Cover Novel Melayu

Ethan menyandar ke hadapan, telefon pintar sudah bersedia di tangan. Matanya terkunci rapat pada wajah David, mencari sebarang tanda keraguan atau ketamakan.

“Jadi, macam mana dengan pembahagian saham? Saya boleh buat pemindahan sekarang. Berapa peratus yang encik mahu?”

Dia sudah bersedia secara mental untuk tawar-menawar. Dua puluh peratus? Tiga puluh? Dia tidak akan terkejut jika angka itu lebih tinggi.

David mengangkat tangan perlahan, bibirnya mengukir senyuman tenang. “Saya tak nak banyak. Dua peratus saja.”

Ethan berkelip. Sekali. Dua kali. Dia menyangka telinganya tersalah dengar.

“Dua peratus?”

David ketawa kecil, bunyi yang ikhlas dan bersahaja. “Tapi, saya perlukan gaji bulanan. Saya masih ada keluarga untuk disara. Tapi saya tak buat benda ni untuk untung semata-mata, Ethan. Saya buat ni sebab saya nak tengok apa yang kita boleh bina bersama.”

Ethan merenungnya lama. Dalam dunia korporat di mana semua orang berebut potongan kek paling besar, David Turner cuma meminta serpihan kecil dan peluang untuk bekerja keras.

“Kamu akan jadi Pengerusi,” sambung David, nada suaranya bertukar stabil dan serius. “Saya akan jadi Pengarah. Tapi jangan selesa sangat. Dalam dunia syarikat pemula, pangkat tak bermakna kamu boleh goyang kaki di kerusi empuk. Semua orang kena buat kerja berat. Termasuk kamu.”

Ethan ketawa, rasa hormatnya terhadap lelaki itu semakin menebal. “Saya setuju dan faham.”

Dia menekan skrin telefon. Jari-jemarinya bergerak pantas memasukkan data. Menambah David sebagai pemegang saham rasmi. Tandatangan digital dilakar. Skrin pengesahan biometrik menyala hijau.

 

Beberapa minit kemudian, peti masuk emel berbunyi dengan dokumen yang dikemas kini. David Turner kini rasmi berada dalam kapal.

Tetapi bukan bunyi itu yang Ethan pedulikan.

Satu bunyi yang lebih kuat dan jelas bergema dalam mindanya. Ding.

 

Kemudian, bunyi yang lebih ceria dan dramatik menyusul. Seperti bunyi kemenangan dalam permainan video.

Haba membanjiri tubuhnya. Kali ini sensasinya tidak sehalus rasa segar selepas senaman pagi tadi. Rasanya kasar dan mengejutkan, seolah-olah seseorang baru sahaja menyambung wayar bervoltan tinggi terus ke urat sarafnya.

Tubuhnya terasa sangat berbeza. Segala sisa keletihan akibat larian pagi tadi tersejat, digantikan dengan tenaga baru yang padat.

Dia menghembus nafas perlahan, membiarkan kuasa baharu itu meresap jauh ke dalam tulang-temulang.

“Kamu okey?” tanya David, keningnya terangkat melihat Ethan yang tiba-tiba terdiam kaku.

Ethan mengangguk cepat, cuba mencari alasan. “Okey. Cuma… sedang berfikir.”

Dia meletakkan telefon di atas meja. “Sekarang, tinggal akaun perniagaan saja.”

“Saya boleh uruskan,” kata David dengan nada yakin. “Lagipun dah lama saya tak jumpa Charles Weston. Boleh berbual panjang.”

Rasa ingin tahu Ethan membuak. “Encik kenal Encik Weston?”

David ketawa kecil. “Bukanlah kawan rapat sangat. Tapi Charles suka menyumbang kepada masyarakat. Jalan kami selalu bersilang di majlis-majlis amal.”

Ethan menyandarkan badan ke kerusi.

Patutlah mereka berdua dipilih sistem, fikir Ethan. Sekarang aku rasa seram.

Dia mula rasakan seperti Sistem Infiniti sedang menyusung setiap langkahnya. Dia tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan ini. Ada menariknya, tidak kurang juga ketakutan yang dibawa bersama-sama.

“Boleh juga macam tu,” kata Ethan. “Saya boleh uruskan hal lain.”

Dia mencapai semula telefon pintarnya. “Jadi… apa langkah seterusnya?”

Namun, sebelum David sempat membuka mulut untuk menjawab, bunyi loceng digital yang dikenali bergema kuat di dalam kepalanya.

Tiga hari.

Ethan merenung panel bercahaya itu. Sistem ini tidak memberinya ruang untuk bernafas. Ia menuntut kelajuan yang luar biasa.

