Cover Novel Melayu

Dua bayang yang sedang mengekori Ethan itu bernama Mo dan Zidan.

Dalam dunia underground Bandar Novan, nama mereka mempunyai sedikit berat—tetapi tidak cukup untuk menekan timbangan kuasa yang sebenar. Suatu ketika dahulu, mereka adalah jerung besar di dalam kolam kecil, mengetuai geng jalanan dan menguruskan lorong belakang yang polis sendiri malas untuk masuk campur.

Tetapi hari-hari kegemilangan itu sudah mati dan terkubur. Sekarang, mereka hanyalah Pawn—pangkat terendah dalam organisasi gergasi yang dikenali sebagai Shadow.

Shadow bukan sekadar kumpulan samseng biasa; ia adalah sebuah papan catur gergasi.

Di puncak takhta duduk Lena Volkov, sang Ratu atau The Queen. Pawn seperti Mo dan Zidan hanya wujud untuk melakukan kerja kotor. Mereka adalah otot, mata, dan aset yang boleh dilupuskan pada bila-bila masa. Mereka memang lebih kuat daripada lelaki biasa di jalanan—sesiapa pun tidak akan diterima masuk ke dalam Shadow jika mereka lemah—tetapi dalam gambaran yang lebih besar, mereka hanyalah debu.

Dan sekarang, mereka adalah debu di atas lapisan ais yang sangat nipis.

Beberapa hari lalu, mereka cuba memandai-mandai menjalankan operasi sendiri. Mereka merancang rompakan di kedai emas—kedai sama yang Jordan ceritakan kepada Ethan. Mereka malah berjaya memujuk seorang Knight—ahli Shadow dengan kekuatan luar biasa—untuk turut serta, menjanjikan hasil lumayan yang kononnya boleh mengubah nasib.

Ia berakhir dengan bencana total.

Kekuatan Knight itu memang menakutkan; dia merobek dinding kebal seperti mengoyak kadbod basah. Tetapi hasilnya? Menyedihkan. Segenggam cincin murah, rantai perak sadur, dan jam tangan gred rendah. Cukup-cukup makan untuk duit minyak lori, apatah lagi hendak mengagumkan barisan tertinggi Shadow.

Apabila Lena mendapat tahu tentang kegagalan itu, reaksinya bukanlah jeritan atau amukan yang bingit. Sebaliknya, dia kekal tenang. Tetapi sebenarnya, ketenangan itu jauh lebih menakutkan daripada sebarang tempikan.

“Ini yang kau panggil operasi?” tanyanya. Suaranya perlahan, tetapi cukup berat untuk membuatkan degup jantung sesiapa yang mendengarnya terhenti seketika. “Kau… dan kau. Dah bazirkan masa seorang Knight untuk sampah macam ni?”

Mo dan Zidan tidak berani mengangkat muka dari lantai.

“Kita tak rompak kedai runcit,” sambungnya, nadanya dingin memotong ke dalam jiwa. “Kita gerakkan duit. Kita gerakkan maklumat. Kita mengawal. Aku bukan jaga geng jalanan.”

Dia melepaskan mereka, tetapi nyawa mereka kini ibarat telur di hujung tanduk. Itu adalah amaran terakhir. Satu lagi kesilapan, dan mereka akan dibuang terus dari papan catur organisasi—dilupuskan tanpa jejak.

Kemudian, roda nasib berputar.

Pagi semalam, sewaktu mereka sedang mencari mangsa di lobi bank, menunggu pemberi maklumat mereka memberikan isyarat sasaran ragut yang mudah. Ia rutin yang membosankan—cari mangsa yang baru keluar membawa wang tunai, ekori ke lorong sunyi, dan ragut.

Tetapi kemudian mata mereka menangkap kelibat dia.

Seorang pemuda yang kelihatan terlalu biasa melangkah ke kaunter. Tiada apa-apa yang menonjol pada dirinya—tiada sut mewah, tiada pengawal peribadi, tiada aura VIP. Cuma seorang pelajar universiti dengan kemeja yang sudah lusuh.

Namun, seorang pegawai bank yang cuai telah melakukan kesilapan. Dia terlepas cakap. Satu bisikan yang tidak sepatutnya didengar oleh sesiapa.

