Cover Novel Melayu

Ethan berdiri di tengah bilik, merenung timbunan beg di atas katilnya. Baru sekarang realiti menyapa—dia tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menyimpan semua ‘harta’ baharu ini.

“Nak tak nak, aku kena kemas juga,” bisiknya.

Dia menyusun barang-barang itu dengan ketelitian seseorang yang benar-benar bersyukur kerana akhirnya dapat memiliki sesuatu yang berbaloi untuk dijaga. Pakaian formal digantung cermat di dalam almari yang sempit. Pakaian harian dilipat kemas, bucu bertemu bucu, dan diletakkan di bahagian bawah almari. Satu set pakaian sukan diletakkan terus di atas katil, sedia untuk menyarung tubuh.

Pandangannya beralih kepada pakaian lama yang sudah dikeluarkan dari dalam almari, diletakkan di atas lantai. T-shirt pudar yang kolarnya sudah longgar. Jeans dengan hujung berbulu dan terkoyak. Hoodie yang sudah dibasuh banyak kali sehingga warnanya bertukar menjadi kelabu lusuh yang menyedihkan.

Memang dah sampai masa aku buang, fikirnya.

Dia mencapai beg sampah hitam di bawah katil. Tiada rasa sentimental, sebaliknya dia berasa ringan. Dia mahu membuang kulit lamanya. Dia menyumbat semua pakaian lusuh itu ke dalam plastik—kecuali sehelai dua yang masih selesa untuk dibuat baju tidur—dan mengikat mulut beg itu ketat-ketat.

Keluar yang lama. Masuk yang baru.

Seterusnya, gajet. Laptop baharu itu mengambil tempat di atas meja belajar, kelihatan terlalu anggun dan moden bersebelahan buku nota lunyainya. Pen, pengecas, nota pelekat—semuanya disusun rapi.

Dia berundur setapak, menilai hasil kerjanya. Buat pertama kali, bilik kecil itu kelihatan seperti ruang kerja seseorang yang sebenarnya mempunyai masa depan.

“Baiklah. Misi Harian.”

Dia cuba meregangkan badan, tetapi dinding bilik seolah-olah menghimpit. Terlalu sempit. Terlalu sesak untuk bernafas, apatah lagi bersenam.

Tak boleh buat di sini.

Ethan duduk sebentar di birai katil. Dia mengeluarkan telefon untuk memesan makan malam buat keluarganya. Tangannya pantas memuat turun DineGo, aplikasi penghantaran makanan tempatan.

Ketika itulah ingatan tentang projek bersama-sama David Turner kembali menerjah.

Ini yang David nak bina.

Dahinya berkerut melihat skrin telefon. Pasaran sudah tepu. DineGo, WeEats, EatPanda—semuanya berfungsi dengan baik. Kenapa perlu wujudkan satu lagi?

Kertas cadangan David terlintas di fikiran. Bezanya bukan pada ciri aplikasi, tetapi pada model bisnesnya. Bayaran lebih tinggi untuk penghantar, caj lebih rendah untuk peniaga, dan harga lebih murah buat pelanggan.

Murni? Ya. Revolusi? Tidak juga.

Tapi aku tak perlu peduli pasal untung pun sebenarnya, fikir Ethan.

Kelebihan dia bukan pada teknologi, tapi pada wang miliknya yang tidak akan pernah habis. Tambahan pula, setakat ini Sistem Infiniti belum memberikan sebarang misi yang menuntut Ethan untuk menghasilkan keuntungan besar.

Kalau aku nak buat free delivery kepada pengguna baru selama enam bulan pun boleh, bisik hatinya. Biar aku yang tanggung upah rider.

Dia boleh melancarkan platform dan aplikasi dengan rancangan sebegitu semata-mata untuk memintas syarikat gergasi lain. Bila semua pesaing tumpas, dia boleh menguasai pasaran sepenuhnya.

Ethan tersenyum, sebelum tersedar realiti sebenar.

