Bunyi loceng pintu berdenting tajam, memecahkan fokus Ethan seperti kaca yang jatuh ke lantai.
Suara perbualan santai dan gelak ketawa membanjiri ruang kedai yang tadinya sunyi. Beberapa orang rakan sekerjanya melangkah masuk, diikuti oleh Encik Parker yang berjalan perlahan di belakang dengan beg bimbit usangnya.
Ethan menutup buku notanya serta-merta.
Dengan gerakan pantas, dia menyepit buku itu di bawah lengan dan bergerak ke rak alat tulis. Tangannya mencapai beberapa batang pen yang berterabur, berpura-pura sibuk menyusun stok agar tidak nampak mencurigakan.
Salah seorang staf terus meluru ke bahagian kaunter, mengambil tempat strategik itu tanpa mempedulikan Ethan.
Ethan faham benar perangai mereka. Kaunter adalah zon selesa—hanya perlu imbas kod bar dan senyum kepada pelanggan. Tiada habuk, tiada perlu mengangkat kotak berat, dan tidak perlu mengotorkan tangan dengan dakwat mesin fotokopi.
Ethan hanya mengangguk nipis kepada mereka sebagai tanda sapaan.
Sejujurnya, dia bersyukur. Biarlah mereka berebut menjadi wajah kedai. Dia lebih rela menjadi bayang-bayang di belakang rak. Di situ, dia mempunyai ruang privasi untuk bernafas dan berfikir tanpa gangguan.
Dia menyelinap ke bahagian belakang kedai, di sudut sunyi yang terlindung oleh timbunan kotak kertas A4.
Setelah memastikan tiada mata yang memerhati, Ethan mengeluarkan telefon pintarnya. Jarinya menaip pantas di bar carian pelayar internet.
“Proses pendaftaran perniagaan dan syarikat.”
Pemilikan Tunggal? Perkongsian? Sendirian Berhad? Bagi individu dengan harta tanpa had sepertinya, mendaftar syarikat Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.) adalah satu-satunya pilihan logik. Ia memisahkan dirinya daripada liabiliti. Ia lebih formal dan lebih menunjukkan kredibiliti.
Dia termenung sebentar kerana dia tahu dia akan membuang masa yang lama untuk memikirkan nama yang sesuai bagi syarikatnya.
Jenis perniagaan, alamat rasmi, senarai pengarah. Mudah.
Kemudian, matanya terhenti pada satu istilah. Modal Berbayar.
Dia membaca penjelasannya dengan teliti. Ia adalah jumlah wang yang diisytiharkan sebagai suntikan awal ke dalam syarikat. Secara teknikal, undang-undang membenarkan syarikat didaftarkan dengan modal berbayar serendah $1. Namun, setelah Ethan meneliti beberapa artikel perniagaan, dia memahami satu peraturan tidak bertulis dunia korporat.
Imej adalah segalanya.
Syarikat dengan modal berbayar yang tinggi dipandang serius. Pelabur akan percaya, bank akan meluluskan pinjaman, dan bakal pelanggan akan yakin bahawa syarikat itu tidak akan gulung tikar esok hari. Modal besar adalah bahasa universal yang berkata: “Kami ada duit. Kami ada kuasa. Kami boleh dipercayai.”
Ethan bersandar pada dinding di antara dua rak buku yang tinggi.
“Lebih besar modal berbayar, lebih yakin orang dengan aku,” bisiknya.
Dia yakin jika dia bermain kad ini dengan betul, tiada siapa akan meragui kredibiliti syarikat baharunya. Wang bukanlah isu. Sistem Infiniti adalah telaga wang tanpa dasar. Jika dia perlu membeli keyakinan orang lain, dia tiada masalah untuk membayarnya tunai.
Dia menyimpan telefonnya, cuba mencari angka yang tepat untuk batu asas empayarnya.
“Lima ratus ribu dolar…”
Angka itu terlintas di fikirannya. Cukup besar untuk kelihatan gah dan serius, tetapi tidak terlalu melampau sehingga mengundang unit pencegahan pengubahan wang haram mengetuk pintu rumahnya esok pagi.
