Sewaktu mereka beratur di kaunter, di belakang seorang wanita tua yang membeli terlalu banyak bawang putih, Jordan tiba-tiba mencondongkan badannya sedikit ke hadapan, seolah-olah ingin berkongsi satu rahsia.
“Ethan,” ujar Jordan separuh berbisik. “Kau rasa wujud tak manusia dengan kuasa atau kebolehan luar biasa?”
Ethan menoleh memandang Jordan. “Maksud kau? Macam adiwira?”
“Ya,” balas Jordan sambil mengangguk serius. “Tak kisah adiwira atau orang jahat, tapi manusia super.”
“Kenapa kau tiba-tiba tanya macam tu?”
Jordan tidak terus menjawab. Dia sebaliknya mengambil sebiji lagi gula-gula masam dan memasukkannya ke dalam mulut. Kali ini dia tidak mengemam, sebaliknya terus mengunyah dengan agak kuat.
“Tadi, masa aku dalam perjalanan ke kedai buku, aku lalu di kedai emas hujung blok tu. Ala, yang lot tepi tu.”
Ethan mengangguk. Dia tahu kedai emas tersebut, lokasinya hanya berselang beberapa buah kedai dari The Good Books.
“Ada rompakan berlaku di situ,” Jordan menyambung bicara.
Reaksi wajah Ethan serta-merta berubah. Tiada sesiapa pun yang berbual mengenai rompakan itu di kedai buku sewaktu dia bekerja tadi. Mungkin ada, tetapi dia yang kurang bergaul dengan pekerja lain mungkin terlepas berita ini.
“Bila?” tanya Ethan.
“Malam tadi,” balas Jordan, namun suaranya mula diperlahankan. “Aku ada dengar cerita yang CCTV ada rakam… tapi macam tak rakam pun ya.”
Ethan tidak memberikan sebarang respon. Dia sekadar diam, membiarkan Jordan menyambung.
“Dia macam ni. Ada pergerakan yang sangat laju. Laju sangat-sangat sampai hampir tak nampak apa-apa. Tapi ada satu lagi yang pelik.”
“Apa dia?”
“Kau tahu,” suara Jordan semakin perlahan, kini hampir berbisik. “Semua pintu besi macam dikoyak. Bukan dengan alatan, tapi dengan tangan. Sebabnya, orang nampak bentuk tangan dan kesan jari pada semua pintu besi tu.”
Dahi Ethan berkerut. “Kejap. Maksudnya perompak tu guna tangan? Tak guna alatan?”
“Macam itulah yang orang cakap.”
“Pelik. Kesan cap jari? Ada?”
Jordan seolah-olah tidak peduli dengan soalan Ethan itu, atau lebih tepat, dia tidak kisah pun siapa sebenarnya suspek tersebut. “Aku tak kisah sangat pasal tu, Ethan. Sekarang ni, ada orang boleh koyak pintu besi macam tu saja. Itu kan lagi menarik.”
Barisan bergerak ke hadapan, dan kini tiba giliran Ethan untuk membayar. Tiada apa yang dibualkan oleh mereka untuk beberapa saat, sehinggalah Jordan bersuara semula, “Tapi, kau rasa mustahil tak semua tu?”
Ethan terdiam sebentar sambil meletakkan barang-barang di atas kaunter. Selesai sahaja semuanya, dia membalas, “Tadi kau cakap aku tak cukup tidur. Aku rasa kau sekarang ni banyak sangat tengok TV.”
Jordan hanya ketawa sambil pantas memintas Ethan, membayar keseluruhan barang menggunakan kad debit miliknya. Ethan tidak sempat menolak atau menghalang tindakan itu.
“Apa pun, hebat kan kalau manusia super betul-betul wujud?”
Ethan tidak menambah apa-apa. Dia hanya mengangguk beberapa kali. Memang sejak dahulu lagi, itulah topik kegemaran Jordan. Manusia super, kuasa sakti, dunia magis; Jordan memang sangat gemarkan semua itu. Sejak dari sekolah rendah lagi, dia selalu melukis komik di dalam buku nota sehingga pernah didenda berkali-kali oleh guru mereka.
Jordan selalu berkata bahawa suatu hari nanti, dia akan merungkai misteri dan meneroka mana-mana dunia tersembunyi, kerana dia amat yakin ada banyak lagi dunia lain dalam alam semesta yang luas ini.
Selesai sahaja urusan mereka, kedua-duanya melangkah keluar dari kedai. Malam sememangnya tiba lebih lewat pada musim panas di Arland, namun ketika ini langit kelihatan sangat gelap. Hujan pasti akan turun sebentar saja lagi. Lampu-lampu jalan juga sudah menyala sepenuhnya.
