Ethan melangkah ke arah bank, mindanya sarat dengan soalan yang berlegar seperti lalat menghurung makanan basi.
Apa bukti yang aku patut tunjuk pada David Turner esok?
Rancangan pertamanya mudah. Buka aplikasi. Tunjuk baki.
Tetapi semakin dia memikirkannya, semakin bodoh idea itu terasa.
Tak boleh. Kerja gila.
Walaupun David Turner terkenal sebagai dermawan, dia masih orang asing. Manusia tetap manusia. Ethan tidak tahu apa yang tersirat di sebalik senyuman korporat itu. Risiko terlalu besar.
Ethan mengetuk-ngetuk paha dengan jari semasa berjalan.
Habis tu macam mana?
Idea kedua muncul serta-merta, kasar dan tanpa tapis.
Keluarkan duit. Letak atas meja. Selesai.
Walaupun statistik Kecerdasan miliknya mencecah 15, entah mengapa logik akalnya bercuti hari ini. Baginya, itu rancangan terbaik. Bukti fizikal yang tidak boleh disangkal dengan kata-kata.
Ethan masih mentah dalam dunia orang kaya. Dia genius dalam bidangnya, tapi naif dalam cara hidup. Dialah contoh hidup book smart, not a street smart.
Rancangannya mula terbentuk. Naikkan had transaksi harian kepada sejuta dolar. Kemudian, keluarkan sejuta dolar lagi dalam bentuk tunai. Wang itu akan ditunjukkan kepada David. Jika semuanya tidak berjalan seperti yang diharapkan, dia ingin simpan saja di bawah katil atau dalam almari. Sekurang-kurangnya, kalau wang di dalam akaun simpanannya lesap, dia masih ada kertas hijau di tangan.
Beberapa minit kemudian, Ethan tiba di Bank Novan cawangan pusat.
Pintu kaca automatik meluncur terbuka, menyambutnya dengan hembusan hawa dingin yang melawan cuaca panas terik di luar. Bank itu sibuk, seperti biasa. Barisan manusia beratur panjang, suara mereka tenggelam timbul di sebalik bunyi ketukan papan kekunci dan mesin mengira wang.
Nasib baik teknologi sudah maju. Urusan bergerak pantas. Lima belas minit kemudian, nombor giliran Ethan menyala di skrin.
Dia melangkah ke kaunter, jantungnya mula berdegup kencang.
Seorang pegawai bank, wanita muda, mungkin awal dua puluhan, sedang menunggu. Tanda namanya tertulis Suzanne. Dia langsung tidak memandang Ethan. Matanya terpaku pada skrin, sebelah tangan menopang dagu, sebelah lagi menaip malas.
“Selamat pagi. Boleh saya bantu?” tanyanya tanpa menoleh.
Suaranya sopan, tapi kosong. Skrip yang sudah dihafal dan diulang berkali-kali sehingga muak.
Ethan tidak kisah. Dia ada urusan yang lebih besar daripada melayan ego kerani bank. Dia menelan liur dan menarik nafas dalam.
“Saya nak naikkan had transaksi harian dan buat pengeluaran,” katanya, cuba mengekalkan nada tenang walaupun dadanya berombak.
“Boleh,” jawab Suzanne ringkas. “Berapa?”
Ethan diam sesaat, memastikan suaranya tidak pecah. “Satu juta dolar untuk kedua-duanya.”
Jari Suzanne terhenti di udara. Bunyi papan kekunci mati.
Perlahan-lahan, dia mendongak. Dahinya berkerut, bukan mengejek, tapi penuh dengan rasa tidak percaya.
“Maaf… berapa encik cakap tadi?”
“Satu juta dolar,” ulang Ethan. Jantungnya menumbuk tulang rusuk, tapi dia memaksa dirinya menyebut angka itu sekali lagi. “Untuk had transaksi harian dan pengeluaran tunai.”
Mata Suzanne berkedip. Ekspresi wajahnya berubah. Dia memandang Ethan dengan pandangan jengkel yang tidak disembunyikan. Bukan niatnya untuk kelihatan kurang ajar, tapi dia sudah muak dengan pempengaruh media sosial yang selalu datang buat hal.
“Dengar sini,” kata Suzanne, suaranya merendah separuh berbisik. “Kalau ni salah satu prank untuk content internet, saya minta encik berhenti sekarang. Kami tak ada masa nak layan benda macam ni.”
Amaran itu menyengat. Ethan cuba kekal tenang. Dia faham. Kalau dia di tempat Suzanne pun, dia akan fikir benda sama. Budak pakai uniform kedai buku minta sejuta? Memang lawak.
“Maaf kalau bunyinya pelik, tapi saya tak main-main,” balas Ethan serius. “Saya perlu selesaikan urusan ni cepat. Saya ada hal lain lepas ni.”
Senyuman Suzanne lenyap. Ketenangan Ethan tidak meyakinkannya—malah, ia membuatkannya lebih curiga. Dia memandang Ethan atas bawah—rambut serabai, kasut sukan lusuh—menilai sama ada ini pelanggan atau pengacau.
“Baiklah,” dia mengeluh berat, pasrah. Nadanya kekal profesional, tapi niatnya jelas: Biar aku buktikan kau penipu. “Biar saya semak baki akaun encik dulu. Kalau betul ada duit tu, baru kita proses.”
Dia menghulurkan tangan, menjangka Ethan akan mengalah dan lari. “ID, sekarang.”
