Cover Novel Melayu

Edgewater
Rabu, 20 Jun 2040

Ethan terjaga sebelum sempat penggeranya berbunyi. Sudah lama dia tidak begitu.

Matanya terkebil-kebil dalam gelap. Dia menoleh ke arah jam digital kecil di atas meja. Angka merah menyala suram.

5:00 pagi.

“Awal sangat ni,” gumamnya, menggosok sisa tidur dari kelopak mata.

Sesaat, tubuhnya melancarkan mogok. Otot-ototnya menjerit protes akibat “seksaan” semalam—rasa sengal yang tajam dan menggigit, terutamanya di bahagian paha dan bahu. Katilnya terasa terlalu hangat, bantalnya terlalu empuk. Godaan untuk menarik selimut dan tidur sejam lagi terasa begitu kuat.

Tetapi kemudian, ingatan itu kembali.

Mana boleh. Hidup aku dah berubah.

Ethan memaksa dirinya duduk di birai katil. Dia menyisir rambut kusut yang menutup sebahagian wajahnya dengan jari. Di sudut bilik yang samar-samar, kotak-kotak yang belum dibuka semalam masih menanti giliran mereka. Baju baharu. Gajet mahal. Beberapa barang lain. Semua itu adalah bukti bahawa satu bilion dolar yang ada di dalam akaun miliknya bukanlah sekadar mimpi. Dia sudah dapat menggunakannya berkali-kali.

Ethan tersenyum lebar.

Kalau alam semesta dah bagi aku peluang untuk berubah, aku tak boleh malas-malas.

Dia bangun, meregangkan badan. Tulang dan sendinya berbunyi. Lega.

Dia melakukan regangan tersebut untuk beberapa saat lagi sebelum melompat setempat. Setelah badannya terasa lebih segar, dia duduk kembali.

Masa untuk merancang.

David Turner.

Itu keutamaan hari ini. Malam tadi, Ethan sempat membuat kajian ringkas tentang undang-undang perniagaan. Dia tidak akan menyerahkan kawalan Nova Tech, tetapi perkongsian? Mungkin 20% ekuiti. Cukup untuk buat David berminat, cukup untuk menggunakan rangkaian kenalan lelaki yang berpengaruh itu, tetapi Ethan akan tetap kekal mengemudi kapal mereka.

Sekarang dia faham kenapa sistem ingin Ethan bekerjasama dengan David.

Lelaki itu bukan calang-calang. Dia mempunyai pengalaman dan rangkaian yang lebih besar berbanding Ethan. Jika tiba masa untuk merekrut pekerja, David boleh melakukannya dengan mudah.

Ethan sempat juga membelek-belek media sosial milik David Turner. Pengikutnya sahaja sudah melebihi 3.2 juta.

Ethan? Kurang dari 120 pengikut. Itu pun dia tidak tahu siapa.

Jika David membuat sebarang hantaran di media sosial, dia yakin dengan mudahnya dia akan menerima permohonan kerja yang banyak.

Tiba-tiba, Ethan terfikir, jika dia diberikan peluang untuk memilih di antara kenalannya untuk bekerja dengannya, siapa yang akan dia pilih.

Fikirannya melayang kepada Jordan. Sahabat baiknya. Lelaki yang boleh berborak dengan seketul batu dan menjadikan batu itu kawan barunya dalam sekelip mata.

Ethan hampir saja ketawa. Kemudian dia terfikir, apa jawatan yang paling sesuai.

Sumber Manusia? Pengurus?

Kali ini, Ethan tidak dapat menahan ketawa. Dia masih ingat Jordan ada mengatakan bahawa dia tida akan pernah membayangkan dirinya memakai sut dan menguruskan orang. Tapi semakin Ethan memikirkannya, semakin ia masuk akal. Jordan, seperti peranannya dalam pasukan bola sepak sekolah dulu, adalah kereta kebal. Di dalam syarikat, dia boleh bertindak untuk memecahkan tembok sosial dengan mudah.

Aku perlukan dia.

Dia menjeling jam lagi. Terlalu awal untuk menghantar mesej kepada David. Nanti sajalah dia hantar lokasi perjumpaan.

Buat masa ini… Misi Harian. Dia ingin segera menjadi lebih kuat.

Dia menyelinap keluar dari bilik dengan perlahan-lahan, mengelak lantai kayu yang berbunyi. Apartmen itu sunyi sepi. Ibu bapanya tidak akan bangun sebelum pukul 6:30 pagi.

Dalam perjalanan ke bilik air, satu lagi fikiran menghentamnya kuat.

Aku ada duit. Aku boleh suruh mereka bersara hari ni juga. Mereka tak perlu kerja lagi seumur hidup.

Sekalipun kedengaran mudah, dia tertanya-tanya bagaimana caranya untuk dia memberitahu ibu dan bapanya bahawa dia sudah bergelar seorang bilionair? Atau paling tidak sekalipun, meyakinkan mereka bahawa dia sudah mempunyai wang yang lebih dari mencukupi untuk menampung kehidupan keluarga mereka.

Dia risau jika tiba-tiba dia menunjukkan baki akaun miliknya, mereka terkena serangan jantung.

Aku perlukan sedikit masa lagi, putusnya. Aku kena tunjuk aku stabil dulu. Bina bisnes. Tunjuk aku mampu.

Dia membersihkan diri sekadar patut, menyarung pakaian sukan baharunya, dan mengikat tali kasut dengan kemas. Semasa melangkah keluar, dia mencapai beg sampah berisi baju-baju lamanya yang sudah diasingkan semalam.

