Haba tengah hari menyambar Ethan sebaik sahaja dia melangkah keluar dari bank. Matahari musim panas memancar terik, menjadikan udara terasa lebih panas dari biasa dan tubuhnya melekit sekelip mata. Ethan mengecilkan mata, mengesat peluh di dahi dengan belakang tangan.
Sekarang apa? fikirnya.
Pertemuan dengan David Turner dijadualkan esok. Jadi, dia tidak perlu tergesa-gesa. Lagipun, ada beberapa perkara lagi yang perlu diselesaikan untuk pendaftaran syarikat.
Mujurlah Sistem Infiniti diam membisu ketika ini. Tiada notifikasi baru, tiada misi pelik-pelik. Ethan menghembus nafas lega. Baginya, ada baiknya juga sistem diam buat sementara waktu. Misi Harian yang sedia ada pun sudah cukup memeningkan kepala. Latihan fizikal itu, entah larat entah tidak untuk dia habiskan nanti. Tapi mengenangkan hukuman yang menanti kalau gagal, dia tiada pilihan lain.
Kakinya mula melangkah tanpa arah tujuan yang jelas, namun mindanya ligat berputar. Fokus utamanya sekarang: Status Sosial.
Ia frasa yang subjektif. Boleh jadi pangkat, harta, reputasi, atau sekadar bagaimana dunia memandang dirinya.
Mungkin aku boleh mula dengan ‘upgrade’ barang dulu, detik hatinya. Boleh jadi Sistem ni jenis yang materialistik.
Fikirannya beralih kepada barangan peribadi. Pertama, telefon pintar.
Apa yang dia guna sekarang ini sudah boleh dikategorikan sebagai ‘barang antik’. Skrin retak seribu, asyik lagging, dan bateri pun nyawa-nyawa ikan—tahan separuh hari pun sudah dikira sangat ajaib. Agak mustahil untuk dia membina empayar perniagaan dengan peranti yang semput sebegini.
Ethan berkali-kali mengingatkan dirinya bahawa semua ini bukan soal untuk berlagak. Semua ini adalah keperluan asas.
Kedua, komputer riba. Komputer riba yang ada di biliknya sekarang ini merupakan model yang sudah agak lama. Jika dibuka lebih dari dua tab pada satu-satu masa, kipasnya akan berbunyi seperti bakal berlepas dan terbang sebentar sahaja lagi.
Sedang asyik dia menyusun senarai barangan yang perlu dibeli, langkahnya terhenti di hadapan cermin tingkap sebuah kedai.
Imej yang terpantul di situ menarik perhatiannya.
Seorang pelajar universiti yang kurus, berambut serabai, memakai baju polo berwarna merah dengan ‘The Good Books’, dan seluar jeans yang nampak lusuh. Di bahagian kaki, kasut sukannya sudah mula merekah di bahagian tepi.
Ethan terdiam sejenak.
Barulah dia sedar realitinya. Tiada satu pun pada dirinya sekarang yang membawa imej “Pengasas Syarikat”. Gayanya lebih kepada individu yang ingin mengutip derma tabung kebajikan, bukan seseorang yang bakal berunding perjanjian perniagaan berskala mega.
Ethan tersenyum nipis, sedikit sinis dengan diri sendiri.
Kalau aku jumpa orang bisnes pakai macam ni, aku pun takkan ambil serius.
Pakaian bukan sekadar untuk menutup tubuh. Bagi dunia korporat, pakaian adalah bahasa pertama sebelum mulut mula bercakap. Dia memikirkan gaya profesional yang selalu dilihatnya—sut kemas yang mempunyai potongan tajam—jenis penampilan yang menuntut hormat. Dia tidak perlukan fesyen pelik-pelik. Dia cuma perlu nampak seperti seseorang yang tahu apa yang dia buat.
Dia mengeluh perlahan, membetulkan tali beg galas, dan mempercepatkan langkah. Southkey Mall tidak jauh dari situ. Selalunya dia ke sana sekadar untuk mencuci mata melihat permainan video terbaru, tapi hari ini, dia ada misi peribadi.
Sepuluh minit kemudian, Ethan melangkah masuk ke dalam ruang legar berhawa dingin pusat beli-belah itu. Suasana di dalam jauh berbeza. Struktur gergasi itu menjulang tinggi, berkilauan di bawah cahaya matahari yang menembusi bumbung kaca. Bunyi bising jalanan pudar, digantikan dengan muzik latar lembut dan gumam suara manusia yang selesa berbelanja.
Dia memintas medan selera dan arked, terus menuju ke Lauren & Co., sebuah butik yang nampak ‘mahal’ dengan tingkap kaca bersih dan susun atur minimalis.
