Di sebalik dinding nipis ruang tamu, dia dapat mendengar suara itu dengan jelas. Dia yakin, mereka sedang bertengkar. Mujurlah setakat hari ini, masing-masing sentiasa cuba untuk mengawal nada suara mereka. Belum pernah lagi dia mendengar maki hamun atau sumpah seranah keluar dari mulut mereka.
Tapi, dia tetap tidak suka. Bertengkar, teruk atau biasa, bukanlah perkara yang baik.
“Saya penat, Elise,” suara ayahnya, Aaron, kedengaran. Nadanya rendah, tapi jelas terdengar keletihan. “Saya kerja dari pagi sampai malam. Setiap hari. Macam-macam cara dah saya buat. Bukan saya tak usaha apa-apa.”
“Saya faham. Tapi awak ingat saya tak penat?” balas Elise. Suaranya bergetar, menahan sebak. “Awak tahu kan keadaan saya macam mana? Kalau bukan sebab ubat percuma dari hospital, saya tak akan dapat bertahan.”
Ethan berdiri kaku di muka pintu. Kasutnya baru sahaja ditanggalkan. Dia tidak dapat mendengar dengan jelas balasan perlahan ibutnya itu. Jika tidak, pasti dia akan risau akan ubat apa yang diambil oleh ibunya.
Ditambah pula matanya kini tertumpu pada bilik pertama di sebelah kiri. Bilik Lily. Pintu bilik itu tertutup rapat, namun dia tahu adiknya ada di dalam. Mungkin sedang menekup bantal ke telinga, mengasingkan diri sendiri daripada dunia orang dewasa yang bising.
Jacob pula tiada. Kasutnya tiada di rak.
Biarlah dia keluar, fikir Ethan. Kurang satu jiwa yang perlu dengar drama ni.
Ethan berjalan perlahan menghampiri ruang tamu. Suara ibunya kedengaran lagi.
“Greg tanya pasal sewa tadi,” sambung Elise, suaranya kini separuh berbisik.
“Minta tangguh tak?”
“Dah. Jumaat. Itu saja tempoh dia bagi.”
Aaron mengeluh panjang, bunyi berat seseorang yang duduk kasar di sofa usang. Dia kemudiannya memandang Elise, seperti ingin berkata sesuatu, namun memilih untuk diam.
“Kenapa?” soal Elise selepas melihat Aaron tidak jadi menyambung bicara.
“Kalau kita minta Ethan tolong… boleh?”
“Dah. Saya dah tanya dia,” jawab Elise perlahan. “Tapi… sampai bila? Dia patut fokus belajar, bukan fikir pasal bil dan sewa rumah kita.” Jeda seketika. “Saya rasa bersalah. Rasa macam ibu yang gagal.”
Alamak. Hati Ethan tersentak. Aku tak boleh biar.
Dia menarik nafas panjang, membetulkan riak wajah, dan memakai ‘topeng’ paling ceria yang mampu dibuatnya sebelum melangkah ke ruang tamu.
“Saya dah balik!” suaranya sengaja dikuatkan dengan nada riang.
Suasana di ruang tamu berubah serta-merta. Aaron dan Elise berpaling serentak. Riak wajah tegang mereka serta-merta diganti dengan senyuman yang pura-pura.
“Ethan,” ujar Elise. “Kamu kena hujan ke?”
Ethan menggeleng. “Selamat sampai sebelum hujan.” Dia memandang wajah ibunya yang nampak sembap, sebelum menyambung, “Saya dah beli semua yang Ibu minta. Saya letak di dapur.”
Dia kemudiannya berpaling, memandang wajah ayahnya. “Semua okey, Ayah?”
Aaron berdehem, membetulkan duduknya. “Okey. Cuma… biasalah. Ibu dan ayah bincang-bincang sikit macam mana nak bayar sewa dan bil. Hal orang tua.”
Ethan melangkah dan berdiri betul-betul di hadapan Aaron. Dia memegang bahu ayahnya dengan lembut tetapi tegas. “Ayah. Jangan risau pasal sewa. Saya akan uruskan.”
“Tapi—” Elise cuba membantah.
“Jangan risau,” potong Ethan. “Saya ada simpanan sikit. Cukup untuk kali ni.”
Itu bukanlah perkara sebenar. Semua itu hanyalah pembohongan yang terpaksa dia lakukan. Simpanannya masih jauh dari mencukupi dan dia sendiri tidak tahu dari mana dia akan dapatkan duit untuk membayar sewa. Tapi, melihatkan kelegaan yang perlahan-lahan terbit di wajah ibunya, pembohongan itu terasa berbaloi.
“Terima kasih, Ethan,” bisik Elise.
