Jessica menekan skrin tabletnya. Cahaya biru memantul lembut pada wajahnya.
Gambar demi gambar muncul dengan lancar—ruang tamu moden dengan siling tinggi, dapur berkilat tanpa sebutir habuk, taman yang dipangkas rapi seperti karya seni muzium.
“Ini adalah hartanah kami yang paling laris,” jelasnya, suaranya tenang dan profesional. “Setiap satu selamat, privasi terjaga, dan terletak di kawasan kejiranan elit. Cukup luas untuk keluarga lima orang, seperti yang encik sebutkan.”
Ethan menyandar ke hadapan sedikit, mengimbas gambar-gambar itu.
Kaunter marmar putih. Kolam renang dengan rekaan moden. Tingkap lantai-ke-siling yang menampakkan pemandangan bandar.
Cantik? Ya. Tapi ada sesuatu yang tak kena.
Hampir… tapi tidak sampai seperti apa yang dia inginkan. Ia rasa seperti hotel, bukan rumah. Terlalu kaku, seperti pusat pameran. Tiada rasa ketenangan dan rasa ‘rumah’ yang dia inginkan.
“Ini vila tiga tingkat dekat pantai,” sambung Jessica. “Sekuriti terbaik, garaj peribadi untuk tiga kereta, pemandangan laut panoramik. Harga senarai $2.8 juta.”
Dia menukar ke rumah yang seterusnya selepas nampak Ethan seperti tidak berminat.
“Dan yang ini—estetik moden, taman bumbung, kaca penuh. $3.5 juta.”
Ethan mendengar dengan teliti, memberi perhatian penuh sebagai tanda hormat. Tetapi apabila penyenaraian kelima muncul, dia menggelengkan kepala sedikit.
“Semuanya cantik,” katanya sopan. “Betul-betul cantik. Tapi…”
Dia berhenti sejenak, kemudian menatap mata wanita itu. “Cik ada tak yang lain?”
Jessica berkelip, sedikit keliru. “Yang lain?”
“Ya,” kata Ethan tenang. “Sesuatu yang lebih besar. Lebih privasi. Dan ia mesti rasa… selamat. Macam rumah, bukan galeri seni.”
Jessica teragak-agak. Jarinya terhenti di atas tablet. Sesaat, dia menimbang sama ada patut teruskan. Dia melihat pakaian baharu Ethan yang ringkas, wajah mudanya, dan permintaan besar yang baru dibuatnya.
“Encik Cole,” katanya berhati-hati, memilih perkataan. “Kami memang ada senarai lain. Tapi ia dalam kategori berbeza. Rumah agam. Estet persendirian. Bermula dari… sepuluh juta dolar ke atas.”
Suaranya merendah sedikit, seolah-olah menguji reaksi Ethan terhadap angka itu.
Ethan mengukir senyuman kecil. “Tunjukkan pada saya.”
Kening Jessica terangkat sebelum dia menutup rasa terkejutnya dengan pantas. Ethan tidak sepadan dengan profil klien yang biasanya meminta kategori itu. Dia tidak memakai jam tangan Patek Philippe atau diiringi peguam peribadi. Sebahagian dirinya tertanya-tanya adakah dia sedang membuang masa dengan seorang pemimpi.
Tetapi dia mengingatkan dirinya tentang peraturan emas yang diajar pada hari pertamanya: Jangan sesekali menilai klien dari rupa.
“Baiklah,” katanya akhirnya. “Beri saya masa sebentar.”
Dia membuka kunci folder sulit di tabletnya. Semasa gambar dimuatkan, topeng profesionalnya kekal—tetapi di dalam hati, satu harapan kecil mula bercambah liar.
Tolonglah biar dia ni betul-betul nak beli.
Jessica perlukan jualan ini. Lebih daripada yang orang lain tahu. Sewa apartmennya tertunggak dua bulan. Bil hospital untuk pembedahan datuknya di kampung menghantui setiap malamnya. Satu komisen besar dari kategori ini bermakna ruang untuk bernafas. Peluang untuk tidur nyenyak tanpa memikirkan hutang.
Dia memusingkan tablet ke arah Ethan, suaranya stabil semula. “Ini senarai premium kami. Privasi penuh. Sekuriti canggih gred tentera. Ekar tanah persendirian. Ini yang terbaik yang kami ada.”
Mata Ethan bergerak melintasi imej-imej itu—pintu gerbang besi tempaan, laluan masuk panjang yang diapit pokok rimbun, rumah yang kelihatan seperti set filem klasik. Dadanya terasa ketat semasa menelitinya.
