Visual pertama muncul. Bukan perlahan-lahan. Ia meletup di hadapan mata Ethan seperti intro filem fantasi dan aksi di skrin wayang gergasi.
“Kat mana ni…” ujar Ethan, penuh dengan persoalan. “Bumi lagi ke?”
Sebuah takhta batu pasir yang terukir megah muncul di tengah-tengah padang pasir. Di atasnya, seorang lelaki berjubah emas sedang bersemayam. Tangannya menggenggam sebatang lembing yang bukan diperbuat daripada kayu atau besi, tetapi daripada api yang marak menyala. Di hadapannya, bala tentera yang jumlahnya cukup untuk memenuhi sepuluh buah stadium bola sepak sedang melutut. Panji-panji mereka berkibar megah, wajah mereka penuh keyakinan.
Apabila lelaki itu bangkit dan berjalan turun, bumi itu sendiri bergegar, seperti takut dengan langkahnya. Dia berteriak dalam bahasa yang tidak difahami Ethan ke arah bala tentera yang bukan manusia.
Tubuh musuh mereka seperti binatang buas, tapi lebih ganas dan kuat. Sekali lagi, lelaki itu menjerit, kali ini berserta lontaran lembing apinya ke udara.
Apinya membelah langit, sebelum turun semula seperti meteor gergasi. Jumlah tidak terkira. Ia jatuh dengan pantas dan membakar hangus binatang-binatang buas bersisik besi yang mempunyai sayap cukup besar untuk menelan cahaya. Musuh di langit, musuh di darat, tiada satu pun yang selamata.
Ethan terpaksa melindungi matanya dengan lengan daripada bahang yang menyilau, namun dia tetap mengintai. Mustahil dia tidak ingin melihat apa yang berlaku.
“Dia boleh kawal api…” gumam Ethan. Fikirannya cuba mencari logik. “Dia ni apa? Mutan? Manusia super?”
Belum sempat dia mendapat jawapan, visual itu terbakar hangus, digantikan pula dengan bunyi deruan ombak yang ganas.
Ethan berpaling ke belakang. Kini dia mendapati dirinya sedang berdiri—atau lebih tepat, terapung—di atas permukaan lautan yang luas tanpa penghujung. Jauh di hadapan, seorang lelaki berzirah kristal berdiri megah di atas ombak. Mahkotanya berkilauan seperti berlian, dan pedangnya berderak dengan arus air yang deras. Dia mengangkat tangan, dan seluruh lautan akur, membentuk dinding air gergasi. Rakyatnya memujanya seolah-olah dia adalah dewa laut itu sendiri.
Tetapi, tiada pemerintahan yang kekal.
Makhluk-makhluk bayang mula bangkit dari jurang lautan, mengeliat dan berlingkar dengan pandangan mata yang kosong dan tanpa jiwa. Lautan itu sendiri seakan-akan mengundur ketakutan. Semangat tentera kristal itu hancur sebelum pedang sempat dihayun. Kerajaan itu runtuh, bukan ditelan ombak, tetapi ditelan oleh rasa takut dan putus asa yang mencengkam.
“Makhluk apa tu?” Tangan Ethan menggigil, sedikit ketakutan. “Tadi binatang buas. Kali ini… seperti bayang.”
Lama Ethan memandang makhluk-makhluk bayang itu. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja terbit satu perasaan geram, benci dan dendam. Dia dapat rasakan mereka itu seperti musuh yang sudah lama ingin dia hapuskan.
“Perasaan apa ni?”
Visual berubah lagi. Lautan surut dengan sangat laju. Digantikan oleh batu-batan yang timbul di bawah kaki Ethan. Ia seperti dia sedang melihat bangunan, menara pencakar langit dan lain-lain binaan sedang dibina oleh tangan-tangan ajaib.
Setiap bangunan tinggi. Setiap menara menjulang naik menembusi awan. Tingginya langsung tidak masuk akal untuk binaan zaman purba. Kemudian, dia ditunjukkan pula teknologi-teknologi yang belum pernah dilihat pada zaman ini.
Ethan terlalu kagum sehingga dia terlupa untuk bernafas, sehinggalah visual menunjukkan seorang wanita cantik berpakaian serba putih berjalan. Kedua-dua tangannya bercahaya dengan denyutan kuasa tanah. Ketika itulah Ethan tahu siapa di sebalik semua pembangunan ini.
