Ethan melangkah masuk ke apartmen. Aroma kopi yang baru dibancuh dan roti bakar yang rangup menyambut deria baunya serta-merta.
Elise mendongak dari meja makan, sedikit terkejut. “Eh? Kamu pergi mana?”
Semua orang menyangka dia masih terbungkam tidur di bilik.
Aaron yang sedang menghirup kopi ketawa kecil, memandang baju Ethan yang basah lencun dengan peluh. “Tengok gaya tu, mestilah baru balik joging.”
Jacob menggosok matanya yang merah, kelihatan persis zombi yang sesat jalan. Dia baru tidur tiga jam selepas selesai ‘maraton’ siri TV di akaun Tenflix yang baru Ethan langgan semalam.
“Kejap… abang pergi joging?” gumam Jacob, suaranya serak. “Kenapa tak kejut saya? Saya pun nak ikut.”
“Tidurlah awal sikit lain kali,” tegur Elise lembut, sambil meletakkan sepinggan telur hancur di atas meja.
Ethan mengesat muka dengan tuala kecil yang dihulur oleh Lily, tersengih. “Maaf, Jacob. Keputusan mengejut. Esok abang heret kau keluar dari bilik. Siap sedia.”
Jacob tersenyum, walaupun matanya layu. Sesi bola di taman semalam telah menyalakan sesuatu dalam dirinya. Ethan bukan sekadar lagi dianggap sebagai abang semata-mata. Dia sudah menjadi idolanya sekarang ini. Dia ingin menjadi seperti Ethan. Sebab itulah dia ingin lebih serius berlatih selepas.
“Jom makan,” pelawa Elise. “Kamu mesti lapar.”
Ethan menarik kerusi dan duduk. Sarapannya ringkas—roti bakar disapu mentega, telur hancur, dan kopi panas—tetapi rasanya jauh lebih memuaskan daripada mana-mana hidangan hotel lima bintang.
“Adik-adik kamu cakap kamu dah berhenti kerja kedai buku,” kata Aaron di celah kunyahan roti. “Semuanya okey ke?”
Ethan mengangguk tenang, mencapai cawan kopi. “Okey, Ayah. Saya perlu fokus pada beberapa benda sekarang.”
Aaron dan Elise bertukar pandangan sekilas, tetapi tidak bertanya lanjut. Mereka menganggap ia berkaitan dengan projek portal yang diberikan oleh pihak universiti, seperti apa yang Ethan beritahu semalam. Bagi Jacob dan Lily, mereka tidak peduli apa projek yang dimaksudkan oleh Ethan. Cuti semester bermaksud tidur lambat dan penat bermain.
Bagi Ethan pula, cuti kali ini lebih bermakna. Dia akan fokus pada fasa pembinaan empayarnya sendiri.
“Jadi, apa plan hari ni?” tanya Elise, menghulurkan sekeping lagi roti bakar kepada Ethan. “Siapkan projek?”
“Dah selesai banyak juga semalam,” jawab Ethan, berdalih dengan lancar. “Jadi, hari ni saya nak keluar sekejap. Lepak dengan Jordan dan selesaikan beberapa perkara. Saya akan balik sebelum makan malam.”
“Baiklah,” balas Elise.
“Apa-apa pun, jaga diri,” pesan Aaron. “Panas kat luar tu.”
Ethan tersenyum manis. “Baik, Ayah.”
***
Malam tadi, di sebuah kawasan yang jauh dari Bandar Novan.
Bar itu, sekali pandang pun sudah cukup untuk menyimpulkan bahawa ia hidup dan bernafas dengan dosa. Segala bentuk dosa. Segala bentuk kejahatan. Semuanya berkumpul di sini, bersembunyi di sebalik dinding kayunya yang reput.
Tanglung minyak yang tergantung di silang memancarkan cahaya jingga malap ke dinding kayu yang berlumut. Udara tebal dengan bau tajam wiski murah, peluh masam, dan habuk papan yang berterbangan di udara.
Peti nyanyi lama di sudut memainkan lagu country yang perlahan dan melankolik. Bunyi tapak but melantun di atas lantai papan yang tidak rata. Di setiap meja, lelaki-lelaki kasar membongkok di atas kad dan dadu, mengumam sumpahan setiap kali syiling bertukar tangan.
Tiba-tiba, suhu bilik jatuh mendadak.
Ia bukan tiupan angin dari tingkap yang terbuka. Ia adalah kesejukan yang tiba-tiba dan tidak semulajadi, seolah-olah haba disedut keluar secara paksa dari ruang itu oleh tangan ghaib. Jarum peti nyanyi berdesing tajam sebelum mati sepenuhnya, seolah-olah mesin itu sendiri takut untuk mengeluarkan bunyi.