Ini yang aku nak. Untuk mereka. Untuk kami semua.
Bukan sekadar dinding dan bumbung. Keselamatan. Keselesaan. Sebuah kubu di mana keluarganya boleh hidup tanpa rasa takut atau susah hati tentang esok.
“Yang ini nampak bagus,” gumam Ethan, hampir kepada dirinya sendiri. Kemudian dia menunjuk skrin, nadanya tegas. “Boleh kita tengok rumah ni hari ni?”
Mata Jessica menjeling penyenaraian itu. Sesaat dia teragak-agak—itu adalah rumah terbaik dan termahal yang ada di dalam fail tersebut—kemudian dia mengangguk.
“Boleh. Ada unit yang sedia untuk dilihat. Lebih kurang dua puluh minit dari sini.”
Ethan mengangguk sekali. “Boleh.”
Jessica berdiri, melicinkan blausnya. “Encik nak pandu sendiri, atau nak tumpang saya?”
Ethan tersenyum nipis. “Saya tumpang cik.”
Jessica membalas senyuman itu, profesional tetapi hangat. “Ikut sini, Encik Cole.”
Mereka melangkah keluar dari bangunan, pintu kaca berat tertutup di belakang mereka. Haba petang menyerbu serta-merta, lebih terang dan kasar daripada udara lobi yang sejuk. Mereka memotong laluan pejalan kaki menuju ke bangunan sebelah, di mana kawasan parkir VIP terbentang luas.
Lima puluh meter dari situ, dua susuk tubuh sedang memerhati dari balik bayang-bayang tiang konkrit.
Mo merapatkan diri kepada Zidan, merendahkan suaranya menjadi bisikan. “Aku nampak dia. Ethan dah gerak. Kita boleh ekori dia sekarang.”
Zidan, yang baru kembali beberapa minit lepas dengan ‘kenderaan’ mereka, tersenyum sinis. Dia menepuk poket seluarnya, seolah-olah dia sudah merancang tiga langkah ke hadapan.
“Bagus. Dan kali ni kita takkan jalan kaki.”
Mo mengangkat kening, keliru. “Maksud kau?”
Zidan menunjuk ke arah hujung lot parkir dengan dagunya.
Diparkir dekat di penjuru yang agak tersorok adalah sebuah motosikal lama—buruk, berkarat, tetapi nampak kukuh—lengkap dengan sidecar kemik yang dipasang pada rangkanya.
Mata Mo membulat. Kemudian dia meledakkan ketawa. “Kau buat lawak ke? Kau betul-betul jumpa benda alah ni?”
“Pinjam,” kata Zidan, sengihannya tajam. “Kawan geng lama masih hutang aku. Lunas hari ni.”
Mo menepuk paha, ketawanya semakin kuat. “Kau genius, weh. Jalan kaki rentas separuh bandar tadi hampir bunuh aku. Ini—ini sempurna.”
Zidan melangkah naik ke atas motosikal itu, duduk selesa di tempat duduk yang span-nya sudah terkeluar sedikit. “Dah, berhenti membebel dan masuk.”
Mo tidak perlu disuruh dua kali. Dia hampir melompat masuk ke dalam sidecar, menjatuhkan punggung ke kerusi dengan senyuman lebar. “Tak ada lagi kaki melecet. Akhirnya!”
Enjin itu terbatuk-batuk sebelum hidup, menderam cukup kuat untuk menarik perhatian beberapa orang di seberang lot parkir. Zidan membetulkan pemegang, matanya mengecil memandang jalan raya.
“Pegang kuat-kuat,” katanya datar.
Mo bersedia, masih tersengih sampai ke telinga. Buat pertama kali dalam beberapa hari ini, dia hampir nampak gembira.
Semasa mereka berjalan menuju ke kawasan parkir VIP, fikiran Ethan melayang jauh.
Aku betul-betul perlukan kereta. Atau upah saja Hariz terus.
Membesar di Edgewater, keluarganya tidak pernah bermimpi tentang kemewahan sebegitu. Bas, tren, dan jalan kaki adalah dunianya. Sekarang? Dia boleh membeli bilik pameran kereta esok tanpa perlu berfikir dua kali.
Mula-mula, dia membayangkan sesuatu yang sederhana, sekadar kereta yang boleh diharap. Tetapi kemudian dia teringat rumah yang bakal dia beli. Dengan duit sebanyak itu, siapa yang dia mahu tipu? Godaan untuk kekal rendah diri mungkin bertahan seminggu sebelum dia memandu uji sesuatu yang enjinnya menderam cukup kuat untuk membuat orang menoleh. Mungkin dua atau tiga biji sekali gus.
