Cover Novel Melayu

Ethan berjalan perlahan, mengekori pengurus bank itu naik ke tingkat sepuluh. Kesunyian di sepanjang perjalanan itu begitu tebal dan menekan, seolah-olah dia sedang berjalan di dasar laut.

Aduh. Tak suka betul macam ni, bisik Ethan di dalam hati. Rahsia aku dah terbongkar ke?

Keadaan itu benar-benar mengganggunya. Tapi, apa yang dia risaukan untuk terbongkar? Bukannya dia ada lakukan apa-apa. Dia boleh memusing semula segala hujah dengan mengatakan dia tidak pernah menyemak baki akaun. Dia cuma membelanjakan sahaja.

Betul. Aku kena jawab macam tu. Kena yakin.

Mereka melalui sebuah ruang yang kelihatan lebih mirip lobi hotel lima bintang berbanding bank. Kerusi kulit import, mesin kopi yang berharga ribuan dolar, dan tiada barisan. Satu papan tanda perak berkilat di belakang kaunter.

Okey, fikir Ethan. Ini memang bukan tempat untuk orang biasa macam aku.

Pengurus itu berhenti di hadapan sebuah pejabat berdinding kaca yang menghadap bandar. Dia menolak pintu kaca, membukanya.

“Silakan masuk, Encik Cole.”

Pejabat itu luas dan minimalis tetapi setiap hiasan dan barangan yang ada bukanlah rendah nilainya. Meja mahogani, kerusi kulit dengan rekaan premium, set sofa dan meja kopi mewah, ditambah pula pemandangan latar langit bandar, dan kerusi pejabat yang mungkin lebih mahal daripada yuran pengajian universiti Ethan.

“Silakan duduk,” pelawa pengurus itu sambil menutup pintu dengan perlahan.

Ethan terus duduk. Dia menegakkan belakang, tetapi jari-jemarinya mengetuk lutut tanpa sedar. Dia sedikit cemas.

Pengurus itu duduk berhadapan dengannya. Kali ini, Ethan cuba untuk melihat susuk tubuh lelaki itu dengan lebih jelas. Sut yang dipakai sangat kemas, rambutnya disisir rapi dan saat mata Ethan memandang matanya, bulu romanya terasa meremang.

Pengurus itu meyilang jari-jemarinya dan menyandar ke hadapan.

“Kita ada situasi yang unik, Encik Cole,” katanya. Nadanya perlahan dan teratur, seolah-olah sedang menerangkan konsep fizik kuantum kepada budak tadika.

Ethan tidak membalas, dia menunggu.

“Satu bilion dolar dikredit ke akaun simpanan, secara tiba-tiba adalah… luar biasa,” sambung pengurus itu. “Permintaan untuk mengeluarkan satu juta tunai serta-merta selepas itu? Itu juga sangat mencurigakan. Terutamanya tanpa sebarang sejarah transaksi untuk menyokongnya.”

Dada Ethan terasa ketat. Dia membayangkan layanan diraja. Sebaliknya, dia dilayan seperti pelajar nakal di bilik pengetua.

“Saya tak pasti apa maksud encik,” kata Ethan, mengekalkan suaranya supaya tidak pecah. “Itu duit saya. Saya perlukannya.”

Pengurus itu bersandar, senyuman profesional yang tidak sampai ke mata terukir di bibirnya.

“Encik Cole, apabila jumlah sebesar itu muncul dalam akaun yang bukan milik sesiapa, ia adalah red flags bagi kami di bank. Ia boleh jadi penipuan, penggubahan wang haram dan mungkin juga… penggodaman.”

Pengurus itu diam sebentar sebelum menyambung, “Dengar kata Encik Cole seorang genius programming di NUA, bukan?”

Aduh. Kena tuduh lagi, keluh Ethan di dalam hati. Payah juga jadi pandai ni.

Soalan daripada pengurus itu tergantung di udara. Ethan pula berasa serba tidak kena. Sepatutnya, kekayaan yang baru dia miliki menjadi penyelesaian kepada segala masalah yang dia hadapi, bukan menjadikannya suspek jenayah.

“Dengar sini,” kata Ethan. Dia tiba-tiba menemui satu keberanian. “Saya tak buat salah. Saya faham prosedur, tapi saya ada hak. Saya cuma nak duit saya.”

Ayat itu kedengaran klise, seperti dialog di dalam filem. Tetapi hanya itu sahaja senjata yang dia ada. Keyakinan dan keberanian palsu. Dia cuba untuk tidak kalah sewaktu bertentang mata dengan pengurus tersebut.

Sementara itu, di dalam fikirannya, keadaan sangat berbeza. Kepalanya sedang ligat menyusun kata dan rancangan.

Sistem, fikir Ethan, cuba untuk berbicara dengan Sistem Infiniti. Kalau kau dengar, kalau kau memang nak tolong aku, sekarang adalah masa terbaik. Tolong.

