Ethan membiarkan tubuhnya terbaring lesu di atas rumput.
Matahari petang masih memancar terik, tetapi dia tidak berniat untuk berteduh. Bahang musim panas itu terasa menyengat pada kulitnya yang basah, bercampur dengan peluh yang mengalir turun ke pelipis. Rasa melekit dan panas, tapi dia tidak peduli.
Dia memejamkan mata, melayan dadanya yang tadi berombak kencang kini kembali turun naik dengan lebih santai. Nafasnya perlahan-lahan menjadi tenang semula.
Bila degup jantungnya kembali stabil, dia memusatkan fikiran.
Panel Status.
Satu arahan mudah di dalam fikiran.
Ethan meneliti nombor-nombor yang berkelip di dalam Panel Status.
“Jadi memang betul aku akan jadi lebih kuat,” bisiknya. Senyuman kecil terukir di bibirnya.
Ini bukan kesan plasebo. Ototnya memang benar-benar terasa lebih padat, lebih kuat bila digerakkan. Sistem ini bukan sekadar permainan nombor; ia sedang menulis semula biologi tubuhnya dalam masa nyata.
Dia tersenyum puas sebelum matanya jatuh ke bar EXP.
Keterujaan Ethan perlahan-lahan pudar.
Dia membuat kira-kira pantas di dalam kepalanya. Dua puluh hari rutin menyiksa seperti ini semata-mata untuk mencapai Tahap 2? Dan jika sistem ini mengikut logik permainan video, Tahap 3 pasti menuntut jumlah mata EXP yang jauh lebih tinggi.
Sesaat, beban itu terasa berat. Seperti mendaki gunung yang puncaknya tertutup awan.
Namun, perasaan itu ditepis segera. Dia terlupa beberapa perkara penting: Momentum dan kemajuan.
Tubuhnya akan menyesuaikan diri. Apa yang menyiksakan hari ini akan menjadi rutin biasa minggu depan. Setiap hari, dia akan menjadi semakin efisien. Dia tahu, cabaran dan ujian paling kuat sentiasa berlaku di permulaan.
Aku takkan berhenti. Walau apa pun jadi.
Ethan bingkas bangun, menyeka peluh di dahi dengan belakang tangan. Dia belum selesai. Walaupun sistem sudah berhenti mengira, dia tidak mahu berhenti.
Dia berjoging perlahan mengelilingi pinggir taman. Dia melakukan plank sehingga lengannya menggigil menahan berat badan. Dia menamatkan sesi dengan regangan otot yang teliti.
Tiada ganjaran tambahan. Tiada bunyi notifikasi. Tetapi itu tidak penting.
Rasanya seronok dapat bergerak semula. Berpeluh untuk satu tujuan yang nyata, bukan sekadar berlari mengejar masa.
Aku rindu perasaan ini, bisik hati Ethan. Rasa macam zaman dulu. Masa bola sepak adalah segala-galanya.
Memori lama berputar kembali—bermain di padang berlumpur, rasa pedih pada tulang kering yang lebam, bau rumput yang baru dipotong bercampur minyak garisan padang. Dulu, itu adalah dunianya. Sekarang, ia terasa seperti satu kehidupan asing milik orang lain.
milik orang lain.
Tiba-tiba, sesuatu melanggar kakinya.
Lembut.
Ethan tersentak. Dia memandang ke bawah. Sebiji bola kulit yang permukaannya sudah melepuh bergolek perlahan di hujung kasut sukannya.
Dia mengangkat kepala.
Jacob berdiri beberapa langkah darinya, telefon baharu tergantung santai di tangan kanan. Di belakangnya, Lily mengekor rapat, matanya masih terpaku pada skrin bercahaya miliknya sendiri.
Bibir Ethan mengukir senyuman kecil.
“Terima kasih untuk telefon ni… dan barang-barang lain, abang,” kata Jacob. Dia nampak sedikit kekok, menggaru belakang lehernya. “Tapi seriuslah… apa dah jadi? Abang rompak bank ke menang loteri?”
Lily menurunkan telefonnya sedikit, cukup untuk sepasang matanya mengintai dari balik skrin. “Haah, terima kasih, abang! Tapi serius, apa yang berlaku?”
Ethan ketawa perlahan. “Macam abang cakap… Tuhan mula berkati abang.”
“Alah. Kongsilah rahsia dengan adik,” desak Lily.
Ethan hanya menggeleng. Itu sahaja jawapan yang mampu dia berikan buat masa ini.
Jacob dan Lily berpandangan sesama sendiri. Mereka kenal abang mereka. Jika Ethan mahu berahsia, tiada apa yang boleh memaksanya bercakap.
Jacob mengangguk ke arah bola di kaki Ethan. “Rindu tak? Main bola?”
Senyuman Ethan melebar. “Mestilah. Ini kan hidup abang dulu.”
Dia menarik bola itu dengan tapak kaki kanan, merasai tekstur kulit lusuh itu dengan tapak kasut, kemudian melambungnya ke udara.
Tap. Tap. Tap.