Gelak ketawa mati di kerongkong. Bar itu menjadi sunyi sepi seperti tanah perkuburan.
Pintu kembar di hadapan terbuka perlahan. Ia tidak dihempas; ia cuma mengerang panjang, mendedahkan susuk tubuh yang berdiri di ambang pintu.
Silas Graves.
Topi koboinya ditarik rendah, menyembunyikan wajah. Kot labuhnya berdebu. Dia memancarkan tekanan yang membuatkan udara terasa berat dan menyesakkan, seperti detik senyap sebelum ribut pecah.
Dia melangkah masuk.
Thum. Thum. Thum.
Butnya menghentam lantai dengan ritma yang perlahan dan berat.
Di meja paling hujung duduk keluarga Harlow. Empat beradik dan seorang sepupu—sekawan serigala dalam kulit manusia.
Jed Harlow, yang sulung, berdiri. Dia bukan yang paling besar, tetapi matanya yang paling jahat. Satu parut panjang melintang di rahangnya. Tangannya berehat santai di atas pemegang mutiara pistol revolver miliknya.
“Wah, tengok siapa yang datang,” kata Jed meleret, suaranya licin dan berbisa. “Bukan ke kami dah tinggalkan kau untuk jadi makanan cacing?”
Bar itu seperti sedang menahan nafas.
Silas melangkah ke hadapan. Bayang-bayangnya memanjang kurus di atas lantai, lebih gelap dan lebih pekat daripada apa yang sepatutnya dibenarkan oleh cahaya malap itu.
“Patutnya kau gali lagi dalam.”
Bunyi kerusi bergeser kasar memecah kesunyian apabila adik-beradik Harlow bangun serentak.
“Cakap sekali lagi,” cabar Eli, adik kedua, sambil menguraikan tali lasso yang berat di tangan.
Di sebelahnya, seorang lagi memetik tuil senapang dengan bunyi klik logam yang tajam. Yang paling besar antara mereka—seorang gergasi dengan bahu lebar seperti kerbau—membunyikan buku lima dan mencengkam hujung meja kayu oak. Di belakang, sepupu mereka meraba-raba pistol six-shooter, matanya melilau cemas.
Bilik itu meletup dalam kekacauan.
“Lari!”
“Mereka nak bertempur!”
Pelanggan lain memanjat meja, menendang kerusi dalam rempuhan panik menuju ke pintu atau terjun berlindung di belakang kaunter bar. Botol pecah berderai di lantai, bau wiski tumpah naik tajam ke udara.
Di tengah-tengah ribut itu, Jed Harlow tidak berganjak. Dia hanya tersenyum sinis, memerhati kepanikan itu dengan rasa geli hati.
“Tengok dia,” kata Jed, suaranya memotong jeritan orang ramai. “Kau betul-betul ingat kau boleh lawan satu kawanan, Silas?”
Eli ketawa—bunyi kasar dan menyalak. Dia menampar tali lasso ke kakinya sendiri.
“Mungkin api tu dah bakar otak dia,” ejek Eli. “Lupa ke betapa senangnya keluarga kau kena bunuh? Kalau kau tak berdaya dulu. Kau tak berdaya sekarang.”
Mendengar keluarganya disebut, Silas dapat merasakan sesuatu sedang terbakar pada dada kirinya itu. Tanda Matahari Hitam di dadanya menyala di bawah baju. Jalur dakwat hidup yang bergerigi merayap naik ke lehernya, melintasi rahang, dan menyeberangi mata kirinya.
Sklera matanya bertukar hitam pekat. Irisnya bersinar merah darah.
“Tak payah banyak Tak payah banyak cakap,” kata Silas.
Mendengar itu, Eli bergerak dulu. Dia menyentap pergelangan tangannya, dan tali lasso itu bersiul membelah udara, mensasarkan leher Silas untuk jerutan maut.
Silas tidak mengelak.
Tangan kirinya—yang kini dibalut urat hitam yang berdenyut—meluru ke atas. Dia menangkap tali itu di udara dan merentap kuat.
Eli terbang ke hadapan seperti anak patung kain. Mukanya menghentam bucu meja kayu tebal.
Krak!
Kayu itu retak seribu akibat hentaman. Eli jatuh ke lantai dan tidak bergerak lagi. Seolah-olah itu tidak cukup, Silas memijak kepala Eli dengan tapak butnya yang berat. Sekali. Dua kali. Bunyi tulang patah mengerikan.
“Jahanam kau!” jerit penembak senapang. “Kau bunuh Eli!”