Ethan bergerak ke bahagian lain kedai, mencari sudut yang lebih terlindung. Sekali lagi, dia mengeluarkan telefon pintarnya. Proses pendaftaran boleh diselesaikan secara dalam talian dalam masa beberapa minit. Mudah.
Tetapi, melakukan pendaftaran syarikat bernilai setengah juta dolar sambil curi tulang di tempat kerja bergaji minimum terasa… salah. Rasa seperti dia sedang menghina peluang yang dia rayu-rayu seminggu lepas.
Ethan memandang sekeliling, mencari kelibat Encik Parker.
Lelaki tua itu berada di hujung kedai, sedang memberi arahan kepada dua orang staf lain. Ethan melangkah perlahan ke arahnya, namun kakinya terhenti separuh jalan.
Lidahnya kelu. Dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan ayat. Adakah ini keputusan yang bijak? Atau adakah dia sedang membakar jambatan terlalu awal?
Lama dia bertarung dengan kewarasan sendiri sebelum dia menggelengkan kepala, mengusir keraguan.
Jangan fikir banyak. Cakap saja.
Dia menyambung langkah, kali ini lebih tegas.
“Encik Parker,” panggil Ethan, suaranya tenang namun jelas. “Boleh kita cakap sekejap?”
Encik Parker menoleh, wajahnya berkerut sedikit tanda tanya. “Ada apa, Ethan? Masalah jadual?”
Ethan menarik nafas dalam-dalam.
“Saya nak berhenti,” katanya, terus kepada poin utama tanpa bunga bahasa. “Saya tahu saya yang merayu minta kerja ni minggu lepas, tapi ada hal peribadi yang mendesak. Saya tak dapat elakkan. Saya kena uruskan sepanjang cuti musim panas ni.”
Wajah Encik Parker berubah. Kerutan di dahinya bertambah dalam—tanda dia sedang memikirkan pening kepala mencari pengganti di saat-saat akhir.
Sebelum Encik Parker sempat membuka mulut untuk mengeluh atau memujuk, Ethan memintas laju.
“Dan sebagai tanda minta maaf sebab berhenti mengejut… saya dah transfer $1,000 ke akaun kedai sebagai pampasan.”
Encik Parker ternganga. “Kejap? Kamu buat apa?”
Ethan mengangkat telefonnya, menunjukkan skrin resit pemindahan yang baru sahaja berjaya.
“Anggaplah ni sebagai ganti rugi masa Encik nak cari pekerja baru.”
Kod QR akaun bank kedai buku itu memang sudah tersimpan di dalam telefonnya sejak hari pertama dia bekerja lagi. Bagi Ethan, berhenti kerja secara mengejut tanpa notis rasa seperti satu kesalahan moral. Jadi, membayar wang pampasan adalah satu-satunya cara untuk membasuh rasa bersalah itu dan pergi dengan hati yang tenang.
Encik Parker terkebil-kebil, mindanya gagal memproses situasi itu.
“Kamu… berhenti kerja? Dan kamu bayar saya $1,000?”
Beberapa orang staf yang berada berdekatan turut ternganga. Suara bisikan mula kedengaran, berdengung seperti lebah. Mana tidaknya, gaji pekerja sambilan di sini tidak pernah melebihi $750 sebulan. Ethan pula baru bekerja beberapa hari, satu sen pun belum masuk ke poketnya. Sebaliknya, dia yang membayar pampasan sebanyak $1,000 semata-mata untuk keluar dari situ.
Pandangan mata mereka ketika ini menjerit satu kesimpulan yang sama: Budak ini dah gila.
Ethan mula berasa kekok. Dia tidak biasa menjadi tumpuan mata orang ramai sebegitu. Dia tidak tahu bahawa dalam dunia pekerjaan gaji minimum, pekerja selalunya cuma hilang begitu sahaja tanpa sebarang notis atau pampasan.
Tetapi dia tiada masa untuk menjelaskan etika kerjanya. Wang dan misi daripada Sistem sedang menunggu. Dia tidak boleh membuang masa walau sesaat lagi.