“Sila masuk, Encik Cole,” kata Jessica, membawanya kembali ke realiti.
Keretanya adalah sebuah sedan gelap yang elegan tanpa perlu menunjuk-nunjuk. Jessica melangkah ke hadapan dan membuka pintu penumpang, memberinya anggukan hormat.
“Terima kasih. Sepatutnya saya yang buka pintu untuk cik,” kata Ethan dengan senyuman segan silu sambil meluncur masuk. Aroma kulit halus bercampur dengan sedikit bau wangi Jessica, membuatkan dia berasa sedikit kekok.
Senyuman Jessica kekal manis semasa dia menutup pintu. “Tak apa. Tiada masalah,” balasnya, berjalan ke bahagian pemandu dengan gaya profesional yang sama sebelum duduk di bahagian pemandu.
Enjin menderam hidup, senyap dan lancar. Untuk beberapa minit pertama, kesunyian mengisi ruang kereta. Ethan memandang pemandangan di luar tingkap, melihat bandar perlahan-lahan bertukar menjadi jalan yang lebih lebar dengan pokok-pokok tinggi berdiri seperti pengawal senyap.
Jessica memecahkan kesunyian dahulu, suaranya tenang tetapi sarat dengan rasa ingin tahu. “Jadi… encik kerja apa sebenarnya, Encik Cole? Kalau tak keberatan saya tanya.”
Badan Ethan menegang sedikit, memaksa ekspresinya kekal relaks. Dia tidak boleh memberitahu perkara sebenar—bahawa dia baru sahaja membuka syarikat tiga jam lepas. Itu akan kedengaran bodoh, terutamanya apabila dia dalam perjalanan untuk membeli rumah agam bernilai puluhan juta dolar. Dia sudah belajar tentang penampilan; dia belum kelihatan seperti orang kaya yang mapan lagi.
“Saya ada syarikat,” katanya rata, mengekalkan nadanya kasual tetapi stabil.
Kening Jessica terangkat sedikit, kagum. “Oh? Syarikat jenis apa, kalau boleh saya tahu?”
Jantung Ethan berdegup laju, tetapi dia tidak menunjukkannya. “Teknologi. Kami buat perisian dan pembangunan. Bidang yang tengah naik.” Dia menawarkan senyuman kecil yang terlatih. “Sibuk jugalah.”
“Bunyi menarik,” kata Jessica, matanya masih fokus di jalan raya. “Tak ramai orang sebaya encik buat benda macam tu.”
“Saya suka cabaran,” balas Ethan. “Dan… saya percaya pada membina sesuatu yang kekal lama.”
Jessica mengangguk perlahan tanda setuju. “Itu menarik.”
Kesunyian kembali, tetapi rasanya lebih ringan sekarang, udara kurang kaku di antara mereka. Ethan membenarkan dirinya bersandar sedikit, walaupun sarafnya masih berdengung halus.
Tiada seorang pun perasan motosikal dengan sidecar yang sedang mengekori dalam jarak beberapa buah kereta di belakang, mengekalkan jarak stabil sambil menyusup trafik yang sama. Cara mereka bergerak tidak mendedahkan apa-apa tentang dua susuk tubuh di atasnya, mata mereka terkunci pada sedan gelap yang membawa Ethan dan Jessica.
“Encik sebut encik nak tempat yang selamat,” kata Jessica selepas seketika, nadanya kembali profesional. “Hartanah ni dalam komuniti berpagar. Sekuriti perimeter penuh, rondaan 24 jam, akses biometrik di setiap pintu masuk.”
“Oh. Menarik,” kata Ethan, suaranya stabil semula. “Memang apa yang saya perlukan.”
Bibir Jessica mengukir senyuman kecil. Dia terus memandu dengan lancar menuju ke destinasi.
Dua puluh minit kemudian, sedan itu meluncur ke arah pintu gerbang utama yang mengagumkan, seperti sesuatu yang baru keluar dari majalah mewah. Dua pintu besi tempaan gergasi, disalut warna hitam, menjulang sekurang-kurangnya lima belas kaki tinggi, corak menarik bersulam warna emas menjadikannya kelihatan lebih megah di bawah matahari petang.
Tidak jauh di belakang, di dalam sidecar, Zidan membongkok rendah, cermin mata hitam senget di hidung. Mo pula mengecilkan mata menahan angin, topi keledarnya hampir tidak terikat. Mereka mendekatkan diri, cuba bercakap mengatasi bunyi enjin motor dan angin.
