Ethan terasa seperti tubuhnya baru sahaja menghentam dinding konkrit. Impaknya keras dan padu. Dia terdorong ke belakang lalu jatuh terduduk di atas laluan pejalan kaki yang kasar. Tulang punggungnya terasa sengal, dan matanya berpinar seketika.
Lelaki misteri itu pula? Dia tidak berganjak walau seinci. Dia berdiri tegak di hadapan Ethan, memandang ke bawah, ke arah Ethan.
“Aduh,” Ethan mengeluh kesakitan sambil mendongak. “Maaf. Saya tak—”
Ayatnya mati di kerongkong.
Seluruh penampilan lelaki itu seakan-akan menyerap cahaya. Kot labuh hitam, sarung tangan kulit hitam, kasut hitam berkilat. Tidak cukup dengan itu, dia memakai topi tinggi hitam dan cermin mata gelap. Wajahnya pula disembunyikan di sebalik pelitup muka.
Walaupun mata lelaki itu terlindung, Ethan dapat merasakan renungan tajam yang menembusi cermin gelap itu.
Ethan berkelip beberapa kali, tergamam dengan fesyen yang tidak masuk akal di tengah musim panas ini.
“Maafkan saya. Saya betul-betul tak nampak tadi,” ulangnya, cuba untuk bangkit walaupun kakinya terasa lemah.
Ketika itulah lelaki serba hitam tersebut menghulurkan tangan kanannya.
Ethan menyangka lelaki itu ingin membantunya bangun, namun dia silap. Bukan tangan bantuan yang dihulurkan, tetapi sekeping kad.
“Apa ni?” tanya Ethan, keliru.
Lelaki itu membisu. Dia hanya menggerak-gerakkan kad tersebut di hujung jari. Isyaratnya jelas dan dominan: Ambil, dan jangan banyak tanya.
Ethan, didorong oleh satu naluri yang dia sendiri tidak faham, mencapai kad tersebut. Teksturnya licin dan sejuk. Dia perlahan-lahan berdiri, membelek kad hitam itu. Matanya tertumpu pada satu perkataan ringkas di bahagian belakang atau mungkin itulah bahagian hadapan yang sebenarnya.
MAHARAJA
“Maharaja?” Perkataan itu meluncur keluar dari mulut Ethan. “Apa maksud—”
Sekali lagi, soalannya tergantung.
Lelaki serba hitam itu sudah tiada. Lesap begitu sahaja tanpa sebarang bunyi tapak kaki.
Ethan pantas menoleh ke kiri, kanan, dan belakang. Jantungnya mula berdegup kencang. Lelaki tadi betul-betul sudah ghaib. Tetapi, ketika itu jugalah Ethan menyedari sesuatu yang jauh lebih menakutkan.
Bukan lelaki itu sahaja yang hilang.
Jalan raya kosong. Tiada kereta, tiada bas, tiada motosikal. Lautan manusia yang tadi membanjiri kaki lima juga tiada. Semuanya kini sunyi sepi. Bangunan-bangunan tinggi berdiri kaku seperti batu nisan gergasi.
“Apa yang berlaku?”
Suaranya bergema dalam kesunyian yang mutlak itu.
Pandangannya kembali pada kad hitam di tangan. Terdetik di hatinya untuk membuang sahaja kad pelik itu, tetapi dia memandang sekeliling—tiada tong sampah. Akhirnya, dengan tangan yang sedikit menggigil, dia menyimpan kad itu ke dalam poket seluar.
Dia segera mengatur langkah. Kali ini lebih laju, didorong oleh rasa takut yang mula menjalar.
“Pelik betul,” gumamnya sendirian, cuba memecahkan kesunyian. “Tadi dia ada. Macam mana boleh tiba-tiba hilang? Orang lain pun sama…”
Bulu romanya meremang tegak.
Namun, selang beberapa langkah kemudian, realiti kembali menghentamnya.
Bunyi bising meletus secara tiba-tiba.
Hon kereta memekakkan telinga. Suara orang ramai berbual, ketawa, dan menjerit kembali memenuhi ruang udara. Orang ramai muncul semula di sekelilingnya, berjalan seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Dunia kembali normal, meninggalkan Ethan terkebil-kebil di tengah jalan.
Ethan masih berdiri di situ, cuba memproses segala apa yang berlaku sebentat tadi. Namun, proses fikirnya terganggun apabila satu suara yang amat dikenalinya memanggil dari arah belakang.
“Ethan! Tunggu!”
Sekalipun Ethan tidak menoleh, dia kenal benar siapa pemilik suara itu.
Jordan Walker.
Ethan berpaling perlahan. Di kejauhan, sahabat baiknya itu sedang berlari-lari anak ke arahnya.
Seperti biasa, Jordan sentiasa berjaya menarik perhatian orang di sekeliling. Jika bukan kerana tindakannya, kerana rupanya. Tubuhnya sasa dan tegap, persis atlet profesional atau petarung gelanggang. Jika bukan kerana wajahnya yang kacak dan mesra, orang ramai pasti akan menyangka dia adalah salah seorang ahli kumpulan samseng yang semakin berleluasa di Bandar Novan.
