Ethan berdiri di tepi troli yang sarat menggunung, merenung timbunan beg kertas dan kotak di hadapannya.
Isi troli itu tidak ubah seperti rampasan perang dari dunia kapitalis. Pakaian mahal, kasut kulit, komputer riba yang harganya sahaja sudah lebih dari mencukupi untuk dijadikan sebagai bayaran muka kereta terpakai, dan telefon pintar yang spesifikasinya cukup canggih untuk menggodam NASA.
Mustahil untuk aku jalan kaki balik rumah dengan semua ni, fikir Ethan.
Dia mengeluarkan telefon barunya. Panel Sistem Infiniti berkelip muncul pada skrin, sudah siap memuat turun dirinya sendiri.
Menarik.
Ethan sudah dapat membuat kesimpulan bahawa Sistem Infiniti akan mengikutinya ke mana-mana peranti yang dia gunakan. Dia tidak perlu risau jika kehilangan telefon pintar lamanya.
Tapi, kenapa aku rasa sistem ni macam virus? Ikut aku ke mana-mana, kata Ethan di dalam hati. Peduli apa. Virus ni bagi aku duit.
Dia memilih untuk mengabaikan buat sementara waktu segala mekanisme atau logik di sebalik semua ini. Fikirannya sudah cukup penuh dengan banyak perkara. Dia memuat turun aplikasi bank Novan Trust. Kemudian, dia memuat turun pula aplikasi Drift, sebuah aplikasi e-hailing yang hampir semua orang guna di Arland.
Langkahnya mudah. Daftar masuk semula dan hubungkan kad debit dengan akaun.
Kali ini senyuman Ethan melebar. Telefon miliknya tidak lagi lagging. Tiada lagi ralat “Wang tidak mencukupi.”
Semuanya sudah jauh berbeza.
Semuanya sudah menjadi lebih lancar buat dirinya.
Dia menempah kenderaan. Sebuah sedan hitam yang lokasinya sekitar lima minit dari tempat Ethan menunggu.
Ethan bersandar pada troli itu, memerhati sekeliling. Pusat beli-belah itu semakin sibuk dengan manusia yang mengejar masa, berlari ke sana ke sini seperti semut hilang gula. Tapi buat pertama kali dalam sejarah hidupnya, Ethan tidak tergesa-gesa. Dia ada duit. Dia ada sumber. Kini, dia juga mempunyai segala peralatan asas yang diperlukan.
Dia sudah mempunyai jalan keluar.
Langkah seterusnya, dia ingin membawa keluarganya keluar, pindah dari apartmen yang diduduki mereka sekarang.
Sedang dia asyik menyusun rancangan, sebuah sedan hitam berhenti tepat di hadapannya. Hariz melangkah keluar. Dia merupakan seorang lelaki dalam lingkungan usia tiga puluhan, berkemeja polo, dengan senyuman mesra yang jelas kelihatan ikhlas.
“Ethan?”
“Saya.”
Hariz bersiul perlahan melihat troli itu. “Banyak betul barang. Tapi jangan risau. Saya boleh tolong.”
Ethan mengangguk.
Mereka memuatkan barang ke dalam but kereta. Hariz tidak merungut, sebaliknya menyusun semua barangan itu dengan cekap, persis pemain Tetris peringkat kebangsaan.
Semasa mereka meluncur keluar dari perkarangan pusat beli-belah, kekacauan bandar mulai pudar di sebalik cermin gelap kereta.
“Dapat kerja baru ke?” tanya Hariz, menjeling cermin pandang belakang.
“Apa?”
“Barang-barang tu,” Hariz ketawa kecil. “Baju baru, gajet. Macam orang baru nak masuk kerja di tempat baru.”
“Oh? Semua ni?” Ethan ketawa perlahan. “Bukan. Semua ni hadiah untuk diri sendiri. Self-reward orang kata.”
Hariz mengangguk faham. “Mesti seronok. Saya dah memandu bertahun-tahun. Dulu, kerja ni memang lubuk buat duit. Boleh dapat bersih sembilan, sepuluh ribu sebulan. Bonus gila-gila masa tu. Semua orang berebut nak jadi driver.”
Ethan memasang telinga. Mindanya mula memproses segala apa yang dikongsikan itu seperti sebuah komputer. Dia mula faham apa yang dikatakan oleh Hariz. Semua itu hanyalah strategi klasik syarikat teknologi gergasi. Mereka akan bermula dengan membakar duit pelabur untuk memancing pengguna dan pemandu, bina monopoli dengan merendahkan caj dan memberikan bonus.
Sasaran mereka? Hapuskan pesaing.
Saat para pesaing sudah melingkup, mereka akan kembali dengan caj biasa dan tiada lagi bonus istimewa. Semuanya akan jadi seperti pekerjaan biasa. Sama seperti perniagaan-perniagaan lain.