Baiklah, bisik hatinya, rahang diketap kuat. Masa untuk buktikan aku memang layak untuk semua ini.

David sedang mengetuk jari di permukaan meja, fikirannya jelas sudah tenggelam dalam perancangan logistik syarikat.

Ethan menyandar ke hadapan. “Saya nak mula buat prototaip dulu.”

David mendongak, terkejut. “Sekarang? Seorang diri? Kamu boleh buat ke? Selalunya orang perlukan satu pasukan jurutera untuk bangunkan MVP (Minimum Viable Product).”

Ethan tersenyum. Senyumannya kali ini penuh keyakinan.

“Encik lupa ke siapa rakan kongsi encik? Saya boleh uruskan prototaip tu. Nanti, ya—kita akan perlukan pasukan. Tapi buat masa ni, serahkan pada saya.”

David merenungnya lama. Dia seolah-olah nampak sinar baharu di mata Ethan.

Perlahan-lahan, David mengangguk. “Baiklah. Saya selesaikan hal bank. Lepas tu saya akan mula draf senarai jawatan yang diperlukan.”

Dia berhenti sejenak, menggaru belakang lehernya. “Tapi… saya belum ada nombor telefon kamu.”

Ethan ketawa kecil. Dia mengeluarkan telefon dan mendail nombor David. Telefon pintar di atas meja bergetar pendek.

“Encik kena simpan nombor tu baik-baik,” kata Ethan. “Sebab lepas ni saya akan banyak kacau encik.”

David ketawa, menggelengkan kepala. “Saya sedia.”

Mereka bangun dan berjabat tangan. Genggaman yang kemas.Mereka bangun dan berjabat tangan. Genggaman yang kemas.

David melangkah keluar dari kafe dengan langkah seorang lelaki yang baru sahaja menemui semangat baharu dalam hidupnya.

Ethan duduk semula. Kopinya sudah sejuk. Suasana kafe itu riuh rendah di sekelilingnya, tetapi mindanya sudah tenggelam sepenuhnya dalam lautan kod programming.

Prototaip dulu.

Dia menarik nafas perlahan, merenung jalan yang sibuk di luar tingkap kaca. Masa depan bergerak lebih pantas daripada yang dia sangka.

Dan dia sudah bersedia untuk memintasnya.

***

Gullit berdiri di luar pintu gerbang dojo, memeluk tubuh. Kehadirannya kukuh seperti tembok kubu yang tidak dapat ditembus.

Angin petang membawa deruman halus air sungai yang mengalir, memecah kesunyian. Matanya tidak memandang air itu. Dia mengimbas laluan di hadapan, setiap derianya peka, menunggu sebarang gangguan dalam ketenangan itu.

Dari kejauhan, Manis muncul.

Dia memeluk tabletnya rapat ke dada seperti perisai. Tiada larian kelam-kabut kali ini. Tiada tersandung kaki sendiri. Dia berjalan cermat, langkahnya teratur, wajahnya fokus.

Gullit perasan perubahan itu serta-merta.

“Ada apa?” tanyanya, suaranya rendah tetapi cukup berat untuk menghentikan angin.

Manis menelan liur, menenangkan diri di hadapannya. “Tuan minta saya pantau setiap pergerakan Ethan Cole. Saya ada berita.”

Gullit memberi isyarat dengan satu anggukan tajam. “Teruskan.”

“Ethan Cole dah daftarkan syarikat,” katanya, membaca dari skrin. “Namanya Nova Tech. Dan… dia mendaftarkan David Turner sebagai pemegang sahammegang saham.”

Dahi Gullit berkerut, satu retakan halus pada wajah batunya. “Syarikat jenis apa?”

“Fail semasa menunjukkan teknologi,” kata Manis, menjeling data. “Sistem, aplikasi, pembangunan perisian. Bidang macam tu.”

“Dan David Turner?” tekan Gullit.

“Dermawan terkenal di Arland,” jawab Manis pantas, jarinya menari di atas skrin. “Dia dikenali dengan projek membantu daerah bawahan dan membaiki komuniti. Reputasinya bersih.”

Gullit mengangguk perlahan, membiarkan maklumat itu mendap seperti debu.

Teknologi. Kebajikan. Gabungan yang pelik untuk seseorang yang baru muncul entah dari mana.

Selepas jeda seketika, dia bertanya, “Ethan di mana sekarang? Saya terlupa.”

“Di Bandar Novan, wilayah Arkansa,” jawab Manis segera.

Renungan Gullit beralih ke kaki langit. Fikirannya menjadi gelap.

“Bandar Novan…” gumamnya. “Keluarga LaRue kuasai kebanyakan wilayah tu, kan?”