Satu bilion dolar di dalam akaun pelajar tersebut.

Bukan dalam bentuk aset hartanah. Bukan dalam bentuk saham. Tetapi wang tunai yang duduk diam dalam akaun simpanan. Sesuatu yang mereka boleh terus dapatkan segera.

Apabila berita itu sampai ke telinga Lena, dia tidak melatah. Wang semata-mata tidak pernah mengagumkannya—dia sudah biasa menguruskan transaksi berbilion dolar. Tetapi kes ini berbeza.

Dia bermula dari kosong di wilayah ini. Dia perlukan sumber. Setiap wang, setiap kenalan, dan setiap inci pengaruh adalah peluru penting untuk perang dingin yang sedang dihadapinya. Dan apa yang menarik perhatiannya bukan sekadar kekayaan itu, tetapi anomali di sebaliknya.

Seorang pemuda entah siapa-siapa. Tiada nama keluarga yang gah. Tiada sejarah jenayah. Tiada reputasi. Tetapi dia melangkah masuk ke dalam wilayah Lena dengan harta tunai yang cukup untuk membeli sebuah wilayah kecil.

“Ikut dia,” arahnya ringkas. “Siasat kalau benda ni betul.”

Dia berhenti sejenak, suaranya dingin sejuk. “Dan kalau betul… aku nak tahu siapa dia sebenarnya. Dan kenapa dia ada di wilayah ini.”

Jadi sekarang, di tengah-tengah kesesakan jalan raya Bandar Novan, Mo dan Zidan melakukan betul-betul seperti yang disuruh. Mereka menyelinap dalam arus manusia, mata tidak pernah lepas dari belakang kepala Ethan Cole.

Zidan mengunyah gula-gula getah dengan ritma agresif, matanya terkunci pada sasaran. Mo menarik hoodie menutupi separuh wajah, tangannya di dalam poket jaket, menggenggam hulu pisau lipat.

“Kau pasti ke ni dia?” gumam Mo, tersenyum sinis. “Dia tak nampak kaya pun. Dia nampak macam budak yang tengah sesat.”

Zidan tidak menoleh. “Kau dengar apa orang bank tu cakap. Satu bilion. Tak kisah rupa dia macam mana, macam pengemis pun tak apa. Tak ada siapa tiba-tiba dapat duit banyak tu tanpa sebab.”

“Bilion tu besar sangat, weh,” hujah Mo, masih ragu-ragu. “Rasa macam kesilapan bank. Komputer glitch selalu jadi, kan?”

“Sebab tu kita perhati,” desis Zidan. “Kita ikut. Kita tengok siapa dia jumpa. Ke mana dia pergi. Lepas tu, bila kita dah cukup maklumat… kita lapor. Atau kita bertindak.”

Mo tersengih, menampakkan gigi kuningnya. “Yalah. Mungkin Pawn macam kita pun boleh buat langkah besar kalau memang betul-betul rezeki kita kali ni.”

Mata Zidan mengecil, tajam memandang belakang Ethan. “Tepat sekali. Kalau kita berjaya, kita takkan jadi Pawn lagi.”

Di hadapan mereka, Ethan berhenti. Dia berdiri kaku di hadapan bangunan kaca yang menjulang tinggi, Skyline Estates. Ia adalah monumen kekayaan, pintu kacanya memantulkan cahaya matahari petang dengan megahnya.

“Dia masuk dalam,” kata Mo, terkejut. “Macam mana? Kita ikut?”

Zidan memegang lengannya, menahan. “Tak. Tempat tu banyak kamera. Kita tunggu dan pantau dari sini.”

Di dalam lobi Skyline Estates, udara terasa sejuk dan berbau mahal—mungkin haruman bunga lili segar, atau mungkin bau kontrak pembelian rumah baru.

Deretan kerusi kulit empuk tersusun di satu dinding, sebahagian besarnya sudah diduduki oleh klien-klien elit. Ada seorang lelaki bersut tempahan khas sedang membelek jam tangan Rolex di pergelangan tangannya dengan wajah bosan. Tidak jauh darinya, seorang wanita sedang memeluk beg tangan jenama mewah yang harganya mungkin lebih mahal daripada keseluruhan nilai bangunan apartmen Ethan.