Senapang itu meletus. Percikan api menerangi asap. Peluru mengunyah kerusi dan dinding di belakang Silas.
Silas bergerak. Dia bukan berlari; dia adalah bayang-bayang yang kabur. Dia merapatkan jarak sebelum lelaki itu sempat mengepam peluru seterusnya. Dia mencengkam tengkorak lelaki itu dan menghentam kepalanya berulang kali ke kaunter bar.
Bam. Bam. Bam.
Darah melukis corak abstrak di atas kayu. Senapang itu jatuh berdeting ke lantai.
Satu ngauman menggegar bilik. Si Gergasi menyerbu. Dia mengangkat meja oak yang berat itu melepasi kepala dan melontarnya seperti piring terbang gergasi.
Silas tidak berundur. Dia menangkap meja itu di udara dengan satu tangan. Urat hitam di lengannya membonjol, kayu itu mengerang di bawah cengkaman luar biasa.
Dengan satu ngauman rendah, Silas menolak meja itu kembali. Ia terbang menghentam dada Si Gergasi, melancarkannya ke belakang dan merempuh rak minuman keras.
Kaca meletup. Wiski tumpah ke atas gergasi itu, bercampur dengan darah. Dia terkulai, tertimbus di bawah pecahan botol.
“Kau bukan manusia!” jerit sepupu itu, suaranya pecah ketakutan.
Dia mengosongkan pistolnya secara membabi buta ke dalam asap tebal. Bang! Bang! Bang!
Peluru merobek kabus. Seorang wanita menjerit di sudut apabila peluru sesat menyipi lengannya.
Silas melangkah keluar dari asap, tidak tersentuh walau sehelai benang. Dia mengangkat revolver miliknya.
Bang!
Satu das. Tepat.
Sepupu itu membongkok, memegang perut, dan tumbang menyembah bumi.
Hanya Jed yang tinggal.
Tangannya menggigil teruk semasa dia menekan picu dua pistolnya bertubi-tubi.
Peluru memecahkan cermin di belakang bar menjadi serpihan kristal. Serpihan kayu juga juga berterbangan.
Silas terus berjalan. Tenang.
Satu peluru menyipi bahunya. Darah memercik, tetapi tanda di dadanya menyala lebih panas, memakan kesakitan itu, menukarkannya menjadi tenaga yang memacunya ke hadapan.
Pistol Jed berbunyi klik. Kosong.
Keangkuhan lenyap sepenuhnya dari wajah Jed, digantikan dengan ketakutan yang tidak dapat dikawal. Dia terhuyung-hayang ke belakang sehingga tulang belakangnya melanggar kaunter bar. Tiada jalan keluar.
“Tunggu—tunggu!” dia tergagap-gagap-gagap, peluh sejuk membasahi dahi. “AyahAyah aku—Lee Harlow—dia akan tanam kau! Satu keluarga akan buru kau!”
Silas tidak berkelip. Wajahnya adalah peta urat sumpahan, mata merahnya membara dalam kelam bar itu.
“Tak. Tak. Kita boleh bincang!” rayu Jed, melurut jatuh di tepi bar, maruahnya hilang. “Kau keluar dari sini, tak ada siapa buru kau. Cuma… jangan buat ni!”
Silas sampai kepadanya dalam tiga langkah besar. Tangan sumpahannya mencengkam leher Jed, mengangkatnya dari lantai seperti patung ringan dan menghempasnya ke atas meja bar. Kaca berderai di bawah belakang badan Jed.
“Tolong—Silas!”
Silas mendekatkan wajah. Suaranya adalah geram dari dalam kubur.
“Kau bunuh keluarga aku.”
Dia menekan muncung sejuk revolver ke dahi Jed.
“Sekarang giliran kau.”
Bang!
Tembakan itu merobek kesunyian. Jed tersentak sekali, kemudian terkulai kaku.
Kesunyian kembali semula, lebih berat dari tadi.
Bar itu hancur. Mayat bergelimpangan. Wiski dan darah bertakung di lantai. Orang ramai yang selamat meringkuk di sudut, mata terbeliak ketakutan, merenung raksasa yang berdiri di atas mayat.
Silas berdiri di tengah-tengah runtuhan, dadanya berombak. Garisan hitam di kulitnya berdenyut, hidup dan lapar.
Perlahan-lahan, satu senyuman herot terukir di wajahnya. Pahit. Kosong.
Dendamnya sudah ada sasaran baharu.
Dan jauh dari situ, sementara Ethan Cole sedang belajar melayari hidup baharunya yang penuh harapan, musuh yang membawa maut mula bergerak dalam bayang-bayang.