Ethan menghulurkan kad ID tanpa banyak soal. Dia tersenyum nipis, menyangka semuanya akan selesai. Suzanne menyambutnya dengan pandangan yang menjerit, Tunggu kau. Aku akan malukan kau.
Dia menjeling sekilas pada Ethan, bersedia untuk memulakan drama. Biar semua orang tengok.
Suzanne mula menaip nombor ID Ethan. Jarinya bergerak laju, tetapi rentak itu mati tiba-tiba.
Ethan memerhati wajahnya.
Ekspresi wajah Suzanne sekali lagi berubah. Dahinya berkerut seribu, matanya terbeliak memandang skrin. Bibirnya bergerak-gerak tanpa suara.
“Satu… bilion… dolar?” bisiknya.
Matanya berkedip laju, seolah-olah mengharapkan angka itu satu kesilapan teknikal.
Bibir Ethan mengukir senyuman nipis. Dia cuba bertenang, tapi dia sangat risau sekarang ini jika tindakannya mengundang siasatan pihak bank dan pihak berkuasa. Tiba-tiba, dia rasa menyesal datang ke sini dengan rancangannya.
“Maaf. Ada masalah ke?” tanya Ethan, suaranya sedikit gementar.
Suzanne mendongak, wajahnya pucat lesi. “Encik… encik ada satu bilion dolar dalam akaun ni?”
Dia tidak bermaksud untuk bercakap kuat. Tapi dalam keheningan bank, suaranya bergema. Beberapa kepala menoleh. Bermula dengan staf sebelah, kemudian merebak ke pelanggan di belakang.
“Bilionair?”
“Siapa? Budak tu?”
“Tak nampak macam orang kaya pun.”
“Anak orang kaya lari rumah kot.”
Bisik-bisik mula kedengaran. Suzanne, dalam kejutan, terlupa peraturan nombor satu perbankan: privasi. Nasib baik Ethan tidak tahu dia boleh saman Suzanne dan pihak bank di atas kesilapan itu.
“Ya,” jawab Ethan tenang. “Saya tahu saya ada banyak tu. Sebab tu saya minta tolong Cik. Jadi sekarang, boleh tak kita buat ni cepat dan… senyap?”
Darah menyirap turun dari wajah Suzanne. Dia menegakkan badan, sikapnya berubah 180 darjah. Ketakutan jelas terpampang di wajahnya. Dia memandang nama di skrin sekali lagi.
“En-encik Cole! Saya minta maaf sangat-sangat!” kata Suzanne laju, menunduk beberapa kali. “Tolong tunggu sebentar. Untuk transaksi Encik, saya kena panggil pengurus.”
Sebelum sempat Ethan membalas, dia sudah meluru dari kerusi dan hilang ke pejabat belakang.
Dahi Ethan berkerut. Kenapa kena panggil pengurus? Bukan ke ni pengeluaran biasa?
Sementara itu, Suzanne berlari sambil menyumpah dirinya sendiri.
Apa aku dah buat? Budak tu klien VVIP.
Jantungnya berdegup kencang, panik mencengkam dada. Bayangkan kalau Ethan Cole buat aduan rasmi. Dia boleh dibuang kerja, disaman, dan disenarai hitam. Kerjayanya boleh tamat hari ini.
Di lobi, Ethan kekal berdiri, cuba berlagak selamba. Tapi dia dapat rasakan perubahan di sekelilingnya. Mata-mata liar mula memandangnya. Ramai yang berhenti berurusan, berbisik sesama sendiri.
Dia menangkap beberapa perkataan: “Tak percaya”, “Bilion”, “Gila”. Bagi mereka, mustahil budak selekeh macam Ethan ada duit sebanyak itu.
Tapi ada renungan yang lebih bahaya.
Renungan tamak. Ethan dapat rasakan getaran niat jahat—orang yang memandangnya seperti tiket loteri berjalan. Mereka mengira peluang, menyusun strategi untuk mendekati dengan cerita sedih atau skim pelaburan. Ada juga yang merancang untuk menculik Ethan dan meminta wang tebusan. Jika Ethan ada wang sebanyak itu, sudah tentulah keluarganya juga kaya raya.
Mujurlah, selang beberapa minit, bunyi tapak kaki kedengaran. Segala niat orang ramai di sekeliling terbantut.
Seorang lelaki pertengahan umur dengan sut tempahan khas melangkah keluar dari pejabat belakang. Tubuhnya tegap, wajahnya tenang, tapi ada sesuatu pada matanya. Jelas bahawa dia sedang berwaspada dengan segala kemungkinan. Individu seperti Ethan boleh mengubah masa depan cawangan ini atau hancurkan ia dengan satu tandatangan atau transaksi.
“Encik Cole,” sapanya sopan tapi tidak berlebihan. “Boleh ikut saya ke pejabat? Kita boleh bincang lebih lanjut mengenai permohonan encik.”
“Pejabat?” Ethan berkelip. “Kenapa?”
“Ada beberapa perkara yang saya perlu sahkan dengan encik dulu.”
Ethan teragak-agak. Badannya menegang, tapi dia tetap mengangguk kecil, cuba untuk kekal kelihatan tenang. Tangannya menggigil sedikit di sisi. Fikirannya mula bercelaru.
Dia tidak boleh melarikan diri. Dia perlu juga berurusan dengan lelaki di hadapannya ini.
Dia yakin semuanya tidak akan berjalan lancar kali ini.