Pengurus itu mengangguk. “Saya faham, Encik Cole. Tapi tolong faham kami di bank. Kami sudah menghubungi pengirim—Heaven Corporation—untuk pengesahan.”

Dia kekal memandang Ethan, suaranya kali ini lebih tegas. “Kalau tiada sebarang isu, kami akan proses permohonan encik.”

Ethan menelan liur. Bukan hanya pihak bank, dia juga ingin tahu apa balasan daripada pihak Heaven Corporation.

***

Sementara itu, di sebuah lokasi yang tidak diketahui, Gullit sedang berdiri tegak di luar dojo. Tiada siapa yang tahu sudah berapa lama dia berada di situ. Tapi, sedikit pun tidak kelihatan seperti dia sedang bertugas sambil lewa. Matanya memerhati sekeliling setiap masa.

Bunyi tapak kaki yang tergesa-gesa kedengaran, memecah kesunyian. Seorang gadis, remaja berusia sekitar lapan belas tahun, bercermin mata bula dan berambut panjang yang diikat sedang berlari ke arahnya.

Dia memeluk sebuah tablet rapat ke dada.

“Tuan Gullit!”

Gullit mengangkat tangan, mengisyaratkan dia supaya bercakap lebih perlahan dan bertenang. Gadis itu menutup mulut serta-merta.

“Ada apa, Manis?”

“Ada satu emel,” bisiknya sambil menunduk hormat. “Dari Bank Novan.”

Gullit mengambil tablet itu. Matanya mengimbas skrin sepintas lalu. Dahinya berkerut sedikit. Isinya berkaitan apa yang sudah dijangka oleh Tuan Gabriel.

Manis memandang Gullit sebelum bertanya, “Apa saya nak jawab?”

“Tuan Gabriel sudah berikan arahan. Jika ia melibatkan Ethan Cole, jangan benarkan sesiapa menyibuk.”

“Baik, tuan,” kata Manis. “Saya faham. Tapi… macam mana saya nak balas pada bank?”

Gullit mengeluh pendek. “Biar saya yang balas.”

Dia menaip balasan dengan pantas. Sekalipun tubuhnya seperti seorang kesateria, dia jelas mahir juga dengan gajet dan teknologi. Dia menyerahkan tablet itu kembali. “Selesai.”

Manis menjeling skrin itu. Matanya membulat. Dia memandang Gullit, tergamam dengan balasan tersebut.

“Biar betul boleh balas macam ni, Tuan Gullit?” soal Manis. Matanya terkebil-kebil.

Gullit tidak bereaksi. Dia kembali berdiri tegak, wajahnya kosong tanpa emosi.

Manis tahu dia tidak akan mendapat sebarang balasan dan bila difikirkan semula, mereka tidak perlu takut pada sesiapa. Mereka adalah Heaven Corporation.

***

Kembali di pejabat pengurus Bank Novan.

Telefon di atas meja pengurus itu bergetar.

Bunyi itu memotong ketegangan bilik. Pengurus menjeling telefonnya, dan topeng seorang pengurus yang penuh waspada yang dipakainya sepanjang dengan Ethan, retak.

“Biar… betul,” gumamnya.

Dia mengambil telefon, dahinya berkerut seribu semasa membaca apa sahaja yang diterimanya itu. Ethan pula semakin tidak senang duduk. Dia tahu itu pastinya balasan daripada Heaven Corporation.

Pengurus itu memandang Ethan. Kepalanya sedang berserabut ketika ini. Dia baru sahaja menuduh lelaki muda di hadapannya ini dengan beberapa tuduhan sekalipun semuanya bukanlah tuduhan terus.

Sangkanya, semua yang Ethan terima adalah kesilapan.

Dia tahu dan kenal nama organisasi itu. Semua individu di dalam industri kewangan atau mana-mana industri juga sama. Heaven Corporation adalah gergasi yang mengawal ekonomi dan politik dunia. Mustahil untuk mereka membuat silap. Tiada siapa dalam sejarah yang pernah menerima dividen daripada mereka.

Apatah lagi dividen sebanyak satu bilion dolar kepada seorang pelajar universiti.

Pengurus itu mengesyaki penipuan. Ralat sistem. Mungkin penggodaman.

Tetapi mesej di skrin memusnahkan segala kesangsiannya.

Dia menelan liur sebelum menghulurkan telefon kepada Ethan.

“Nampaknya saya dah buat silap dan berhutang maaf dengan Encik Cole,” katanya sambil meletakkan telefon tersebut di tangan Ethan. Suaranya merendah, hilang segala keangkuhan tadi. “Encik boleh baca ni.”

Ethan mengambil telefon tersebut dan matanya membulat saat membaca email tersebut.

 

Ethan memeriksa alamat email yang digunakan. Ia adalah email rasmi.

Sistem yang buat? Atau… Sistem paksa mereka buat?

Peluh sejuk merecik di tengkuknya. Ia bukan rasa takut. Ia adalah kesedaran bahawa dia mempunyai “penjaga”, dan penjaga itu mempunyai kuasa yang menakutkan.