Dia boleh sahaja melupakan projek ini. Dia tidak perlukan David Turner. Dia ada satu bilion dolar. Dia boleh memilih untuk gagal tanpa sebarang penalti.

Cuma, arahan misi itu sangat spesifik. Meluaskan rangkaiannya dengan dua individu yang berpengaruh.

Charles Weston sudah diiktiraf oleh sistem. David Turner jelas adalah individu kedua.

Ini bukan kebetulan. Sistem memang nak semua ini berlaku.

Ethan mengeluh perlahan, kemudian tersenyum kecil. “Baiklah. Aku ikut rancangan kau.”

Dia menyimpan telefon. Misi David boleh tunggu. Sekarang, dia perlu lunaskan hutang kepada tubuhnya sendiri sebelum matahari terbenam.

Dia menyarung pakaian sukan baharunya. Fabriknya ringan dan sejuk, jauh lebih selesa berbanding seluar kapas lamanya yang berat. Dia menangkap pantulan dirinya di cermin retak yang tergantung senget di dinding.

Baju baharu. Seluar baharu. Potongan rambut baharu. Tetapi di sebalik lapisan mahal itu, dia masih seorang pelajar universiti yang kurus dan lemah.

Berapa banyak aku akan berubah? tanyanya dalam hati. Sejauh mana sistem ini boleh bawa aku?

Tanpa berlengah, Ethan melangkah ke ruang tamu. Adik-beradiknya masih terpaku di depan TV, hanyut dengan siri TV dan kartun baru.

“Abang dah pesan makanan,” katanya. “Cakap pada Ibu, tak payah masak.”

Lily mendongak. “Abang nak pergi mana?”

“Joging,” jawab Ethan sambil membongkok mengikat tali kasut.

Jacob tersedak air yang sedang diminumnya. Dia memandang Ethan dengan mata membulat, seolah-olah abangnya baru mengaku dia makhluk asing.

“Joging? Abang?”

Ethan ketawa kecil. “Ya. Kenapa? Tak boleh?”

Jacob merenungnya lama. Abangnya—bekas bintang bola sepak wilayah yang sudah bertahun-tahun tidak melakukan aktiviti fizikal—secara sukarela mahu pergi bersenam?

“Seriuslah?”

“Serius. Nak cari stamina balik. Mana tahu, badan pun ikut jadi tegap sikit.”

“Okey…” kata Jacob, nadanya masih penuh curiga.

Ethan melangkah keluar. Udara petang menyapa wajahnya, hangat tetapi selesa. Kedai Sammy’s kelihatan, papan tandanya yang pudar menangkap cahaya matahari petang. Ethan melepasi kedai itu, kakinya melangkah pantas menuju ke taman rekreasi di sebelah gelanggang futsal.

Jam di tangan menunjukkan pukul empat petang. Taman itu berada dalam fasa tenang—tidak kosong, tapi tidak sesak. Masa yang sangat sesuai bagi warga Edgewater yang ingin mengambil angin.

Bau sosej panggang dari gerai penjaja di pintu masuk menusuk hidung. Beberapa orang kelihatan santai—dua pak cik tua sedang rancak berbual di bangku, seorang lelaki muda menunduk melihat telefon, dan seorang wanita membawa anjingnya berjalan.

Bagus. Tiada saksi kalau aku rebah nanti.

Dia mencari sudut yang sedikit sunyi. Dia meregangkan badan, menarik nafas dalam, dan menekan butang pada jam tangan digital canggih yang baru dibelinya. Dia membeli dua utas jam tangan sewaktu di Southkey. Satu untuk kasual, satu untuk bersenam.

Sasaran: 5 Kilometer.

Dia memulakan larian.

Kilometer pertama lebih kepada satu bentuk penipuan. Ia menipu minda Ethan, membuatkan segalanya terasa mudah. Kakinya seolah-olah teringat semula ritma larian lama, membangkitkan memori otot yang sudah lama tidur.

Kilometer kedua adalah kebenaran yang pahit.

