Lelaki itu merenung tepat ke arahnya, kening sebelah terangkat tinggi.
Di matanya, Ethan hanyalah seorang budak muda berbaju polo merah yang sedang merenung ruang kosong dengan mata yang tidak berkelip, seolah-olah sedang berhalusinasi.
“Kamu okey?” tanya lelaki itu, nadanya berhati-hati. Jelas dia sedang menimbang sama ada perlu memanggil ambulans atau sekuriti, risau jika pemuda di hadapannya ini berada di bawah pengaruh bahan terlarang.
Mata Ethan berkedip pantas. Panel biru yang bercahaya itu perlahan-lahan pudar dari pandangannya, menurut perintah mindanya untuk tutup.
Fikirannya berputar ligat. Dia tidak biasa dengan situasi begini—menegur orang asing yang berpakaian korporat di kafe, dan cuba untuk bercakap mengenai perniagaan bernilai jutaan dolar.
Tekaknya terasa kering seperti pasir.
Tetapi, arahan Sistem Infiniti sudah terpampang jelas. Misi ini wajib dilaksanakan.
“Encik…” Ethan memulakan bicara. Dia membetulkan postur dan menarik nafas dalam, cuba menenangkan gemuruh di dada. “Encik berminat tak untuk bekerjasama dengan saya?”
Lelaki itu terkebil-kebil. Kejutan jelas terpancar di wajahnya. Matanya memandang Ethan dari atas ke bawah—rambut yang sedikit serabai ditiup angin, beg galas lusuh yang tergeletak di lantai, dan tanda nama plastik murah yang tertulis ETHAN.
Tipulah jika Ethan tidak perasan ekspresi skeptikal dan bahasa tubuh lelaki itu yang mula berundur sedikit. Ethan segera mengangkat kedua-dua belah tangan dan ketawa kecil, cuba meredakan ketegangan.
“Maaf. Abaikan baju saya. Saya tengah cuti semester, jadi saya bekerja sambilan di kedai buku sebelah.”
Dia menyusun bicaranya dengan lebih teratur, laras bahasanya bertukar menjadi lebih yakin dan profesional. Dia menghulurkan tangan kanan.
“Ethan Cole. Pelajar tahun akhir Kejuruteraan Komputer di Universiti Kebangsaan Arland.”
Nama universiti itu mempunyai berat yang tersendiri. Ia mampu membuatkan sesiapa sahaja di negara ini tergamam, termasuklah lelaki di hadapannya itu.
Mata lelaki itu terbeliak luas. Mulutnya sedikit ternganga. “NUA?”
Ethan mengangguk. “Ya. NUA.”
Suasana berubah serta-merta.
NUA bukan sekadar sebuah universiti. Orang ramai dan dunia menggelarkan institusi tersebut sebagai ‘Kilang Genius’. Hanya mereka yang benar-benar elit sahaja yang akan diterima masuk. Layak di sini bukan sekadar lulus cemerlang dalam peperiksaan akhir sekolah tinggi; NUA hanya menerima otak yang mampu mengubah dunia.
Wajah lelaki itu bertukar ceria, keraguan tadi lenyap. Dia menyambut huluran tangan Ethan dengan genggaman yang kemas.
“David Turner.”
Serta-merta, satu litar di dalam minda Ethan bersambung.
Patutlah.
Patutlah sejak dari tadi dia rasa wajah itu sangat biasa dilihat. Wajah itu kerap terpampang di muka hadapan surat khabar, di kaca televisyen, dan juga media sosial. Dia adalah David Turner—dermawan dan sukarelawan kemanusiaan yang paling disegani di wilayah ini.
Lelaki ini sudah membantu mengutip jutaan dolar untuk pelbagai jenis projek kritikal—kesihatan, bantuan bencana, kebuluran, perumahan rakyat, dan pembiayaan mikro untuk perniagaan kecil.
“Saya banyak dengar mengenai encik,” kata Ethan, nada hormat jelas kedengaran. “Patutlah dari tadi saya rasa macam pernah nampak muka encik di mana-mana.”
David ketawa kecil, menggelengkan kepala. “Tak payah formal sangat. Panggil David saja.”
Dia menunjukkan kerusi kosong di hadapannya dengan tangan terbuka. “Duduklah. Bawa kopi dan makanan kamu sekali ke sini.”
Ethan mengambil cawan kopi sejuk dan sandwic yang berbaki separuh dari mejanya, lalu berpindah duduk berhadapan dengan David.
David bersandar, menelitinya dengan minat yang baharu.
“Kamu tahu, selalunya saya tak layan apa-apa daripada pelajar di kafe, atau yang datang mengetuk pintu pejabat saya sekalipun. Tapi hari ni…” Dia ketawa kecil, bunyi yang sedikit letih. “Hari ni saya rasa buntu. Jalan mati. Kemudian kamu muncul dengan fail saya. Mungkin ni takdir.”