Sebaik melangkah masuk, hidungnya disapa bau ‘orang kaya’ dan minyak wangi. Segala-galanya tersusun rapi—jaket, kasut, kemeja. Kontras yang sangat ketara dengan kekecohan kedai buku atau keusangan apartmennya.
Kejap. Aku dah pening nak pilih pakaian macam mana.
Ethan memandang baju polonya. Tiba-tiba dia terasa dirinya tidak sesuai untuk menjejakkan kaki ke sini. Dia mengambil nafas, cuba untuk berlagak tenang. Jika dia masih Ethan Cole yang lama, dia perlu malu untuk berada di sini. Sekarang, dia adalah seorang bilionair. Dia bukan di sini untuk menyesuaikan diri; dia di sini untuk berubah.
Mujurlah ada seorang jurujual wanita berjalan ke arahnya. Penampilannya profesional, senyumannya terlatih sekalipun Ethan dapat menangkap sedikit keraguan pada matanya.
“Selamat petang,” sapanya. Matanya sempat mengerling sekilas ke arah kasut Ethan, namun cepat-cepat dialihkan. “Boleh saya bantu encik?”
“Saya cari sesuatu yang profesional,” jawab Ethan, suaranya tenang. “Sesuatu yang sesuai untuk situasi mesyuarat bisnes.”
“Mesyuarat bisnes? Baik. Saya faham,” wanita itu mengangguk. “Sila ikut saya.”
Dia membawa Ethan masuk ke bahagian yang berada lebih dalam. Wanita itu berhenti sekali-sekala untuk menyentuh jaket atau merasakan fabrik kemeja. Walaupun dia tidak memberi komen tentang pakaian biasa-biasa Ethan, Ethan tahu dia sedang dinilai. Namun, dia bernasib baik kerana jurujual tersebut masih kekal profesional.
“Saya ada beberapa cadangan yang mungkin sesuai,” kata jurual tersebut sambil menarik blazer biru gelap dari rak. Kemudian, dia mengambil sehelai kemeja putih dan seluar slack berwarna kelabu. “Mungkin encik boleh cuba yang ini dulu?”
Ethan menyentuh fabrik itu. Ringan dan sedap dipegang. Inilah barang berkualiti.
“Saya cuba dulu.”
Di dalam bilik persalinan, Ethan mula mencuba. Polo merah lusuh diganti dengan kemeja putih bersih. Jeans pudar diganti dengan seluar slack kelabu. Akhir sekali, barulah dia menyarung blazer itu.
Dia melihat cermin.
Beberapa kali Ethan mengedipkan matanya. Dia hampir tidak kenal siapa yang berada di dalam pantulan cermin itu. Gaya seorang pelajar universiti yang selekeh tadi sudah hilang. Yang merenung kembali adalah seseorang yang kelihatan lebih kemas dan… tampan.
Saiz dan potongan yang diberikan menyerlahkan bentuk tubuh Ethan. Dia mempunyai badan yang cantik, cuma kurus sahaja.
Dia membetulkan kolar. Handsome juga aku.
Bila dia melangkah keluar, jurujual itu sudah menunggu.
“Macam mana?”
“Sempurna,” kata Ethan. Senyuman kecil terukir. “Saya ambil.”
Senyuman jurujual itu melebar. “Baik, encik. Nak tambah apa-apa lagi? Mungkin kasut yang sepadan?”
Ethan memandang kasut sukannya. Ia kelihatan konyol sekarang—macam perosak pemandangan pada lukisan mahal.
Dia mengangguk. “Boleh juga.”
Selepas memilih sepasang kasut Oxford hitam dan tali pinggang kulit yang sepadan, Ethan melihat cermin sekali lagi. Dia memang sudah berubah sepenuhnya.
Ethan tersenyum, menambahkan lagi seri pada wajahnya.
Tapi kemudian dia terfikir sesuatu.
Dia nampak terlalu bersedia untuk bilik mesyuarat. Berjalan di pusat beli-belah dengan blazer biru dan kasut kulit terasa sedikit janggal. Terasa seperti memakai kostum. Sebab itulah dia tahu yang dia perlukan variasi pakaian sekarang ini, sesuai untuk semua jenis keadaan.
Dia berpaling kepada jurujual itu. “Ini bagus untuk mesyuarat. Tapi saya perlukan baju untuk hari-hari biasa juga. Tapi kemas.”
“Maksud encik?”
“Pakaian yang saya boleh pakai jalan-jalan tanpa nampak macam nak pergi majlis rasmi.”
“Oh. Pakaian kasual.” Mata jurujual itu bersinar. Gaya yang diminta oleh Ethan memang kepakaran dia. “Serahkan pada saya.”