“Mereka betul-betul nampak kaya,” gumam Ethan perlahan, cuba menyembunyikan rasa kekoknya.

Kasut loafer baharunya berbunyi halus di atas lantai marmar yang digilap seperti cermin semasa dia melangkah masuk. Dia membetulkan tali beg di bahunya dengan cermat.

Okey… Kena jaga tanggapan pertama.

Beberapa kepala mendongak sejenak apabila dia melangkah masuk, mengimbas dan menilai dirinya dalam satu saat. Sama pantas, mereka memalingkan muka. Bahasa tubuh mereka jelas menjerit bahawa Ethan tidak penting. Tiada potensi untuk menjadi klien mereka. Serentak, mereka mengabaikan kewujudan Ethan begitu sahaja.

Di belakang kaunter marmar hitam, seorang staf dengan uniform hitam kemas mengangkat muka. Senyumannya sempurna untuk sesaat—satu refleks terlatih—kemudian pudar sebaik sahaja matanya menilai pakaian Ethan. Wajahnya kembali kelihatan bosan dan tidak berminat.

Namun, Ethan peduli akan semua itu dan tidak membuang masa untuk menyapa.

Ethan berhenti di kaunter juga, memberikan senyuman sopan. “Maaf. Saya nak tengok senarai hartanah.”

Wanita itu kelihatan teragak-agak. Dia nampak seperti sedang cuba memutuskan sama ada Ethan budak penghantar makanan yang tersalah pintu atau pelancong sesat yang ingin menumpang tandas.

“Encik ada buat temu janji?”

“Tak ada,” jawab Ethan tenang. “Tapi saya berminat nak membeli.”

Mata wanita itu menjeling jam tangannya sekilas. Kemudian kasut Ethan. Baru, ya, tapi adakah dia ada aura pembeli?

Dia memberikan senyuman ketat yang sopan. “Tentu, encik. Sila duduk dulu. Seseorang akan melayan encik sebentar lagi.”

Tetapi tangannya tidak mencapai telefon untuk memanggil mana-mana ejen. Dia kembali menghadap skrin komputernya sebelum Ethan sempat berpusing, jarinya menaip sesuatu yang tidak penting.

Ethan berjalan ke arah kerusi menunggu dan melabuhkan punggung.

Di hadapannya, seorang lelaki tua dengan sut biru gelap sedang bercakap perlahan dengan seorang ejen, jam emasnya bersinar setiap kali dia menggerakkan tangan. Di sebelahnya, seorang wanita menatal telefon, cermin mata hitam diletakkan di atas meja bersebelahan anting-anting berlian yang menangkap cahaya lampu candelier.

Ethan perasan sesuatu lagi. Ejen-ejen yang bergerak lancar di dalam bilik itu memintasnya sepenuhnya. Seolah-olah ada garisan halimunan dilukis mengelilingi kerusinya. Zon halimunan.

Di seberang bilik, ada satu lagi ruang duduk—lebih privasi, dengan kerusi baldu dan cawan kopi diletakkan di atas meja berkilat. Itu tempat klien “sebenar” duduk dan dilayan.

Minit berlalu. Lima. Sepuluh. Lima belas.

Tiada siapa datang.

Ethan membetulkan duduknya. Dia mengambil brosur berkilat dari meja sisi—Kehidupan Mewah di Skyline Estates. Setiap halaman dipenuhi gambar vila luas dan penthouse tinggi, tempat yang nampak lebih macam mimpi daripada rumah kediaman.

Dia menangkap pantulannya di meja kaca. Nampak okey, pasti. Tapi tak meyakinkan.

Aku faham sekarang, fikirnya. Di sini, penampilan adalah mata wang. Dan aku… tak nampak macam ada banyak wang.

Ethan bersandar, membiarkan matanya melilau ke seluruh bilik. Cara orang duduk. Cara mereka bercakap. Ia bukan sekadar tentang apa yang mereka miliki; ia tentang bagaimana mereka membawanya. Tenang. Tidak tergesa-gesa. Yakin bahawa dunia akan tunduk kepada mereka secara automatik.

Kalau tiada siapa mahu melayannya lagi, tidak mengapa. Dia tidak akan marah. Dia akan gunakan masa ini. Ini peluang untuk belajar. Untuk kaji bagaimana orang kaya bergerak, bertindak dan bereaksi. Bagaimana untuk kelihatan benar-benar kaya bukan hanya pada pakaian semata-mata.