Ethan membetulkan duduknya. “Saya pun tak berniat nak mengganggu. Tapi saya ternampak kertas cadangan encik dalam fail tu.” Dia berhenti sejenak, membiarkan ayat seterusnya mendarat dengan impak. “Secara kebetulan, saya pun tengah rancang nak mulakan syarikat teknologi.”
David mengangkat kening tinggi.
Jika orang lain yang berkata sedemikian rupa, dia tidak akan membuang masa untuk melayan angan-angan itu. Tapi pelajar NUA? Itu cerita berbeza. Pelajar-pelajar NUA sudah terlalu biasa membangunkan syarikat permulaan bernilai jutaan dolar dari bilik asrama mereka yang bersepah.
“Menarik sangat kebetulan tu,” kata David sambil tersenyum. “Memandangkan kamu dah baca, apa pendapat kamu?”
Ethan menarik nafas. Dia tidak sempat untuk membuat analisis yang lebih terperinci, jadi dia memilih untuk bercakap berdasarkan logik kasar dan naluri pertamanya.
“Sebenarnya, ciri-ciri teknikal yang disebutkan untuk aplikasi tu… biasa sangat. Standard industri.”
Dahi David sedikit berkerut.
Ethan menyambung pantas, “Dan saya bukan pakar bisnes, tapi saya tak nampak macam mana encik merancang untuk buat keuntungan dengan model bisnes sebegitu. Margin 5% terlalu nipis untuk tampung kos operasi server dan gaji.”
David mengangguk perlahan, mengakui kelemahan itu.
“Tapi encik jangan salah faham,” kata Ethan, badannya condong ke hadapan. “Saya nak tahu dengan lebih lanjut sebab saya nak jadikan rancangan encik satu kenyataan. Mungkin kita boleh bermula dengan aplikasi ‘biasa’ ni sebagai tanda pengenalan kita dalam industri. Bina tapak pengguna. Kemudian, baru kita keluar dengan aplikasi dan sistem lain yang lebih menguntungkan untuk tampung kos.”
Kali ini, senyuman David melebar. Matanya bersinar.
“Kalau saya berseorangan, saya tak pernah peduli pasal untung atau rugi. Misi saya kebajikan,” akui David. “Tapi, kalau kamu nak kita bekerjasama… saya rasa cadangan kamu tu ada asas yang kukuh. Kelestarian itu penting.”
David menarik nafas panjang sebelum menyambung, “Kita boleh mulakan dengan aplikasi yang boleh menaikkan nama syarikat dan bantu orang ramai, kemudian seimbangkan dengan produk atau servis komersial.”
Ethan tersenyum. Cantik. Dia dah nak setuju.
Dia memandang tepat ke dalam mata David dengan keyakinan penuh.
“Encik tak payah risau pasal teknologi. Saya boleh uruskan hal tersebut dari A sampai Z. Apa yang saya perlukan ialah individu yang ada pengalaman bisnes dan rangkaian orang ramai. Individu seperti encik.”
Dia mengeluarkan telefon pintarnya dari saku, membuka galeri portfolio.
“Ini antara aplikasi yang saya dah bina sendiri,” katanya, menolak telefon itu ke arah David.
David mendekatkan diri ke meja. Dia meleret skrin telefon Ethan, membuka aplikasi pertama—susun atur yang kemas, reka bentuk intuitif, dan logik backend yang nampak kukuh. Sekali pandang pun David dapat mengesahkan bahawa ini bukan kerja amatur. Semuanya merupakan hasil kerja seorang profesional.
“Bagus,” David mengeluh kagum. “Memang standard NUA. Kamu buat semua ni?”
“Projek universiti. Kerja freelance. Saya memang suka dengan programming.”
David mengangguk perlahan, rasa hormat mula terbit dan terpancar di matanya. Dia memeluk tubuh, memandang Ethan dengan serius.
“Baiklah, Ethan. Katakanlah kita bekerjasama, apa visi kamu? Bukan sekadar untuk aplikasi ni, tapi untuk syarikat kamu. Apa yang kamu nak bina?”
Ethan teragak-agak sejenak. Mindanya terbayang semula visual di ruang kosong itu—para penguasa, letusan kuasa sakti, dan empayar yang runtuh menjadi debu. Tiba-tiba sahaja beban kuasa itu seolah-olah menekan bahunya secara fizikal.
Dia menepis fikiran itu. David tidak perlu tahu mengenai hal tersebut.
“Saya bukan sekadar nak bina syarikat,” kata Ethan, nada suaranya sedikit perlahan tetapi berat. “Saya nak bina sebuah empayar. Satu tempat di mana teknologi bukan sekadar alat untuk bermegah, tapi sesuatu yang mampu memberikan manfaat buat semua. Teknologi apa? Saya akan cuba carinya dalam proses pembinaan empayar ini.”
