? Siapa peduli.

Ethan mengetuk buku notanya berkali-kali dengan batang pen. Tap. Tap. Tap. Iramanya stabil.

Wang bukan lagi masalah utama dalam hidupnya. Masalah utama Ethan sekarang adalah dua perkara yang tidak boleh dibeli: Masa dan Strategi.

Ethan memicit pelipisnya. “Misi baru lagi…”

Dia membaca misi tersebut beberapa kali. “Nak aku bina bisnes sendiri?”

Sekali lagi dia memandang sekeliling sebelum memandang pakaian yang dipakainya. Dia sedang menjaga kaunter dan menyusun buku dengan gaji minimum.

Tapi, sistem ini inginkan dia menjadi seorang pendiri perniagaan?

Sekalipun begitu, Ethan tahu dia tiada pilihan lain. Dia membaca misi tersebut sekali lagi.

“Daftar bisnes. Pilih bidang.” Dia mengeluh. “Bunyi macam senang. Tapi apa yang aku tahu?”

Dia terfikir beberapa idea perniagaan yang mungkin sesuai.

Kafe? Restoran?

Dia tidak rasa itu sesuai dengan dirinya. Masak nasi pun masih boleh hangus. Macam mana dia nak masak untuk orang lain?

Aku boleh upah pekerja dan tukang masak. Tak susah pun.

Dia sudah mula membuat kira-kira, namun bila difikirkan semula, itu bukanlah minatnya. Dia tahu dia tiada masalah untuk rugi, tapi jika tiba-tiba sistem memberikan misi untuk membuat keuntungan besar, dia akan gagal teruk.

Ethan memeluk tubuh dan memejam mata buat seketika. Dia cuba mencari-cari apa sebenarnya yang lebih sesuai dengan dirinya.

Pusat sukan? Gimnasium?

Dia boleh menimbang idea ini kerana dia sendiri perlu berlatih untuk Misi Harian. Tapi menguruskan gimnasium? Minatnya tiada di situ.

Kelab bola sepak?

Bola sepak adalah minatnya, tetapi untuk menguruskan sebuah kelab bukanlah perkara mudah. Dia boleh membeli mana-mana kelab di dunia, tapi ia turut membawa maksud dia perlu mengurus politik dalam kalangan ahli lembaga pengarah, pemegang saham, penaja, barisan kejurulatihan dan pemain.

Aku belum sesuai untuk berurusan dengan manusia.

Dia perlukan sesuatu yang dia faham. Sesuatu yang dia boleh kawal.

Apa yang aku pandai sebenarnya?

Beberapa minit berlalu. Ada satu bidang yang memang kepakarannya. Tapi dia tetap cuba untuk mencari bidang lain. Akhirnya, dia terpaksa mengalah. Tiada lagi bidang lain yang sesuai untuk dirinya selain teknologi.

Ethan seorang genius dalam pengaturcaraan (programming). Dia sudah bergerak dalam bidang ini selama beberapa tahun. Sudah banyak portfolio yang dia kumpul. Dia mampu membina laman web, portal, aplikasi dan juga sistem yang kompleks. Dia faham bagaimana semua itu berfungsi semudah ABC.

Mulutnya mengukir senyuman lebar.

Ini bidang aku.

Ethan tidak perlu lagi meneka. Dia sudah biasa bergerak sendiri, jadi sekarang ini dia cuma perlukan formula dan panduan untuk mengembangkannya kepada sebuah syarikat yang tersusun.

Syarikat teknologi.

Membina laman web untuk kedai kecil, mencipta aplikasi untuk perniagaan, mereka bentuk sistem untuk klien. Dia mampu melakukan semuanya.

Ethan berhenti menulis, mengetuk pen.

“Ini,” bisiknya sambil membulatkan satu perkataan di atas kertas. “Ini aku boleh buat.”

Cover Novel Melayu