Gabriel berjalan santai di taman peribadinya, tangannya diletakkan di belakang badan. Gaya tubuh dan berjalan tidak ubah seperti seseorang yang sedang melawat kawasan. Namun, jika dilihat pada wajahnya, dia hanyalah seorang tua yang sedang menikmati kesegaran dan ketenangan.
Udara di sini berbau pokok pain, tanah lembap dan aroma bunga.
Di belakangnya, Gullit mengikut langkah demi langkah, senyap dan tidak berbunyi, persis bayang-bayang yang setia.
Sebuah sungai membelah kawasan taman itu, airnya berkilauan dipanah matahari petang. Bunyi arus yang lembut bercampur dengan kicauan burung, membalut taman itu dalam ketenangan yang terasa sukar untuk diperoleh di mana-mana. Seolah-olah tempat ini wujud dalam dimensinya sendiri, terpisah sepenuhnya daripada dunia moden yang bingit.
Lama mereka berjalan tanpa bicara. Gabriel memerhati riak air, wajahnya tiada emosi, seolah-olah dipahat daripada batu gunung.
“Ada khabar terbaru mengenai Ethan Cole?” tanyanya tanpa menoleh.
Gullit menundukkan sedikit kepalanya. “Ada, tuan. Manis yang membawa berita. Bank Novan sudah menghubungi kita berkenaan dana tersebut.”
Langkah Gabriel menjadi perlahan. Dia tidak bercakap. Dia cuma menunggu Gullit untuk menyambung bicara.
“Tapi, saya sudah uruskan semuanya,” sambung Gullit pantas. “Perkara itu sudah diselesaikan sebelum ia sempat menjadi masalah. Sama seperti apa yang tuan arahkan.”
Akhirnya, Gabriel berpaling.
Matanya memandang tepat ke arah pembantunya. Tiada ancaman, tiada amaran lisan. Berat renungannya sahaja sudah cukup untuk menuntut kesempurnaan mutlak.
“Bagus. Aku yakin dengan kemampuan kau, Gullit.”
Gullit menegakkan bahu, cuba menyembunyikan gentar. “Jangan risau, tuan. Tidak akan ada campur tangan. Baik daripada pihak bank atau sesiapa pun.”
Sungai itu meneruskan lagunya, tetapi pada saat itu, terasa seolah-olah seluruh taman sedang menahan nafas.
“Bagus,” kata Gabriel tenang. “Aku percaya tiada siapa berani menyoal Ethan Cole sekarang.”
Dia menyambung langkah, tetapi berhenti semula selepas beberapa tapak kerana menyedari reaksi dan aksi Gullit yang teragak-agak di belakang. Langkah pembantu itu menjadi perlahan, kemudian terhenti sepenuhnya.
Gabriel mengangkat kening, menoleh ke belakang. “Ada apa?”
Gullit merendahkan pandangan, ragu-ragu. Jarang sekali dia berani menyoal tuannya.
“Tuan…” katanya perlahan. “Siapa Ethan Cole sebenarnya?”
Kesunyian tergantung di antara mereka, berat dan menekan.
Kemudian, Gabriel ketawa kecil. Bunyinya lembut, tetapi ia membawa beban sejarah berabad lamanya.
“Kalau aku beritahu, kau takkan percaya,” kata Gabriel. “Tapi satu perkara yang kau kena tahu… aku sudah menunggunya terlalu lama.”
Kepala Gullit mendongak pantas, kejutan memecahkan topeng ketenangannya. “Jadi Tuan percaya… dia adalah orang yang Puan Besar Kwan sebutkan? Ramalan itu?”
Gabriel mendongakkan wajah ke langit, memerhati awan berarak malas di atas bumbung dojo.
“Ya,” katanya, suaranya bergetar dengan keyakinan mutlak. “Aku percaya dialah orangnya.”
Jeda yang panjang menyusul. Gullit memproses maklumat itu, implikasinya berputar ligat dalam minda.