Dia membetulkan postur. Bahu ke belakang. Ekspresi wajah neutral.

Barulah Ethan faham sesuatu.

Wang yang banyak belum mampu menjamin apa-apa jika tiada siapa yang sudi untuk melakukan transaksi dengannya. Sebagai contoh, seperti sekarang. Jika tiada siapa yang menjual rumah kepadanya, bagaimana dia ingin membeli? Dia tidak tahu prosedur. Dia hanya mempunyai wang yang terlampau banyak. Yang tidak akan habis. Tapi dia masih perlukan orang lain di sekelilingnya.

Dia terlalu fokus memerhati, menyerap setiap perincian tingkah laku mereka, sehingga tidak sedar seseorang menghampiri sehinggalah satu suara lembut memecahkan lamunannya.

“Encik, ada buat appointment dengan sesiapa?”

Ethan mendongak.

Seorang wanita muda berdiri di hadapannya, tablet tergenggam kemas di tangan. Senyumannya stabil dan hangat, jauh berbeza dengan kepalsuan plastik yang dipamerkan oleh wanita di kaunter tadi. Rambut perangnya diikat kemas ke belakang, membiarkan beberapa helai terlepas membingkai wajah yang lembut. Dia mengenakan blaus krim dan skirt pensel—profesional, tetapi ringkas dan tidak berlebihan.

Tanda nama pada dadanya tertulis: Jessica Moore.

“Belum lagi,” jawab Ethan, membalas dengan senyuman kecil.

Jessica mengangguk, sedikit rasa bersalah terpancar di matanya. “Maafkan saya sebab encik terpaksa menunggu. Encik…?”

“Cole,” kata Ethan, bangun dan menghulurkan tangan. “Ethan Cole.”

Jessica menyambut salam itu. Dia memasukkan nama itu pantas ke dalam tablet, kemudian memandang semula. “Terima kasih, Encik Cole. Hari ni agak sibuk, semua ejen senior ada klien. Tapi saya akan pastikan encik menerima layanan terbaik.”

“Tak apa,” kata Ethan, mula berasa relaks. “Saya cuma… memerhati.”

Senyuman nipis terukir di bibir wanita itu. “Itu bukan apa yang kebanyakan orang buat kat sini. Selalunya mereka sibuk tengok telefon.”

Nadanya tidak dipaksa. Dia kedengaran tenang, selesa dengan peranannya, walaupun jelas daripada bicara dan usianya, dia bukan perunding paling senior di situ.

Dia menunjuk ke arah sudut yang lebih senyap dengan meja kopi kaca dan dua kerusi kulit yang selesa. “Apa kata kita berbincang kat sana? Lebih tenang.”

Ethan mengikut langkahnya yang stabil.

“Nak minum apa-apa?” tanya Jessica sebaik sahaja mereka duduk. “Kopi? Teh? Air mineral?”

“Kopi okey,” kata Ethan.

Jessica memberi isyarat kepada staf yang lalu-lalang sebelum meletakkan tabletnya di atas meja. Dia memandang Ethan—betul-betul memandang—tanpa penghakiman yang dirasainya di pintu masuk tadi.

“Baiklah, Encik Cole. Beritahu saya apa yang encik cari.”

Ethan menyandar ke hadapan. Dia tidak berdolak-dalih.

“Sesuatu yang privasi. Selamat. Cukup luas untuk keluarga lima orang.”

Dia menatap mata wanita itu dengan pandangan tajam.

“Dan… yang terbaik yang awak ada.”

Kening Jessica terangkat sedikit, terkejut dengan permintaan langsung itu, tetapi dia menyusun semula ekspresinya kepada profesional dengan pantas.

“Yang terbaik,” ulangnya perlahan, seolah-olah menguji berat perkataan itu.

Dia mengangguk sekali dan mula menatal senarai hartanah di tabletnya. Ethan perasan ekspresinya kekal neutral dan fokus. Dia tidak menyoal bajet. Dia tidak minta tengok penyata bank dahulu. Dia cuma buat kerja dia.

Dan itu sahaja sudah bermakna lebih daripada yang Ethan sangka.

Cover Novel Melayu