“Maafkan saya, Encik Parker,” kata Ethan. Dia memaksa satu senyuman, walaupun rasa janggal menebal. “Terima kasih atas peluang yang Encik bagi sebelum ni.”
Encik Parker masih memeluk tubuh, wajahnya berkerut keliru. “Kamu pasti ke ni, Ethan? Duit ni… banyak sangat untuk budak macam kamu.”
“Saya pasti,” jawab Ethan ringkas dan muktamad. “Saya gerak dulu. Jaga diri, Encik Parker.”
Sebelum lelaki tua itu sempat untuk berkata apa-apa lagi atau cuba memulangkan wang tersebut, Ethan sudah berpusing. Dia meluru masuk ke dalam stor, menyambar beg galasnya dari loker, dan terus melangkah keluar dari kedai itu tanpa menoleh ke belakang.
***
Lima minit kemudian, Ethan sudah duduk di sebuah kafe berhampiran.
Dia memesan secawan kopi panas dan sebiji sandwic, kemudian memilih meja kayu di sudut yang agak terlindung daripada pandangan orang ramai. Sambil mengunyah, dia mengeluarkan telefon untuk memulakan langkah besar seterusnya.
Dia membuka portal rasmi pendaftaran perniagaan atas talian. Jari-jemarinya menari laju di atas skrin, mengisi borang digital itu dengan pantas. Nama pemilik, alamat operasi, senarai pengarah. Semuanya mudah.
Sampai di bahagian nama syarikat, dia berhenti sejenak. Penumbuknya mengetuk dagu. Dia perlukan nama yang ringkas, moden, dan berwawasan.
Dia menaip: NOVA TECH.
Ethan menyemak pangkalan data. Loading…
Nama itu bersih. Tiada konflik atau digunakan oleh syarikat lain.
Dia menekan butang teruskan. Kemudian, muncul pilihan tambahan: Pendaftaran Cap Dagangan (Trademark) dan Hak Cipta Jenama.
Bayar, fikirnya tanpa ragu. Biar semua selesai dari awal. Aku tak nak masalah undang-undang di kemudian hari.
Kesemua bayaran ditolak serta-merta dari akaunnya. Dia sudah selesai bahagian pentadbiran. Seterusnya, bahagian yang paling kritikal.
Ethan tahu ini adalah tunjang imej syarikatnya. Jumlah modal permulaan akan menentukan tahap kredibiliti Nova Tech di mata bank, pelabur, dan bakal rakan kongsi. Dia tidak boleh kelihatan seperti syarikat cengkerang kosong.
Dia menaip: $500,000.
Setengah juta dolar. Jumlah yang cukup untuk membuatkan sesiapa pun duduk tegak dan mendengar.
Dia menekan butang “Sahkan”.
Skrin telefonnya berkelip merah.
Dahi Ethan berkerut. Satu notifikasi dari aplikasi bank muncul.
“Biar betul?” Ethan mengeluh berat, bunyi itu keluar kasar dari kerongkongnya.
Dia merenung notifikasi merah di skrin telefon dengan pandangan tidak percaya. Seumur hidupnya yang serba sederhana, dia tidak pernah tahu wujudnya sekatan sebegini. Jarinya pantas menari di atas skrin, mencari punca sebenar di laman soalan lazim bank.
Rupa-rupanya, bagi akaun simpanan peribadi, had transaksi harian dihadkan secara automatik pada $30,000. Ia adalah prosedur keselamatan standard untuk mengelakkan penipuan.
Untuk memindahkan jumlah sebesar setengah juta dolar dalam satu transaksi, dia perlu hadir secara fizikal ke mana-mana cawangan bank untuk mengisi borang dan mendapatkan kelulusan pengurus.
“Leceh betul,” rungutnya sambil mengurut dahi.
Dia menyangka apabila akaunnya mencecah sembilan angka, hidup akan menjadi serba mudah seperti petik jari. Rupa-rupanya, kekayaan datang dengan pakej birokrasi dan kertas kerja yang baharu.
Ethan meletakkan telefon di atas meja dengan sedikit kasar. Selera makannya sedikit terbantut, namun dia tetap mencapai sandwic yang berbaki separuh itu untuk mengisi perut.
