Apabila langit di luar bertukar menjadi warna jingga pekat, tiga beradik itu tiba di rumah.
Pintu depan berkeriut seperti biasa apabila ditolak.
“Kami dah balik!” laung Lily, suaranya melantun ceria di dinding apartmen yang sempit itu.
Elise sedang duduk di meja makan, tangannya diletakkan di atas riba. Wajahnya nampak sedikit pucat, sangka anak-anaknya, itu semua adalah keletihan seharian bekerja yang masih bersisa. Sekalipun begitu, senyuman di bibirnya tetap manis apabila melihat anak-anaknya.
Di sebelahnya, Aaron sedang menatal skrin telefon baharunya—hadiah daripada Ethan tadi. Jarinya bergerak dengan campuran rasa teruja dan kagum, cuba membiasakan diri dengan skrin sentuh yang jauh lebih responsif berbanding telefon lamanya.
“Ibu okey ke?” tanya Lily sambil memeluk Elise.
Elise menegakkan badan, membalas pelukan. “Ibu okey, sayang.”
Matanya jatuh pada bola lusuh di tangan Lily. Dia tidak perlu bertanya ke mana mereka pergi. Dia boleh membayangkan anak-anaknya berlari di taman, ketawa bebas seperti zaman kanak-kanak dulu. Sudah terlalu lama dia tidak melihat mereka begitu.
Pandangannya beralih ke arah Ethan. Dia bangun perlahan-lahan dari kerusi.
“Ethan,” suaranya lembut, sarat dengan emosi yang tertahan. “Kenapa kamu beli semua barang mahal ni? Kamu dah banyak berkorban untuk keluarga ni. Sepatutnya kamu simpan untuk diri sendiri.”
“Betul tu. Tapi… terima kasih, Ethan,” celah Aaron, mendongak dari skrin telefon. “Telefon ni sepuluh kali ganda lagi bagus dari yang Ayah guna dulu. Lagipun, skrin dia besar. Ayah boleh baca teks tanpa perlu kecilkan mata.”
Ethan tersenyum. Dia baru hendak membuka mulut untuk menyusun alasan, tetapi Lily memintas laju.
“Tak payah tanya dia,” usik Lily dengan sengihan nakal. “Dia cuma akan cakap ‘alam semesta tengah berkati abang’ kebelakangan ni.”
Kata-kata itu memecahkan ketegangan. Aaron, yang selalunya terlihat seperti sedang memikul berat dunia di bahunya, tergelak kecil. Dia tidak menambah apa-apa, tetapi riak wajahnya sudah cukup menggambarkan perasaannya. Tiada siapa yang terus bertanya bagaimana Ethan tiba-tiba mampu membeli semua ini.
Bukan hanya untuk malam ini. Tetapi untuk hari-hari mendatang juga.
Mereka memilih untuk percaya, yakin bahawa Ethan tidak akan melakukan perkara bodoh atau haram demi wang.
Jacob bergerak ke arah beg plastik makanan di atas meja. “Saya belum tengok lagi apa yang abang pesan. Bau sedap semacam.”
Aaron bangun, bergerak ke arah plasti tersebut juga. “Ayah pun tertanya-tanya juga. Bau macam makanan mahal.”
Ethan tersengih. “Jom makan. Makanan Thai. Saya baca banyak review bagus pasal kedai ni.”
“Kedai mana?” tanya Lily, memanjat kerusi dengan lincah.
“The Real Thai ke?” teka Jacob, matanya membulat.
Ethan mengangguk. “Itulah kedainya.”
“Fuh! Dah lama gila saya teringin makan situ,” kata Jacob, teruja.
“Pergi basuh tangan dulu,” arah Elise lembut. “Lepas tu duduk, kita makan sama-sama.”
Beberapa minit kemudian, meja makan kecil itu dipenuhi aroma serai, lengkuas, dan cili yang memikat. Wap panas berkepul naik dari pinggan nasi putih yang gebu, mangkuk kari hijau pekat, sup tomyam pekat, ayam basil pedas, dan salad mangga yang rangup.
Mereka bertukar lauk, menghulur pinggan, dan ketawa di antara suapan.
Sudah terlalu lama mereka tidak menikmati hidangan seperti ini. Tiada gesaan untuk segera selesai makan. Mereka tidak bercakap mengenai masalah kewangan, bil yang tertunggak. Mereka cuma menikmati kelazatan makanan dan kebahagian keluarga bersama-sama.
Dan untuk malam ini, itu sudah cukup.
Selepas makan malam, apartmen itu kembali sunyi.
Ethan terbaring di atas katil, merenung siling gelap biliknya.
“Hari yang gila,” gumamnya.