Bola itu naik dan turun dalam garisan menegak yang sempurna. Setiap sentuhan terkawal, semuanya kelihatan lembut. Ritmanya bersahaja. Nampak gayanya, tubuh Ethan tidak pernah terlupa akan semua ini.
Mata Jacob bersinar. “Hebat. Macam tak pernah tinggal bola sepak.”
Ethan menukar rentak. Dia melakukan beberapa trik gaya bebas.
Around the world.
Heel flick.
Knee stall.
Tiada gerakan yang sia-sia. Semuanya lancar dan tajam.
Apabila dia akhirnya mematikan bola itu di bawah tapak kaki, Jacob dan Lily sedang memandangnya tanpa berkelip.
“Jadi,” tanya Ethan, menunjuk ke arah bola itu dengan dagu. “Kenapa kamu ada benda ni?”
Jacob tergagap-gagap untuk menjawab, tetapi Lily memotong laju.
“Sebab Jacob nak jadi macam abang.”
Wajah Jacob bertukar merah padam. Lily tersenyum nakal. “Setiap kali dia cakap dia nak ‘lepak luar’, dia habiskan masa sepuluh minit berborak dan dua jam berlatih seorang diri.”
Jacob menggaru belakang lehernya lagi, memandang ke arah pokok di kejauhan, cuba mengelak renungan Ethan.
“Betul ke?” tanya Ethan.
“Yalah…” gumam Jacob, perlahan. “Tapi saya tak macam abang. Saya tak reti buat tricks hebat macam tu. Satu-satunya benda saya boleh buat ialah berlari laju dan merembat. Kuat.”
Senyuman Ethan kembali. “Kalau macam tu, kamu lebih mirip Jordan.”
Mata Jacob membulat. Dia tahu nama itu. Jordan Walker—rakan sepasukan Ethan dalam pasukan sekolah dulu. Kata jurulatih pasukan sekolah, Jordan jenis yang kuat, pantas, dan tidak kenal takut.
“Jordan memang hebat,” akui Jacob. “Tapi abang lagi cool. Saya nak jadi macam abang.”
Ethan ketawa kecil. Dia berundur setapak dan menolak bola itu perlahan kepada adiknya.
“Setiap pemain ada gaya sendiri,” katanya serius. “Gaya abang macam ahli silap mata. Hantaran luar biasa, gol ajaib. Abang nak bermain cantik, biar orang terpukau.”
Dia berhenti sejenak, membiarkan Jacob memproses kata-katanya.
“Tapi Jordan? Dia macam kereta kebal. Dia tak mengelak pertahanan lawan; dia langgar terus dan…. score gol..”
Ethan memandang tepat ke mata Jacob. Sementara itu, tanpa disedari mereka berdua, Lily bergerak senyap ke arah Jacob dan mencuri bola itu dengan hujung kakinya.
“Dengan saiz badan kamu, kamu tak perlu tiru sesiapa. Kamu boleh jadi pemain box-to-box. Pemain yang kuasai seluruh padang, patahkan serangan lawan, dan tak takut lepaskan tembakan deras dari jarak jauh. Ancaman sebenar,” tambah Ethan.
Jacob mengangguk perlahan, matanya bersinar menyerap ilmu itu. “Faham. Saya boleh buat tu.”
“Cari gaya kamu pelan-pelan,” nasihat Ethan. “Bina asas dulu. Bina badan.”
Tiba-tiba, satu bunyi lembut dan berirama mengganggu perbualan mereka.
Tap. Tap. Tap.
Mereka menoleh serentak dan terkejut.
Lily sedang menimang bola.
Sentuhannya lembut. Imbangannya sempurna. Bola bergerak ringan di atas hujung kaki, mengekalkan bola itu di udara seolah-olah ia terikat padanya dengan tali halimunan.
Dan di tangan kanannya, dia masih lagi sedang memandang skrin telefon pintar.
Ethan berkelip, tergamam. “Lily… mana kamu belajar buat macam tu?”
Lily mendongak, tersengih, masih menimang bola tanpa terlepas satu rentak pun.
“Entah. Tengok abang buat tadi, saya ikut saja.”
Jacob ketawa, menggelengkan kepala tidak percaya. “Seriuslah? Baru je saya dapat motivasi, Lily tunjuk dia ada bakat macam abang?”
Lily menghentikan bola itu, menyambutnya di atas kekura kaki dan membiarkannya bergolek lembut ke atas rumput.
“Rasa macam nak masuk pasukan bola sepaklah tahun depan,” katanya selamba.
“Ya,” Ethan ketawa, kagum. “Kamu memang patut masuk.”
Jacob memandang Ethan, kemudian Lily. “Kalau macam ni gayanya, kita semua akan berakhir dalam padang yang sama.”
“Bunyi macam seronok,” kata Lily, mengutip bola itu.
Mereka meluangkan masa di situ beberapa ketika lagi, melakukan hantaran bola bertiga di bawah langit senja yang kian kelam. Ketegangan kemiskinan, kesunyian rumah yang selalu menghimpit—semuanya hilang buat seketika.
Ia hanyalah satu detik kegembiraan buat mereka tiga beradik.
Dan buat pertama kali dalam tempoh bertahun-tahun, mereka dapat menikmatinya semula.