Rambut coklatnya kelihatan sedikit kusut hari ini, tetapi matanya bersinar, penuh bertenaga. Jordan memiliki satu aura yang unik—dia boleh masuk ke dalam mana-mana majlis yang penuh dengan orang asing dan keluar semula dengan beberapa orang kawan baru.
“Weh, aku cari kau merata tadi,” kata Jordan sebaik sahaja dia tiba di sisi Ethan. Nafasnya teratur, langsung tidak mengah walaupun baru selesai berlari.
“Merata?” Ethan mengangkat kening. “Aku rasa aku cuma ada di kedai buku.”
“Betul juga.” Jordan ketawa kecil, menepuk bahu Ethan. “Aku ke kedai buku tadi, sempat tanya Encik Parker. Dia kata kau dah balik. Awal betul kau gerak.”
Ethan tersenyum nipis. “Bukan awal. Tapi on time.”
Mereka berdua ketawa kecil. Jordan membetulkan tali beg galasnya yang kelihatan membuncit, lebih penuh daripada biasa. Dia memandang wajah Ethan sekilas.
“Kau okey tak ni?”
Ethan sekadar mengangguk. “Okey.”
“Kalau macam tu, aku tetap nak tanya. Apa rancangan kau hujung minggu nanti?”
“Rancangan?”
“Yalah. Kau kan tengah cuti semester sekarang. Takkan tak buat apa-apa? Lepak? Movie?”
Ethan terdiam sejenak.
Perkataan ‘cuti’ itu terdengar asing di telinganya. Bagi pelajar lain, cuti semester bermakna kebebasan. Bagi Ethan, sepanjang dua tahun pengajiannya, cuti semester bermakna masa untuk menambah pendapatan.
masa untuk menambah pendapatan.
“Aku belum ada rancangan apa-apa,” jawabnya jujur, namun nadanya rendah. “Cuma… aku mungkin kena kerja lebih masa. Nak guna duit sikit.”
Senyuman Jordan pudar sedikit. Dia tidak terus membalas. Dia faham benar apa yang tersirat di sebalik ayat ringkas itu. Dia tahu beban yang sedang dipikul di bahu sahabatnya itu. Sudah berkali-kali Jordan menawarkan bantuan kewangan—jumlah yang kecil bagi keluarga Walker, tetapi besar bagi keluarga Ethan—namun Ethan tidak pernah menerimanya.
Ego? Mungkin. Atau mungkin sekadar maruah diri. Ethan berkeras untuk berusaha sendiri.
“Kejap,” Ethan memotong kesunyian itu, cuba menukar topik. “Kau ada nampak lelaki pelik tak lalu sini tadi?”
“Pelik?” Jordan kembali tersengih. “Selain kau, tak perasan pula aku.”
“Ah, kau ni. Aku serius,” ujar Ethan sambil menggeleng. Nadanya bertukar serius. “Dia pakai serba-serbi hitam. Topi tinggi, cermin mata hitam, pelitup muka, siap dengan kot labuh tebal. Semuanya hitam.”
“Tak panas ke dia?”
“Entah. Aku tak sempat tanya. Masalahnya, tadi aku terlanggar dia. Dan tubuh dia… keras. Macam langgar dinding batu. Aku yang jatuh terduduk.”
“Lepas tu?”
“Bila aku bangun, aku sempat tengok dia sekali dan…” Ethan teragak-agak, mencari perkataan yang sesuai. “Dia terus hilang.”
Dahi Jordan berkerut. “Dia lari ke?”
“Itu yang aku tak tahu. Aku rasa dia lebih kepada… lesap. Ghaib dalam sekelip mata.”
Jordan memandang tepat ke dalam mata Ethan. Dia diam, cuba membaca sama ada sahabatnya sedang bergurau atau serius.
Ethan mengeluh panjang. “Aku tahu bunyinya gila. Tapi masa aku terlanggar dia tadi, bukan dia saja yang hilang. Semua benda… semuanya hilang sekejap.”
Jordan masih merenung Ethan. Beberapa saat kemudian, wajah seriusnya pecah.
“Ethan, aku tahu kenapa.”
“Apa?”
“Kau kena tidur. Kau penat sangat ni.” Jordan meledak dengan ketawa besar, menepuk-nepuk belakang Ethan. “Halusinasi sebab tak cukup tidur. Biasalah tu.”
Ethan tidak ikut ketawa, tetapi bibirnya mengukir senyuman nipis. Bila difikirkan semula secara rasional, mungkin ada benarnya kata-kata Jordan. Tekanan duit, kurang rehat, stres biasiswa—semuanya boleh jadi punca.
“Boleh jadi,” akui Ethan perlahan. “Mungkin aku memang kena rehat.”
Jordan menyeka sisa air mata ketawanya. “Dah, jom. Ni kau terus balik rumah ke?”
Ethan menggeleng. “Tak. Aku kena singgah Sammy’s dulu. Ibu minta aku belikan barang dapur.”
“Haa… Cantik. Aku ikut kau,” kata Jordan sambil memaut bahu Ethan. “Bolehlah aku beli jajan sikit.”