“Kalau begitu, tuan… adakah tuan mahu berjumpa dengannya sendiri?”
Gabriel menggeleng perlahan. “Belum lagi. Masanya belum sesuai.” Matanya tiba-tiba menjadi gelap, seolah-olah bayang awan melintas di wajahnya. “Dua entiti yang lain tidak akan benarkan aku campur tangan.”
Gullit kaku. Dia merenung tuannya, tergamam.
“Dua… entiti lain?” tanya Gullit, nada tidak percaya mewarnai suaranya. “Ada makhluk yang boleh halang tuan?”
Senyuman Gabriel nipis, tajam, dan berbahaya.
“Ya,” bisiknya. “Dan mereka sudah pun memerhati… sudah pun mula menggerakkan buah catur mereka.”
***
Tempat Tidak Diketahui
Selasa, 19 Jun 2040
Botol itu bergoyang dalam genggamannya, cecair likat melanggar-langgar dinding botol kaca itu.
Silas Graves bersandar pada tiang kayu reput, merenung runtuhan hidupnya. Rumah ladang di belakangnya hanyalah tinggalan abu dan kesunyian. Asap sudah hilang beberapa hari lalu, tetapi memori kejadian itu melekat di udara seperti parut luka yang enggan sembuh.
Silas kelihatan seperti hantu yang menghantui kuburnya sendiri. Debu tebal sudah berkumpul pada but. Topi ditarik rendah menutupi wajah yang terlalu muda untuk garis-garis kedut yang terukir di situ. Rahangnya tajam, pipinya cengkung akibat hari-hari bertemankan wiski dan kelaparan. Matanya kelabu, kelam seperti awan ribut yang enggan pecah.
Dia meneguk air di dalam botol kaca itu. Rasa pedih meluncur turun ke kerongkong, tetapi ia gagal menyentuh rasa sakit yang berdarah di dadanya.
Pistol revolver tergantung berat di pinggangnya. Dia menggilapnya setiap malam kerana tabiat, bukan kerana harapan. Melawan manusia-manusia yang membunuh seluruh ahli keluarganya dengan senjata sebegini, ibarat melawan ribut dengan mancis api.
Dulu, Silas Graves adalah satu nama yang dijanjikan kegemilangan. Sekarang, dia hanyalah seorang koboi tanpa roh, dan dunia dirasakan seperti sedang bergembira untuk melupakannya.
“Keluarga Harlow…” Suaranya pecah, serak dan menyakitkan. “Jahanam mereka semua.”
Dia mengacukan pistol ke satu arah, sedia untuk melepaskan tembakan.
Namun, ketika itulah langit dan suasana malam berubah.
Angin mati mengejut. Cengkerik berhenti menyanyi separuh lagu. Bumi pula seolah-olah sedang menahan nafas.
Kemudian, kegelapan itu kelihatan seperti meretak. Satu retakan nipis bercahaya ungu muncul di udara malam, berdengung dengan rendah. Rekahan itu mula melebar, bahagian tepinya beralun seperti air pegun yang diganggu, sebelum retakan itu meregang menjadi bujur yang sedikit herot. Seketika kemudian, muncul sebuah portal, bercahaya ungu.
Kemudian, satu susuk tubuh melangkah keluar.
Dia berjalan dengan penuh ketenangan. Tubuhnya tinggi. Sesiapa yang melihatnya pasti yakin bahawa itu adalah susuk tubuh seorang lelaki yang tegap. Dia berpakaian serba putih dari hujung rambut ke hujung kaki. Kot labuh, sarung tangan yang menangkap cahaya ungu, topi tinggi yang kelakar jika dia bukan melangkah keluar dari sebuah portal sebegitu. Dia memakai pelitup muka putih menutup segala-galanya di bawah cermin mata berbingkai dan berkanta putih.
Dia adalah Mingi.