Satu jam kemudian, Ethan melihat timbunan pakaian di atas kaunter. Jaket bomber kelabu arang, t-shirt ringkas berkualiti tinggi, denim gelap dan beberapa jenis pakaian lain lagi. Semuanya ringkas, moden, dan sesuai dengan gaya seorang pengasas syarikat teknologi.
Ethan tersenyum puas melihat dirinya di dalam cermin. Kali ini gayanya lebih kasual. Lebih santai dan menarik. Sama seperti mereka seusianya tapi lebih baik.
Tak sangka aku pun boleh bergaya macam ni.
Jurujual itu memandang Ethan dan timbunan pakaian yang ada di hadapan mereka. Jika Ethan tidak jadi mengambilnya semua, penat juga untuk dia menyusun dan menyimpan semula kesemuanya.
“Saya ambil semua,” kata Ethan.
Jurujual itu tergamam sesaat. “Semua?”
“Semua yang saya cuba tadi.” Dia menunjuk kepada pakaian yang sedang dipakainya. “Dan saya akan terus pakai yang ni.”
“B-baik, encik.”
Jurujual wanita itu bergerak pantas. Dia mengimbas semua tag harga selaju yang boleh. Risau Ethan mengubah fikiran.
“Semuanya $4,987, encik,” kata jurujual tersebut.
Bibirnya terketar-ketar untuk menyebut jumlah tersebut. Dia mula memikirkan banyak perkara negatif. Mungkin Ethan tidak memeriksa terlebih dahulu berapa harga setiap pakaian yang diambilnya. Mungkin Ethan tidak tahu bahawa pakaian di sini lebih mahal dari tempat lain.
Tapi, semua itu hilang sebaik sahaja Ethan mengeluarkan kad debit. Sekalipun kelihatan lama, tapi dia membayar tanpa teragak-agak. Riak wajahnya juga tenang seolah-olah itu belum lagi menghabiskan seluruh simpanannya.
Sebaik sahaja pembayaran berjaya dilakukan, jurujual tersebut tersenyum lebat.
“Terima kasih, encik!”
Tidak cukup dengan itu, dia melihat kod QR yang ada di atas kaunter untuk tip kepada jurujual. Dia mengimbasnya dan memberikan tip sebanyak $500. Jurujual tersebut tidak terus memeriksa jumlah tip yang diterima kerana komisen dari jualan sebentar tadi juga sudah terlalu banyak.
Ethan segera melangkah keluar membawa beg-beg kertas berisi hidup barunya. Namun, apabila dia menangkap pantulannya di cermin koridor, ada satu perkara yang masih belum selesai. Matanya beralih ke rambutnya. Masih serabai dan panjang—gaya seseorang yang hanya potong rambut apabila dipaksa dan penat mendengar bebelan seorang ibu.
Ubah pakaian saja belum cukup nampaknya.
Ethan tersenyum. Destinasi seterusnya: salun rambut.
Tidak lama kemudian, dia sudah duduk di sebuah kerusi kulit di bawah lampu terang salun.
“Nak gaya profesional? Kemas?” tanya tukang gunting itu.
“Ya,” jawab Ethan. “Saya nak yang buatkan saya nampak lebih baik.”
Tukang gunting itu mengangguk faham.
Gunting berbunyi dalam ritma yang stabil. Rambut gugur ke lantai. Tukang gunting itu memendekkan bahagian tepi dan memperkemas bahagian atas. Pantulan di cermin perlahan-lahan menunjukkan versi dirinya yang lebih kemas dan tampan.
Bila selesai semuanya dan dia melangkah keluar, dia rasa sangat berbeza. Pelajar universiti yang selekeh itu kini hanya hidup dalam kenangan.
Ethan melihat sekeliling. Masih ada satu lagi kedai yang ingin dia singgah. Sebuah kedai jam. Dia tidak berminat dengan rekaan yang terlalu menonjol atau bertatah berlian. Dia mahukan sesuatu yang ringkas tetapi berkualiti. Dia memilih jam tangan keluli tahan karat yang halus buatannya.
Dia menyarungnya ke pergelangan tangan, menguji beratnya.
Ini bukan sekadar untuk tengok masa, fikirnya. Ini peringatan. Setiap saat berharga mulai sekarang.
Sebaik sahaja Ethan melangkah keluar dari pusat beli-belah, dia tidak lagi tenggelam dalam lautan manusia. Sebaliknya, semakin ramai yang mula menoleh ke arahnya. Bukan kerana dia pelik, tetapi aura dan gaya yang dipancarkan olehnya ketika ini sangat menarik perhatian.
Ethan membetulkan tali jam barunya, senyuman nipis terukir di bibir.
Ini baru permulaan. Kalau aku boleh ubah diri aku sebanyak ini dalam sehari, aku yakin aku boleh selesaikan semua misi yang sistem berikan.
Ia cuma soal masa.