Dengan satu petikan jari, bandar-bandar terbangun. Mesin-mesin gergasi tunduk patuh, dan armada kapal angkasa melonjak ke bintang. Ethan berpusing 360 darjah, mulutnya ternganga luas.
“Semua ni dari masa depan ke?” tanya Ethan, nafasnya pendek.
Wanita itu membawa armada kapal angkasanya berperang dengan musuh-musuh yang tidak dapat Ethan pastikan spesis mereka. Mereka kuat, mempunyai kekuatan dan keupayaan teknologi yang sama luar biasa. Namun, wanita itu memiliki kelebihan yang ketara. Dia berjaya membawa pimpinannya untuk menang ke atas mereka.
Kemudian, skrip yang sama berulang. Kerajaan dan pimpinannya jatuh. Cuma kali ini, bukan kerana musuh luar. Sekutu-sekutunya mula merancang pemberontakan. Rasa iri hati mengeras menjadi pengkhianatan. Menara-menaranya runtuh, armada-armadanya terbakar di atmosfera, dan empayar moden miliknya hancur menjadi puing berdebu.
Ethan terundur ke belakang. “Dia pun… kalah.”
Visual itu kini berputar dengan lebih pantas, menarik Ethan merentasi masa dan zaman seperti penumpang dalam roller-coaster sejarah yang rosak breknya. Terlalu banyak penguasa, empayar dan tentera mereka yang Ethan lihat.
Dia melihat penakluk dunia yang mengawal angin mengukir laluan di langit, bala tentera mereka menyerang musuh dengan kekuatan laksana taufan. Dia melihat penguasa yang mengawal bumi membentuk gunung-ganang menjadi kubu kebal.
Api membakar, air mengamuk, angin melaung, bumi bertahan.
Visual-visual itu berputar semakin laju, menjadi pusaran warna dan jeritan perang. Kegemilangan bertukar kehancuran. Kuasa diakhiri pengkhianatan.
Empat elemen. Setiap satunya membolehkan penguasa ini menguasai dunia. Ethan tidak tahu apakah mereka semua berada di dunia yang sama, atau berbeza. Namun, mereka berdepan musuh yang hampir serupa.
Ketika itulah Ethan perasan akan satu pola yang jelas. Setiap penguasa yang Ethan dapat simpulkan sebagai Maharaja dan Maharani, sama seperti apa yang tertulis pada kad yang diberikan kepadanya, hanya mampu mengawal satu bentuk elemen sahaja.
Salah satu daripada api, air, angin atau tanah.
Tiada yang mampu mengawal dua elemen serentak atau lebih.
“Apa jadi kalau ada yang mampu mengawal semua elemen?” soal Ethan. Dia tiba-tiba teringat akan satu kartun lama, puluhan tahun lalu mengenai seorang sami botak.
“Ada kaitan ke?” soalnya lagi, hampir ketawa.
Ethan kini terapung lebih tinggi. Di bawahnya ada ratusan, mungkin ribuan penguasa yang sedang memandangnya. Wajah-wajah mereka bersinar dan berkelip seperti bintang di angkasa. Melihat wajah mereka, Ethan teringat semula akan visual kisah dan sejarah mereka.
Ada yang diselubungi darah penaklukan, ada yang berjubah kebijaksanaan. Mereka bertarung menentang segala bentuk dan jenis musuh serta sesama manusia. Mereka membina empayar agung, hanya untuk melihatnya hancur menjadi abu.
Suara Ethan bergetar di dalam kekosongan itu. “Mereka semua… adalah penguasa. Mereka ada kuasa, tapi… semua kalah.”
Ethan menekan tangan ke dada. Beban sejarah ini terasa berat, seolah-olah dia sedang memikul dosa dan kesilapan ribuan tahun di bahunya.
“Kenapa aku kena lihat semua ini?!” jeritnya.
BOOM!
Cahaya itu meledak, ganas dan membutakan. Semua visual itu pecah, meluru ke arah Ethan seperti ribut yang sedia menelannya bulat-bulat. Namun, dalam kekalutan itu, minda Ethan sempat menangkap satu pengajaran. Satu kebenaran pahit.