Lampu bilik sudah dipadamkan. Tubuhnya terasa berat—satu bentuk kesakitan yang memuaskan daripada Misi Harian mula meresap ke dalam otot—tetapi mindanya segar bugar, memainkan semula sorotan dua belas jam yang lalu seperti filem.
Banyak benda aku belajar hari ni, fikirnya. Dan aku akan belajar lebih banyak lagi esok.
Dia mengimbas kembali.
Hari ini, dia dah selesaikan masalah kewangan ibu dan bapanya. Dia dah berhenti kerja sambilan. Dia bertemu dengan David Turner yang bakal membuka lembaran baru dalam hidupnya.
Tidak cukup dengan itu. Dia belajar sesuatu yang baru hari ini selepas melangkah masuk ke dalam bank dengan hanya berbekalkan keyakinan palsu dan sekeping kad debit. Dia masih ingat betapa gementarnya dia pada setiap langkah, berlakon tenang dan yakin sehingga semuanya selesai.
Wajah Suzanne, pegawai bank itu, muncul dalam ingatan. Tipulah jika Ethan katakan dia tidak dapat menangkap maksud pandangan awal Suzanne yang memandang rendah Ethan, seolah-olah Ethan tidak layak berada di situ. Dan rasa puas di dalam hati selepas melihat reaksi Suzanne yang terkejut melihat baki satu bilion dolar di dalam akaun simpanannya.
Ethan ketawa kecil dalam gelap.
Kemudian dia teringat akan susuk tubuh pengurus bank tersebut, Charles Weston. Pejabat peribadi. Sesi soal siasat yang hampir sahaja membuatkan dia mengaku bahawa dia menerima semua itu daripada Sistem Infiniti.
Ethan sempat berasa seperti dia merupakan seorang suspek jenayah. Tapi kemudian, yang lebih menghairankan adalah campur tangan sistem itu sendiri. Emel daripada Heaven Corporation itu menutup mulut Charles Weston sebelum sempat dia menyoal lagi.
Apa yang berlaku itu masih membuatkannya kagum.
“Macam mana sistem buat tu?” bisiknya.
Heaven Corporation bukan calang-calang entiti. Untuk mereka hantar emel rasmi ke cawangan bank tempatan semata-mata untuk membela seorang pelajar universiti… Sistem ini sedang bukan calang-calang sistem.
Tiba-tiba, dia teringat ada satu lagi perkara penting yang perlu diselesaikannya.
Kejap. Modal permulaan. Aku dah lupa.
David sangat jelas tadi. Dia mahukan bukti. Dia ingin melihat sendiri modal berbayar untuk Nova Tech dan bukti Ethan mempunyai kekuatan kewangan untuk menjalankan perniagaan ini seperti yang dia katakan.
Ethan bingkas duduk. Dia tahu dia tidak perlukan David sebenarnya. Tetapi Sistem Infiniti tetap mahukan kerjasama ini.
Aku tak ada pilihan lain.
Dia perlu percaya pada jalan yang ditetapkan.
Ethan menyambar telefonnya dan membuka pelayar internet. Portal Suruhanjaya Perniagaan Arland dimuatkan—laman web yang sama dia gunakan di kafe tadi.
Dia log masuk. Halaman itu bertukar serta-merta ke tempat dia berhenti tadi.
Matanya terkunci pada angka itu: $500,000.
Tadi siang, had transaksi harian menghalangnya. Tapi dia sudah selesaikan masalah itu di Bank Novan tadi. Hadnya sudah dinaikkan.
Ethan menghembus nafas perlahan, menenangkan diri.
Dia memasukkan jumlah itu dan menghubungkan sistem pembayaran dengan kad debit. Kali ini, prosesnya lancar. Tiada ralat. Tiada tulisan merah. Satu bar loading muncul, berputar untuk beberapa saat, dan kemudian, semuanya selesai.
Hampir serta-merta, peti masuk emelnya berbunyi. Dia membukanya dan menemui lampiran yang ditunggu-tunggu—Sijil Pendaftaran Perniagaan rasmi, dokumen pengesahan tanda dagang, dan resit untuk modal berbayar. Setiap halaman mempunyai cop Suruhanjaya Perniagaan Arland yang sah.
Ethan bersandar pada kepala katil, senyuman lebar terukir di bibir.
AKhirnya… Syarikat aku sendiri.
Sedang dia tersenyum lebar, kegembiraan, ada satu bunyi lembut bergema di dalam mindanya. Dia membiarkan panel itu muncul.