Ethan membetulkan kedudukan beg barangan dapur yang dibelinya sambil mengucapkan terima kasih kepada Jordan.
“Terima kasih, Jordan. Kau betul tak nak aku bayar balik?”
“Santai. Aku nak belanja kau makan pun susah. Kira okeylah dapat juga belanja kau barang dapur.”
Ethan hanya mampu tersenyum sebelum bertanya, “Jadi, kau nak ke mana lepas ni?”
Jordan menepuk-nepuk beg galas yang dibawanya. “Dalam ni ada kasut futsal, tuala, dan pakaian sukan. Kalau aku rasa bosan dengan budak-budak futsal atau hujan lebat, aku mungkin ke gim.”
“Dah macam beg Doraemon,” balas Ethan sambil ketawa, sebelum dia berhenti dan mendongak memandang langit. “Tapi… bila kau sebut pasal bola, aku dah lama sangat tak main.”
Jordan tersengih. “Jomlah main bola. Kita dulu kan Duo Maut. Boleh buat lagi.”
Ethan tersenyum, tetapi senyuman itu bukan senyuman manis. Rasanya pahit dan kelat.
“Rugi betul kan,” kata Jordan, nadanya sedikit berubah. “Kalau semuanya berjalan lancar, kau mungkin dah jadi superstar sekarang, Ethan.”
“Ah. Kau pun sama.” Ethan sekadar ketawa kecil. “Bukan rezeki kita.”
“Bukan rezeki…”
Kedua-dua mereka terdiam seketika, sama-sama terimbau memori lama. Dahulu, mereka pernah ditawarkan tempat di dalam pasukan belia untuk kelab bola sepak profesional terkemuka di Arland, dua pasukan yang berbeza. Pun begitu, ketika itu, keluarga mereka tidak mampu untuk menampung yuran akademi, yuran pengajian, latihan, dan perbelanjaan lain yang diperlukan.
Selang beberapa tahun kemudian, nasib keluarga Jordan sedikit berubah selepas perniagaan servis pengangkutan dan penghantaran ayahnya, Blake Movers, mula stabil. Sejak itulah Jordan berpindah keluar dari Edgewater.
Namun, semuanya sudah terlambat. Tawaran itu telah lama berlalu.
Ethan mengeluarkan telefon pintarnya.
“Eh. Aku nak kena balik cepat, Jordan,” kata Ethan, memecah lamunan.
Jordan membalas dengan anggukan kecil. “No worries. Kita boleh lepak hari lain.”
“Okey. Lain kali,” balas Ethan.
Mereka berjalan seiringan sehingga ke simpang beberapa meter sahaja di hadapan.
“Jumpa nanti,” kata Jordan.
“Baik. Apa-apa kau beritahu aku.”
Jordan lantas berlari-lari anak, sebelum bunyi derap tapak kakinya perlahan-lahan menghilang.
Ethan pula berdiri setempat, sekadar memerhatikan Jordan. Selepas tamat sekolah menengah, mereka berdua mengambil haluan yang berbeza. Ethan menerima tawaran biasiswa untuk menyambung pengajian, manakala Jordan pula memilih untuk menikmati hidup seketika. Katanya, dia tidak mahu terburu-buru memilih bidang pengajian. Apapun, mereka tetap kekal berhubung secara kerap, kecuali untuk beberapa bulan pada tahun lepas.
Jordan memilih untuk bekerja di syarikat keluarganya, mengembara melihat dunia, dan berkenalan dengan ramai orang. Ethan pula memilih hidup yang sangat padat dengan kuliah, kerja kursus, tugasan, dan kerja sambilan setiap hari.
Kini, melihat Jordan, Ethan terfikir.
Adakah dia telah membuat keputusan yang tepat selama ini? Adakah dengan mengejar segulung ijazah akan menjamin hidup yang lebih sempurna?
Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali, cuba menghalau fikiran itu.
Ketika itulah dia mendengar bunyi guruh berdentum di langit. Dia memandang ke atas; langit kelihatan semakin gelap.
“Habis,” gumam Ethan. “Aku kena lari sekarang.”
Dia segera berlari selaju yang boleh, cuba berhati-hati agar tidak merosakkan barang-barang yang dibeli sebentar tadi, terutamanya telur.
Dalam keadaan tergesa-gesa itu, dia langsung tidak perasan bahawa di dalam poketnya, kad hitam dengan tulisan “Maharaja” sedang bersinar dalam cahaya keemasan untuk beberapa saat.
Kemudian, ia kembali gelap.