Silas berkelip, kabus mabuknya terbakar serta-merta. Tangannya meluncur pantas ke pistol. Besi sejuk itu satu-satunya senjata yang dia ada dan yakin mampu untuk menumbangkan sesiapa sahaja.
“Silas Graves,” Mingi bersuara. “Kau nak jadi lebih kuat?”
Silas kaku. Dia mengangkat pistol, mengacukan tepat ke dada lelaki serba putih itu.
“Siapa kau?” suara Silas serak. “Kau salah seorang daripada Keluarga Harlow?”
Mingi tidak berganjak. “Harlow? Mereka hanyalah lalat. Dan kau—meratap di sini selepas dikalahkan oleh lalat—kau jadikan diri kau lebih teruk daripada mereka.”
Kata-kata itu menyengat seperti duri. Kemarahan mula marak di dalam dada Silas.
Dia tidak bercakap banyak. Dia menderam dan menarik picu.
BANG! BANG! BANG!
Tiga das tembakan dilepaskan, membelah kesunyian malam. Percikan api meludah dari muncung pistol. Asap berkepul-kepul keluar.
Namun, Mingi tidak bergerak walau seinci sekalipun.
Silas yakin bahawa tembakannya akan menamatkan riwayat makhluk pelik yang datang mengganggunya itu.
Ketika itulah perkara yang sangat mustahil berlaku.
Peluru-peluru itu kekal pegun beberapa inci dari dada Mingi. Ketiga-tiganya tergantung dan terapung di situ, berputar perlahan, dan hanya mengeluarkan haba serta bergetar di udara yang pegun. Semuanya seperti masa sendiri tunduk kepada Mingi.
“A-apa…” kata Silas. Tubuhnya mula terhuyung-hayang ke belakang, pistolnya menggigil dalam genggaman sebelum dia jatuh terduduk di atas tanah.
Jika tadi dia separa mabuk. Namun, selepas melihat apa yang dilakukan oleh Mingi, dia sudah sedar sepenuhnya.
Peluru-peluru itu tergantung kaku sesaat lagi. Kemudian, dengan dengungan halus, kesemuanya hancur, bertukar menjadi debu yang kemudiannya ditiup oleh angin malam.
Mingi melangkah ke hadapan. Bunyi but putih miliknya bergema di atas tanah sunyi.
“Kau nak jadi lebih kuat?” tanyanya lagi. Soalan yang sama. Nada yang sama.
Tekak Silas terasa ketat dan kering. “M-ma-macam mana kau buat?”
Mingi mengabaikannya. “Kau nak jadi lebih kuat?”
Silas mencengkam pistolnya lebih erat sehingga buku limanya memutih. “Kalau aku terima… aku mampu untuk bunuh mereka? Semua bangsat Keluarga Harlow?”
Mingi mengangguk nipis.
Ada satu keretakan berlaku di dalam diri Silas. Dadanya berombak kencang. Api di matanya kini semakin marak. Fikirannya cuma ada dendam. Dia sudah tidak peduli bagaimana caranya. Asalkan dia berjaya melunaskan dendam ini.
“Baik. Aku sanggup buat apa saja,” kata Silas. Suaranya semakin serak. “Aku cuma nak bunuh mereka.”
Mingi mengangguk sebelum menyeluk ke dalam poket sisi kot putihnya. Saat tangannya muncul semula, dia mengeluarkan sekeping kad berwarna putih. Seputih tulang. Ada satu perkataan yang menyala di atas kad tersebut dalam dakwat berwarna hitam.
PEMBURU.
“Jual roh kau kepada aku,” arah Mingi. Suaranya tenang tetapi berbahaya. “Jadi Pemburu aku.”
“Jual roh?” Silas membuka mulut untuk menyumpah, meludah dan melawan. Tapi kata-kata itu mati di kerongkong. Apa lagi yang ada pada dirinya sekarang? Dia sudah kehilangan seluruh keluarganya. Dia sudah tiada hala tuju, tiada masa depan dan dia… tiada harapan.