Senyuman Ethan melebar. Buat pertama kali, dia dapat rasakan bahawa dia bukan sekadar melakukan apa yang diminta oleh Sistem Infiniti—dia sedang membina laluan hidup yang lebih sempurna bersamanya. Dia sedang bergerak ke hadapan.
Telefonnya bergetar lagi. Satu notifikasi emel.
Dia menyemak skrin.
Dah lewat malam ni, fikir Ethan. Apa benda agaknya?
Dia membuka emel itu. Dilampirkan bersama-sama emel itu adalah satu pembentangan yang kemas dan profesional menerangkan keistimewaan menjadi Pelanggan Premier. Terdapat juga sebuah video pendek.
Ethan menekan butang Play. Visualnya tajam, lancar, dan jelas ditujukan kepada golongan 1% teratas. Ia bercerita mengenai khidmat kewangan peribadi, akses awal ke tawaran pelaburan eksklusif, dan jemputan ke majlis-majlis tertutup yang dihadiri oleh individu-individu berpengaruh di wilayah Arkansa.
Ia adalah jemputan ke sebuah kehidupan dan dunia yang berbeza. Dan Ethan, dengan sebelah kaki sudah melangkah masuk, mula berasa teruja dan… beban.
“Menarik,” bisiknya. “Kalau sistem nak aku luaskan rangkaian lagi nanti, ini kuncinya.”
Dia boleh nampak dengan jelas. Mesyuarat. Kenalan. Peluang. Ini bukan sekadar tentang menjadi kaya; ini tentang akses.
Jarinya bergerak pantas, menaip balasan kepada Charles.
“Saya setuju, Encik Weston. Beritahu saya apa yang diperlukan untuk selesaikan semuanya.”
Balasan masuk tiga puluh saat kemudian.
“Baik, Encik Cole. Saya akan uruskan serta-merta.”
Sementara itu, di pusat bandar, Charles Weston bersandar di kerusi kulit pejabatnya.
Bilik dan tingkat itu sunyi, hanya bunyi dengungan halus penghawa dingin kedengaran. Dia masih bekerja, sudah beberapa jam berlalu selepas semua staf lain pulang. Itu memang sifat dan sikapnya yang berjaya membawa dirinya ke jawatan ini.
Dia merapatkan hujung jari, merenung cahaya skrin komputer riba.
“Siapa sebenarnya Ethan Cole ni?” gumamnya.
Soalan itu tergantung di udara.
Satu bilion dolar daripada Heaven Corporation.
Dia berhenti sejenak, mindanya cuba menyambungkan titik-titik yang bakal merungkai rahsia identiti Ethan.
Ke dia ada kaitan dengan salah satu Keluarga Besar?
Tapi, Charles merasakan semua itu seperti tidak masuk akal. Ia bukanlah berkaitan dengan kekayaan mengejut Ethan atau balasan daripada organisasi itu. Dia yakin ada sesuatu yang lebih dalam dari semua itu.
Dia cuba memainkan semula pertemuan dia dengan Ethan sebentar tadi.
Cara Ethan membawa diri, sedikit pun tidak menunjukkan dia seorang yang lahir dalam dulang emas. Dia tidak mempunyai keangkuhan seorang pewaris Keluarga Besar. Dia nampak normal, terlalu normal.
Namun, sekalipun semua itu jelas. Ada beberapa perkara yang masih samar-samar dari tindak-tanduk Ethan. Itulah yang membuatkan kepala Charles sedikit pening ketika ini.
Charles menutup komputer riba dengan bunyi klik lembut. Bunyi itu kedengaran kuat dalam kesunyian pejabat. Dia bangun, membetulkan tali leher dan membetulkan pakaiannya kerana tabiat. Fikirannya sudah bergerak tiga langkah ke hadapan.
Aku kena tahu lebih lanjut pasal dia, putus Charles. Dan aku kena layan dia dengan baik. Kalau dia adalah siapa yang aku rasa… benda ni boleh pergi jauh lebih besar daripada sekadar urusan bank.
Dia melangkah ke tingkap kaca, memandang ke luar, ke arah Bandar Novan yang terbentang di bawahnya.
Dia membuat keputusan. Ada satu majlis yang akan datang—perhimpunan yang akan menarik nama-nama paling berpengaruh di bandar itu. Biasanya, banyak perjanjian baharu yang dimeterai di sini.
Aku akan bawa Ethan ke sana.
Charles merenung pantulannya di cermin tingkap.
Mungkin ada yang mengenalinya di sana. Mungkin juga aku boleh menghubungkan dia kepada mana-mana individu dan dia akan terhutang budi.
Charles yakin, semua ini hanyalah permulaan.
Akan ada sesuatu yang lebih besar akan berlaku, berpunca daripada Ethan Cole.