“Benda kecil dulu,” bisiknya. “Benda besar kemudian.”

Dia membuang beg itu ke dalam corong sampah di hujung lorong. Bunyi beg itu meluncur turun ke bawah menandakan berakhirnya satu era. Dia melangkah keluar dari bangunan. Udara pagi terasa sejuk menggigit kulit, dan semua laluan di Edgewater masih separuh lena.

Dia mula berjalan perlahan, kemudian semakin melajukan langkah.

Hari ini adalah hari kedua untuk Misi Harian, hari kedua untuk kehidupan baru. Dia perlu memulakannya dengan baik.

Semasa dia mencari rentak lariannya, dia mengarahkan Panel Status untuk muncul di ruang pandangannya.

 

Dia merenung panel yang bercahaya itu sambil kaki terus menghentak laluan pejalan kaki. Dia tidak ingin berfikiran negatif sekalipun masih jauh lagi perjalanannya untuk ke Tahap 2.

Dia kemudiannya menatal ke Panel Misi.

Tiga Misi Utama lagi berbaki. Dua yang pertama sudah mula bergerak. Misi David Turner mungkin boleh diselesaikan hari ini.

Aku akan cuba selesaikan ini dulu, tekad Ethan. Kemudian, aku akan selesaikan dua lagi sebelum hujung minggu.

Dia berjoging melepasi deretan kedai yang masih bertutup. Fikirannya melayang ke misi yang paling berat untuk meningkatkan status sosialnya.

Apa maksud benda tu sebenarnya?

Dia memikirkan senarai dalam buku notanya. Pakaian? Dah. Gajet? Dah. Tapi misi itu masih di situ, belum bertanda selesai.

Kemudian, matanya beralih ke papan tanda jalan yang senget. Jalan raya yang retak seribu. Cat bangunan apartmen yang mengelupas seperti kulit mati. Sampah di tepi longkang.

Edgewater, fikir Ethan. Aku rasa ini adalah kunci kepada misi ini.

Ia bukan sekadar kejiranan; ia adalah label. Cop mohor kemiskinan. Orang berpengaruh tidak tinggal di sini. Ini tempat akhir yang dipilih oleh sesiapa sahaja apabila tiada lagi tempat lain untuk mereka pergi.

Sofa baru takkan mengubah fakta itu. Cat baru takkan menutup realiti itu.

Langkahnya semakin perlahan apabila dia sedar apa yang dia perlu lakukan sebenarnya ketika ini.

Kami kena pindah.

Kalau dia boleh memindahkan keluarganya ke kawasan perumahan sebenar—tempat yang ada pengawal keselamatan, ada taman landskap—itu akan menaikkan status sosial mereka jauh lebih tinggi daripada mana-mana jam tangan atau telefon pintar.

Kemudian, dia akan memberhentikan kedua ibu bapanya dari terus bekerja. Dia akan menambah wang ke dalam akaun simpanan dan pelaburan mereka sekeluarga.

Dia yakin, begitulah yang sistem inginkan.

Fikiran itu menenangkannya. Ia membuatkan dia terlupa seketika rasa pedih di betisnya. Senyuman kecil terukir di bibirnya apabila pintu gerbang taman mula kelihatan.

Misi Harian dulu. Lepas tu David. Lepas tu… cari rumah.

Taman itu sunyi. Pukul 5:30 pagi. Lampu jalan berdengung halus, berjuang kalah mati melawan fajar yang menyinsing. Matahari akan terbit lebih awal di musim panas. Jadi cuaca ketika ini juga perlahan-lahan menjadi semakin panas.

Ethan melakukan regangan ringkas. Rasa sakit semalam masih ada, tapi ia sedikit pun tidak mengganggu pergerakannya.

Dia bermula.

Bunyi tapak kasut memijak kerikil halus memecah kesunyian.

Semalam, kilometer pertama sudah cukup buat dia tercungap. Hari ini, kakinya bergerak lebih lancar. Nafasnya lebih teratur, seiring dengan hayunan tangan.

Jadi macam ni rasanya bila semua atribut fizikal bertambah?

Dia menolak lebih kuat, memanjangkan langkah.

Satu pusingan lagi. Peluh mula berkumpul di dahinya, tapi dia tidak peduli.

Masuk kilometer keempat, bajunya sudah basah lencun. Jantungnya berdegup kencang. Tapi peliknya, dia tidak rasa ingin berhenti.

Kalau aku dapat naikkan lagi Ketahanan, mesti semua ni akan rasa lebih mudah.

Dia mengetap gigi, memaksa dirinya menghabiskan pusingan terakhir dengan pecutan akhir, dan akhirnya berhenti dengan senyuman lebar. Tanpa membuang masa, dia menjatuhkan badan untuk tekan tubi. Tangannya menggigil, tapi dia tidak rebah. Masuk tiga puluh, dia menolak rasa pedih itu ke tepi. Lima puluh selesai.

Dia berpusing. Bangkit tubi. Perutnya menjerit, tapi masih boleh dikawal.

Squat. Perlahan, stabil, paha terbakar dengan asid laktik.

Bila dia selesai, dia berdiri tegak, dadanya berombak kencang. Badannya sakit, tapi semuanya dirasakan sangat berbaloi. Dia sedang membina semula tubuhnya, perlahan-lahan, luar dan dalam.

Jalur cahaya matahari pertama membelah taman, menyinari wajahnya. Ethan mengesat dahi dengan lengan baju.

Hari Kedua. Bermula.

Cover Novel Melayu