Paru-parunya mula terbakar. Kakinya terasa seberat plumbum. Ritma lariannya hancur berkecai. Dia mahu berhenti. Dia mahu berjalan sahaja.

Tak boleh. Aku tak boleh berhenti, bisik hatinya keras. Aku tak boleh gagal misi ini.

Kilometer ketiga adalah penyiksaan sebenar. Peluh memedihkan mata. Dadanya berombak kencang, setiap tarikan nafas terasa tajam. Setiap langkah tidak ubah seperti rundingan sengit dengan graviti. Dia rasa ingin muntah. Dia rasa ingin rebah.

Tetapi pada kilometer keempat, sesuatu berubah.

Kesakitan itu tidak hilang, tetapi ia berkurang. Tubuhnya mula terbiasa semula dengan semua proses. Ethan dapat rasakan dia menemui ‘angin baru’ yang menolaknya mengatasi segala keletihan dan rasa putus asa.

Dia melepasi lima kilometer.

Lariannya diperlahankan secara beperingkat sebelum dia berjalan perlahan. Dia tercungap-cungap, bajunya basah lencun, jantungnya memukul rusuk seperti gendang perang. Tetapi dia tersenyum.

Satu selesai.

Dia tidak membuang masa. Dia menjatuhkan badan ke atas rumput kering. Tekan tubi.

Satu. Dua. Tiga.

Tangannya menggigil. Masuk nombor tiga puluh, otot trisepnya menjerit meminta nyawa. Masuk empat puluh, seluruh tubuhnya menggeletar dengan sangat kuat sehinggakan dia rasa mukanya akan tersembam ke tanah bila-bila masa sahaja.

Empat puluh sembilan. Lima puluh.

Dia rebah.

Tiada rehat. Dia berpusing terlentang. Bangkit tubi.

Perutnya kejang, simpul kesakitan mengetatkan otot abdomen. Namun, dia memaksa dirinya bergerak.

Kemudian Squats. Pahanya terbakar. Kakinya sudah tidak terasa seperti miliknya lagi. Tapi dia tetap bertahan.

Apabila dia menyelesaikan ulangan terakhir, dia berdiri, terhuyung-hayang seperti orang mabuk. Nafasnya kasar dan putus-putus. Dia cuba untuk senyum, namun otot mukanya terlalu letih.

Buat pertama kali dalam tempoh bertahun-tahun, dia merasakan sesuatu selain tekanan hidup. Dia merasakan kemajuan di sebalik segala kesakitan yang dia lalui.

Ding.

Satu bunyi lembut bergema di dalam kepalanya. Dia mengarahkan panel notifikasi muncul di hadapan mata.

 

Dia menutup panel itu.

Tiada letupan tenaga. Tiada rasa elektrik mengalir di bawah kulit.

Yang ada cuma rasa… lega.

Sakit yang mencengkam otot pahanya tadi perlahan-lahan mengendur, seolah-olah ketegangan itu ditarik keluar dari badannya. Nafasnya yang tadi kasar dan tidak teratur, kembali tenang dengan sendirinya tanpa perlu dipaksa.

Ethan mengangkat tangannya ke paras muka. Gigilan pada jari-jemarinya sudah berhenti.

Dia mengepal penumbuk, kemudian membukanya semula. Dia memusingkan bahu kiri dan kanan. Masih terasa lenguh—rasa penat itu tidak hilang sepenuhnya—tetapi ia bukan lagi kesakitan yang menyiksakan. Rasanya seperti dia baru sahaja bangun dari tidur yang cukup lapan jam, bukannya baru lepas menyiksa diri di atas rumput taman.

“Cepat betul,” bisik hatinya. Senyuman nipis terukir.

Dia tahu dia belum bertukar menjadi adiwira. Dia masih Ethan yang sama. Cuma versi ini terasa sedikit… lebih kuat. Lebih tahan lasak berbanding semalam.

Dan untuk hari pertama, itu sudah memadai.

Cover Novel Melayu