Manusia mampu mengubah dan menghasilkan sesuatu daripada tiada kepada ada. Tapi tiada apa yang kekal. Empayar bangkit, empayar tumbang. Mahkota berkecai, legasi terkubur di bawah berat waktu. Hati manusia sekalipun rapat, tidak mustahil untuk berkhianat. Dan kuasa jahat jika tidak dibendung, akan menang.
Cahaya itu pudar. Kesunyian kembali mengambil alih.
Ethan kembali di ruang gelap tanpa batas itu. Dia tercungap-cungap, peluh dingin membasahi dahi. Tangannya menggenggam kad putih itu erat. Visual tadi masih segar, terpatri dalam ingatannya.
Dia merenung perkataan MAHARAJA pada kad itu, kemudian mengangkat pandangan kepada lelaki serba putih di hadapannya.
“Apa… maksud semua ni?” Suara Ethan perlahan, tidak stabil, tapi cukup jelas. “Siapa mereka… orang-orang yang aku nampak tadi?”
Rasa curiga menyesakkan dadanya. Ethan menunggu, jantungnya berdegup kencang menanti jawapan.
Lelaki serba putih itu, yang tadi kaku seperti patung, tiba-tiba bergerak. Pergerakannya penuh tertib dan menakutkan. Dia merendahkan tubuh, melutut dengan sebelah kaki, dan menundukkan kepala.
Tidak ubah seperti gaya tunduk hormat seorang hamba kepada rajanya.
“Tuanku, patik telah lama menunggu,” kata lelaki itu.
Suaranya tenang, penuh keyakinan, membawa satu nada hormat yang membuatkan bulu roma Ethan meremang tegak.
Ethan kaku. Nafasnya tersangkut di kerongkong.
“Kau… Apa yang kau merepek ni?”
Ini lebih menakutkan daripada raksasa atau tentera api tadi. Kenapa lelaki misteri ini melutut? Dan kenapa kepadanya? Ethan hanyalah budak universiti yang risau pasal sewa rumah!
Ethan berundur setapak, wajahnya pucat lesi. “Kejap. Kejap. Aku tak faham. Kenapa kau—”
Belum sempat dia habiskan ayat, satu daya kasar merentap tubuhnya dari belakang.
Satu tangan yang kuat menekup mulutnya, manakala satu lagi tangan mencengkam bahunya dengan kekuatan luar biasa. Mata Ethan terbeliak.
Cengkaman itu merentapnya ke belakang dengan ganas. Kad putih itu terlepas dari tangannya. Tubuhnya terhumban, melayang di udara. Dia dapat rasakan perutnya tertinggal di belakang, seperti dia baru sahaja jatuh dari bangunan tinggi. Dunia sekelilingnya mula berputar ligat.
“Jangan!” Jeritan lelaki serba putih itu bergema, panik. “Kita perlukan dia, Mangi!”
Lelaki serba putih itu menerkam ke hadapan, cuba mencapai Ethan. Tangannya dipanjangkan, terdesak.
Tetapi tangan misteri yang menarik Ethan lebih laju.
Apa pula sekarang?! jerit hati Ethan.
Nafasnya tersekat. Pandangannya kabur. Dia seperti lumpuh, tidak mampu bergerak apatah lagi melawan. Dia berasa seolah-olah dunia sedang diterbalikkan dari dalam ke luar.
Dia memejamkan mata rapat-rapat, bersedia untuk apa sahaja kali ini.
Beberapa saat kemudian… semuanya menjadi senyap.
Tiada lagi putaran.
Tiada lagi tarikan ganas.
Semuanya terhenti.
Ethan masih memejamkan mata, takut untuk melihat realiti. Tetapi dia dapat merasakan satu perubahan. Udara sejuk beku tadi sudah hilang, digantikan dengan kehangatan yang menenangkan.
Perlahan-lahan, dia membuka mata.
Kali ini, bukan kegelapan yang menyambutnya.
Sebaliknya, cahaya terang-benderang menyerbu masuk, menyilaukan retinanya yang masih cuba menyesuaikan diri.
Ia putih. Terlalu putih. Dan menyakitkan mata.
“Aku kat mana kali ni?”