David merenungnya lama. Dia sudah biasa dengan golongan muda yang bercakap besar tentang mengubah dunia. Tetapi Ethan berbeza. Apa yang dikatakannya tidak kedengaran seperti berlagak. Dia sepertinya sudah lama memikirkan beban ayat itu.
“Baiklah,” kata David akhirnya. “Kalau macam tu, kita kena cakap mengenai realiti pula.”
Dia mengetuk fail di atas meja dengan jari-jemarinya sebelum berkata, “Aplikasi ini tidak akan buat kita kaya. Keuntungannya terlalu kecil. Sejujurnya, saya sendiri pun belum nampak jalan yang jelas untuk membuat keuntungan.”
Dia menyandar ke hadapan. “Tapi kalau kamu serius, kita anggap ini sebagai titik permulaan. Cara untuk perkenalkan syarikat kamu kepada dunia.”
Ethan tersenyum. Dia yakin bahawa dia semakin hampir untuk menyelesaikan Misi Utama pertamanya.
David menyusul dengan soalan seterusnya, “Bercakap pasal syarikat… apa namanya?”
“Nova Tech.”
“Nova Tech…” David menyebut nama itu perlahan, menguji bunyinya. “Menarik nama tu.”
Dia meletakkan siku di atas meja. “Jadi, macam mana bentuk kerjasama kita? Saya akan menjadi sebahagian daripada pemegang saham?”
Ethan ketawa kecil, menggaru belakang lehernya yang tidak gatal. “Sejujurnya saya tak pasti. Saya terbuka untuk cadangan. Saya uruskan pembangunan aplikasi. Encik uruskan bisnes.”
David mengangguk. “Dan duit? Berapa modal berbayar syarikat kamu?”
“Lima ratus ribu,” jawab Ethan bersahaja.
Mata David membulat. “Lima ratus ribu? Duit siapa tu?”
“Saya punya.”
David merenungnya, tidak percaya. “Dan berapa banyak kamu rancang nak peruntukkan untuk projek ni?”
“Mungkin sejuta. Atau dua. Bergantung pada apa yang kita perlukan.”
David menghembus nafas kasar. “Ethan… kalau kamu ada duit banyak macam tu sebagai pelajar, kenapa kamu sibuk nak buat bisnes?”
Ethan senyum nipis. “Macam saya cakap tadi. Empayar.”
David ketawa, menggelengkan kepala. “Kamu cakap macam kamu betul-betul rasa benda tu mudah.” Nadanya berubah, menjadi lebih tajam dan profesional. “Tapi maafkan saya kalau saya ragu-ragu. Boleh tunjuk pendaftaran syarikat? Saya perlu tengok bukti modal dan kemampuan kewangan kamu. Saya tak boleh bergerak atas angin.”
Ethan ketawa perlahan. Matanya turun memandang kopi sejuk di meja sebelum memandang pakaiannya sendiri. Dia tahu, siapa yang akan percaya bulat-bulat cakap seseorang yang berpakaian kemeja polo kedai buku sepertinya.
“Kita jumpa esok,” kata Ethan tenang. “Saya baru daftar syarikat tadi. Cuma tersangkut sebab dah lebih had transaksi harian bank. Saya akan selesaikan hari ini. Esok, saya akan bawa bukti depan mata encik.”
David terdiam. Ini taktik biasa penipu. Janji besar, kemudian bagi alasan teknikal bila minta bukti.
Tetapi nada Ethan… ia tidak kedengaran seperti ingin menipu. Sebaliknya, David pula yang rasa jika dia tidak memilih untuk percaya pada Ethan hari ini, dialah yang akan rugi besar. Naluri bisnesnya berbisik bahawa budak ini tidak bermain-main.
David mengetuk jari di meja. Menimbang risiko.
“Baiklah,” katanya. “Esok. Bawa bukti tu. Kalau semuanya betul, kita bincang pasal kerjasama.”
“Boleh.”
David mengeluarkan sekeping kad hitam nipis dari poketnya dan menolak ia ke arah Ethan.
“Telefon saya bila kamu dah sedia.” Wajah David melembut sedikit. “Kamu tahu, Ethan… orang muda selalu cakap pasal revolusi macam benda tu senang. Tapi kalau kamu betul-betul serius… esok mungkin permulaan sesuatu yang menarik.”
Ethan mengangguk tegas. “Jangan risau. Encik akan terkejut dengan apa yang saya mampu.”
David mengemas barangnya, mengepit fail kertas cadangan di bawah lengan. “Jumpa esok.”
Semasa David melangkah keluar dari kafe itu, Ethan bersandar di kerusinya, merenung sisa kopi di dalam cawan. Panel Sistem berkelip samar di hujung pandangannya.
Esok, fikir Ethan. Semuanya akan berubah.