“Sama-sama. Ibu dan Ayah pergilah rehat dulu. Tak perlu bincang-bincang dah. Risau Lily terdengar.”
Aaron dan Elise saling berpandangan. Ada benarnya juga apa yang dikata oleh Ethan. Biarlah masalah ini menjadi masalah orang dewasa sahaja. Risau akan terganggu pula emosi anak-anak mereka yang masih kecil.
Serta-merta, rasa bersalah membelungi diri mereka. Tapi, Ethan tidak benarkan mereka untuk berasa sedemikian, dia menolak lembut tubuh mereka, isyarat supaya segera masuk berehat. Mereka berdua hanya menurut.
Ethan memandang mereka berdua berjalan masuk ke bilik. Dia berdiri sebentar di ruang tamu, melihat sekeliling. Sebuah TV lama yang diletakkan di atas sebuah kabinet tv kecil. Satu set sofa 1+2 tempat duduk yang sudah ada beberapa kesan terkoyak pada kulitnya. Tidak banyak perabot di rumah mereka yang sempit itu.
Dia berjalan sebentar ke arah tingkap, memandang ke luar. Hujan lebat dan guruh berdentum kuat di langit. Ethan tersenyum nipis.
Seronok kalau tidur ni. Sejuk.
Ethan terus berjalan masuk ke bilik. Pintu biliknya dibuka perlahan. Bilik itu kecil, muat-muat untuk sebuah katil bujang, almari kecil, dan meja belajar yang kakinya diganjal dengan kertas kadbod supaya tidak bergoyang. Kipas siling berputar malas, mengeluarkan bunyi krekk… krekk… setiap kali bilahnya melengkapkan pusingan. Kadang-kadang, Ethan terasa seperti ingin ketawa, seolah-olah kipas itu pun turut berkongsi kepenatan hidup dengannya.
Ethan melepaskan lelahnya di atas katil. Dia merenung siling yang mempunyai kesan tompokan air—tidak ubah seperti sebuah peta dunia fantasi yang dia sendiri tidak tahu di mana. Sedang dia seronok berguling-guling di atas katil, ada satu rasa mencucuk di bahagian poket seluarnya.
Tangannya menyeluk poket, mengeluarkan kad hitam yang diterimanya tadi.
Dalam cahaya suram bilik, tulisan putih Maharaja kelihatan agak jelas.
“Jenama baru ke? Tak pernah dengar pula…” gumam Ethan.
Lama dia memandang tulis itu. Matanya kian berat. Keletihan fizikal dan mental hari ini akhirnya menuntut bayaran. Perlahan-lahan, Ethan hanyut ke alam mimpi, dengan kad misteri itu masih tergenggam erat di tangan.
Di luar, ribut semakin menggila.
Guruh membelah langit Bandar Novan, gegarannya menggoncang tingkap-tingkap kaca di Edgewater. Hujan turun seperti peluru, cuba menghapuskan segala kotoran di bandar itu.
Namun, tinggi di atas dahan pokok tua yang menghadap bangunan apartmen Ethan, satu susuk tubuh sedang duduk dalam keadaan yang sangat tenang. Tubuhnya menyandar pada batang pokok. Sebelah kaki diluruskan, sebelah lagi pula dibengkokkan.
Dia adalah lelaki pelik serba hitam yang melanggar Ethan tadi.
Dia duduk dengan tenang di atas dahan yang bergoyang ditiup angin kencang, tetapi tubuhnya tidak terkesan, tidak bergerak walau seinci. Hujan yang lebat itu pula seolah-olah terbias di sekeliling tubuhnya, seperti ada sebuah perisai halimunan yang melindungi dirinya. Tiada setitis pun air menyentuh pakaiannya.
Beberapa ketika kemudian, ada pergerakan dari susuk tersebut. Tangan kanannya yang bersarung hitam menyeluk ke dalam kot, mengeluarkan sebuah jam poket antik. Permukaannya retak, tetapi di dalamnya, jarum jam berdetik dengan ritma yang pelik. Seketika, ia bergerak terlalu laju sebelum terhenti, kemudian berundur ke belakang.
“Sudah tiba masanya,” bisiknya. Suaranya tidak ditenggelamkan oleh guruh; sebaliknya ia menyusup tajam di celah bunyi hujan.
Di hadapannya, udara mula bergetar. Ruang seolah-olah dikoyakkan dari tengah, membuka satu rekahan gelap yang berpusar.
Sebuah portal.
Lelaki itu menyimpan jamnya, berdiri tegak di atas dahan licin itu dengan tenang, dan melangkah ke hadapan.
Dia tidak jatuh. Sebaliknya dia ditelan oleh rekahan itu, dan dalam sekelip mata, dia lenyap—meninggalkan ribut yang terus mengaum tanpa saksi.