Pengurus itu bersandar, jelas terkesan dengan apa yang baru sahaja berlaku. “Saya tak pernah sangka. Heaven Corporation selalunya tidak akan membalas kecuali untuk hal-hal penting dan tiada siapa pernah menerima dividen daripada mereka.”

Dia memandang Ethan dengan pandangan yang jauh berbeza berbanding tadi. Rasa curiga sudah hilang, digantikan dengan rasa hormat yang bercampur takut.

“Maaf bertanya, tapi… siapa Encik Cole sebenarnya?”

Ethan teragak-agak. Dia tidak tahu apa yang patut dijawab.

Jika dia ingin berlaku jujur, “Saya seorang pelajar yang ada masalah kewangan yang tiba-tiba dapat Sistem Infiniti.”

Dia boleh juga menggunakan peluang ini untuk menipu, membentuk identiti baru, “Saya sebenarnya anak rahsia Pengerusi Heaven Corporation.”

Tapi akhirnya? Dia memilih untuk diam. Dia membiarkan soalan itu tergantung, membiarkan imaginasi pengurus itu mengisi tempat kosong.

“Lupakan,” kata pengurus itu cepat-cepat. “Bukan hak saya untuk bertanya. Maafkan saya.”

Ethan menghembus nafas lega. “Jadi, boleh saya dapatkan selesaikan semua permohonan saya sekarang?”

“Kami boleh naikkan had transaksi,” kata pengurus itu. “Tetapi kami tidak simpan satu juta dolar tunai di cawangan. Encik perlu datang semula esok.”

Ekspresi wajah Ethan berubah. Esok?

Pengurus itu nampak kekecewaan pada wajah Ethan. “Tapi, ada satu lagi pilihan.”

Dia memandang Ethan sebelum menyambung, “Sebenarnya saya kurang sarankan Encik Cole untuk membawa wang tunai sebanyak itu dan beg galas encik tak muat nak letak satu juta dolar.”

Ethan tersenyum malu. “Betul juga. Jadi, apa pilihan yang saya ada?”

“Saya boleh berikan encik cek.”

Jujur, Ethan berasa seperti ingin menampar pipinya berulang kali ketika ini. Macam mana dia boleh terlupa berkenaan cek?

“Itu… pilihan yang tepat,” kata Ethan, cuba berlagak seolah-olah dia memang tahu tapi sengaja inginkan wang tunai. Lagipun, tiada apa yang pelik bagi orang kaya. Wang dia, pilihan dia.

“Baik. Bagi saya masa sekejap,” kata pengurus itu sebelum berpaling ke komputernya. Sebuah mesin pencetak berbunyi. Beberapa saat kemudian, dia menolak sekeping kertas di atas meja.

“Satu juta dolar,” kata pengurus itu. “Atas nama Ethan Cole.”

Ethan mengambilnya. Ia hanya sekeping kertas. Ringan. Nipis. Tetapi ia membawa nilai yang mungkin tidak akan pernah dia miliki seumur hidupnya.

“Terima kasih.”

“Sama-sama,” balas pengurus.

Dia memandang Ethan yang sedang tersenyum membelek cek tersebut.

“Cuma Encik Cole kena berhati-hati,” pesan pengurus itu serius. “Kekayaan encik boleh menarik perhatian. Jika encik perlukan apa-apa, hubungi saya terus.”

Ethan mengangguk sebelum berdiri, melipat cek itu dan memasukkannya ke dalam poket seluar seperti resit pasar raya. “Baiklah.”

Dia memandang pengurus tersebut, “Untuk had transaksi harian, dah selesai juga kan?”

Pengurus itu mengangguk.

Ethan membalas anggukan dan berpaling. Dia ingin segera keluar. Dia sudah tidak mampu lagi untuk berlakon seperti orang kaya yang tenang.

“Encik Cole, satu perkara lagi.”

Ethan berhenti di pintu.

Pengurus itu berdiri, menghulurkan tangan. Ketegangan tadi sudah hilang sepenuhnya, digantikan dengan layanan mesra terhadap klien VVIP.

“Maaf atas salah faham tadi,” katanya. “Nama saya Charles Weston. Saya ingin menjemput Encik Cole menjadi Pelanggan Premier di Bank Novan.”

“Premier?”

“Untuk pelanggan dengan aset melebihi sepuluh juta,” Charles tersenyum. “Encik lebih daripada layak. Layanan peribadi, pilihan pelaburan, rangkaian kenalan eksklusif. Saya akan emel butirannya.”

Ethan mempertimbangkannya. Rangkaian. Status. Ia menepati misi.

“Menarik juga,” kata Ethan, menyambut huluran tangan Charles. “Hantarkan pada saya dan… terima kasih, Encik Weston.”

Semasa Ethan melangkah keluar dari bank, telefonnya bergetar di dalam poket.

 

Bibir Ethan mengukir senyuman.

“Satu selesai. Satu lagi.”

Cover Novel Melayu