Manis mengangguk, teragak-agak. “Ya, tuan. Mereka pegang majoriti industri.”

Satu keluhan berat terlepas dari dada Gullit.

“Nasib malang betul.”

Dahi Manis berkerut. “Kenapa tuan cakap macam tu?”

Gullit memandangnya, matanya dingin.

“Keluarga LaRue beroperasi dalam industri yang sama. Teknologi. Sistem. Perisian. Dan mereka adalah salah satu keluarga paling busuk yang saya kenal.”

Matanya mengecil, membayangkan peta kuasa dalam mindanya.

“Cepat atau lambat,” katanya, “jalan mereka akan bersilang.”

Cengkaman Manis pada tablet mengetat sehingga buku limanya memutih. “Apa maksud tuan?”

Gullit menggeleng. Dia tidak akan menerangkan kekejaman keluarga LaRue kepada seorang budak.

“Tak ada apa-apa. Teruskan pantau pergerakan dia.”

“Baik, tuan,” kata Manis perlahan.

Gullit berpusing kembali menghadap gerbang dojo, posturnya kaku seperti tadi. Tetapi mindanya sudah melayang jauh, menimbang ribut yang sedang berkumpul di Bandar Novan.

***

Ethan melangkah keluar dari kafe itu, menyambut bahang matahari petang yang menyilaukan pandangan.

Bandar itu sedang bernafas. Pencakar langit yang diperbuat daripada kaca memantulkan cahaya tajam dari langit. Udara di sekelilingnya berdengung dengan bunyi trafik yang tidak putus-putus dan perbualan ratusan manusia yang bertindih.

Jam baru sahaja melepasi pukul 2:00 petang, tetapi dunia terasa sangat berbeza berbanding pukul 9:00 pagi tadi.

Dia berhenti di anak tangga, membiarkan haba panas itu meresap ke dalam kulitnya. Satu senyuman perlahan-lahan merekah di wajahnya.

Syarikat, fikirnya. Syarikat aku sendiri.

Rasanya seperti mimpi, tetapi sijil digital yang tersimpan kemas dalam peti masuk emelnya berkata sebaliknya. Nova Tech sudah rasmi wujud.

“Bagus…” gumam Ethan.

Dia menyeru Panel Status.

Dia meneliti nombor-nombor itu. Setiap kenaikan tahap memberikan tambahan +1 untuk semua atribut secara automatik, dan 5 Mata Atribut Bebas.

Rasanya menyeronokkan. Seperti naik taraf dalam permainan video, melihat bar kemajuan penuh. Tetapi apabila keterujaan awal itu reda, satu fikiran yang lebih dingin dan rasional menyusul.

Aku tak boleh bergantung pada sistem untuk segalanya.

Bagaimana jika Sistem ini hilang? Bagaimana jika esok pagi dia bangun dan kotak biru itu sudah tiada? Dia akan kembali ke petak permulaan—lemah, miskin, dan tidak berdaya.

Tidak.

Dia perlu berlatih secara fizikal. Menolak had kemampuan badan. Menjaga pemakanan. Tidur yang cukup. Menjadikan ia satu disiplin hidup, bukan sekadar silap mata digital.

Dia mampu membeli makanan terbaik sekarang. Peralatan terbaik. Dia boleh mengupah jurulatih bertaraf Olimpik jika dia mahu. Tetapi itu bukan tujuannya. Dia mahukan buktikan kepada dirinya sendiri bahawa dia boleh bergerak maju melalui usaha keras, bukan sekadar ganjaran daripada misi.

Aku kena buat jadual latihan yang betul, putusnya. Tengok sejauh mana aku boleh pergi dalam sebulan dengan gabungan sistem dan peluh sebenar.

Buat pertama kali dalam tempoh bertahun-tahun, fikiran tentang latihan fizikal tidak terasa seperti beban yang menyeksakan. Ia terasa seperti satu cabaran. Api yang berbaloi untuk dikejar.

Dia memasukkan telefon kembali ke dalam poket, mindanya sudah melakar rutin, pelan pemakanan, dan matlamat jangka masa pendek.

Tetapi semasa Ethan melangkah pergi, hanyut dalam rancangan membaiki diri, dia terlepas pandang satu perkara yang sistem tidak memberikan amaran.

Dua susuk tubuh sedang mengekorinya dalam lautan manusia.

Mereka menjaga jarak selamat. Langkah mereka teratur, wajah mereka tenggelam sempurna dalam arus manusia di jalanan. Tetapi mata mereka tidak pernah lepas daripadanya.

Ethan Cole sedang membina empayar. Tetapi sudah ada yang merancang untuk meruntuhkannya.

Cover Novel Melayu