Ketika dia menunduk sedikit untuk mengelak sos menitis ke baju, matanya menangkap sesuatu di lantai.
Di bawah kerusinya, terbaring sebuah fail nipis berwarna krim. Ia kelihatan tersorok di celah kaki meja, mungkin terjatuh dari beg pelanggan sebelum ini tanpa disedari.
Ethan membongkok, memanjangkan tangan, dan mengutip fail itu.
Kulit depannya tertulis:
“Platform penghantaran makanan?”
Rasa ingin tahu mula menjalar. Ethan menyelak helaian pertama fail itu. Matanya bergerak pantas, mengimbas isi kandungan kertas kerja tersebut. Apa yang ditemuinya agak mengejutkan. Bukan dari segi teknologi yang dicadangkan, tetapi dari segi model perniagaan yang berani.
Aplikasi itu mencadangkan kadar caj perkhidmatan sekadar 5% ke atas harga kedai.
Angka itu gila. Ia jauh lebih rendah berbanding 30% hingga 40% yang biasa dikenakan oleh aplikasi gergasi yang sedang memonopoli pasaran. Tidak cukup dengan itu, kertas kerja ini turut menjanjikan bayaran yang lebih adil dan tinggi kepada penghantar serta perlindungan insentif untuk peniaga kecil.
“Orang ni nak berniaga ke nak buat amal jariah?” gumam Ethan, keningnya berkerut.
Niat di sebalik kertas kerja ini memang murni, tetapi dari sudut logik perniagaan, ia nampak seperti resipi untuk muflis. Ethan tidak nampak bagaimana aplikasi ini mampu bertahan lama dengan margin keuntungan senipis itu. Kos operasi pelayan (server), pemasaran, dan gaji kakitangan pasti akan menelan segalanya.
Sekalipun dia nampak banyak kepincangan di dalam model bisnes idealistik ini, dia sendiri tidak tahu apa solusi yang lebih baik.
Ethan mengeluh berat. Dia menutup fail itu kembali.
Dia mengangkat muka memandang sekeliling kafe.
Tidak jauh dari mejanya, dia terpandang seorang lelaki separuh abad yang memakai sut kelabu yang kemas. Lelaki itu sedang menunduk, matanya melilau mencari-cari sesuatu di lantai dan celah kerusi dengan wajah yang jelas kelihatan cemas. Peluh dingin kelihatan merenik di dahinya.
Ethan segera bangun dan menghampiri lelaki itu.
“Maaf… Encik cari fail ni ke?” tanyanya lembut, menghulurkan fail berwarna krim itu.
Lelaki itu mendongak pantas. Wajahnya yang tegang serta-merta kendur, digantikan dengan rasa lega yang amat sangat apabila melihat fail tersebut di tangan Ethan.
“Ya! Ya, ini dia,” katanya, suaranya sedikit bergetar. Dia menyambut fail itu dengan kedua-dua belah tangan, seolah-olah menyambut permata yang hilang. “Terima kasih, anak muda! Nasib baik kamu jumpa. Saya cuma bawa satu salinan fizikal hari ni.”
Ethan hanya mengangguk sopan dengan senyuman nipis. “Sama-sama. Ia terjatuh dekat meja saya tadi.”
Sekalipun wajahnya kelihatan bersahaja, minda Ethan sedang berputar ligat. Wajah lelaki itu… dia seperti pernah melihatnya sebelum ini.
Garis rahang itu, cara dia membawa diri—ia sangat familiar. Mungkin di muka depan majalah bisnes? Atau berita tempatan? Ethan cuba menggali ingatannya, tetapi nama itu tersekat di hujung lidah.
Dia baru sahaja hendak berpusing kembali ke mejanya apabila bunyi yang kini sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya bergema lagi.
Ding.
Satu notifikasi sistem bergema di dalam tempurung kepalanya. Ethan berhenti melangkah, membenarkan panel biru itu muncul terapung di hadapan matanya.
Langkah Ethan terhenti.
Dia memandang lelaki itu, kemudian memandang panel yang hanya mampu dilihatnya itu semula.
Biar betul? Siapa lelaki ni sebenarnya?