Sebab itulah sekarang ini ramai pekerja makan gaji yang memperlekeh segala keputusan individu-individu yang memilih untuk menjadi pemandu kepada syarikat-syarikat ini. Mana adil jika mereka mudah-mudah mendapat pendapatan yang besar walau hakikatnya tiada apa yang mudah bergelar seorang pemandu.
“Sekarang?” Hariz mengeluh berat. Bunyi keluhan tu datang dari jiwa yang penat. “Sekarang kami bernasib baik kalau dapat bersih tiga ribu dolar sebulan. Itu pun kena kerja empat belas jam sehari. Bonus memang dah tiada.”
Ethan bersandar. Ini adalah maklumat berharga. Maklumat yang diperlukan untuk merealisasikan projek aplikasi penghantaran makanan di bawah Nova Tech.
Pemandu kurang berpuas hati.
Caj semakin mahal.
Sistem sudah tidak memberikan bonus baik kepada pengguna mahupun pemandu.
Ada peluang besar sebenarnya bagi sesiapa yang berani untuk mengganggu pasaran sekali lagi. Ethan pula mempunyai harta tanpa batas. Jadi, tiada masalah untuk dia memberikan keuntungan dan manfaat kepada orang lain.
Prinsip Ethan mudah.
Dia tidak ingin memberi wang secara percuma. Dia ingin orang ramai berusaha. Dia akan akan berikan jalan, mereka yang akan tentukan berapa yang bakal mereka dapat hasil usaha mereka.
Dua puluh minit kemudian, Hariz memberhentikan kereta di hadapan blok apartmen Ethan.
Pemandangan di situ agak… kontras dengan gaya Ethan. Hariz melihat sekeliling tapi dia tidak meluahkan apa-apa. Semuanya dikata di dalam hatinya sahaja. Dia melihat cat bangunan yang mengelupas dan jalan yang berlubang-lubang. Semuanya nampak lebih menyedihkan bila berada di sebelah sedan berkilat itu.
Hariz membantu memunggah barang keluar. Apabila beg terakhir diletakkan di kaki lima, dia memandang bangunan itu dengan kening terangkat sebelah.
“Tingkat atas?”
“Ya,” jawab Ethan, muka sedikit berkerut. “Lif rosak. Entah macam mana nak angkat semua ni.”
Hariz melambai tangan. “Tak apa, saya tolong angkat. Bahaya kalau tinggal di bawah nak naik turun ambil satu-satu.”
Ethan tersenyum. Lega kerana Hariz sudi membantu.
Mereka mengangkut beg-beg itu menaiki tangga. Hariz sudah berpeluh lebat setibanya mereka di pintu rumah Ethan, tetapi dia tetap tersenyum.
“Terima kasih banyak-banyak,” kata Ethan ikhlas. “Saya betul-betul hargai.”
“Tak ada masalah. Jaga diri.”
Hariz berjalan turun tangga sambil menggelengkan kepalanya. Budak tadi belanja mesti lebih dari dua puluh ribu. Tapi duduk tempat macam ni.
Dia hampir tersadung kayu lantai yang sedikit terkeluar. Mujurlah dia tidak jatuh tergolek dari atas ke bawah.
Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, telefon Hariz berbunyi. Dia sudah terlalu biasa dengan bunyi notifikasi tersebut.
Dan di bawahnya.
Hariz merenung skrin itu. Matanya berkedip beberapa kali. Dia menggosok mata dengan agak kasar. Kali ini dia percaya apa yang dilihatnya.
Dia membuka mulut untuk berkata sesuatu, tetapi tiada suara yang keluar. Dia hanya duduk kaku di dalam kesunyian keretanya, merenung nombor yang baru sahaja mengubah pendapatan bulanannya dalam sekelip mata.
Aku tak rasa dia salah tekan, fikir Hariz. Mungkin dia memang kaya. Cuma nak nampak hidup bersederhana. Orang kaya memang pelik-pelik.
Sementara itu, di dalam rumah Ethan, jam menunjukkan pukul 3:00 petang. Rumah itu sedikit sunyi walaupun Jacob dan Lily cuti musim panas ketika ini. Ibu bapanya masih di tempat kerja, mencari wang bagi menampung segala perbelanjaan mereka.
Ethan tertanya-tanya apa yang sedang dilakukan oleh adik-beradiknya. Tetapi dia perlu menyelesaikan misi rahsia Santa Claus ini terlebih dahulu.
Dia bergerak melalui lorong bilik senyap-senyap seperti ninja..
Bilik pertama: Lily.
Dia meninggalkan beberapa bungkus snek kegemaran adiknya, sehelai hoodie lembut, dan barang-barang permainan yang sudah berbulan-bulan Lily tenung di skrin komputer tapi tidak pernah diminta kerana tahu ibu dan ayah mereka tidak mampu. Ethan meletakkannya di atas meja dengan senyuman kecil. Dan tentu sekali, sebuah telefon pintar baru.
Semoga semuanya menjadi lebih baik buat kamu, Lily.
Seterusnya: Bilik Jacob.
Dia menyusun telefon baru, fon kepala noise-canceling, beberapa helai baju-T grafik yang menjadi kegemaran Jacob, dan beberapa gajet di atas katil.