Tiada apa-apa yang tinggal selain dendam dan kebencian. Sekalipun dia bersetuju untuk menjual roh, itupun dirasakan seperti sudah tiada nilainya lagi sekarang ini.
Dia menurunkan pistol.
“Aku dah tiada apa-apa. Kalau roh aku adalah harganya… ambillah.”
“Bagus.”
Mingi menggerakkan pergelangan tangannya untuk melempar. Kad itu membelah udara. Silas menyambarnya.
Sebaik sahaja jari-jemarinya menyentuh kad itu, haba mula merobek lengannya dengan sangat ganas. Dia menjerit, suara itu kedengaran sungguh mengerikan. Dia dapat rasakan ada satu kuasa yang sangat hebat sedang meluru masuk ke dalam tubuhnya secara paksa dari dalam.
Mingi yang pada mulanya beberapa meter jauh dari Silas, muncul tiba-tiba di hadapannya. Tangan bersarung tangan putih miliknya kini hanya beberapa inci di atas kepala Silas. Suaranya mula kedengaran, membaca satu mentera yang mengerikan.
“Bangkitlah, Wahai Matahari Hitam.
Dari bayang, terjaga.
Dari sunyi, memerintah.
Bakar roh, dan tandalah jasad yang terpilih.”
Mantera itu berubah menjadi satu kepulan aura yang terus menghentam Silas seperti sebuah tukul besi. Kali ini, tubuh Silas terasa seperti terbakar dari dalam. Sebuah simbol Matahari Hitam muncul seperti tatu pada bahagian dada kirinya.
Ia berdenyut sekali—perlahan dan berat—sebelum rekahan bayang seperti mengoyak keluar, berlumba di atas kulitnya.
Bau daging hangus memenuhi udara. Bayang hitam itu merebak. Dari dada naik ke leher, menutupi muka. Sebahagian lain pula turun ke lengan dan menutup seluruh bahagian kiri tubuhnya.
Lutut Silas lemah longlai. Dia tidak mampu untuk berdiri atau bergerak. Proses itu merobek dirinya, membentuknya semula, mematahkannya, dan membinanya kembali. Pistol terlepas dari genggamannya. Dia mencengkam dada dan menjerit penuh kesakitan.
Hampir tiga minit lamanya proses itu berlangsung.
Apabila dia akhirnya mengangkat kepala, matanya bersinar dengan cahaya hitam liar milik seorang pemangsa.
Mingi berdiri tegak di hadapannya. “Kau akan bayar dengan roh kau—secebis demi secebis—setiap kali kau seru kuasa itu.”
Mingi diam sebentar sebelum menyambung, “Tapi ada cara untuk kau jadikan kuasa itu milik kau tanpa memakan roh.”
Silas tercungap-cungap mencari nafas. “Macam mana?”
“Bunuh Ethan Cole,” kata Mingi. “Dia ada di Bandar Novan.”
Nama itu menghentam Silas seperti guruh.
Dia merenung kad di tangannya. Dia merasakan kekuatan asing itu sedang bergetar di dalam darahnya. Tubuhnya menggigil keletihan, tetapi kuasa itu kembali memberikannya kekuatan.
Ethan Cole.
Buat pertama kali sejak tragedi itu, Silas tersenyum sekalipun ia hanyalah senyuman pahit. Namun, ia perlahan-lahan berubah menjadi sebuah senyuman seorang pemangsa yang baru menemui taringnya.
Dia kini sudah diberikan harapan baru.
Dia sudah menemukan jalan untuk menjadi lebih kuat.
Sementara beratus kilometer dari tempatnya, Ethan Cole tidak tahu apa-apa.
Dia tidak tahu bahawa ada musuh baru yang mampu meragut nyawanya kini sudah mula mengorak langkah.