Mo mendekatkan telinga ke arah Zidan, meninggikan suara. “Jadi… kau rasa Encik Bilionair tu betul-betul nak beli rumah hari ni?”
Zidan membetulkan cermin matanya, cuba nampak serius walaupun angin asyik menolaknya senget. “Nampak macam tu. Tak ada ejen yang akan bawa kau naik kereta dan datang ke mari melainkan kau benar-benar nak membeli.”
Mo mengecilkan mata memandang depan. “Boleh jadi ejen tu tertipu.”
Zidan menjelingnya, “Ejen tu bukan macam kau. Mesti dia dah selidik dulu sebelum buang masa.. Lagipun muka Ethan tu bukannya macam muka kau.”
Mo berkerut. “Muka macam aku… kenapa?”
“Muka orang tak ada duit,” balas Zidan pantas.
Mo merungut, kemudian cuba lagi. “Okeylah, katakan dia betul-betul kaya. Rumah jenis apa kau rasa? Besar? Ada kolam kat belakang?”
“Lagi besar,” jawab Zidan tanpa ragu. “Jenis yang garaj dia lagi besar daripada apartmen kita.”
Mo bersiul perlahan. “Ada tandas emas?”
Zidan tersenyum sinis. “Paling kurang satu. Mungkin dua, sebelah-sebelah nak elak rasa sunyi.”
Mereka berdua ketawa memikirkan hal itu, gurauan mereka dibawa angin semasa sedan Jessica berhenti lancar di hadapan gerbang tinggi itu, langsung tidak sedar bayang-bayang yang mengekori di belakang.
Di kedua-dua belah pintu masuk, tembok konkrit tinggi memanjang sejauh mata memandang, hujungnya dimahkotakan dengan kamera keselamatan yang langsung tidak disembunyikan. Mesej mereka jelas—mereka sentiasa memerhati dan menjaga keselamatan para penghuninya.
Sebuah pondok pengawal terletak di tengah-tengah, panel kaca memantulkan cahaya petang. Enam pengawal berseragam berdiri dalam keadaan sedia, pergerakan mereka tangkas, mata mereka tajam, setiap seorang mengimbas semua kenderaan yang melalui palang keselamatan, memastikan segala percubaan pelik berjaya ditangkis sebelum ada yang terlepas masuk ke dalam.
Salah seorang pengawal melangkah ke hadapan, tablet di tangan. Dia membongkok sedikit untuk mengintai ke dalam sedan sebelum Jessica menurunkan tingkap, memberikan senyuman profesional.
“Jessica Moore. Ejen hartanah. Saya ada daftar untuk temu janji lawatan,” katanya, menghulurkan ID.
Pengawal itu mengimbasnya pantas, membandingkan dengan butiran di tabletnya, kemudian mengangguk.
“Disahkan. Cik boleh masuk,” katanya, berundur ke belakang.
Satu bunyi lembut menyusul, dan palang keselamatan bergerak, terbuka dengan cepat.
Jessica memandu masuk, sambil kembali menerangkan sesuatu kepada Ethan sebaik sahaja kereta mula bergerak. “Akses biometrik untuk penduduk. Untuk hari ni, memandangkan saya dah aturkan lawatan dengan pengurusan, saya cuma perlu sahkan ID saya.”
Ethan mengangguk, tapi matanya melilau melihat segala ciri keselamatan yang ada pada bahagian masuk dan keluar tempat ini. Dia berpuas hati dengan fizikal para pengawal yang bukan kelihatan seperti anggota beruniform pencen yang mustahil mampu melakukan apa-apa jika masalah berlaku.
Tubuh para pengawal di sini tegap. Seperti tentera yang masih aktif.
Bagus. Setakat ini semuanya bagu.
Tidak jauh di belakang, Mo memberhentikan motosikal mereka di tepi jalan. Dia memilih jarak yang selamat, yang dirasakannya tidak akan dilihat oleh para pengawal.
Mo menyiku Zidan. “Jadi… macam mana kita nak masuk? Jangan cakap kau ada rancangan.”
Zidan membetulkan cermin matanya yang senget, merenung gerbang yang tertutup rapat. “Lupakan. Dengan sekuriti macam tu, kita tak akan mampu untukmasuk.”
Mo berkerut. “Habis tu?”
Zidan mengangkat bahu. “Mudah. Kita tunggu. Mereka pasti akan keluar juga nanti.”
Mo mengeluh. “Habis tu semua ni sia-sia saja.”
Zidan tersenyum sinis. “Mana ada sia-sia. Kita dah tahu mana Mr. Bilionair bercadang untuk tinggal selepas ini.”