Nikmatilah dunia remaja, Jacob.
Akhir sekali: Bilik ibu bapanya.
Kasut yang kemas dan selesa untuk ayahnya kerana kasut yang dipakai sekarang ini sudah terlalu nipis dan licin. Kain sutera dan produk penjagaan kulit mahal untuk ibunya. Dan untuk kedua-dua mereka—telefon pintar serba baru untuk menggantikan ‘artifak’ yang telah mereka gunakan lebih dari sepuluh tahun.
Selesai misi rahsia itu, Ethan berjalan kembali ke ruang tamu dengan gaya dan langkah yang sangat bersahaja.
Lily sedang duduk di lantai, merenung skrin TV yang memaparkan iklan yang membosankan. Jacob pula terbaring di sofa, menatap telefon lamanya dengan wajah bosan seolah-olah itu adalah pekerjaan sepenuh masanya.
“Kamu ada?” tanya Ethan. “Ingatkan keluar.”
Jacob mengangkat bahu, malas. “Bosanlah lepak luar bila tak ada duit. Benda sama setiap hari.”
Ethan tersenyum. “Betul juga. Hidup ni memang bosan bila tak ada duit.”
Lily menoleh, muka keliru. “Bukan ke abang patut ada kat tempat kerja?”
“Abang dah berhenti.”
Jacob mendongak laju, dahi berkerut. “Apa? Kenapa? Abang tak sihat ke?”
Ethan ketawa kecil. “Bukanlah… Anggap saja Tuhan akhirnya buat keputusan untuk berkati abang.”
“Abang okey ke?” Jacob mengecilkan matanya, curiga. Dia kenal abang dia—Ethan bukan jenis yang berhenti kerja suka hati.
“Lebih daripada okey.”
Ketika itulah Jacob dan Lily perasan ada sesuatu yang berubah pada abang sulung mereka itu.
“Kejap. Abang nampak makin handsome,” kata Lily.
Ethan ketawa kecil. “Abang memang handsome dari dulu lagi. Kamu yang tak pernah perasan.”
Jacob pula memandang pakaian Ethan, “Baju baru semua ni kan?”
Ethan mengangguk. “Tunggu. Nanti kamu berdua akan dapat kejutan dari abang. Abang ada duit lebih sikit. Barang-barang kamu on the way.”
Sebenarnya semua sudah ada di dalm bilik mereka.
Dia menunjuk ke arah TV yang senyap sunyi itu, cuba untuk mengalih topik. “Kenapa senyap sangat rumah ni? Macam ada orang mati.”
“Tak ada cerita best,” keluh Lily, meletakkan dagu di lutut. “Rancangan kartun seterusnya pukul enam nanti. Lambat lagi.”
“Bagi abang remote tu.”
Jacob menghulurkannya ke tangan Ethan.
“Tunggu kejap.”
Dia membuka App Store di TV pintar bajet mereka—model lama yang jiran bagi percuma bertahun dulu sebab dah rosak. Mujurlah Aaron pandai untuk membaikinya. Dapatlah juga mereka TV yang lebih baru dari TV lama mereka.
Ethan mula memuat turun aplikasi. Tenflix. Supreme Video. BOX Max.
Jacob dan Lily memerhati dalam diam, keliru. Muka jelas membawa mesej, ‘Abang aku ni dah buang tabiat ke?’ Mereka tahu mereka tak mampu langgan semua benda ni.
Ethan mengeluarkan telefon barunya. Dia mengimbas kod QR di skrin TV, satu demi satu.
Langgan. Langgan. Langgan.
“Nah,” katanya, memberi alat kawalan jauh kembali kepada Lily. “Dah bayar untuk setahun. Tengoklah apa yang kamu nak sampai lebam biji mata.”
Lily menekan Tenflix dengan jari terketar-ketar. Selalunya, ini adalah bahagian di mana satu notifikasi besar “Langgan sekarang untuk menikmati drama dan filem tanpa had” akan menghalang skrin.
Tapi tidak untuk kali ini.
Aplikasi itu terbuka serta-merta. Deretan filem, drama dan siri TV terpampang di depan mata, sedia untuk ditonton.
“Eh, boleh buka!” jerit Lily, mata bersinar.
Jacob memandang Ethan, mulut terlopong. “Seriuslah?”
Ethan duduk di sofa, meluruskan kakinya yang lenguh.
“Serius. Layanlah. Kamu berdua layak berseronok masa cuti musim panas ni.”
Dia memerhati gelagat mereka untuk beberapa ketika. Wajah Lily bersinar disinari cahaya skrin yang memaparkan kartun HD. Jacob sudah mula bertekak dengan Lily tentang filem apa yang patut ditonton dulu. Ruang tamu itu kini meriah dengan suara mereka berdua dan juga cerita di TV, menggantikan kesunyian berat petang yang membosankan tadi.
Ethan tersenyum, bangun, dan masuk ke biliknya dengan senyap.
Misi selesai.